Sekadar hiasan
Salam
Semalam saya sibuk hadir majlis perkahwinan. Ada sampai empat, di Bangi ada dua, di Kelana Jaya satu dan Putrajaya satu. Kami hanya sempat ke tiga majlis sahaja, yang di Putrajaya tak dapat pergi. Kami dahulukan majlis teman-teman yang kami belum pernah pergi lagi, sebab memang tak sempat nak pergi semua. Yang seronoknya ketika saya ke majlis di Kelana Jaya (anak teman suami saya), kebetulan tuan rumahnya orang Kuala Kangsar, saya terjumpa tiga orang teman lama yang pernah pergi ke sekolah yang sama dengan saya. Malah, ada yang merupakan classmates saya. Seronoknya bila dah lama tak jumpa, jumpa balik. Alhamdulillah... masing-masing sudah ada cucu. Tapi kan... saya masih ingat kisah-kisah lama dulu. Tak payahlah cerita kat sini kot. Dua orang daripada kawan-kawan saya tu tinggal di kawasan Lubuk Merbau, tak jauh dari pekan Lenggong.
Semalam juga, masa bersembang-sembang dengan kawan-kawan di meja makan, ada seorang kawan suami saya yang introduce perumpamaan baru, katanya orang sekarang "Mati mak ayah mati juga anaknya," huhu... kenapa dia cakap macam tu ya?
Kata dia, banyak anak-anak sekarang terlalu bergantung pada emak ayah, dari kecil sampailah ke dewasa. Hinggakan dah kahwin dan dah beranak pun serupa juga, masih mengharapkan semua daripada emak ayah mereka. Anak-anak sekarang, ramai yang tak pandai jaga diri sendiri, dan kalau kita kata bayi, macam tak reti-reti nak berdiri dan berjalan sendiri. Menyedihkan. Kata kawan itu lagi, jangankan yang dah kahwin, yang bujang pun sama juga, padahal dah ada gaji dan sepatutnya dah mampu hidup sendiri, tapi masih suka bergantung pada emak ayah. Masalahnya, banyak emak ayah yang tak dapat hidup dengan lebih baik kerana apa-apa yang mereka ada terpaksa diberikan pada anak-anak. Anak-anak pula, kerana emak ayah ada duit, mereka pun jadi lebih malas dan kalau boleh hendak apa-apa sahaja tanpa berusaha. Nak hidup selesa, tak sanggup tempoh masalah.
Dah banyak sangat saya dengar rungutan seperti ini daripada ibu bapa dan saya percaya memang ada betulnya. Kalau tak betul, takkanlah ada ibu bapa yang merungut macam tu, kan?
Apa nak jadi ya? Mungkin betul juga kata kawan kami tu, "Bila mati mak ayah... anak-anak pun mati sama." Apa yang dimaksudkan ialah, bila mak-ayah dah tak ada lagi di dunia ini, anak-anak yang bergantung pada mak-ayah ni akan terus terkapai-kapai macam orang lemas dalam laut, tak reti nak berenang ke darat. Tak tahu hendak berdikari!
Memang menakutkan dan hal ini juga bukan sekadar dirasai oleh ibu bapa Melayu tetapi ibu bapa keturunan lain juga.
Fikir-fikirkanlah. Kalau anda ada anak, tanya diri, "Anak aku macam tu tak?" dan kalau anda seorang anak, tanya pula, "Aku macam tu tak? Boleh hidup tak kalau tak ada mak ayah nanti?"
Wassalam.