Assalam
Biasalah... bila hari Jumaat sahaja, banyaklah mesej Islami yang masuk untuk mengingatkan kita tentang kebesaran hari Jumaat itu. Apa-apa pun, pagi ini saya sangat tertarik dengan satu mesej yang bercerita tentang malaikat Jibril a.s.
Baginda Rasullulah ketika gering, bertanya pada Jibril a.s. "Adakah kau akan turun ke bumi setelah aku tiada?"
Kata Jibril a.s., "Masih lagi ya Rasulullah... aku turun ke bumi untuk ambil 10 mutiara hidup peninggalan mu."
Tahukah kita apa dia mutiara yang dikatakan Jibril a.s. itu?
Salah satu di antara yang sepuluh itu ialah 'rasa malu dari wanita.'. Bermakna, ketika wanita tidak menghormati rasa malu dalam diri, maka mutiara itu akan diambil pergi. Banyak mutiara lain yang juga penting, tetapi kerana saya seorang wanita, mungkin elok juga saya bincangkan hal ini di hari yang mulia seperti hari ini. Semoga ia akan mengingatkan diri kita dan semoga sebagai wanita, kita akan menjaga harga diri dan akhlak diri.
Mutiara diri seorang perempuan terletak pada maruahnya. Kalau tak jaga maruah, maknanya diri tak tahu rasa malu. Bila tak jaga rasa malu, seorang wanita akan sanggup lakukan apa sahaja. Sebagai wanita, mungkin kita rasa tak akan mudah 'jual diri', tetapi pada hakikatnya, hari ini terlalu ramai wanita yang tak menghargai diri mereka sendiri, tak kira usia muda atau tua.
Semalam, saya terbaca kisah seorang wanita yang berusia 46 tahun, ditangkap kerana sedang berusaha untuk 'menjual' dirinya bagi mendapatkan 'seks'. Usia tak muda, tapi malangnya wanita Melayu itu tak rasa malu pun, masih sanggup lakukan maksiat mungkin untuk dapatkan duit. Hanya kerana material. Takkanlah dah tak ada kerja lain lagi?
Malangnya juga, masih ada wanita di luar sana, yang sanggup 'jual diri' walaupun dah ada kerja, dah berusia, dah tahu macam-macam tetang agama, namun kerana "NAFSU" mereka sanggup lakukan apa sahaja.
Bayangkanlah, kalau kita begitu... bukankah satu hari nanti, kalau usia masih ada, kita akan jadi tua? Dan terfikirkah kita ketika itu nanti, bagaimana kita mahu berdepan dengan kehidupan sedangkan kita tahu yang diri kita bergelumang dengan dosa dan maksiat?
Apakah kita tahu bila kita akan mati?
Kalau tak sempat bertaubat atau taubat tak diterima Tuhan, bagaimana nanti?
Tak takutkah kita?
Atau mungkin kita tak kisah semuanya? Asal sahaja kita dapat apa yang kita mahukan, kita lelong sahaja diri kita seperti anjing betina jalanan, yang ke hulu dan ke hilir untuk mengisi 'nafsunya'?
Kalau kita seorang wanita, biarlah kita pelihara akhlak kita, jaga maruah kita, agar nanti 'rasa malu' itu tidak diambil pergi! Tak kisahlah kita tua atau muda, tak kisah juga apa status kita, tak kisahlah kita lawa atau tidak! Tapi kalau kita hargai 'Nikmat' yang dianugerahkan Ilahi buat kita, jagalah 'rasa malu' itu!
Wahai perempuan... janganlah mudah jual badan!
Wassalam.