
Awal petang itu, sekitar 2.20 petang, saya sedang menunggu anak bongsu tamatkan waktu sekolah di depan pintu masuk sekolah. Kebetulan, sebuah sekolah rendah juga terletak tidak jauh dari sekolah anak saya ini. Sedang saya duduk-duduk dalam kereta sambil menunggu, tiba-tiba saya terlihat seorang kanak-kanak lelaki sekitar 10 tahun, yang sangat 'happy' kerana ibunya sudah tiba untuk menjemputnya. Anak tadi, yang sedang minum air, terus sahaja menghumban bekas airnya (gelas plastik) di kawasan padang yang berdekatan lalu terus sahaja membuka pintu untuk masuk ke dalam kereta. Ibunya tadi (bertudung litup), relaks sahaja dan langsung tidak menegur perbuatan anaknya itu. Memang bersepah sampah sarap (plastik minuman) di kawasan itu. Saya percaya budak-budak sekolah yang mencampaknya dan mengotorkan kawasan di depan sekolah.
Saya tidak faham kenapa kanak-kanak dibiarkan melakukan pencemaran alam seperti ini? sungguh menyedih dan memalukan. Dalam Islam, kebersihan adalah sangat penting. Mengapa agaknya ibu bapa tidak mengajar anak mereka untuk menjaga kebersihan? Mungkinkah bagi mereka kawasan itu bukan rumah mereka, jadi biarkan sahaja? kalau di luar kotor, bagaimana pula rumah mereka?
Bagi saya, anak-anak mesti dididik dari kecil lagi. Ajarlah mereka supaya jangan membuang sampah merata-rata. Buang dalam tong sampah. Kalau tak ada tong sampah, simpan dan kemudian buang dalam tong sampah! Kebersihan tandas pun begitu. Di rumah lagi ibu bapa sepatutnya mendidik anak-anak, supaya mengguna tandas dengan betul. Jangan biarkan tandas berbau!
Kalau di rumah mereka tak tahu menjaga kebersihan, jangan haraplah di sekolah mereka akan menjadi orang yang bersih. Mungkin kerana itu juga, kita jarang-jarang melihat atau terjumpa tandas yang bersih di sekitar kawasan surau dan masjid. Kenapa begitu? bukankah itu tempat kita mengerjakan sembahyang? takkanlah kita hanya jaga tempat solat, tetapi tandas kita biarkan kotor?
Pagi-pagi lagi saya dah membebel, tetapi memang saya terkilan. Saya tak kisah kalau keadaan sesebuah rumah itu tidak teratur atau pun kelihatan daif. Tetapi saya tak suka kalau sampah dibiarkan merata-rata tempat, berbau busuk dan tandasnya berbau!
Ajarlah anak-anak kita supaya jadi orang yang pentingkan kebersihan. Kalau bersih di luar, insya-Allah hatinya juga bersih. Tetapi kalau di luar kotor, bayangkanlah di dalam!