Salam
Hari ini saya ingin berkongsi sebuah cerita. Semasa saya kecil, saya pernah melihat gambar kakak saya yang bernama Nazik. Kata arwah ayah saya, itulah kakak saya yang tinggal di Madura. Ketika itu, saya tak dapat bayangkan Madura itu macam mana. Yang saya tahu tempat itu memang jauh dan bukan merupakan tempat yang mudah kami pergi. Gambar yang saya lihat ialah satu gambar yang sangat romantis. Kakak saya itu digendong oleh suaminya. Kakak saya memang cantik menawan. Ada juga gambar lain yang menampakkan kebahagiaannya bersama suami. Saya tahu dia bahagia.
Suaminya itu adalah seorang pelayar dan kakak saya telah dilahirkan dan dibesarkan di Madura kerana ibu kakak saya ialah orang Madura. Malah, suaminya juga orang Madura. Ketika ayah saya berpisah dengan ibunya, kakak saya Yildis ikut ayah saya ke Malaysia, tetapi Nazik tinggal dengan ibunya di Madura. Untuk tempoh yang sangat panjang, saya hanya melihat gambar-gambar kakak saya dan keluarganya dan mendapat berita melalui surat-surat yang dikirimkan. Suatu hari, kami dapat berita yang suaminya meninggal dunia kerana kakinya terkena paku yang beracun. Terpaksalah kakak saya mengharungi kehidupan dengan anak-anaknya tanpa suami di sisi.
Pun begitu, saya tidak pernah melihat kakak saya hinggalah pada tahun 2005. Kebetulan, anak kakak suami saya sedang merancang untuk berkahwin dengan anak dara Surabaya. Jadi, kami telah ke Surabaya beramai-ramai. Saya telah ke sana bersama suami dan dua orang anak lelaki saya, Irfan dan Nabil. Kami tinggal di kawasan Ampel dan di situlah terletaknya keluarga-keluarga keturunan Arab, kebanyakannya berasal dari Yemen. Kawasan itu mengingatkan saya kepada negara Arab. Bila tiba di Surabaya, saya telah menghubungi salah seorang anak kakak saya yang tinggal di tempat itu. Dia merupakan seorang guru dan namanya ialah Lutfi. Dia telah datang ke hotel kami dan membawa kami ke Madura. Semasa itu, jambatan dari Surabaya ke Madura belum siap lagi, jadi kami terpaksa naik feri. Kemudiannya naik kereta terus ke kampung tempat tinggal kakak saya yang pada ketika itu, saya rasa sangat jauh.
Ketika tiba di rumah kakak saya, kami telah disiapkan makanan yang sangat enak dan banyak. Kami empat beranak, enjoy gila makan makanan yang disediakan, termasuk sate dan sup Madura. Malangnya, ketika itulah kami diberitahu bahawa kakak saya sedang berada di hospital kerana sakit kencing manis yang kuat. Ibu jari kakinya terpaksa dipotong. Kami melawat kakak kami yang berada di sebuah 'rumah sakit' yang bagi saya ketika itu, sangat daif keadaannya. Apa pun, di rumah sakit itulah pertama kalinya saya berjumpa dengan Kak Nazik. Walaupun dia sudah tua,tetapi dia masih cantik.
Pada Tahun 2010, saya pergi lagi ke Madura, kali ini sudah ada jambatan dan lebih mudah untuk ke sana. Saya pergi dengan adik lelaki saya dan isterinya, kerana adik saya teringin untuk melihat Kak Nazik. Kali terakhir saya jumpa Kak Nazik ialah ketika sepupu saya mengaturkan majlis perkahwinan anaknya di Bandung pada tahun lepas. Kakak saya telah dibawa dari Madura. Ketika itu, kakak saya agak uzur.
Hingga ke hari ini, foto pertama kakak saya yang saya lihat itu masih berada di minda saya. Saya melihatkan satu kebahagiaan yang pernah kakak saya rasai, mungkin tiada bandingan dengan segala harta yang ada di dunia ini. Kini, harta yang kakak saya tinggalkan ialah anak-anaknya yang soleh dan solehah. Insya-Allah, silaturahim akan kami teruskan. Semoga roh kakak saya aman di alam barzakh.
Wassalam.