
Semenjak dua-menjak ini (Stail orang Perak bercakap), saya suka sangat pergi ke Kuala Kelawang. Mungkin ada yang tak tahu di mana tempat yang bernama Kuala Kelawang yang saya maksudkan ini. Sebenarnya tempat ini terletak di daerah Jelebu, Negeri Sembilan. kalau dari rumah saya, sekitar 45 minit, sampailah. Saya suka ke sana pada hari Ahad sebab ada pasar minggu di pekan Kuala Kelawang. Apa yang saya cari di sana? macam-macam produk kampung, termasuklah ayam kampung, pisang, kelapa muda, anak-anak pokok, sayur-sayur kampung dan macam-macam lagi yang saya suka.
Tetapi, yang menariknya tempat ini ialah kedudukannya. Ia di kelilingi gunung ganang (Banyak jeram yang ada di kawasan ini), sungai dan cuacanya juga agak redup dan menenangkan.
Jelebu juga merupakan kawasan beradat yang sangat terkenal di Negeri Sembilan ini. Semenjak saya tinggal di Nilai, saya cuba juga memahami adat yang diamalkan orang negeri ini. Maklumlah, kita menumpang di tempat orang, eloklah kalau faham juga adat mereka.
Saya juga seronok ke kawasan ini kerana masih terdapat banyak rumah-rumah kampung tradisional. Setiap kali saya pergi ke Kuala Kelawang, rasa macam balik kampung!