Tandas awam yang bersih - ada macam kat Malaysia tak?
Salam semua
Pernah tak kita terserempak dengan kereta yang dipecut macam ribut, melintas di depan kita? Yang membawanya ialah bukan tuan punya, tetapi orang yang meminjam kenderaan itu. Mungkin adik tuan punya, mungkin teman tuan punya, atau siapa-siapa. Ada juga pemandu tuan punya (memandu bila tuannya tak ada). Kadang-kadang memang begitulah keadaannya. Bila itu bukan harta kita, kita pun buat sesuka hati kerana kita tak menilai tinggi harta orang lain. Sedih sungguh. Tetapi kadang-kadang memang itulah realitinya. Ada insan di dunia ini tidak menghargai barang yang dipinjam atau ditumpang. Malah, ada ketika ada juga insan yang tak ambil peduli pada rumah atau tempat yang ditumpangnya.
Sebab itulah kalau kita pergi ke tandas awam (yang dibayar pun lebih kurang sama) di Malaysia ini, jarang-jarang kita jumpa tandas yang bersih dan tidak berbau. Malah, kalau musim cuti sekolah, tandas yang disediakan di kawasan rehat (ada pekerja yang mencucinya), tak terdaya kita nak masuk kerana bau yang hancing dan bau najis. Teruk betul, kan? Pada hal orang Malaysia semuanya pergi ke sekolah, tapi tak tahulah kenapa susah nak menghargai benda dan tempat yang dikongsi guna. Seolah-olah kerana bukan harta kita, maka kita pun tak ambil berat dan tak kisah. Buruk betul perangai. Bukan hanya di kawasan tandas awam, malah di masjid pun lebih kurang serupa. Susah nak jumpa tandas yang tak berbau hancing. Pelik, kan?
Suatu ketika dahulu, saya pernah sewakan rumah saya pada seseorang (berkeluarga) yang saya sangat hormati. Rupa-rupanya dia pun sama juga dengan orang lain, tak ambil peduli dengan harta yang bukan haknya. Pada hal saya menyewa dengan kadar yang terlalu rendah kalau dibandingkan dengan nilai rumah saya itu, konon-konon dengan harapan rumah saya akan dijaga baik. Tapi hampeh! Bila saya balik dari luar negara, rumah saya macam nak punah dibuat oleh anak-anaknya. Semuanya rosak termasuk tandas, siap ada bola tersumbat di dalamnya. Hampa sungguh perasaan saya. Malah, saya berasa malu kerana percaya bahawa orang yang berilmu mampu buat begitu. Nauzubillah. Orang yang sama, kemudiannya telah membina rumah baru untuk keluarganya dan kerana itu adalah rumahnya, pandai pula dia pastikan rumah itu elok. Hisy!
Mungkin kerana sikap itu ada pada diri kita sebagai manusia, maka ramailah yang tak ambil pusing ketika hidup di dunia ini. Pada hal kita semua tahu bahawa dunia ini adalah tempat tumpangan kita. Harta kita pun adalah hak-Nya, bukan hak kita pun. Tapi... ramai yang tak kisah. Kita bersikap seolah-olah kita tidak menumpang. Seolah-olah dunia ini kita punya. Malangnya juga, ada yang tak menghargai apa-apa yang ada, seolah-olah kita tidak meminjam semuanya daripada Tuhan.
Insya-Allah, dalam bulan yang mulia ini, semoga kita sama-sama berfikir untuk menghargai segala apa yang ada, bersyukur di atas apa sahaja pemberian Allah swt, tak kiralah besar atau kecil, menghargai segala rezeki pemberiannya dan menghormati apa sahaja yang ada, tak kisahlah sama ada kita rasa macam pinjam atau rasa macam hak kita.
Wassalam.