Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Tuesday, August 04, 2009

Hati dan Jiwa Tidak Cacat



Aku cuba mengintai wajahnya. Aku lirikkan mataku buat seketika, tak mahu dia sedar yang aku sedang memerhatikannya. Jalan terhincut-hincut. Bukan kerana kemalangan atau apa-apa, tetapi sudah ditakdirkan dia dilahirkan begitu. Kedua-dua kakinya cacat. Bengkuk. Cacat teruk, hinggakan payah untuk bergerak, tetapi dengan izin Tuhan, dia masih mampu berjalan. Sekalipun lambat, namun hatinya tegar dan kuat untuk melakukan sesuatu yang mungkin sakit dan perit. Aku perhatikan lagi.

Aku melihat pula pada diriku ini. Tidak cacat sepertinya. Betapa aku bersyukur kerana Allah SWT tidak menjadikan aku seperti lelaki cacat itu. Allah lebih mengetahui. Mungkin aku tak mampu menjadi seperti lelaki itu. Mungkin aku tak kuat seperti lelaki itu. Pun begitu, aku tahu semestinya ada keistimewaan dan kelebihan pada lelaki cacat itu. Mungkin semangatnya jauh lebih tinggi daripadaku, mungkin hatinya jauh lebih lembut daripadaku. Mungkin kelemahan yang ada pada dirinya itu membuat dia menjadi manusia yang disukai orang lain. Segala-galanya menjadi kemungkinan, hanya Tuhan yang tahu.

Aku teringat pula kepada beberapa orang insan yang aku kenali. Mereka dilahirkan sebagai 'khunsa', tak pasti kelakiannya atau keperempuanannya. Aku bukan orang yang bijak tentang hal ini dan aku tak berani untuk membuat komen. Dalam begitu, yang pasti mereka tetap merupakan makhluk Tuhan. Siapalah kita untuk mentertawakan mereka? siapalah kita untuk menghina mereka? Kalau mereka dijadikan begitu oleh Tuhan, tentu ada hikmah dan sebabnya. Setiap kita pasti menerima pelbagai dugaan dan setiap kita akan diuji keimanannya.

Aku sekadar membawa persoalan ini, siapalah kita untuk merendah-rendahkan manusia lain? siapalah kita untuk mengaibkan orang lain? setiap keburukan yang kita lakukan pasti ada balasan.

Sepatutnya kita bersyukur kerana dilahirkan tanpa cacat cela fizikal. Pun begitu, pastikan hati budi kita juga turut tidak cacat. Jangan biarkan fizikal sempurna tetapi hati dan jiwa penuh segala cacatnya.

Wallahua'lam