Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, January 25, 2008

EKSOTIK

Kita suka cari sesuatu yang ada kelainan kan? Mungkin kerana biasanya kelaianan itu menarik. Sesuatu yang jarang kita temui. Sesuatu yang eksotik. Luar biasa. Saya bukan bercakap tentang buku atau jalan cerita, tetapi tentang tempat dan mungkin penduduknya.

Kita selalu beranggapan bahawa di luar itu, maksud saya di luar negara, akan terdapat tempat dan orang yang lain daripada apa yang biasa kita lihat. Namun, kita tak mahu fikirkan bahawa banyak tempat dan penduduk di Malaysia ini, yang boleh kita anggap sebagai eksotik. Misalnya, di Sabah. Saya percaya ramai yang tak pernah pun ke sana, terutama kalau kita tinggal di Semenanjung Malaysia. Sekalipun, anda orang Sabah, mungkin ramai yang tak pernah ke kawasan Tawau, kecuali mereka memang tinggal atau berasal dari Tawau.

Tahukah kita bahawa kawasan itu mempunyai banyak pulau-pulau kecil yang eksotik. Pergilah ke Semporna. Anda akan temui dengan keluarga-keluarga Bajau Laut yang mempunyai budaya dan amalan hidup yang jauh berbeza daripada kita. Tempat tinggal mereka, bukan hanya cantik dan menarik, tetapi cara hidup mereka juga jauh lebih eksotik daripada kita di sini. Tak percaya, jom kita ke Semporna. Mungkin boleh terus ke Sipadan. Sekalipun tak suka buat scuba diving atau snorkelling, banyak aktiviti lain yang boleh kita lakukan.

Cuba anda fikirkan, di mana lagi boleh kita anggapkan tempat itu eksotik di negara kita. Anda boleh hantar email kepada saya, emir_aina@yahoo.co.uk

Saya ingin berkongsi maklumat dengan anda!

Monday, January 21, 2008

YA BENTI

Ada ketika, saya bertembung dengan kebuntuan semasa sedang menulis. Bila itu terjadi, biasanya saya akan membuka buku untuk membaca. Pilihan saya juga biasanya ialah buku-buku agama dan juga buku-buku yang berbentuk inspirasi. Saya tidak membaca novel. Kadang-kadang saya akan melayari laman-laman web. Saya akan mengunjungi laman ilmu penyakit, undang-undang, apa-apa saja yang ada kaitan dengan perkara yang sedang saya tuliskan. Ada kala pula, saya akan memasuki laman U Tube untuk mendengar lagu, terutama lagu-lagu evergreen. Saya akan mendengar lagu Melayu, Inggeris, Arab dan Perancis.

Baru-baru ini, saya terjumpa sebuah lagu Arab Peranchis yang dinyanyikan bersama oleh penyanyi Arab, Khaled dan Melissa (dalam bahasa Arab dan Peranchis). Khaled, seorang penyanyi veteran Arab Algeria dan Melissa pula Arab Peranchis, seorang penyanyi muda. Lagu itu ialah lagu seorang ayah untuk anak perempuannya. Bila saya mendengar lagu itu, saya teringat kepada arwah ayah saya yang dulunya, semasa saya masih remaja, selalu memberi nasihat kepada kami dalam bahasa Arab. Dia memanggil saya "Ya Benti", sama macam tajuk lagu itu.

Wednesday, January 16, 2008

Tentang Lagu

Saya masih teringat semasa saya pulang dari United Kingdom pada tahun 1992. Pertama kali saya mendengar lagu kumpulan Search, 'Fantasia Bulan Madu'. Saya memang tertarik mendengar melodi lagu itu, bagaikan berhantu! Macam tak puas-puas mendengarnya. Mungkin bagi saya, itu merupakan salah satu lagu Melayu yang menjadi kegemaran saya. Hingga hari ini, lagu itu masih lagi menarik buat saya. Kalau saya terdengar lagu itu berkumandang, pasti perasaan saya turut rasa semacam. Saya turut menyukai lirik lagu itu.

Demi cintaku padamu
Ke mana pun kau kan kubawa
Ke hujung dunia
Ke bintang Kejora...

Mungkin jiwa romantis sayalah yang membuatkan saya menggemari lirik dan melodi lagu itu. Walaupun lagu itu berbentuk slow rock, ia tetap menarik bagi saya yang bukan kaki rock! Hari ini, payah nak dapat lagu seindah lagu itu.

Selain daripada lagu kumpulan Search itu, saya juga suka kepada lagu2 yang didendangkan Allahyarham Sudirman Hj. Arshad. Kebetulan, Allahyarham adalah senior semasa saya belajar di UM dulu. Hingga ke hari ini, lagu2nya masih saya minati. Saya juga suka kepada suara Jamal Abdillah. Namun hari ini, payah nak dapat lagu2 menarik daripada penyanyi lelaki (hanya satu dua saja), tak macam lagu2 dari negara seberang. Saya percaya penyanyi lokal kita punyai kebolehan dan kemampuan untuk menyanyi lagu yang baik, cuma menunggu komposer yang mampu untuk hasilkan lagu yang mempunyai kelaianan. sejak kebelakangan ini, banyak penyayi lokal kita tertiru-tiru gaya penyanyi Indonesia. Malang sungguh!

Sebenarnya, kalau kita uruskan dengan baik, penyanyi kita mempunyai kemampuan yang hebat juga. Bagi saya belum ada lagu penyanyi Indonesia yang boleh kalahkan suara Amy Search dalam lagu 'Fantasia Bulan Madu' itu. Penyanyi kita masih hebat!



Friday, January 11, 2008

Inspirasi

Saya tertarik dengan beberapa artikel yang saya baca dalam sebuah buku berunsur motivasi. Buku itu menceritakan bagaimana kalau kita mahu terus berjaya. Kita tak boleh langsung ada apa-apa sifat negatif yang kita asahkan dalam fikiran kita, kerana kalau kita buat begitu (mengasahkan sifat negatif), secara automatik otak kita akan terus kekalkan perasaan negatif itu. Kalau kita mahu berjaya, kita kena rajin layan fikiran dengan mengatakan bahawa kita mampu lakukan apa jua yang kita mimpi dan idamkan dalam hidup ini.

Hidup mesti ada mimpi. Kalau mimpi indah yang kita bayangkan, maka hidup kita akan jadi indah. Tetapi kalau kita asyik ingatkan perkara-perkara yang tak baik, maka hidup kita juga seringkali akan jadi tak baik. Okey, apa lagi... mulai hari ini, sama-samalah kita cuba bawa perubahan dalam hidup kita agar ia akan terus berlaku positif seperti cita-cita kita itu!

Tuesday, January 08, 2008

Impianku

Saya mempunyai sebuah cita-cita atau impian, yang saya harapkan satu hari nanti akan menjadi kenyataan. Saya ingin menubuhkan sebuah persatuan/pertubuhan yang boleh membantu anak-anak Islam miskin di negara Kemboja. Saya telah menjalankan pelbagai usaha untuk membantu mereka dan stakat ini, semua usaha adalah bercorak peribadi. Apa yang saya mahu lakukan ialah mengaturkan satu organisasi di mana ramai orang lain akan terlibat sama untuk membantu anak-anak ini.

Mungkin ada di antara anda sekelian yang mahu tahu kenapa saya tertarik untuk membantu mereka dan bukan orang lain di negara kita sendiri atau di tempat lain di dunia ini. Kalau boleh memang saya mahu lakukan sesuatu untuk semua orang, tetapi saya hanya sekadar seorang insan biasa yang tak berkemampuan untuk melakukan semuanya. Dengan itu, saya terpaksa membuat pilihan. Bagi saya, mereka di sana sangat-sangat memerlukan bantuan kita kerana di sana mereka terpaksa bergantung kepada bantuan yang datangnya dari luar. Rakyat Islam di sana, rata-rata tidak mempunyai kemampuan untuk membantu sesama sendiri. Oleh kerana Kemboja bukan negara Islam, tiada sistem zakat yang diuruskan oleh pihak kerajaan.

Sekalipun di negara kita ada orang miskin, bagi saya, mereka di Kemboja terlalu daif. Ada yang tidak berkasut, tak ada pakaian untuk ditukar ganti. Tak ada kain sembahyang (terpaksa berkongsi dalam satu keluarga), malah bagi saya mereka adalah terlalu miskin kalau dibandingkan dengan apa yang pernah kita lihat di sini.

Saya juga merasakan bahawa mereka adalah jiran kita dan sebagai jiran, kita wajib membantu. Inilah impian saya. Satu hari nanti, murah rezeki yang dikurniakan Tuhan, serta tenaga dan semangat yang diberikan Tuhan, insyaAllah saya akan lakukan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang sedang saya lakukan sekarang ini.

Thursday, January 03, 2008

Hidup Bagaikan Sebuah Penimbang

Tentu anda selalu fikirkan hal ini. Kenapa aku tak kaya macam dia? Kenapa aku tak pandai macam dia? Kenapa nasib aku tak baik macam dia? Kenapa aku tak dapat berjalan-jalan macam dia? Kenapa, kenapa, kenapa????

Mungkin kita juga selalu renungkannya. Setiap apa yang terjadi pada kita, kita rasa terkilan kerana sangka kita, hanya kita sahaja yang merasakannya. Orang lain tak susah macam kita. Orang lain tak menderita seperti kita. Macam-macam yang kita fikirkan dan kita rasa bagaikan Tuhan tidak menyayangi kita. Perasaan itu selalu datang bila kita dihimpit kesusahan.

Sama-samalah kita renungkan kisah ini, sebuah cerita benar. Maziah dilahirkan sebagai anak bongsu yang paling disayangi dalam sebuah keluarga besar. Dia mendapat pelajaran secukupnya dan berjaya mendapat jawatan yang baik kalau dibandingkan dengan adik beradik yang lain. Dalam ramai-ramai, Maziah bernasib baik kerana dilahirkan cantik. Semuanya hampir sempurna buatnya. Bila dewasa, Maziah bertemu dengan Haidir, juga seorang anak bongsu dari keluarga yang besar. Ayah Haidir orang ternama dan kaya-raya. Haidir pula telah diberi kuasa untuk menjaga harta keluarga yang menimbun itu. Haidir berkahwin dengan Maziah dan mereka hidup aman damai.

Oleh kerana Haidir kaya, puaslah Maziah berjalan-jalan mengelilingi dunia. Bukan sekadar berjalan-jalan macam orang lain, tetapi Maziah telah diberikan segala kemewahan dalam hidupnya. Naik kapal terbang kelas pertama, tinggal di hotel lima bintang dan diberi harta yang banyak. Rumah besar bagaikan istana, barang kemas bergantang-gantang, kereta mewah bersusun-susun... malah semuanya dia ada.

Namun Tuhan Maha Adil dan Maha Kaya... sekalipun hidup bahagia, Maziah tidak dikurniakan zuriat. Walaupun sudah puas diusahakan, Maziah tak berjaya untuk mendapat zuriat dari darah dagingnya. Dia membela anak-anak angkat.

Mungkin kerana terlalu biasa hidup mewah, anak-anak yang dipeliharainya tidak ada yang menjadi. Terpaksa sahaja Maziah berdepan dengan keadaan yang seringkali membuat hatinya bimbang dan resah gelisah. Paling hampa buat dirinya, Maziah telah mengidap penyakit barah yang dikatakan tiada ubatnya. Kini, Maziah yang suatu ketika dahulu pernah rasa semuanya, terpaksa sahaja berdepan dan berperang dengan sesuatu yang mungkin akan mengakhirkan riwayatnya. Paling sedih kerana dalam keadaan yang begitu, Maziah tidak ditemani sesiapa.

Sebagai manusia, kita semua akan akhirnya bertemu ajal juga. Sekalipun hidup mewah, namun bila ajal tiba, kita semua sama saja. Apa yang penting ialah amalan yang kita tinggalkan. Kalau ada anak yang soleh dan solehah, mungkin doa mereka akan membantu semasa kita berada di alam barzakh.

Renung-renungkanlah, apa sahaja yang Tuhan berikan kepada kita, sentiasa ada hikmahnya. Kalau kita kurang di sini, akan ada yang lebih di sana. Hidup kita bagaikan sebuah penimbang... biasanya tak berat sebelah. Tak mungkin akan sempurna. Nothing is perfect!