Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, February 26, 2010

Kelahiranmu


Hari ini adalah hari ulang tahun kelahiran Nabi junjungan kita, S.A.W. Semoga kita umatnya akan menjadikan baginda sebagai idola kita. Contohilah akhlaknya, budi baiknya dan pengorbanannya. Lakukan sebaik mungkin, kalau tidak berjaya jadi seratus peratus sepertinya, setidak-tidaknya banyak yang kita ambil daripadanya. Namun,kalau kita tidak berusaha, maka memang jauhlah kita daripadanya.

Saya terkilan apabila membaca sesuatu yang ditulis oleh seseorang (untuk pembacaan umum) yang mengatakan bahawa lelaki Melayu hari ini tidak ada yang baik perangainya. Katanya,"Payah nak jumpa yang baik, yang jahat berlambak!"

Aduhai... sedihnya. Takkanlah begitu kot. Kenapa dia marah sangat kepada lelaki Melayu? Saya tidak melihat suami saya sebagai seorang yang tidak baik. Begitu juga dengan anak-anak lelaki saya. Saya tidak melihat mereka sebagai tidak bagus. Suami saya sangat sabar, sangat kuat bekerja, taat kepada Tuhan, taat juga kepada ibu bapanya, merupakan seorang suami yang menyayangi isteri dan anak-anak,tidak kedekut, tidak susah menolong orang lain dan sentiasa menghormati jiran dan teman, termasuk sanak-saudara. Tentunya dia bukan seperti Nabi, tetapi tidak sesekali saya anggap dia tidak baik.

Yang penting, kita sebagai kaum perempuan, buatlah baik kepada lelaki, jadilah ibu yang baik yang membesarkan anak-anak lelaki dengan baik, agar mereka terus jadi lelaki yang baik. Kalau lelaki tidak baik, mungkin kita perempuan akan jadi jauh lebih tidak baik. Sama-samalah kita menyokong sesama kita, contohilah akhlak Nabi Muhammad SAW yang mulia, agar kita juga mempunyai hati dan jiwa yang iklhas lagi murni.

Untuk makluman pembaca blog ini, mulai esok saya tidak updatekan blog hingga hari Rabu. Insya-Allah, saya, suami dan anak bongsu, akan ke Padang dan Bukit Tinggi, Indonesia. Kebetulan, hari ini juga adalah ulang tahun hari kelahiran anak bongsu saya. Semoga kita berjumpa lagi di alam maya. Salam sayang saya buat semua.

Thursday, February 25, 2010

Puteri Harbour dan Nusajaya



Saya tidak membuat sebarang perancangan, tiba-tiba sahaja suami mengajak. Mula-mula tu, rasa malas nak ikut, maklumlah saya tahu tempat itu tempat baru, takut tak ada tempat untuk saya melepak. Tetapi... alahai kesian pulak tengok muka cik abang saya, jadi saya pun bersetuju untuk teman dia. Biasanya, suami saya ke Johor menaiki kapal terbang, tetapi semalam dia terpaksa menghadiri mesyuarat petang dan tak sempat nak book flight. Terpaksalah memandu saja ke Johor. Katanya, "Jomlah teman I ke Nusajaya." Jadi, ke sanalah saya semalam. Mujurlah tak perlu keluar awal-awal pagi, sebab mesyuaratnya jam 2.30 petang.

Jam 10.00 pagi, kami berangkat ke Johor. Kami berhenti makan tengah hari di R&R Machap dan lepas itu terus masuk ke bahagian baru negeri Johor, yang dikatakan berada di bawah penyeliaan Iskandar Region Development. Kami ke Nusajaya (suami saya sedang menguruskan pembangunan sebuah hotel lima bintang) di kawasan itu, bersebelahan dengan Puteri Harbour. Sesampainya kami di kawasan itu, aduhai... tak sangkalah pulak tempat itu ala-ala menarik! Rasanya macam kat 'overseas' pulak. Macam Australia... kebetulan, arkitekturnya banyak ikut desain dari negara itu.

Kami ke Puteri Harbour, sebab suami saya mesyuarat di situ. Dapatlah saya melihat bot-bot dan kapal layar yang berlabuh di pelabuhan itu. Kata suami saya, tuan punya bot dan kapal layar, kebanyakannya orang asing... dari Jepun , Australia, Singapura dan negara-negara lain. Dari Nusajaya... kita boleh lihat Singapura... macam dekat sangat-sangat.

Kami minum-minum di kedai makan yang tersedia dan selepas itu, saya meronda-ronda Puteri Harbour. Tengok model pembangunan tempat itu dan selepas itu, saya melepak dengan novel saya, sementara tunggu cik abang bermesyuarat.

Lewat petang, kami ke Gelang Patah (tak jauh dari situ), memang tempat itu sudah berbeza dari dulu. Selepas tu, kami terus mengahala ke Lebuhraya untuk pulang. Berhenti seketika di Kluang (minum kopi stesen Kluang) dan sampai di rumah lewat jugaklah. Apa pun, saya seronok pergi ke Nusajaya. Anda semua tak nak pergi ke?

PS: Maaflah, saya ambil gambar guna handphone saja.

Tuesday, February 23, 2010

Handbook of Life



Mungkin anda semua boleh lakukan apa yang termampu. Saya terima segmen ini daripada seorang teman yang meng 'forwardkannya'. Saya suka.

HANDBOOK OF LIFE

Health:

1. Drink plenty of water.
2. Eat breakfast like a king, lunch like a prince and dinner like a beggar.
3. Eat more foods that grow on trees and plants and eat less food that is manufactured.
4. Live with the 3 E's -- Energy, Enthusiasm, and Empathy.
5. Always make time for prayers.
6. Play more games.
7. Read more books than you did in 2009.
8. Sit in silence for at least 10 minutes each day.
9 Sleep for 7 hours.
10. Take a 10-30 minutes walk every day. And while you walk, smile.


Personality:

11. Don't compare your life to others'. You have no idea what their journey is all about.
12. Don't have negative thoughts or things you cannot control. Instead invest your energy in the positive present moment.
13. Don't over do. Keep your limits.
14. Don't take yourself so seriously. No one else does.
15. Don't waste your precious energy on gossip.
16. Dream more while you are awake.
17. Envy is a waste of time. You already have all you need.
18. Forget issues of the past. Don't remind your partner with his/her mistakes of the past. That will ruin your present happiness.
19. Life is too short to waste time hating anyone. Don't hate others.
20. Make peace with your past so it won't spoil the present.
21. No one is in charge of your happiness except you.
22. Realize that life is a school and you are here to learn. Problems are simply part of the curriculum that appear and fade away like algebra class but the lessons you learn will last a lifetime.
23. Smile and laugh more.
24. You don't have to win every argument. Agree to disagree.


Society:

25. Call your family often.
26. Each day give something good to others.
27. Forgive everyone for everything.
28. Spend time with people over the age of 70 & under the age of 6.
29. Try to make at least three people smile each day.
30. What other people think of you is none of your business.
31. Your job won't take care of you when you are sick. Your family and friends will. Stay in touch.

Life:

32. Do the right thing!
33. Always speak the truth even if it leads to your death.
34. Allah SWT heals everything.
35. However good or bad a situation is, it will change.
36. No matter how you feel, get up, dress up and show up.
37. The best is yet to come.
38. When you awake up alive in the morning, thank Allah SWT for it.
39. Your Innermost is always happy. So, be happy.

Be simple, enjoy life, smile and know that Allah SWT is always swith you!

Monday, February 22, 2010

Bahasa Melayu Lagi!



Para graduan kita sering merungut kerana payah nak dapat kerja yang sesuai setelah mendapat segulung ijazah. Ramai graduan Melayu hampa kerana susah nak dapat kerja yang sesuai dengan kelulusan. Masalah besar yang berdepan dengan para graduan kita kerana kebanyakan pihak swasta dan industri pekerjaan mahu mencari mereka yang cekap berbahasa Inggeris, sedangkan kebanyakan graduan Melayu tidak mahir berbahasa itu. Kalau boleh pun, tak hebat mana.

Kalau hendak difikirkan, memang pelik. Konon negara Malaysia menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita, tetapi bahasa Inggeris juga yang diagungkan. Kenapa tidak kerajaan mensyaratkan semua pihak swasta menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan? macam di negara Jepun, Korea, Thailand, Jerman, Perancis dan banyak lagi. Kenapa kita masih sibuk dengan bahasa Inggeris lagi, seolah-olah tanpa bahasa itu, kita tak mampu menjalankan tugas dengan baik!

Perkara ini sudah saya bangkitkan berkali-kali, malah cerita tentang bahasa ini bagaikan tak ada makna untuk mereka yang berkuasa. Cuba kita lihat di peti televisyen, setiap kali perkara ekonomi negara diperkatakan dalam berita nasional. Mereka yang berada di depan tak pernah mahu menuturkan dalam bahasa Melayu, seolah-olah pihak berkenaan berada di luar negara. Tak sekalipun saya melihat orang berkenaan bercakap dalam bahasa Melayu, sedangkan kita tahu dia Melayu, beribu dan bapa Melayu, yang selalu sibuk cuba mendaulatkan budaya Melayu!

Kalau dah mereka yang di depan begitu, bagaimana pihak swasta mahu menggunakan bahasa Melayu dalam bidang pengurusan mereka? Yang peliknya, tak pernah lagi saya melihat mana-mana pihak komen tentang hal ini. Termasuklah Pak Menteri! Seolah-olah semua orang takut atau mungkin masing-masing berpura-pura tak pernah sedar yang ini sedang terjadi! Beginikah kita mendaulatkan bahasa kita? atau mungkinkah memang kita semuanya malu untuk mengaku kita boleh bertutur dalam bahasa Melayu?

Kita biarkan, kita pekakkan telinga,kita butakan mata... lepas itu kita sibuk-sibuk menyoalkan tentang bahasa!

*Gambar ambil dari yahoo

Sunday, February 21, 2010

Memang Tak Patut!



Pagi tadi saya baca surat khabar dan entah macam mana, terbacalah pula kisah komen seorang wartawan hiburan tentang drama Melayu yang mengisahkan seorang wanita yang mempunyai kekurangan pada giginya. Kalau tak silap saya, drama itu berjudul 'Halimah Jo.....'. Saya tak pasti stesen mana yang menyiarkannya, tetapi saya memang sokong komen wartawan hiburan itu. Memang tak patut drama seperti itu disiarkan. Penerbit dan juga stesen TV itu tidak sensitif langsung tentang perasaan penontonnya. Adakah patut kekurangan fizikal orang dipersendakan? Dibuat lawak bodoh dan mengajak penonton ramai-ramai gelakkan karakter yang tidak bernasib baik itu! Yang mengecewakannya kerana dikatakan bahawa drama itu mendapat sambutan, sedangkan ramai yang menangis dan tergores hati mereka apabila drama itu ditayangkan untuk tontonan orang ramai. Sungguh pathetic,humiliating dan insulting! Menyedihkan, menghina dan menjenkelkan!

Saya tidak tahu mengapa drama seperti itu boleh ditayangkan. Apakah orang kita tidak sensitif ke, atau mungkin kita memang suka melihat cerita-cerita yang menghina wajah, atau menggelakkan kehodohan fizikal orang, atau mentertawakan kekurangan orang lain? Apakah kita mahu generasi muda kita dibesarkan dengan 'nilai moral' yang begitu?

Saya tak ingat dah, tapi pernah sekali itu, semasa sedang mencari saluran sesuai di TV, saya terlihat drama itu. Tapi tak sampai seminit pun, saya sudah menukar salurannya, kerana saya rasa pelik melihat judulnya. Saya tak sangka pula yang drama itu diteruskan untuk dijadikan drama bersiri.

Pernah sekali itu, saya melihat sebuah program realiti, mungkin di stesen yang sama juga, tentang dua orang konsultan yang ditugaskan untuk mengelokkan sepasang bakal pengantin untuk hari persandingan mereka. Saya agak terkejut apabila mendengar komen yang dituturkan oleh konsultan-konsultan itu... mengutuk rupa fizikal bakal pengantin perempuan (Pada mata saya gadis itu cantik sahaja) dengan mengatakan giginya lebih mancung dari hidung. Sudah itu, mereka mengutuk pula pakaian yang telah diberikan abang pengantin sebagai hadiah dengan mengatakan pakaian itu dibeli di tepi jalan di Indonesia! Kenapa perlu mereka guna ayat-ayat jelik seperti itu? Bukankah memalukan pengantin itu?Perubahan wajah pengantin perempuan sangat ketara dan tentulah dia sedih dengan kutukan 'pakar-pakar kecantikan' yang ditugas untuk mencantikkan dirinya!

Saya tak faham kenapa penerbit, pengarah dan juga mereka yang bertanggungjawab untuk mengendalikan program TV tidak sensitif dan tidak mengguna akal untuk mengaturkan apa program yang sesuai untuk tontonan penonton. Apakah tugas mereka semata-mata untuk mencari keuntungan tanpa ambil kira 'nilai murni' yang sepatutnya diketengahkan? Kerana nak cari untung, mereka main hentam saja? Kita sebagai penonton, sepatutnya janganlah menonton program-program TV yang boleh merosakkan akhlak dan budi-bahasa kita. Jangan biarkan anak-anak kita menonton program TV yang menghina kita sendiri!

Saturday, February 20, 2010

Dunia Poli-Poli



Politik dan lagi satu poli yang popular di dalam masyarakat Melayu ialah Poligami. Tajuk ini merupakan tajuk hangat yang suka dibualkan oleh kaum lelaki Melayu. Okeylah, saya tak nak masuk campur dalam hal politik ni. Mungkin saya jelak atau meluat. Bagi saya, orang-orang yang terlibat dalam politik biasanya mempunyai agenda sendiri, jarang-jarang untuk kebaikan rakyat. Biarlah orang nak marah saya tetapi itulah realiti. Tengoklah di sekeliling kita, sekalipun politik dalam tangan kita dan kuasa juga ada, namun kita tetap tak ke mana-mana. Kalau ada yang pantas ke depan dalam bidang ekonomi, mereka adalah orang-orang politik juga atau ada kaitan dengan politik. Full stop!

Poli yang satu lagi ni... memang dibenci oleh orang perempuan. Yang lelaki pula, syok betul sembang pasal hal ini. Bagi kita orang perempuan, biasanya malas nak soal-soal sangat pasal hal ni... takut terhinggap di batang hidung! Tetapi... takkan kita benci sangat kot? apa akan terjadi kalau anak buah kita sendiri yang terpaksa menempuh alam poligami ini? kita akan membencinya, atau kita akan cucuk dia agar rumah tangganya huru-hara?

Bila kita tengok orang kena, kita pun sukalah bercakap-cakap tetapi kalau kena kat batang hidung sendiri, kita akan cari kesalahan orang lain. Dengan mudah kita akan salahkan isteri pertama lelaki yang kahwin lebih dari satu kalau kebetulan isteri kedua itu anak buah kita. Kalau yang kedua atau ketiga orang lain, kita pun cari kesalahan yang kedua dan ketiga itu. Kenapa kita tak kata saja, tak apalah kalau nak kahwin lebih dari satu asal sahaja pandai mengurusnya.

Apa yang saya tahu, memang ramai lelaki yang terfikir tentang nak kahwin lebih dari satu ni, tetapi taklah ramai sangat yang berani mencuba.Rata-rata mereka lebih senang kahwin satu sahaja. Mungkin tak nak peningkan kepala. Katanya, "Satu pun tak terjaga, kalau dua atau tiga memang parahlah".

Dalam keluarga saya sendiri, poligami bukan merupakan sesuatu yang asing. Saya sendiri mempunyai banyak ibu, ibu kandung dan juga ibu tiri. Bukan seorang sahaja ibu tiri saya, tetapi lebih daripada itu. Malah, banyak juga kaum kerabat lelaki saya yang kahwin lebih dari satu. Abang-abang, adik, anak saudara, sepupu... sebelah suami saya, abang ipar saya juga kahwin lebih dari satu.

Kalau tanya saya, tentulah saya akan berkata yang saya tak suka dimadu. Siapa yang suka? tapi kalau takdir kita terpaksa hidup bermadu, janganlah kita jadi gila atau tak keruan. Tak ada apa sangat yang perlu kita rebutkan dalam dunia ini dan kita juga tidak mati hanya kerana dimadukan! Soalnya, suami kita macam mana? adilkah dia nanti? atau dia juga jenis yang tak peduli. Nak kahwin banyak macam Nabi, tapi nak urus tak ikut pula sunnah Nabi. Wallahua'alam.

Huh, hal poli-poli ni, memang tak akan habis dibincangkan. Sentiasa hangat diperkatakan.

*Gambar cilok dari Yahoo

Friday, February 19, 2010

Second Chance Bukan Second Hand!



Ayat pada judul entri ini pernah saya catatkan dalam novel 'Nama Aku N'. N memberitahu kakaknya, tak salah kalau hendak memilih seorang duda sebagai calon suami. Bermakna duda itu sedang menerima 'second chance' dalam hidupnya... dan tidak pula bererti yang kakaknya sedang mendapat sesuatu yang 'second hand'!

Biasanya memang begitu. Kita suka berburuk sangka kepada sesuatu yang kita anggap sudah digunapakai. Takkanlah kita nak samakan orang dengan barang, kan? Tentu tak sama. Pun begitu, ada kala, barang juga jadi berharga apabila menjadi lama dan antik! Mungkin lebih mahal dari yang baru.

Apa-apa pun, hidup kita di dunia ini, kita tak tahu apa yang akan datang berdepan dengan kita. Bukan sekadar perkahwinan, mungkin juga dalam hal lain seperti bisnes, kerjaya, hobi dan macam-macam lagi, termasuk kawan. Ada ketika, yang kali pertama tidak menjadi buat kita. Tetapi itu tidak bererti nasib kita akan begitu sahaja. Kalau datang 'second chance' atau mungkin 'third chance', janganlah kita tolak pula kerana takut untuk mencuba buat kali kedua atau mungkin ketiga. Sepatutnya, apa jua pengalaman yang pernah kita lalui yang mungkin lebih negatif dari positifnya, biar ia menjadi pengajaran buat kita. Biar kita matangkan fikiran untuk mencuba buat kali kedua atau ketiga.

Kalau anda seorang bujang (lelaki), jangan gerun untuk menerima wanita yang bergelar janda atau balu untuk dijadikan isteri. Biasanya, mereka yang sudah pernah melalui suatu perkahwinan, akan menjadi lebih matang daripada mereka yang tak pernah berkahwin. Jangan kita anggap manusia sama seperti barang. Manusia mempunyai hati, mempunyai jiwa dan perasaan. Hati, jiwa dan perasaan itulah yang membuat kita hidup dan bahagia. Begitu juga dengan wanita, jangan takut untuk memberi peluang kepada lelaki yang pernah berkahwin. Kebanyakan mereka akan menjadi suami yang lebih prihatin.

Bagi saya, apa sahaja yang Tuhan sediakan untuk kita di dunia yang fana ini, itulah KetentuanNya. Terima dengan hati yang terbuka dan jangan berburuk sangka. Cubalah dengan keikhlasan. Buat kerana Allah SWT, kita akan menerima ganjarannya, insya-Allah.

Ramai yang bertanya kepada saya,"Boleh ke Kak Aina... nak cuba sekali lagi?"

"Apa salahnya?"

Bukankah Tuhan lebih mengetahui? Mungkin kerana itulah Dia memilih kita untuk menerima 'second chance' atau mungkin 'third chance' dalam hidup kita. Apa sekalipun, buatlah yang terbaik agar kita berpuas hati dan tidak menolak peluang yang datang kepada kita itu.

*Gambar hiasan anak-anak saudara saya yang masih kecil. Basla Damya dan Hannan.

Wednesday, February 17, 2010

Kenapa Semua Tak kena?



Mungkin saya pernah bercerita tentang perkara seperti ini di blog saya ini. Tentang orang yang cerewet. Bukan cerewetkan apa, tapi cerewet pasal makanan. Saya memang jenis tak cerewet, hampir semua saya makan. Tentulah sebagai orang utara (Perak sebenarnya), saya sukalah makanan dari negeri saya, misalnya lauk ikan masak tempoyak, putu kelapa Perak, pulut panggang, laksa Perak... alahai macam-macam lagi. Tapi saya memang suka laksa, tak kiralah mana datangnya. Laksa Siam ke, laksa Sarawak ke, laksa Perlis ke, Penang ke, laksa Kelantan ke, laksa Johor ke... semua saya suka. Begitu juga dengan makanan orang negeri lain, saya tak pilih-pilih, semua tibai! Nasi kerabu ke, nasi dagang ke, masak lemak cili api ke, masakan Cina ke, masakan India ke... semuanya okey buat tekak saya. Saya juga suka masakan Arab. Almaklumlah... keturunan tu.

Tapi... saya agak hairan juga dengan mereka yang cerewet, cerewet sangat-sangat tentang makanan. Semuanya tak kena. Masakan negeri dia aje yang sedap, negeri orang lain semua tak best!

Aduhai... peningnya kepala.

Ada tu pula, masin tak boleh, kurang garam tak boleh, pedas tak boleh, manis salah... ada-ada saja yang tak kena. Bila masuk sahaja restoran, tak ada apa-apa yang kena. Ada-ada saja yang tak kena dengan selera dia, apatah lagi kalau makanan itu datangnya dari tempat lain.

Masa saya kecil dulu-dulu, tempat saya memang tak banyak pilihan makanannya. Asyik-asyik itu saja... semuanya masakan kampung. Tapi bila datang KL, macam-macamlah yang ada. Saya okey saja. Apa yang tak biasa, saya biasakan. Hampir semuanya saya suka. Kalau nasi beriani tu, kat mana-mana pun okey. Nasi beriani mamak ke, Arab ke, Melayu ke... semuanya boleh. Sebab tempat saya di Perak tu memang tak ada nasi beriani pun.

Tak usahkan di Malaysia, ke mana-mana sahaja di luar negara saya masih okey. Asalkan yang halal. Saya senang 'adjust', sebab saya tahu kalau cerewet nanti susah. Jadi, memang saya hairan dengan orang yang tak mahu mencuba makanan yang lain daripada apa yang dia biasa. Takkan nak makan makanan yang emak masak saja? takkanlah makanan di negeri dia saja yang hebat, tempat orang tak sedap? macam tu, payahlah nak ke tempat orang, sebab semua pun tak kena!

Kalau cerwet pasal makanan, orang lain tentu rimas dan tuan badan mungkin boleh jadi kebuluran!

Tuesday, February 16, 2010

Kenangan Semalam





Alhamdulillah... dah pun balik dari utara. Mujurlah masa pergi dan balik, kami tak terlibat dalam kesesakan jalan raya yang teruk.

Masa pergi hari Sabtu tu, bermulalah rombongan kami (macam 'Rombongan Cik Kiah) bergerak ke utara. Dari Nilai lima buah kereta, lepas tu bersambung dari Gombak, tiga lagi. Jadi lapan yang datang dari Selatan. Kami bertolak pagi-pagi, sebaik sahaja solat subuh. Sarapan di kawasan rehat Bukit Gantang, di Perak. Kami singgah di situ sebab katanya nasi lemak di situ sedap. Memang pun. Lauk sambal berikan masin, payah nak jumpa kat tempat lain. Belum pukul satu kami dah tiba di Vistana, di Bukit Jambul. Pukul dua setengah, makan tengah hari pulak. Agak lewat sikit, sebab sarapan terlambat. Kali ini kami pekena nasi kandar yang terletak di belakang hotel sahaja. Rombongan kami sekitar 34 orang. Petang tu, kami pusing-pusing, makan angin sampai ke balik pulau. Lewat petang, makan pula laksa balik pulau. Memang kauw!

Sebelah malam, member datang berjumpa dengan saya (pembaca yang dah jadi kawan). Zue dengan Ani... lepas tu kami ramai-ramai pergi ke Padang Brown. Orang Penang kata 'Padang Brun'... hehe. Dah lewat sangat, makanan pun banyak yang dah habis.

Esok pagi-pagi (hari Ahad), kami bersiap dan pukul 10.30 dah tunggu di lobby. Kerabat saya yang tinggal di sekitar Pulau Pinang join kami sekali. Sepuluh buah kereta lagi... termasuk seorang lagi pembaca (Cik Intan)... dan kami ramai-ramai pergi ke Hotel Naza. Sekitar 75 orang!

Sungguh happening! Pengantin (dua pasang) diarak dengan kumpulan kompang menaiki kereta kuda. Saya suka ballroom Hotel Naza, backgroundnya laut... macam ada gambar pulak!

Layanan pihak pengantin lelaki memang best! kami enjoy sungguh. Selepas itu, kami ronda-ronda pulau pinang. Sebelah malam pergi pula ke Batu Ferringgi.

Esoknya, kami ke Sungai Dua di Seberang Perai. Memang dah lama saya tak balik ke Sungai Dua. Sungai Dua ialah kampung arwah tok saya (sebelah ibu). Sungai Dua juga merupakan latar belakang novel ketiga saya 'Setulus Janji'. Tempat itu banyak kenangan buat saya, maklumlah kampung saya dulu-dulu. Kemudiannya, kami ke Kepala Batas, berjumpa dengan teman lama. Selepas itu, balik semula ke Sungai Dua, makan Mi Udang. Cari pulut panggang tak jumpa pula. Tak ada rezeki nak makan pulut panggang.

Semasa pulang ke Selatan, kami singgah Kuala Kangsar... balik kampung saya. Tapi jalan raya sesak giler! sempat juga tunjuk kepada menantu-menantu sekolah lama saya dan juga sekolah suami dan anak sulung, Faiz(MCKK). Lepas tu pergi singgah makan laksa Kuala pula. Sampai KL sekitar 10.00 malam.

Pengalaman berjalan dalam kumpulan besar ni memang seronok, tetapi...alahai... banyak kedai makan tak nak layan kami sebab ramai sangat! kesian sungguh... hehe. Makan paling best ialah kat 'Hameediyah Restoran' di Pulau Pinang... makan daging kambing goreng dengan ayam Turki!

*Gambar yang atas sekali, saya bersama Zafira Hanoum(menantu) dan Intan (Pembaca, berbaju hitam)
Gambar kedua dari atas, rombongan kami yang selesai makan mi udang di Sungai Dua,
Gambar bawah, dua pasang mempelai (anak perempuan saya dan pasangan,dan abang iparnya dan pasangan), bersedia untuk menaiki kereta kuda.

Friday, February 12, 2010

Yang Mana Satu, Beb?




Semalam, saya bersembang-sembang dengan seorang teman dari kejauhan. Dia bercerita tentang seorang kenalan lelaki yang ingin mencari pasangan hidup. Umurnya sudah mencapai 40, dan pernah berkahwin, tetapi malangnya sudah bercerai dengan bekas isteri. Kini, sudah lama juga dia membujang semula. Mamat ini berjawatan kukuhlah juga. Saya pun bertanyalah dengan teman ini, dia nak cari yang macam mana. Kalau ada calon yang sesuai bolehlah saya kenalkan. Saya pun kenal ramai wanita-wanita muda yang belum ada calon lagi (antaranya ialah pembaca-pembaca saya yang rapat dengan saya).

Kata kawan saya tadi, "Alahai, mamat ni... banyak pulak songehnya. Dia tak nak yang pendek-pendek, mesti tinggi sikit, tak boleh kurang dari lima kaki. Kulit nak cerah, tak nak yang pakai cermin mata dan tak nak jugak yang tembam-tembam. Mesti slim."

Saya tergelak juga mendengarkan senarai spesifikasinya. Alahai, memang banyak songeh! Kan susah tu. Saya bertanya lagi, "Handsome sangat ke dia tu?"

"Okey-okeylah."

Mungkin memang ramai yang begitu, kan? Dah ada senarai spesifikasi tentang idaman di hati. Tapi bagi saya, memang payah kalau begitu. Janganlah terlalu 'rigid' sangat. Longgarkanlah syarat kita tu. Kalau tidak, memang payah. Terutamanya kalau spesifikasi kita bertumpu pada bahagian luaran atau fizikal sahaja. Kita tak ambil berat tentang kriteria dalaman. Misalnya, sifatnya.

Mungkin dari segi fizikal semuanya lengkap, tetapi dari segi emosi dan kelakuan, tak ngam pula dengan diri kita. Kan susah tu? lagipun, bila kita berkahwin dan ada pasangan, yang penting buat kita ialah kesesuaian hidup bersama. Bertolak ansur, memahami hati kita, menyayangi keluarga kita, berbudi bahasa dengan teman dan jiran tetangga... yang itu lagi utama dari paras rupa atau fizikalnya. Kita nak tahu juga, pegagangan agama dia macam mana. Kalau tak sesuai dengan diri kita, itulah akhirnya nanti akan bercerai jua.

Suatu masa dahulu, saya pernah berada di simpang jalan. Nak ambil yang kiri atau yang kanan. Kena buat pilihan. Akhirnya saya pilih yang paling sayangkan saya (dua-dua sayang). Saya juga lihat pada hatinya, amalannya, budi bahasanya dan akhirnya pada rupa. Biar sedang-sedang dan sepadan dengan saya.

Dia cerah, saya gelap sikit (hitam manis maa), dia pakai cermin mata, saya tidak, dia manis, saya pula tak semanis dia... hehe. Yang penting, kami serasi. Alhamdulillah, sampai sekarang pun okey. Semasa itu, yang lagi satu itu sedang berada dalam keadaan ekonomi yang jauh lebih baik, kerana yang saya pilih masih belajar. Malah, setelah bertahun-tahun, yang satu lagi tu dah bergelar 'Datuk' dan pernah memegang jawatan yang penting. Tapi... alhamdulillah, saya tak pernah kesal. Tuhan lebih mengetahui dan telah memberikan saya yang terbaik buat diri saya ini.

Kalau kita terlalu ikutkan kata hati, mungkin payah nak jumpa yang sesuai. Ada tu nak cari yang romantik giler. Ada tu pula nak cari yang tinggi lampai, muka kacak dan pandai bergaya. Alahai... kan menyusahkan tu? bukankah susah nak jaga nanti? lagipun kita ni macam mana, ada ke macam rupa bidadari yang turun dari syurga? hehe. Biar yang sedang-sedang, maa... kan mudah gitu!

PS: Esok sampai Isnin, saya tak updatekan blog.Kami akan ke Pulau Pinang, untuk meraikan majlis sambut menantu anak perempuan kami. Sebelah lelaki ada dua pengantin. Jom kita ke Tanjung! Esok pagi-pagi kami akan bertolak (lepas Subuh). Majlis ialah pada hari Ahad. Dapatlah kami ronda-ronda Pulau Pinang... makan nasi kandar, laksa, mi udang dan pulut panggang!

Thursday, February 11, 2010

Sang Gajah Oh Sang Gajah!



Pagi ini saya hendak bercerita tentang Sang gajah yang tinggal di sebuah hutan. Buat sekian lamanya, sang gajahlah merupakan ketua di hutan itu. Maklumlah, badannya besar, kakinya besar, ada belalai lagi... ada gading lagi, dah tu suaranya memang kuat. Maklumlah, gajah!

Sang gajah pun melaungkan suaranya yang kuat itu, "Wahai haiwan-haiwan lain yang berada di hutan tropika ini. Ingatlah semua... akulah yang terbesar sekali di hutan ini. Kamu semua kecil dan tak kuat macam aku. Kamu tak ada kuasa macam aku. Kamu tak besar dan dan tegap macam aku. Sebab itu... akulah yang jadi 'leader' kamu semua. Aku lead kamu, kamu ikut saja. Kalau kamu tak dengar cakap aku, aku akan pijak kamu! Kalau rasa susah, tinggalkan saja hutan ini. Kamu memang payah nak hidup pun!" Dengan bangga dan megahnya sang gajah menakut-nakutkan binatang lain yang berada di hutan tropika itu. Tentulah yang kecil-kecil seperti arnab, rusa, tupai, monyet, siamang, termasuk juga harimau, berasa gerun dengan sang gajah. Suaranya sahaja sudah menggentarkan mereka semua.

Sang kancil dan sang kijang pun bersembang-sembang. Kata Sang kijang,"Dengar tak tu? macam mana kita nak hidup dalam hutan ini? matilah kita. Gajah memang tak suka dengan kita ni. Nanti dipijak-pijaknya kita, matilah. Kamu yang akan mati cepat sekali, kancil. Kamu yang kecil sekali. Kalau gajah pijak kamu, memang sah kamu akan mati. Penyek!"

Sang Kancil termenung buat seketika. "Tapi... aku percaya pada kuasa Tuhan. Allah SWT yang jadikan aku dalam hutan ni. Tentu aku boleh hidup dan tentu aku akan selamat. Gajah bolehlah takut-takutkan kita semua, tetapi hidup dan mati kita ditentukan Tuhan. Rezeki kita pun ditentukan Tuhan. Biar kita kecil, tapi akal kita sama saja. Kalau kita fikir betul-betul, apa saja kita boleh buat di hutan ni. Lagi pun, sang kijang... Tuhan tak suka pada makhluk yang sombong. Kalau sombong, itu bererti kita berasakan yang diri kita berkuasa. Dalam dunia ini, Tuhan yang berkuasa, bukan kita!"

Kijang terpinga-pinga. Percaya dengan tak percaya sahaja. Dia masih berasakan yang kata-kata gajah itu ada kebenaran.Dia masih berasa takut kerana memang gajah nampak besar pun.

Sang kancil teruskan kehidupannya di hutan itu. Walaupun kecil, tetapi dia tetap bijak. Macam-macam yang dilakukan di hutan itu untuk membuka mata semua binatang-binatang yang lain. Dia penuh dengan idea baru dan sekalipun kecil, kancil berani mencuba sesuatu yang baru.Dia tidak jemu pergi ke merata-rata tempat untuk membawa kemajuan kepada hutan. Akhirnya, semua binatang di hutan mula terpengaruh dan terpesona dengan kebijaksanaan kancil. Masing-masing suka berdampingan dengannya kerana mereka terasa bijak juga.

Suatu pagi, apabila gajah bangun dari tidur, dia tersedar yang sudah tiada binatang di hutan itu yang gentar dengannya lagi. Si harimau sudah berani menggigit kakinya semalam dan gajah tak dapat memijaknya. Malah, sang monyet memanjat kepalanya dan dia terkapai-kapai, tak dapat berbuat apa-apa lagi. Gajah mula sedar yang sekalipun dia besar dan gagah, namun sang kancil yang kecil semakin popular di hutan. Terpaksalah gajah menerima hakikat yang dirinya bukanlah 'leader' sebenarnya. Siapa-siapa pun boleh jadi leader. Suka tak suka terpaksalah gajah akur dengan kenyataan.

"Okeylah kancil... walaupun aku kata aku'leader', aku terpaksa terima hakikat yang aku terpaksa ikut cara kamu. Aku terpaksa copycat cara kamu. Sebab nampaknya, makhluk dalam hutan ini lebih suka cara kamu. Mungkin 'trendy' dan berkualiti. Mulai sekarang, aku nak ikut kamu... walaupun aku tetap dengan pendirian aku yang aku masih 'leader'. Badan aku kan besar, malulah kalau aku nak kata pada haiwan-haiwan lain yang aku terpaksa ikut cara kamu!"

Hehehe... sang kancil tergelak. Sang kijang berada di sebelahnya."Kan aku dah kata dah... dunia ini bukan dia yang punya. Tak kira besar atau kecil, kalau kita usahakan, kecil macam aku pun boleh hidup. Tak payahlah kita takut-takutkan makhluk lain. Takut pada Tuhan." Sang kancil tersengih-sengih.

Wednesday, February 10, 2010

Tak Berpelajaran Tinggi


Bagi saya memang tak salah kalau tak berpelajaran tinggi. Bukan bermakna bila ada pelajaran tinggi kita akan menjadi manusia yang jauh lebih baik daripada mereka yang lulus setakat PMR atau SPM sahaja. Ilmu boleh kita timba di mana-mana sahaja dan bila-bila sahaja. Tak masuk universiti pun tak apa. Bukan berdosa pun. Yang penting, kita terus cuba mencari ilmu sepanjang hayat kita. Tak kiralah bagaimana cara sekalipun.

Saya mengenali beberapa orang yang tak pernah pun jejak di mana-mana menara gading. Namun, sebagai manusia, mereka jauh lebih baik daripada sesetengah orang yang berpelajaran tinggi. Kalau kita diberi peluang untuk belajar, mungkin terus ke menara gading dan mampu pula untuk melakukannya, janganlah kita menolak. Namun... kalau tak berdaya, biarkan sahaja. Seperti yang saya katakan tadi, ilmu boleh dituntut bila-bila masa sahaja, asal kita tak jemu melakukannya.

Menantu saya(isteri anak sulung) mempunyai teman sekuliah (dia sedang mengikuti program sarjana) yang datangnya dari pelbagai negara di luar sana. Kami pernah bersembang-sembang dengan rakan-rakannya itu (ada yang datang dari negara China, Somalia, Arab Saudi dan lain-lain). Mereka agak hairan juga dengan kebanyakan rakan sekelas mereka yang merupakan orang tempatan (rakyat Malaysia). Walaupun negara ini (terutama KL)kelihatan seperti ke depan dan agak moden, namun malangnya, rakyatnya tidak kelihatan seperti itu. Kata mereka kepada kami, kebanyakan kawan-kawan mereka tak tahu apa-apa pun tentang negara asal mereka. Ada yang tak tahu apa-apa bila disebut 'Somalia' atau daerah tertentu di negara China. Mereka terpinga-pinga, tak dapat bayangkan apa yang ditutur oleh rakan mereka yang datang dari luar ini.

Bayangkanlah remaja kita yang suka melepak di merata-rata tempat di Kuala Lumpur. Tahukah mereka apa yang sedang berlaku di Haiti baru-baru ini? yang penting tahukah mereka di mana letaknya Haiti?

Saya teringat semasa tinggal di United Kingdom dulu. Memang ada remaja Britain yang tak tahu Malaysia itu terletak di mana. Tetapi mereka itu merupakan 'mat-mat jalanan'. Kalau kita bercakap dengan pelajar (sekolah dan universiti), payah nak jumpa yang tak tahu pasal Malaysia. Begitu juga semasa saya ke negara-negara lain... China, Sepanyol, Jerman, Belanda, Yemen, Saudi, UAE, Kanada, USA dan lain-lain... biasanya rakyat mereka tahu tentang negara-negara di Asia. Orang teksi pun tahu di mana letaknya Malaysia. Semestinya mereka yang tinggal di Asia Tenggara tahu tentang Malaysia. Orang Thai, orang Kemboja, Indonesia, Filipina... tapi remaja kita tahu ke tentang tempat-tempat ini?

Kita sebagai ibu bapa janganlah terlalu mengharapkan agar ilmu seperti ini diturunkan kepada anak-anak kita semasa di sekolah. Lebih baik kita sendiri yang usahakan agar anak-anak kita tahu tentang dunia luar. Jangan biarkan anak kita hidup macam katak di bawah tempurung. Biarlah anak kita tak sekolah tinggi (Tak masuk universiti), tetapi ilmu di dadanya cukup untuk membuatkan dia jadi manusia yang tahu banyak perkara di dunia ini.

*GAMBAR GADIS YUNNAN DI NEGARA CHINA

Tuesday, February 09, 2010

Dulu-dulu dan Sekarang




Saya melihat banyak perbezaan di antara orang dulu-dulu dan orang sekarang. Mungkin sistem pembelajaran yang diamalkan sekarang banyak membezakan orang dulu dan orang sekarang. Maksud saya dengan orang dulu ialah orang yang dididik dengan sistem pembelajaran LCE, MCE, HSC... sekarang ni, PMR, SPM, STPM. Lebih kurang macam tu lah. Kalau kita tengok budak-budak sekarang, macam nak gila mengutip 'A' dalam apa-apa peperiksaan yang diduduki mereka. Kadang-kadang macam nak semput dada mendengar keputusan mereka. Sampai berbelas-belas 'A' dalam ujian SPM. Begitu cemerlang sekali. Zaman dulu, kalau dapat 6 atau 7 'A' dan nak meletup dunia dibuatnya!

Tapi yang peliknya, budak-budak sekarang tak tahu sangat apa-apa di dunia luar. Kalau tak percaya, pergi tanya. Dapatlah 20 atau 30 'A', tanya tentang mana-mana negara di benua Afrika atau di Amerika Selatan, mungkin mereka tak pernah dengar pun kewujudan negara-negara itu. Jangankan geografi, kalau sejarah luar lagi mereka tak tahu apa-apa. Apatah lagi politik negara luar. Itu tak apa lagi, tanya pula tempak-tempat di dalam negara ini, itu pun mereka tak tahu. Memang pelik.

Saya bersembang-sembang dengan adik saya, seorang penerbit filem dokumentari dan program televisyen. Dia memberitahu saya, seringkali dia bertemu dengan remaja yang ibu bapanya orang senang-senang, tetapi jarang-jarang melihat tempat-tempat di Malaysia ini. Tinggal di KL tetapi Terengganu dan Kelantan pun tak pernah pergi. Mereka lebih teruja berbelanja untuk membeli telefon bimbit yang mahal-mahal, playstation... atau apa-apa alat-alat elektronik yang mahal dan sofistikated. Lebih suka makan-makan di restoran 'fastfood', melepak di shopping complex! Kesiannya.

Cuba tanya mereka di mana letaknya negara seperti Ethiopia dan apakah nama ibu negaranya? tentu mereka tak pernah dengar pun tempat bernama Addis Ababa. Tanya lagi tentang tempat-tempat seperti Albania, Bulgaria, Armenia, Belarus atau Estonia. Entah di mana letak benuanya pun mungkin mereka tak tahu. Kalau kebetulan ibu dan bapa mereka tak ambil kisah, tak usah haraplah budak-budak ini akan tahu tentang dunia luar.

Mungkin mereka biasa mendengar negara seperti Rusia, Amerika Syarikat, England, tapi ramai yang suka 'confused'. Ada yang tak tahu London dengan England itu tak sama. Ada yang tak tahu pun England dan Amerika itu adalah negara yang berbeza.

Kalau anda mempunyai anak-anak atau adik-adik yang masih muda, ajarlah mereka dari sekarang agar mereka tidak ketinggalan zaman suatu hari nanti. Saya sangat sedih kalau saya berbual-bual dengan remaja dan mereka tak tahu apa-apa tentang dunia luar. Tak usahkan luar negara, luar daerah pun mereka tak tahu sangat.

Ayuh... cuba kita ubahkan cara hidup kita hari ini. Biar kita tak sampai di tempat-tempat itu tetapi kita tahu serba sedikit tentang dunia luar ini. Jangan biarkan kita tergila-gilakan untuk dapat banyak 'A', tetapi terperangkap dalam dunia yang tertutup!

Komputer ada, Internet pun ada, jom berkenalan dengan dunia luar.

Monday, February 08, 2010

Aku Terkesima



Hujung minggu yang lebih banyak relaks. Pergi shopping-shopping,dan hari Ahad pulak (sebelah malam), kami buat BBQ untuk keluarga (Anak menantu dan besan). Kebetulan adik saya dan anak saudara saya datang, begitu juga dengan seorang teman dan isterinya. Boleh tahan meriah. Anak-anak saya memang kuat makan kambing. Menantu lelaki saya memang hantu kambing. Kebetulan juga, menantu saya yang kedua pandai buat kebab, memang laku siot!

Semasa petang itu, sempat saya meninjau-ninjau komputer saya. Biasalah, kan... tak boleh terlalu berjauhan dengan komputer. Saya baca beberapa e-mel daripada pembaca-pembaca saya... semuanya memberansangkan dan menambahkan semangat saya untuk menulis. Saya meninjau juga blog saya... semalam memang tak update pun entri, tapi sempat melihat blog salah seorang follower.

Semasa membaca entri di blognya, saya terkesima. Kerana mungkin dah lupa apa yang saya tulis dalam novel saya 'HANYA KITA BERDUA'. Pembaca saya ini bercerita tentang novel saya itu. Katanya ada bahagian yang dia rasa sedih dan ada yang melucukan. Saya baca lagi... dia membentangkan ayat-ayat yang membuat dia berasa sedih. Yang lucunya, saya pula menangis membaca ayat-ayat yang dibentangkannya! Masya-Allah... bukankah itu novel saya? Kelakar sungguh bila diingatkan kerana saya dah lupa apa yang saya sendiri tulis. Saya juga tergelak apabila dia membentangkan ayat-ayat yang dia kata 'lucu'.

Untuk pengetahuan anda, ayat-ayat sedih yang saya aturkan dalam novel itu adalah ayat-ayat real yang saya pinjam daripada sepupu saya. Dia kehilangan suaminya (jatuh helikopter) dan semasa saya bertanya pengalamnnya itu, itulah ayat yang dituturkannya kepada saya. Perasaannya apabila suaminya pergi dengan tiba-tiba sahaja. Memang sedih. Semasa dia bercerita, sepupu saya itu tenang sahaja tetapi saya yang menangis kesedihan.

Semoga pembaca-pembaca saya sentiasa menghayati dan terhibur dengan semua novel-novel saya. Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang menjadi pembaca setia. Saya memang sayangkan anda semua dan semoga segala mesej yang saya selitkan dalam novel-novel saya itu berguna untuk anda jua.

*Gambar-gambar Pantai Remis yang menjadi latar novel 'Hanya Kita Berdua'

Friday, February 05, 2010

Life Goes On



Petang semalam, saya bersembang-sembang dengan seorang teman yang baru kehilangan suami. Saja nak tanya khabarnya. Kami berbual-bual dan sebelum mengakhiri perbualan, saya bertanya dengannya. Saya agak rapat juga dengan dia tetapi sebelum ini tidak tergamak pula hendak bertanya. "Yang lagi satu tu macam mana? datang tak masa hari arwah meninggal?" Itulah soalan saya. Sebelum itu, saya minta maaf dulu, takut-takut kalau soalan saya akan melukakan hatinya.

"Datang. Anak saya yang panggil dia. Takkan tak bagi tahu, abang pun suami dia juga. Walaupun saya menyampah dengan dia, tapi dia ada dua orang anak dengan abang. Masih kecil pulak tu. Tak sampai hati pulak kalau tak bagi tahu. Berdosa nanti." Itulah jawapannya tentang madunya. Madunya itu merupakan pembantu rumahnya dahulu. Tiba-tiba berkahwin dengan suaminya dan sudah mendapat dua orang cahaya mata, seorang lelaki dan seorang perempuan.

"Sekarang ini macam mana? siapa yang tanggung dia?" masih saya menyibuk hendak tahu.

"Dia kerja jaga anak-anak orang. Saya dengan anak saya membantu juga. Kesian pulak tengok anak-anak dia tu. Budak-budak tu adik-adik anak saya. Waris kami juga." Kata teman saya.

"Baguslah tu." Kata saya lagi. "Biarlah awak buat baik kepada dia dan anak-anak dia. Kita hidup di dunia ini sementara sahaja. Sampai masa kita akan pergi jua. Semua yang ada akan kita tinggalkan."

"Ya. Sebab tu lah saya tak nak cari dosa. Apa hak dia, saya berikan. Saya bukannya tamak. Apa saya nak buat dengan apa-apa yang ada ni. Nanti saya juga akan pergi. Budak-budak tu masih kecil."

Saya melepaskan nafas panjang. Begitulah hidup kita. Kita tak tahu perjalanannya. Mungkin hari ini segala-galanya terang-benderang, esok pula ribut taufan atau mungkin dilanda tsunami. Wallahua'lam. Apa-apa pun, biarlah kita memberi bunga sekalipun kita diberi segala yang busuk. Kerana dengan memberi bunga yang harum itu, kita akan berjaya untuk melangkah ke depan. Life goes on, kata orang putih. Apa sekalipun yang terjadi, kita kena reda dan terpaksa terus melangkah juga. Biarkan sejarah dilipat dalam peti memori dan yang di hadapan kita mencapainya dengan perasaan bersyukur dan pasrah. Semoga Tuhan memberkati hidup dan akhirat kita. Insya-Allah.

Thursday, February 04, 2010

Cantik Ke?



Ramai yang takut kalau tidak kelihatan cantik. Malah, bukan perempuan sahaja yang fobia tetapi lelaki juga. Kalau boleh, semuanya hendak kelihatan 'perfect'. Wajah yang cantik, hidung tajam mancung, mata seksi macam mata kucing, bibir gebu dan dagu runcing. Aduhai...

Kalau ada duit banyak dan tak kisah boleh ke tidak, itulah jadinya kepada muka. Akan dibuat pengubahsuaian. Bukan rumah sahaja yang boleh diubah suai, tetapi wajah juga. Kulit muka pun boleh dicucuk botox... paling kurang sebulan sekali agar muka kelihatan tegang, licin dan tampak muda!

Begitulah keadaan hari ini, segala-galanya moden dan berteknologi tinggi. Namun, hebat mana sekalipun kita, takkan mampu melawan ciptaan Tuhan. Ada ketika, kerana diubah sana sini, akhirnya wajah yang berupa sudah hilang dan jadi pelik, mungkin juga menakutkan. Walaupun pada mata kasar kita, mungkin hidung mancung itu cantik, tetapi bukan semua muka kena. Ada kala, hidung sedang-sedang itu cantik juga, mungkin lebih kena dengan mulut dan mata kita. Begitu juga mata. Ada orang kata mata bulat cantik, ada pula kata mata macam kucing cantik... tapi bagi mata saya... mata sepet pun tak kurang cantik!

Sebenarnya apa yang kita takut sangat pada rupa? Kalau kita jaga dengan baik anugerah Tuhan kepada kita, insya-Allah kita tak perlu takut apa-apa. Kecantikan sebenarnya datang dari dalam diri. Kalau kita baik hati, ikhlas, jujur, sentiasa ingat pada Tuhan, insya-Allah muka kita akan berseri-seri. Tak payah cucuk apa-apa pada muka, sekadar menjaga kulit kita dengan baik, semuanya akan kekal menarik.

Buatlah apa pun, akhirnya kita akan mati juga. Tak payah takut sangat kalau kulit kita mula ada 'line', atau rambut beruban... atau gugur, itu semuanya perkara biasa. Yang penting kita jaga kesihatan. Apa yang ada pada diri kita, kita jagalah dengan baik.Amanah Tuhan buat kita. Tak payah kita beria-ia mengubahsuaikannya.

Bila bangun pagi, lihatlah pada muka kita di cermin. Kalau anda kata ketika itu wajah anda kelihatan cantik berseri-seri, maka cantiklah ia. Bagi saya, waktu pagi begitulah 'the best'... saya selalu suka tengok muka sendiri apabila bangun pagi!

Wednesday, February 03, 2010

Novelis Perempuan Tak Hebat?





Dunia sastera di Malaysia berada di dalam tangan kaum lelaki. Apa-apa sahaja, biasanya diberikan kepada lelaki, termasuklah segala 'recognition' atau penghargaan. Kalau ada untuk perempuan, sekali-sekala sahaja!

Mungkin lelaki berasakan orang perempuan tak tahu sangat hendak menulis. Kalau tulis pun, katanya asyik buku cinta sahaja. Sepatutnya, tulislah macam mereka. Tulislah buku-buku yang boleh buat orang cepat kaya dan macam mana nak 'kelentong' orang lain, supaya cepat jadi kaya! atau ceritalah kisah-kisah politik dan dunia mereka yang gilakan politik, barulah boleh dikatakan hebat!

Huh, bunyi macam 'female chauvinist' kan? Saja aje nak bagi panas-panas sikit. Okeylah, tak kisahlah orang kita macam mana, kalau nak ikutkan pun, dapatlah anugerah tinggi macam mana pun, tapi kalau setakat beratus sahaja yang baca buku kita pun, nak buat apa kan? Apa yang dapat kita sebarkan pada orang ramai? Ilmu apa yang dapat kita perturunkan kepada anak-anak kita?

Tahukah kita bahawa penulis cerita-cerita thriller atau misteri terhebat ialah seorang wanita dan bukannya lelaki? begitu juga dengan cerita fantasi. Begitu juga dengan cerita kanak-kanak. Pernah dengar nama Agatha Christie? Beliau merupakan novelis yang berasal dari negara Britain dan hidup hingga 1976 dan telah menghasilkan lebih dari 80 novel, selain daripada cerita-cerita pendek dan pementasan. Watak seperti Hercule Poirot dan Miss Jane Marple merupakan wanita utama dalam novel-novelnya itu, kebanyakannya sudah diadaptasikan kepada filem dan drama TV. Tahukah anda bahawa novel-novelnya dikatakan telah terjual lebih empat bilion secara global?

Weh, Agatha Christie tu perempuan dan bukannya lelaki! Tentu anda juga ingat kepada J.K. Rolling? dia pun perempuan juga dan novel Harry Potternya begitu laris sekali sehinggakan tak ada penulis fantasi lelaki yang boleh melawannya. Begitu juga dengan Enid Blyton, satu lagi penulis Britain yang hebat, juga perempuan... yang berjaya menulis buku-buku aksi untuk kanak-kanak sekolah. Buku-bukunya terjual lebih 600 juta salinan. Ingat kepada Barbara Carldland? Juga perempuan yang menulis novel-novel cinta klasik! Nama-nama yang saya sebutkan ini adalah warga Britain.

Apa yang ingin saya katakan di sini ialah di negara Barat, mereka tak kisah genre apa penulis menulis. Fantasi ke, cinta ke, misteri ke... yang penting, apa impaknya kepada masyarakat. Inilah yang dikatakan penulisan kreatif. Tak kira perempuan atau lelaki, kalau hebat tetap hebat! tak kisah genre apa. Pemikiran mereka tidak jumud dan kerana itulah, penulis-penulis di sana ghairah menulis dan tak jemu-jemu mencuba sesuatu yang lain yang mencabarkan. Kita di sini, bagaimana pula? Bila agaknya kita akan keluar dari dunia sastera yang jumud ini?

*Gambar-gambar Barbara Cartland (Baju pink), Enid Blyton (tertulis namanya), JK Rolling (dengan buku Harry Potter) dan Agatha Christie (paling atas)... saya pinjam dari Yahoo.

Tuesday, February 02, 2010

Mencari Malcolm X ?



Kedua-dua Malcolm X dan Martin Luther King merupakan pejuang orang-orang kulit hitam di Amerika Syarikat dan kedua-duanya telah mati dibunuh pada era tahun 60-an. Namun yang penting, semangat dan kesan yang ditinggalkan itulah yang telah membuka mata orang-orang kulit hitam di US untuk menjadi manusia yang bukan dikategorikan sebagai 'hamba abdi' lagi.

Sekitar lima/enam puluh tahun yang lalu, orang-orang kulit hitam di US masih berada di tahap sosio-ekonomi yang rendah. Mereka tidak dibenarkan bercampur dengan orang kulit putih, tidak diberikan kemudahan sebaik orang kulit putih, malah ekonomi mereka sangat rendah hinggakan majoriti yang besar, hidup dalam keadaan miskin dan daif. Namun, orang-orang seperti Malcolm X (atau El Hajj Malik El Shabazz) dan Martin Luther King, telah berjuang untuk membakar semangat orang-orang kulit hitam agar lakukan sesuatu untuk mewarnai hidup mereka yang sentiasa kelam.

Mungkinkah kita orang Melayu di Malaysia ini perlukan mereka seperti Malcolm X dan Martin Luther King? kita perlukan seseorang yang boleh membuka mata dan hati orang kita agar tidak ketinggalan lagi, dari segi sosial dan ekonomi. Orang kita sudah lama sangat tertidur dan tiada sesiapa pun yang bersemangat untuk mengejutkan mereka. Orang kita sudah biasa hidup tak pedulikan bangsa dan agama. Masing-masing fikirkan diri sendiri. Kalau lakukan sesuatu pun, tak mahu bekerjasama. Masing-masing berdengki dan rasuah sudah menjadi sebahagian daripada cara hidup. Sungguh menyedihkan! Kita menuduh bangsa lain, namun orang kita tak ada yang mahu ambil kisah tentang apa yang sedang berlaku.

Buat suatu ketika dahulu, orang kulit hitam di US, perangainya tak banyak beza dengan orang kulit hitam di kebanyakan negara Afrika. Mereka hidup berkelahi, tuduh menuduh dan bunuh-membunuh! Namun kini, orang kulit hitam di US sudah jauh berbeza. Kalau tidak, tidak mungkin Obama boleh dilantik sebagai Presiden.

Habis tu, mana kita nak cari orang-orang yang mempunyai semangat untuk mengetuai bagi membukakan mata dan hati orang Melayu supaya berubah? Kalau orang-orang kulit hitam di US boleh, mengapa pula kita yang hidup di negara sendiri tidak boleh?

Apa yang paling penting ialah semangat untuk bergabung, bukan semangat untuk tikam-menikam belakang. Kita perlukan semangat untuk bersatu bagi meningkatkan ekonomi kita. lihatlah kepada orang-orang keturunan Cina di negara ini. Mereka berjaya kerana tak pernah fikirkan diri sendiri semata-mata. Mereka fikirkan bangsa mereka dan anak-cucu mereka. Mereka bekerjasama dan mampu bertolak ansur asalkan tidak menjejaskan kekuatan ekonomi mereka. Habis tu, mengapa kita tak boleh begitu? Sampai bilakan kita perlu sentiasa begini? hidup dengan penuh semangat dengki.

Jom kita cari Malcolm X!

Imej Malcolm X dan Martin Luther King (cilok dari Yahoo)

Monday, February 01, 2010

Hidupku dan Hidupmu



Hari ini Hari Wilayah, jadi suami saya bercuti. Anak-anak pula semuanya bekerja sebab Selangor tak cuti. Kebetulan, hari ini juga adalah hari lahir ibu saya yang ke 75. Malam tadi, anak saya Faiz telah mengajak kami makan-makan di Bangi... nak meraikan hari jadi neneknya. Alhamdulillah, ibu saya masih sihat dan masih kuat. Malah, dialah yang banyak memasak di rumah saya ini. Katanya dia tak suka kalau tak buat apa-apa. Nanti sakit badan. Dulu pun, arwah nenek saya begitu. Malah, nenek saya masih boleh lakukan kerja keras semasa berusia 70-an. Nenek saya meninggal hampir 90 umurnya. Onyang saya pula, lebih seratus tahun.

Inilah kehidupan kita. Selagi ada umur, janganlah kita sia-siakan umur dan masa yang Tuhan berikan buat kita. Dalam mengejar kemewahan dunia, jangan pula kita abaikan akhirat. Kita tidak tahu sampai bila umur kita ini akan berakhir, namun selagi ada umur, lakukanlah yang terbaik.

Sayangilah keluarga, sayangilah suami, isteri, anak-anak, ayah dan ibu kita (kalau masih ada), adik beradik kita, dan semua yang berkaitan dengan kita, termasuk teman-teman, jiran-jiran, kenalan dan mungkin orang luar yang ada kaitan dengan kita. Hidup yang penuh dengan perasaan benci merupakan satu kehidupan yang tidak membahagiakan.

Dalam menjalankan kehidupan kita seharian, jadilah orang yang ikhlas dan amanah. Setiap apa yang kita lakukan, Tuhan melihat sekalipun mungkin orang tak tahu. Kalau kita ikhlas dan amanah, kepuasan akan datang pada diri sekalipun mungkin kita tak sekaya orang lain. Biarlah hasil yang kita makan itu datangnya daripada wang yang halal. Baik untuk diri kita, baik juga untuk anak-anak kita, insya-Allah.

Saya mengingatkan anda semua sambil mengingatkan diri saya sendiri. Hidup saya serupa dengan hidup anda jua. Biarlah kita mulakan minggu ini dengan semangat yang tinggi. Semoga Tuhan berikan berkat dan rahmat buat kita semua. Amin.