Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Sunday, February 26, 2006

KAWAN

Saya pernah berbincang dengan suami. Kalau anak-anak nak kahwin nanti, ramainya yang saya kena jemput sebagai tetamu. Selain daripada saudara mara yang ramai, saya mempunyai ramai kenalan. Saya masih rapat dan 'in-touch' dengan rakan-rakan sejak sekolah rendah lagi.

Baru-baru ni, ada saya baca rintihan di beberapa blog yang mengatakan orang perempuan tidak setia bila berkawan bila dibandingkan dengan lelaki.

Saya langsung tidak bersetuju. Kerana bagi saya, saya sentiasa setia berkawan dengan rakan-rakan sejak dulu lagi. Rakan2 semasa di sekolah rendah, sekolah menengah,Universiti Malaya, University of Liverpool, UKM(tempat bekerja), rakan penulis, dan ramai lagi yang sentiasa rapat dengan saya hingga ke hari ini.

Tapi kali ini, bukan isu itu yang mahu saya bicarakan. Bila bercerita mengenai kawan, pastinya saya tidak boleh lupa beberapa orang kawan yang pernah rapat dengan saya buat suatu ketika dahulu.

Saya mengenali CN bila mula-mula masuk untuk bekerja di UKM. Beliau merupakan seorang senior. Dari segi umur dan pangkat. Tapi entah mengapa, saya boleh jadi rapat dengan CN. Dia seorang wanita yang ceria, cantik dan bergaya, dan sangat peramah. Macam-macam yang CN mengajar saya. Maklumlah, ketika itu saya masih muda dan tidak berpengelaman.

Pernah saya menangis kerana ada rakan sekerja lelaki yang suka sangat mengusik saya dengan kata-kata yang menyinggungkan perasaan. Bukannya apa, kerana saya masih baru, mereka suka 'testing' mahu lihat cara saya mengatasi masalah dengan rakan sekerja lelaki. CNlah yang mengajar saya untuk lawan balik. Kata CN, "dengan depa ni....jangan nak bagi muka. Mesti balas balik...biak depa terduduk."

Bila teringat kata-katanya itu, saya tersenyum sendiri. Kerana sejak itulah saya sudah pandai melawan, dan akhirnya tidak lemah lagi. Tak pernah saya menangis kerana diusik rakan lelaki lagi. Malah, ramai yang mula 'respect' saya.

CN juga banyak mengajar saya selok-belok bekerja di bahagian HR itu. Dia tidak pernah membuat saya rasa rendah atau kecil. Dia menganggap yang saya adalah kawannya. Kami selalu makan bersama, berborak, ketawa dan pulang lewat kerana banyak kerja.

Masih terdengar-dengar lagi suaranya memanggil saya setiap petang bila orang lain sudah tinggalkan pejabat. Kami berdua akan bercerita dan bergurau senda sambil buat kerja.

Suatu hari, ketika itu saya sedang sarat hamilkan anak ketiga, tiba-tiba kami dapat berita mengatakan yang seorang rakan kerja kami, NA sakit tenat dan berada di hospital. kami bergegas melawatnya. NA disahkan ada kanser dan sedang dalam keadaan yang 'terminal'. Kami sedih, namun tiada apa yang dapat kami lakukan untuk selamatkan NA, kecuali melawatnya dan memberinya semangat untuk melawan penyakit.

Pada malam 13 November itu, saya gembira kerana telah melahirkan seorang puteri (selepas dua putera) pada malam sebelumnya. Saya hubungi CN dari katil hospital. Kebetulan saya tahu yang CN juga telah pergi ke hospital untuk membuat pemeriksaan.

Saya masih ingat lagi, bila doktor yang merawat saya datang untuk membuat pemeriksaan, saya sedang menangis di atas katil. Dia bertanya, "kenapa ni?"
Saya kata, "saya sedih doktor. Salah seorang daripada kawan saya sedang sakit tenat kerana ada kanser, tapi... baru sekejap ni, saya diberitahu oleh kawan baik saya yang dia juga disahkan ada kanser."

CN disahkan mempunyai kanser payudara. Payah untuk saya menerima hakikat bahawa kawan-kawan saya sedang berentap dengan suatu penyakit yang berbahaya. Saya hanya mampu untuk berdoa.

Sebaik sahaja saya pulih daripada melahirkan anak, saya telah pergi melawat NA yang sedang diuruskan untuk dibawa ke hospital sekali lagi. Ketika itu NA sedang berada dalam keadaan yang memilukan. Masih terngiang-ngiang di telinga saya suara pilu NA sedang mententeramkan anak2nya yang menangis teresak-esak. "Adik jangan menangis ya, sayang...mama pergi sekejap aje..." sambil diusap-usap kepala anak-anaknya dengan tangan yang lemah. Berlinangan air mata saya, tidak tahan menanggung sedih.

NA meninggal dunia di hospital. Saya telah membantu untuk memandikan jenazahnya di rumahnya, yang kebetulan baru sahaja siap dan baru sahaja dia berpindah ke tempat itu. Ketika dalam perjalanan untuk pulang ke rumah masing-masing selepas urusan jenazah NA, CN bersuara kepada saya. Ketika itu ada beberapa orang teman lain bersama-sama kami. "Nanti... kalau I meninggal... you tolong mandikan, ya?"
Saya memarahinya. "Tak baik cakap macam tu." Memang saya tidak suka dengan kata-katanya itu. Tapi.... apakan daya.

TUHAN lebih menyayanginya. CN meninggal dunia sekitar setahun selepas kematian NA. Ketika itu saya sedang melanjutkan pelajaran di UK. Sebelum dia pulang ke rahmatullah, saya sering membuat panggilan kepadanya dari UK. Saya kerap menangis kerananya.

Hari yang adik saya membuat panggilan untuk maklumkan bahawa CN sudah tiada lagi, hanya TUHAN yang tahu betapa sakit dan peritnya rasa di hati di atas kehilangan seorang kawan yang begitu ikhlas berkawan dengan saya. Saya menghargai kejujuran hatinya. Semoga TUHAN mencucuri rahmat ke atas kedua-dua kawan saya itu. Amin.
Assalamualaikum...

Ramai kawan-kawan yang mengajak saya untuk mulakan 'blog' sendiri. Maklumlah orang 'matang' macam saya ni, kadang kala agak ketinggalan. Bukannya apa, selalunya saya sibuk menulis entah apa-apa hinggakan tak ada masa untuk bersosial dalam alam maya ini. Harap-harap lepas ini saya akan berjaya aktif untuk hidupkan 'blog' ini.

Kalau nak diikutkan memang saya banyak cerita yang hendak dikongsi bersama kawan-kawan. Mungkin ini cara yang terbaik yang boleh saya lakukan. Insya-Allah saya akan rajin 'update'kan blog ini. Terima kasih.

hi..

hello...