Haha... semalam memang busy layan si kenit-kenit ni. Kebetula memang hari lahir Niloufar, jadi kami pun bawa kanak-kanak kecil ke shopping mall dan beri mereka main apa-apa sahaja yang boleh main. Lepas tu kita makan-makan dan potong cake birthday. Yang kecil-kecil lain pun tumpang sibuk sekali. Biasalah budak-budak kan, tak kisah birthday siapa pun mereka pasti mahu meniup lilin. Kebetulan juga esok ialah birthday Firas dan tulat birthday Ali. Jadi... apa lagi, semuanya tiup sekali!
Lepas itu kami pergi melihat puteri baru keluarga kami, Sharifah Nabeehah pula. Semuanya okey-okey, alhamdulillah.
Okeylah, sebelum terlupa mungkin elok juga saya kongsi cerita seorang pegawai besar di sebuah syarikat swasta. Kebetulan saya berjumpa dengan 'General Manager' ni dan kami bersembang-sembang. Setelah perbincangan tiba-tiba GM ni buka cerita kepada saya (kami berempat di tempat itu). Katanya, "Puan Aina mesti nak dengar apa yang saya nak cerita ni... sebab Puan Aina seorang penulis. Saya nak ceritakan kisah 'krisis lelaki yang berumur matang'." Saya pun pasanglah telinga. Bukan mudah nak dengar cerita yang hendak keluar dari mulut lelaki sendiri. Seperti katanya tadi, mungkin sebab saya seorang penulis. GM itu memang berumur matang.
Katanya, "Lelaki ni, bila dah lebih 40 atau 45, masa tu hidup mereka kurang mencabar lagi. Sebabnya ketika itu, lelaki biasanya dah stable. Pendapatan dan kukuh, mungkin tak ada apa sangat yang hendak dikejar lagi. Dan masa itu juga isteri di rumah pun dah mula percaya seratus peratus. Ketika itulah cabaran lain datang untuk mengganggu. Kadang-kadang di ofis, kami tercabar dek kehadiran staf perempuan yang muda-muda. Kadang-kadang tu tak adalah cantik mana pun, tapi sebagai lelaki kami seronok kalau tahu kedudukan kami dalam pasaran. Biasanya saham kami ni agak tinggi walaupun berumur dan beristeri. Sebabnya, banyak yang kat luar sana nak kerja senang. Kalau dapat 'pakwe' atau suami yang stabil dari segi ekonomi, tak rugilah badan. Jadi 'awek-awek' ni cuba pasang jarum. Kalau kena, menjadilah. Biasanya juga, lelaki punyai banyak kawan-kawan lelaki lain, yang pada peringkat umur begitu, suka bercakap benda-benda 'gatal' untuk mencabar kawan-kawan lain. Itu yang buat 'kami-kami' ni tercabar!"
Saya tersenyum mendengar ceritanya dan saya biarkan GM itu sambung lagi.
"Biasanya Puan Aina, lelaki akan teringat pada isteri mereka. Memanglah manusia ini tak sempurna, begitu juga para isteri, tak mampu memberi seratus peratus. Mungkin setakat 80% sahaja. Jadi adalah kekosongan 20% itu. Jadi... kalau lelaki gelap mata dan cuba isi kekosongan 20% itu, maka akan terbinasalah hidup." Katanya secara serius. "Nak buat apa dengan 20% tu? Yang 80% mungkin kita akan kerugian. Saya pernah terperangkap dan mujurlah saya mampu melepaskan diri. Sekarang ini saya belajar untuk sentiasa bersyukur. Dalam hidup, kita tak perlu jadi manusia yang tamak, kerana yang tamak ini akan kerugian. Kita nak kejar 20% tapi akan kehilangan yang 80%. Isteri di rumah sudah berjuang dan berkorban untuk kita di sepanjang perjalanan hidup kita. Dah sama-sama merasa susah, takkan bila dah senang kita jadi lupa daratan? Pasti Allah akan marah. Saya betul-betul bersyukur kerana tidak sempat untuk jadi manusia yang lupa daratan. Saya bersyukur kerana yang 80% itu adalah sesuatu yang ikhlas, yang selama ini memberi kebahagiaan buat saya. Yang 20% itu sudah bermula dengan sesuatu yang tidak ikhlas dan pasti akan menghancurkan hidup saya. Lagipun... rugilah kalau kita mahukan yang seciput itu sedangkan yang besar itu adalah 'bahagia' buat kita."
Saya terus tersenyum. "Baguslah sebab you tak lupa daratan. Alhamdulillah. Semoga you terus berdoa agar Allah swt melindungi you dan keluarga."
"Betul Puan Aina... sekarang ini saya cantas kawan-kawan yang menyusahkan hidup saya. Bila berkawan kita kena pastikan kawan-kawan kita bukan jenis yang suka menyucuk kita. Bahaya. Lebih baik kita ada kawan yang tak ramai tetapi yang jenis sayangkan kita dan ikhlas mahu melihat kita bahagia. Ramai yang perangainya tak banyak beza dengan 'Dajal', mereka mahu tengok hidup kita hancur. Kalau kita tersilap, itulah yang akan terjadi."
Wahhh... cerita seorang GM, tetapi sesuatu yang sangat ikhlas. Pengalamannya boleh dijadikan contoh buat lelaki-lelaki lain yang mungkin juga kadang-kadang tercebak dengan 'setan-setan' di luar sana. Semoga Allah swt berikan kita kewarasan untuk berfikir tidak hanyut dengan godaan syaitan yang tidak berharga itu.
Wassalam.
Ali dan Yusufia
Tawfik si tembam di atas riba habib
Niloufar dapat tiup kek hari jadinya
Firas, Ali, Damia dan Yusufia dalam troli shopping
Niloufar dan YusufiaBaby Nabeehah semalam





