Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Tuesday, January 18, 2011

Bayangkanlah...





Gambar bot yang tersangkut, Saya bersama Azimah dan rumah bantuan Turki buat penduduk yang kehilangan rumah

Salam

Bukan lagu Padi, kumpulan muzik Indonesia yang pernah popularkan lagu 'Bayangkanlah', tetapi itulah yang berada di fikiran saya, berkali-kali cuba membayangkan situasi semasa bencana tsunami melanda Banda Aceh!

Saya bertanya kepada Irwan, pemadu kami semasa di Banda Aceh. Katanya umurnya masih panjang kerana ketika kejadian, dia sepatutnya pergi mengambil seorang pelanggan dan keluarganya (di tempat berlakunya tsunami), tetapi apabila mendengar kekecohan (Konon-konon air sedang naik), dia berpatah balik ke arah rumahnya (jauh dari tempat kejadian), tanpa sedar tentang bencana tsunami. Katanya lagi, mereka tidak pernah mengalami serangan tsunami. Sangkanya air naik seperti banjir dan dia berfikir-fikir untuk mengambil batang pisang dijadikan rakit!

"Kalau saya tidak pulang ke rumah ketika itu, pastinya saya sudah tiada di bumi ini lagi."

Yang pasti... Tuhan yang menentukan umur kita. Begitu juga keadaannya semasa saya melawat tinggalan sebuah bot nelayan yang tersangkut di kawasan perumahan. Bot itu telah menyelamat 49 nyawa daripada ditelan tsunami. Begitulah, kalau umur kita masih ada, maka tidaklah kita mati sekalipun tsunami yang datang.

Saya juga bertemu dengan Azimah, seorang wanita yang menjaga kawasan makam orang-orang Turki, termasuk Salehuddin yang menggelarkan Aceh sebagai Samudera-Pasai. Azimah bercerita yang dia telah terapong-apong dan akhirnya tersangkut di bumbung rumah orang dan terselamat, walaupun rumahnya sendiri habis dihancurkan tsunami. Malah, banyak pusara-pusara lama masih terselamat. Paling menakjubkan, banyak masjid yang selamat daripada serangan tsunami.

Apa pun, memang bukan mudah untuk membayangkan segala-galanya. Apa yang kita nampak tentunya tidak sama dengan apa yang mereka lalui. Pun begitu, itulah satu pengalaman yang meninggalkan pelbagai pengajaran buat umat manusia di alam ini. Wallahua'lam.