

Saya dah banyak kali melancong dan berjalan-jalan, di dalam negara dan juga luar negara. Ada tempat-tempat tertentu, memang saya susah nak lupakan. Misalnya istana Al Hambra di Granada, Sepanyol. Istana itu merupakan antara latar di dalam novel pertama saya, SESUCI CINTA. Di situlah Armand bertemu kembali dengan Nuraina. Saya pergi ke sana dah lama dah, tapi lambaian istana itu sentiasa memanggil saya. Insya-Allah, saya akan ke sana lagi bila ada waktu, dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur.
Satu lagi tempat yang sering menjadi igauan saya ialah Heyd Al Jazeel, sebuah resort yang terletak di pergunungan Hadramaut di Yemen. Bagi saya, ia merupakan tempat yang amat memukaukan. Tempat ini saya lakarkan dalam novel saya, MATAHARIKU. Di situ juga Eyyad bertemu dengan Syakira...
Semalam, salah seorang daripada pelajar Yemen yang sentiasa menghubungi saya, Ali Sulaiman, telah maklumkan bahawa dia sudah pun tamat belajar dan akan pulang ke Hadramaut dan memegang jawatan sebagai manager di Heyd Al Jazeel. Aduhai... saya dengar berita itu, terus rasa macam nak terbang ke sana. Kalaulah ada sayap, mesti dah sampai. Apa pun, saya berdoa agar Tuhan izinkan saya untuk kembali melihat tempat yang menakjubkan itu. Insya-Allah. Kalau banyak duit, bolehlah saya ajak anak-anak saya semua untuk ke sana juga. Memang tempat itu sangat unik.
Saya juga telah dimaklumkan semalam oleh pihak KarnaDya, yang mendapat berita daripada pihak penerbit drama Kau Laksana Bulan bahawa hits penonton drama itu telah berjaya mencapai 1.2 juta (di Lembah Klang) pada episod yang terakhir. Alhamdulillah... banyak betul penggemarnya. Secara serius, saya tak pernah mengharapkan apa-apa, cuma berdoa biarlah penonton tidak sakit hati bila melihat drama itu. Adalah ura-ura, bertanya sama ada saya nak sambung KLB tu. Saya bukannya tak suka, cuma takut nak main sambung-sambung ni... takut tak kena gaya. Apa kata pembaca-pembaca saya semua?
Kalau kita tengok drama yang baru tak nak, ke? itulah cadang saya. Insya-Allah, saya sedang fikirkan untuk adaptasikan lagi novel-novel saya kepada drama bersiri. Apa pun, selain dari skrip, kerja pengarah dan pelakon-pelakon sangat membantu untuk membuatkan drama itu menarik. Malah, muzik latarnya juga berperanan. Yang penting ialah moral dan mesej yang hendak disampaikan... biarlah merupakan sesuatu yang akan memberi motivasi kepada penonton-penonton. Insya-Allah.
PS: saya ada juga memjenguk facebook Zul Huzaimy... wah memang banyak supporters dia yang tergila-gilakan watak Zul sebagai Firas Ali!