Assalam
Saya tak pernah terlintas untuk ambil alih kerja Tuhan. Untuk tahu tarikh kiamat, semestinya kita kena tanya Allah swt, hanya Dia yang tahu bila waktunya akan tiba, betul tak? Dalam pada itu, memang eloklah kalau kita sesama manusia sentiasa beringat-ingat, kerana sebagai Muslim, kita semua tahu satu hari nanti pada waktu yang ditentukan, akan berakhirlah segala kehidupan di dunia ini. Kita pasti akan bertemu Akhirat. Malah, sebagai Muslim, kita wajib beriman pada Akhirat, maknanya kita percaya bahawa Akhirat akan tiba dan hidup kita di dunia ini sekadar sementara sahaja. Sebab itulah apa sahaja yang kita lakukan, kita kena beringat-ingat, biarlah kita lakukan yang baik-baik, tolak tepi segala perbuatan yang jahat. Nauzubillah.
Pun begitu. ada di antara kita yang mula panik sangat-sangat dek kerana musibah yang timpa di negara Malaysia secara berderet-deret pada tahun 2014. Lepas satu tragedi besar, dituruti pula tragedi yang lain, hinggalah sampai kepada tragedi banjir besar dan tragedi terhempasnya kapal terbang Air Asia di Indonesia. Masing-masing mula merasakan bahawa kiamat akan tiba bila-bila masa sahaja. Wallahuaklam.
Tapi agak peliklah pula kalau teori seperti itu kita merasakan sangat logik. Yang peliknya, takkanlah Malaysia sahaja yang kiamat kot? Apa hal dengan negara-negara lain yang tak ada terjadi apa-apa? Misalnya sebahagian dari negara-negara Eropah. Norway ke, Denmark ke, Switzerland ke atau Austria. Malah, tak ada apa-apa yang membimbangkan sangat di negara England pda tahun 2014. Hah... takkan kot mereka tak kiamat kalau kita di Malaysia akan kiamat? Paling pelik ialah kerana macam-macam musibah yang terjadi pada jangka masa yang sangat lama buat sesetengah negara di dunia ini. Misalnya di Afghanistan. Begitu juga Pakistan, Bangladesh, Palestine, Iraq, negara-negara di Afrika, Filipina dan macam-macam lagi. Begitu juga ketika tsunami dulu... Banda Acheh kehilangan beratus ribu nyawa dalam sekelip mata. Namun dunia belum lagi kiamat.
Sekali lagi saya ulangi bahawa kita sebagai manusia sewajibnya bersedia untuk menambahkan bekalan amalan baik dan ibadah, agar bila kiamat tiba, kita jadi ummat yang bersedia. Dalam pada itu, tak payahlah kita war-warkan dengan beria-ia bahawa kiamat akan tiba dalam jangka masa yang terdekat kerana negara Malaysia mendapat musibah yang besar. Alasan itu sangat lucu, seolah-olah dunia kiamat kerana Malaysia tidak layak mendapat apa-apa musibah yang besar. Biar orang lain mendapat musibah di negara mereka, tetapi bila Malaysia mendapat musibah, pasti kiamat akan tiba.
Bagi saya, sekali lagi saya berasa sedih kerana bila musibah terjadi di tempat lain, kita tutup mata dan tutup hati kerana bagi kita, itu adalah hal orang lain. Bila kemiskinan dan kesusahan terhempap pada orang lain di negara lain, kita anggap mereka jadi begitu kerana kebodohan mereka jua. Wah, hebat sungguh kita rakyat Malaysia.
Apa-apa pun, kalau kita rasa bahawa kiamat akan tiba dalam sedikit masa lagi, kenapa kita tidak mahu lihat pada hati kita, lihat juga pada jiwa kita. Baikkah aku? Apa yang dah aku buat untuk Islam? Apakah janjiku pada Allah swt sudah aku tepati? Atau mungkinkah aku ini jenis manusia yang rasa hebat hidup di bumi Malaysia kerana punyai banyak harta dan ilmu. Aku rasa hebat kerana aku tak hidup susah macam orang lain? Aku serba tahu, hidup dalam dunia yang mempunyai semuanya dan musibah jarang-jarang datang menjenguk?
Kita tanyalah pada diri kita sama ada kita ini jenis manusia yang menghormati Muslim lain di dunia ini, tak kira apa fahamannya. Kita juga menghormati orang lain yang tidak melakukan kezaliman pada kita. Kita sentiasa bersimpati pada manusia sejagat dan mahu melihat Islam berkembang sewajarnya. Kita rindu dan sayang teramat sangat pada Nabi junjungan kita Muhammad SAW. Kita mahu jadi Muslim yang bukan hanya taat pada Allah tetapi menyayangi segala ciptaan-Nya. Kita sayang pada tanaman dan haiwan. Kita tidak tamak haloba, tidak materialistik, tidak zalim, Kita cuba jadi manusia yang memperbaiki solatnya, tingkatkan amalannya, mencuci hati dan jiwanya tanpa mahu bersangka buruk pada mereka yang kelihatan buruk di mata kita. Biarlah umur yang Allah berikan ini kita penuhi dengan amalan dan ibadah yang sebaik mungkin, bukan dipenuhi dengan kejahatan dan dosa yang tak mampu dihapuskan.
Jom kita bertaubat dan jom kita cuba jadi manusia yang bersih hati dan jiwanya untuk Islam. Aamiin ya Robil alamin. Semoga kita sentiasa bersedia sekalipun kiamat tiba atau belum tiba, in syaa Allah.
Wassalam.
Imej ciptaan mata yang menjadi pembayang kiamat, wallahuaklam.