Assalam dan selamat pagi.
Hujan masih gerimis, kadang-kadang agak lebat sedikit dan sepanjang semalam beginilah keadaan cuaca membuatkan suasana dingin. Alhamdulillah rahmat Allah yang mungkin hamba-Nya tidak mengetahui.
Semalam, saya berjumpa dengan dua orang adik angkat saya dan kedua-duanya saya berjumpa di Bandar Baru Bangi (port lama saya), seorang di sebelah pagi dan seorang lagi di sebelah malam. Kebetulan di restoran yang sama juga. Memang satu kebetulan sebenarnya. Kedua-dua adik angkat (seorang lelaki dan seorang perempuan) memang sangat rapat dengan saya. Seorang (lelaki) pernah bekerja dengan saya di satu tempat dan dari situlah saya mengenalinya. Ketika itu saya masih muda lagi. Seorang lagi pula (yang perempuan) merupakan student ketika saya dan suami bermastautin di Manchester suatu ketika dahulu. Sejak itu, kami maintain rapat hingga kini. Alhamdulillah.
Di sebelah pagi semalam, saya berjumpa dengan M (yang perempuan). Kami bersembang dan macam-macam cerita yang kami kongsi kerana memang dah lama benar kami tak berjumpa. Saya juga berkongsi cerita tentang arwah ibu saya. Mungkin saya masih terasa akan kehilangannya dan M sangat faham perasaan saya itu. Kami menangis sama-sama sambil berbual-bual. Kami sama-sama bersetuju bahawa hidup ini ada turun naiknya namun kalau kita bersabar dan percaya bahawa Allah melindungi kita, in syaa Allah kita akan berasa tenang. Semestinya kita mencari bahagia dan dalam pencarian itu pasti ada dugaan dan cabaran untuk kukuhkan iman kita. Saya berkata dengan M, "Allah bayar cash pada setiap kebaikan yang kita lakukan dan Allah juga akan mengadili setiap perbuatan yang tidak jujur kita lakukan di dunia ini. Semuanya Allah bayar cash, hanya tunggu lambat atau cepat."
Pada malamnya pula, saya dan suami pergi berjumpa dengan R pula. Kami dah janji untuk tunjukkan dokumen dalam hal urusan peribadinya. Walaupun agak lewat, namun kami sempat berbual dan bercerita. R memberitahu kami yang dia telah membantu adik-beradiknya dalam hal urusan pembahagian harta pusaka peninggalan arwah ayahnya. "Saya berikan hak saya kepada adik lelaki saya yang telah banyak membantu ayah dan ibu ketika mereka masih hidup lagi. Adik saya lebih berhak kerana dia tidak berpelajaran tinggi seperti saya." Kami kagum dengan pendirian R. Memang tak ramai manusia di dunia ini yang mempunyai hati budi yang tinggi. Memang kami dah lama sangat kenal dengan R dan selama yang saya tahu dia, memang begitulah dia. Mempunyai hati yang mulia. Mungkin kerana hatinya yang mulia itu, Allah bayar cash lalu memberi hak yang lain buatnya dengan berlipat ganda. Subhanallah. Itulah kata suami saya kepada R. "Tengok ni ha... Allah bagi you balik melimpah ruah... memang tidak sia-sia you berhati mulia."
Mungkin kita juga perlu fikirkan hal-hal ini. Jangan takut untuk berbuat baik tetapi elakkan diri daripada mempunyai hati yang 'jahat' kerana setiap apa yang kita lakukan di dunia ini, pasti Allah akan memberi 'cash' kepada kita nanti. Wallahuaklam.
Bila balik rumah malam tadi, saya bersyukur pada Ilahi kerana telah memberi peluang kepada saya untuk rapat dengan M dan R sejak dulu lagi. Mereka sentiasa menyokong kami berdua (saya dan suami serta anak-anak) dan sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk keluarga kami. Alhamdulillah. Semoga silaturahim ini kukuh hingga ke syurga, Aamiin ya Robil alamin.
Wassalam.
Sekadar hiasan