Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, June 13, 2011

Bila Dia Pergi Buat Selama-Lamanya...


Salam

Alhamdulillah, pagi ini Tuhan masih izinkan saya untuk bernafas dan menghayati udara nyaman. Judul yang saya bawa pada pagi ini ada kaitan dengan kematian, sesuatu yang semua kita manusia tidak mungkin dapat mengelakkannya. Semua kita akan mati, cuma tidak tahu bila.

Mungkin anda hairan juga kenapa saya nak bercerita tentang sesuatu yang agak 'menggerunkan'. Iyalah... sekalipun ramai yang takut untuk mati, inilah satu perkara yang kita akan temui juga. Tak ada sesiapa pun yang tak akan mati.

Semalam, kebetulan saya membaca blog 'follower' yang bercerita tentang kematian ibunya. Tentulah sebagai anak, dia terkilan dan berduka cita. Saya dapat merasakannya kerana dia masih muda. Malah, ibunya juga muda dari saya.

Semalam juga, saya berasa sedih, apabila adik saya yang baru pulang dari mengerjakan umrah dengan keluarganya, datang untuk menjenguk ibu saya (ibu saya memang tinggal dengan saya). Adik saya memang bersaiz agak besar (Six footer) dan bila dia memeluk ibu saya (sekarang ini ibu saya dah jadi kecil aje), imej yang saya lihat membuatkan saya berasa sebak. Tak tahulah kenapa... mungkin ia merupakan sesuatu yang natural.

Semasa selesai solat subuh, saya juga teringat kepada kata-kata ibu saya, "Umi ni tak tahulah... bila-bila masa pun mungkin akan tinggalkan dunia ni..." Itulah yang dirasakannya kerana umurnya sudah lebih 75 tahun. Tetapi saya selalu mengingatkannya bahawa walaupun dia sudah 75 tahun, tetapi umurnya mungkin panjang, kerana ibunya (Allahyarham nenek saya) telah hidup hampir 90 tahun dan ibu kepada nenek saya, hidup lebih dari 100 tahun. Malah, ayah saya juga meninggal ketika usianya 87 tahun.

Saya juga selalu mengingatkan ibu saya bahawa tidak semestinya dia yang pergi dulu. Mungkin saya atau anak-anaknya yang lain yang pergi dulu. Ini semua adalah kuasa Allah SWT.

Bila kita ingatkan kematian (wajib untuk kita ingat selalu), kita mahu buat segala amal, segala kebaikan dan tentunya kita ingat kepada Tuhan. Sekalipun kita sentiasa doakan umur yang panjang, kita juga ingatkan alam barzakh yang kita akan temui tidak tahu bila masanya.

Mungkin saya pernah bercerita di dalam blog ini (tak ingat dah bila), tetapi ada satu kisah yang selalu buat saya berasa sebak bila teringatkannya. Kisah seorang kenalan yang kehilangan kedua-dua anak lelakinya dalam satu masa. Kedua-duanya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya yang terjadi berhampiran dengan rumah kenalan saya itu. Kebetulan juga, kenalan saya itu ialah seorang ustazah (tempat saya kerja dulu). Saya dan seorang jiran terdekat telah pergi menziarahinya (Ketika itu jenazah sudah pun dikebumikan).

Saya teringat kata-kata ustazah itu. "Saya redha anak-anak saya diambil Tuhan. Allah sayangkan anak-anak saya. Saya pinjam mereka dan kini mereka kembali kepada-Nya. Saya redha," diulanginya. "Semasa jenazah anak-anak saya diusung keluar... saya berbisik kepada Tuhan... ya Allah, Kau ambillah mereka, Kau sayang mereka dan aku redha ya Tuhan... tetapi kau lindungilah aku ya Tuhan... jangan biarkan aku kesedihan. Jangan biarkan aku terlalu mengingatkan mereka ya Allah..."

Saya masih ingat lagi, semasa ustazah itu mengucapkannya, dia 'cool' sahaja, tetapi saya dan teman saya, kami yang menangis teresak-esak, tak sanggup menanggung kesedihannya. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada anak-anak ustazah itu.

Saya masih ingat, semasa saya menulis novel 'Setulus Janji', itulah yang saya cuba kongsi rasa dengan pembaca ketika watak 'Aiman' meninggal dunia.

Beginilah kita sebagai manusia, tidak tahu bila masanya kita akan pergi buat selama-lamanya.

Semoga kita selamat dunia dan akhirat. Amin.