Salam pagi Ahad
Macam mana saya nak mulakan ya? Semalam saya memang tak update blog ni sebab pagi-pagi lagi saya dah bersiap-siap untuk ke Kuala Selangor. Saya, cik abang saya, anak perempuan saya dan cucu saya si kenit Firas. Kebetulan saya dah berjanji dengan seorang pembaca saya (sebenarnya dia yang mengajak saya ke sana) yang sebelum ini saya tak pernah berjumpa pun, hanya mengenali di alam maya sahaja. Masa nak pergi tu, saya pun tak tahulah sama ada pertemuan itu akan jadi macam mana, sebab walaupun tahu Rozie (bukan nama penuhnya) di dunia Internet, saya tak tahu pula hati budinya macam mana.
Sebaik sahaja berjumpa dengan Rozie di kaki Bukit Melawati, saya tak tahu mengapa tapi saya rasa macam ada tarikan magnatik (betul ke ejaannya?) dan saya tak rasa kekok dengannya. Seolah-olah saya dah lama kenal, mungkin sebab Rozie sangat mesra dengan kami. Merata tempat Rozie bawak kami, ke kampung-kampung nelayan Di Pasir Penambang, Kuala Selangor dan juga di Sekincan. Malah kami merentasi sawah padi yang sedang menghijau dari Sekincan ke Tanjong Karang, ikut jalan bendang... ya Tuhan... susah saya nak gambarkan betapa indahnya anugerah Ilahi buat kita di Malaysia ni. Kebetulan pula, angin agak kuat semalam, bertambah indahlah lawatan kami itu. Di Pasir Penambang, kami ke kampung nelayan dan berkenalan dengan seorang pak cik nelayan (sebenarnya dia berketurunan Cina dan bukan Melayu) dan kami melihat industri kecilnya membuat keropok, bukan setakat keropok udang, tetapi keropok keledek juga. Mesti ada yang tak tahu kan yang keledek juga boleh dibuat keropok. Sangat sedap.
Kami ke rumah Rozie (sebenarnya Rozie bekerja di KL tapi balik kampung di hujung minggu) dan berjumpa dengan keluarganya di sana. Nak tahu kat mana rumah Rozie? Rumahnya terletak di Tanjung Karang dan di tengah-tengah bendang. Best in the world! Saya suka...saya suka (Upin Ipin).... Kami makan tengah hari nasi ambeng (makanan orang Jawa) yang kami beli masa dalam perjalanan ke rumahnya dan kami juga dihidangkan kerang goreng, sambal belacan dan pelbagai ulaman dan air kelapa muda. Ya Allah... sedap betul air kelapa mudanya, fresh from the trees... memang lain rasanya. Bergelen-gelen kami minum, apa tah lagi kami ni memang hantu kelapa muda.
Lepas tu kami lepak-lepak kat belakang rumah Rozie, naik atas buaian kain, ditiup dengan angin yang mendayu-dayu, membuatkan pokok padi hijau berubah warna, bagaikan berombak di tepi lautan. Ya Tuhan... cantiknya... memang tak ada kata-kata yang dapat saya susunkan untuk melakarkan keindahan yang dirasai itu. Lepas itu, Rozie pergi carikan kami macam-macam ulam untuk dibawa balik, siap dengan serai, daun pegaga, mempelam dan buah kuini.
Kami tinggalkan rumah Rozie dan meronda-ronda pula di kawasan itu, ke palong sawah, ke Sungai Tengi (tempat orang berkayak). Sekali-sekala kami nampak burung bangau berterbangan dan ada juga yang melepak di tepi sawah. Kami melihat kebun-kebun sayur. Memang macam-macam yang ada di sana.
Bila kami tinggalkan Tanjung Karang dan juga Rozie, saya terasa bagaikan tinggalkan seorang adik atau kawan baik saya. Sedih pula. Tapi insya-Allah, saya akan jumpa Rozie lagi, panjang umur dan kesihatan baik, adalah pertemuan lagi sebab saya bercadang untuk ke kawasan itu lagi. Kalau anda tak pernah ke sana, jom kita pergi ke sana, mesti anda tak menyesal.
Saya ke sana untuk manuskrip novel terbaru saya, dan serius saya katakan, saya jatuh cinta dengan tempat itu. Kuala Selangor, Sekincan dan Tanjung Karang. Terasa seperti watak dalam novel saya sedang jatuh cinta. Hehe
Kalau Rozie baca blog ini... Thank you, Rozie... hanya Tuhan akan membalas budi baik Rozie dan family untuk masa-masa yang 'fantastic'. Kalau tak ada Rozie, mungkin saya tak dapat merasa apa yang saya rasa semalam. Alhamdulillah.
Wassalam.
PS: Berkongsi gambar dengan anda yang menjenguk di sini.
Anak saya Laila Hana dan Firas - berlatarkan sawah padi yang menghijau
Rozie, saya, Laila dan Firas - di kampung nelayan Pasir Penambang
Kampung Rozie di Tanjung Karang - di tengah sawah padi
Di depan rumah Rozie
Firas di atas jambatan kecil di depan rumah Rozie
Saya dan Firas di atas buaian jala, berlatarkan sawah padi.
Cantik tak? Sawah padi yang berwarna-warni ditiup angin petang bak ombak di tepi laut.