Sekadar Hiasan
Assalamualaikum semua
Sempena menyambut Maulidur Rasul, ramai di antara kita yang mendengar ceramah agama yang membentangkan pelbagai inspirasi dan motivasi. Rata-rata, kita sebagai umat Islam tidak lupa kepada Rasul kita, Muhammad S.A.W. Setiap kali kita berzikir, kita ucapkan juga selawat untuk baginda. Amalkanlah tabiat ini, semoga kita akan kukuh menjadi Muslim dan Muslimah yang tidak pernah lupakan Tuhan dan Nabi kita, S.A.W.
Apa yang paling hebat tentang Muhammad S.A.W. selain dari segala mukjizat yang diberikan Tuhan buat baginda? Sebagai orang Islam, kita semua patut mencontohi akhlak baginda. Malah, kalau akhlak kita mulia, segala perbuatan kita akan jadi bersih juga. Baginda bukan sekadar taat kepada perintah Allah SWT, malah kelakuannya sangat mulia hinggakan sanggup menyuap makanan kepada seorang Yahudi tua yang memakinya setiap hari. Kalau kita manusia biasa, jangankan orang yang memaki-hamun kita, ibu bapa kita pun ada di antara kita, yang tidak sanggup mengasihi mereka. Subhanallah.
Muhammad S.A.W. tidak memandang hina kepada orang lain sekalipun mungkin orang itu perangainya jauh daripada perangai baginda. Dia senang untuk bersimpati dan mengasihi. Dia sangat menyayangi ahli keluarganya, sahabat-sahabatnya dan semua yang dekat dan jauh dengannya.
Kalaulah Baginda berada dengan kita di Malaysia hari ini, pasti Muhammad S.A.W. berasa sedih melihat keadaan kita, bergaduh sesama sendiri, menuduh bukan-bukan sesama sendiri, berdengki sesama sendiri dan cuba jatuhkan sesama sendiri. Malah, kita juga sukar mendapatkan mereka yang mempunyai ilmu agama yang tinggi untuk membantu Muslim di negara ini untuk bersatu. Kalaulah kita sama-sama fikirkan hal ini, mungkin kita akan berubah. Kita akan sokong sesama sendiri, bantu sesama sendiri, hormat sesama sendiri dan sayang sesama sendiri.
Semoga Allah SWT membuka hati kita semua, memberi hidayah kepada kita semua rakyat Muslim di negara ini, agar terbuka hati kita untuk menyokong sesama sendiri, sebelum terlambat dan kita semua ditindas oleh mereka yang sedang merancang untuk lakukan itu. Nauzubillah.
Wassalam.
