Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Tuesday, June 16, 2009

Dekat di Hati

Hampir setiap hari, saya menerima e-mel daripada mereka yang ingin menulis. Soalan utama ialah, macam mana nak mula menulis dan juga apa yang boleh ditulis?

Tentang bagaimana nak mula menulis... senang sahaja jawapannya. Saya selalu menasihatkan mereka yang ingin menulis, untuk terus tulis sahaja. Jangan tanya bagaimana, tetapi lakukan sahaja. Itulah caranya. Kalau kita tak mulakan, maka sampai bila-bila pun kita akan terus tertanya-tanya, 'macam mana nak tulis?'. Lontarkan soalan itu jauh-jauh, dan jangan hiraukan tentangnya. Yang penting, mulakan sahaja. Kalau ada komputer, terus bukakan fail, dan berikan tajuk sementara untuk manuskrip kita itu. Jangan pedulikan tentang stail penulisan, atau tentang gaya bahasa. Buat sahaja. Dari situ nanti, kita akan lihat sesuatu yang lebih 'real'.

Saya percaya, mereka yang bercita-cita untuk menulis, sudah melakarkan sesuatu dalam kepala. Tentu ada benda yang ingin diluahkan. Kalau teringin untuk menulis karya yang bercorak 'novel', tentu ada jalan cerita yang sudah berlegar-legar dalam kepala. Tak mungkin kita teringin untuk menulis tetapi langsung tak terfikirkan apa-apa.

Sekali lagi saya ingin mengingatkan mereka yang ingin menulis. Tulislah sesuatu yang paling dekat dengan hati. Sesuatu yang kita tahu, sesuatu yang mungkin menyentuh perasaan kita dan sesuatu yang kita suka ataupun berkesan dalam hidup kita. Dengan cara itu, kita akan mudah untuk meluahkannya dan akan berupaya untuk melakarkannya untuk dijadikan bahan bacaan.

Menulis tak jauh beza dari melukis. Kita bayangkan sesuatu dan lakarkanlah di atas kertas atau kanvas yang kosong. Kita melihat sesuatu yang mungkin sudah berada di hati dan sekarang ini, kita mahu orang lain turut melihatnya. Jadi, lakukanlah. Tulislah sesuatu yang selalu berada di hati. Insya-Allah, akan menjadi.