Bebas macam burung yang terlepas dari sangkar
Salam semua
Sejak semalam lagi, cik abang saya berada di Johor. Seperti biasa, saya tak ikut dia kalau dia sibuk bekerja. Saya pula, sibuk juga... hehe... macam-macam nak buat ni. Ada yang dah bertanya, novel baru dah siap ke? Novel baru? Aduhai... duk terhegeh-hegehlah ni. Kadang-kadang memang saya tak ada mood langsung nak tulis apa-apa. Kalau dalam keadaan yang macam tu, saya tak akan tulis. Mungkin membaca. Iyalah, kadang-kadang kepala otak pun nak relaks juga. Huhu
Okeylah, pagi ini saya hendak berkongsi cerita tentang perasaan seseorang yang baru lagi berpisah dengan bekas suaminya. Dia memberitahu apa yang rasa di hati. "Saya tak sangka yang saya boleh terasa lega macam ni. Masya-Allah. Sungguhpun Tuhan tak suka kalau kita bercerai, tapi ada kala, perceraianlah jalan yang terbaik dan saya percaya apa yang saya lakukan ialah jalan yang terbaik, insya-Allah. Kalau berkahwin tapi rasa macam hidup dalam neraka, lebih baik bercerai, kan? Sekarang ni saya rasa macam burung yang terlepas dari sangkarnya. Tidak lagi terkurung dan terbeban untuk hidup dengan orang yang tidak menghargai kasih dan sayang yang cuba saya serahkan. Alhamdulillah, saya tidak rasa kecewa atau hampa tetapi saya rasa teramat lega."
Masya-Allah, kadang-kadang itulah yang terjadi dalam hidup kita. Siapa yang berkahwin dengan niat untuk bercerai? Tentu tidak, kan? Namun begitu, ada ketika apa yang dirancang itu tidak sama dengan perancangan Tuhan dan tentunya perancangan Tuhan itu adalah yang terbaik. Kita tidak melihat apa yang Tuhan tahu dan kadang-kadang kita menjerat diri kita sendiri dengan melakukan sesuatu yang menyusahkan hidup. Pun begitu, bila kita tewas dalam perancangan, jangan pula kita berputus asa, kerana selagi ada hayat, biarlah kita terus berfikiran positif. Setiap apa yang kita lalui itu adalah pengalaman dan pelajaran. Kita belajar untuk kuatkan semangat melalui segala rintangan dan kepedihan dalam hidup ini. Kita belajar untuk jadi lebih cemerlang melalui segala kegagalan yang datang bertandang dalam hidup kita.
Kalau kita umpamakan hidup ini bagaikan burung, biarlah kita jadi burung yang mampu untuk terbang, bukan burung yang terperangkap dalam sangkar. Sekalipun sangkar emas, tetapi kalau hanya boleh duduk sahaja di dalamnya dan melihat di luar, apalah guna jadi burung, kan?
Wassalam.