Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, April 26, 2012

Je T'aime, Ti Amo, Te Quiero, I Love You


Salam sayang semua

Semoga perjalanan kita ini dipermudahkan Tuhan. Pagi ini saya nak sembang sempoi-sempoi aje, ia itu tentang cinta dan kasih sayang.

Dalam hidup ini, kasih sayang sepatutnya 'nombor satu' dalam senarai keutamaan kita kerana tanpa rasa kasih dan sayang itu, hidup kita akan jadi kosong. Atau blank! Tak ada apa-apa maknanya. Saya tak tahulah kalau ada yang mampu hidup tanpa kasih dan sayang, tanpa cinta.

Je t'aime (bahasa Peranchis)... I love you, itulah maksudnya. Biar kita mampu berkata itu kepada seseorang. Kalau bukan suami atau isteri, mungkin anak, mungkin juga ibu dan bapa kita, mungkin adik-beradik, atau mungkin kawan-kawan kita. Mesti ada orang di dunia ini yang kita sayang. Betul, tak? Kalau tak ada, maknanya kita sedang merana giler macam orang gila. Hidup kita jadi sunyi dan tentunya membosankan.

Semalam, kebetulan saya menonton sebuah program dari Barat. Satu kisah benar yang dipaparkan secara 'live'. Kisah di sebuah wad hospital bersalin di Liverpool. Dikatakan bahawa Liverpool mempunyai hospital bersalin terbesar di UK dan saya pernah belajar di tempat itu selama dua tahun.

Kisah yang dipaparkan ialah tentang seorang wanita yang baru sahaja bersalinkan seorang bayi kecil yang tak cukup bulan. Beberapa bulan sebelum itu, wanita itu (sudah pun mempunyai lima orang anak) telah ditinggalkan suaminya (berpisah). Sebaik sahaja berpisah, wanita itu terkena H1N1 dan telah dibawa ke hospital dalam keadaan yang sangat lemah. Penyakit itu sememangnya sangat merbahaya buat wanita mengandung. Akibatnya, dia jadi sangat lemah hinggakan tak boleh berjalan. Belum pun pulih, tiba-tiba sahaja kandungannya mahu keluar walaupun belum cukup bulan (awal empat bulan).

Dia bersalin dan terpaksa terus tinggal di hospital kerana bayinya terlalu kecil dan lemah. Dia sendiri masih tak boleh bergerak, tetapi dengan alat membantu, beliau pergi melihat bayinya yang berada dalam keadaan lemah di unit 'intensive care'. Anak-anak di rumah, terpaksa menguruskan diri mereka sendiri. Mujurlah yang sulung (anak lelaki) mampu untuk menjaga adik-adiknya.

Setiap hari dan waktu, wanita itu terus duduk dan melihat bayi kecilnya cuba berjuang untuk terus hidup. Dia kelihatan sedih, bukan sekadar mengenangkan bayinya itu, tetapi hidupnya dan anak-anak yang lain, yang tiada tempat bergantung lagi. Satu hari, doktor pakar yang menjaga bayi itu, memanggil semua ahli keluarga untuk datang ke hospital dan mengucapkan selamat berpisah dengan bayi yang tidak sempat mengenali ahli keluarganya itu. Itulah yang terjadi, bayi kecil itu meninggal dunia walaupun cuba berhari-hari untuk terus hidup.

Wanita itu terus menziarahi kubur anaknya itu. Katanya, setiap kali dia berada di kawasan kubur dan berada di depan kubur anaknya, dia berasa tenang. Bayi yang tidak tahu apa-apa itu masih mampu untuk tinggalkan perasaan kasih dan sayang buat ibunya itu.

Bagi saya, kalau ada pangkat yang tinggi sekalipun, atau wang segunung, tetapi tiada perasaan kasih dan sayang, tidak ada makna hidup kita ini. Yang utama, biarlah kita sentiasa mencintai Tuhan kita, kerana daripada situlah kita akan mampu berkongsi kasih dengan insan-insan yang lain.

Ti amo (Italia), Te Quiero (Sepanyol).... Aku sayang padamu....

Take care dan Insya-Allah, bagi anda yang akan ke Pesta Buku, harap-harap kita akan berjumpa nanti.

Wassalam.