Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, December 26, 2014

26 Disember - Jangan Buat Fitnah

Assalam

Iya hari ini 26 Disember, dan sepuluh tahun yang lepas banyak negara di kawasan benua kita yang dilanda tsunami. Paling teruk ialah Banda Acheh, ratusan ribu insannya hilang dan mati dan tentu sekali berjuta-juta material yang hangus hilang di muka bumi. Malah, negara kita juga turut terkena bencana itu dan kita juga kehilangan nyawa walaupun tidak banyak. Hari ini, negara kita mengeluh kuat kerana banyak negeri yang menimpa bencana alam. Banjir di sana sini, paling teruk ialah di Pantai Timur. Kita semua bersimpati, namun inilah ketentuan Ilahi. Tiada siapa pun yang boleh kita salahkan dan tiada siapa pun yang mampu mengelaknya. Itulah yang dikatakan 'natural disaster' bencana alam.

Dulu, sepuluh tahun yang lalu, bila Banda Acheh ditimba bencana alam, ramai kita di Malaysia buat macam-macam tuduhan. Konon-konon Acheh banyak buat maksiat kerana itulah Allah timpakan bala. Malah, macam-macam fitnah yang manusia sebarkan, seolah-olah merekalah utusan Tuhan yang maha esa, mereka tahu semuanya. Saya pernah ke Banda Acheh beberapa tahun yang lepas, beberapa tahun selepas bencana tsunami itu. Sungguh mereka ditimpa azab dunia, mendapat ujian besar daripada Ilahi, namun Allah juga aturkan hikmah-Nya. Hari ini, Banda Acheh jauh lebih cemerlang keadaannya, jauh lagi mantap ekonominya kalau dibandingkan keadaannya sebelum tsunami. Seluruh dunia menghulurkan bantuan dan dari bantuan itulah Acheh bangun semula. Selepas jatuh teruk, mereka bangun dengan gahnya. Subhanallah. Kuasa Allah swt, segala-galanya mampu dilakukan. Allah maha besar.

Hari ini, macam-macam gosip yang disebarkan melalui sosial media. Macam-macam fitnah yang dikaitkan dengan tragedi banjir yang sedang berlaku di negara ini. Walhasil, manusia tidak pernah belajar dan tidak pernah sedar bahawa ada ketika kalau Allah mahu jadikan sesuatu, maka terjadilah ia tak kira siapa yang berkuasa atau siapa yang benar atau salah dalam sesuatu keadaan itu. Tak payahlah kita buat teori yang mudah menyakitkan hati. Bukankah ini dikatakan bencana alam? Bukankah ini kerja Tuhan? Alangkan negara Jepun yang canggih itu pun boleh dipatahkan Allah, takkanlah kita di Malaysia ini tak boleh kena bencana alam? Lihatlah pada negara seperti Filipina. Tak henti-henti mereka ditimpa bencana alam. Sudahlah miskin, bertambah susah mereka. Tapi kita di sini tak putus-putus menyebar fitnah dan buat cerita macam-macam. Dalam keadaan seperti ini pun kita masih mampu untuk bergosip seolah-olah tak takut pun dengan Tuhan.

Kenapa kita tak nak belajar bahawa setiap yang terjadi itu ada hikmahnya. Kita belum melihat lagi dan kerana itu kita tak tahu apa yang akan terjadi selepas ini. Tak payahlah kita kaitkan dengan kehilangan dan kejatuhan kapal terbang MAS. Tak payahlah kita tambah-tambahkan cerita karut yang tak tahu kesohihannya. Siapa pun boleh buat cerita itu dan ini, tapi kalau kita tak tahu kesahihannya, lebih baik kita jangan sama-sama menyebarnya. Kalau tak betul, bermakna kita ini memang ahli buat fitnah. Paling malang, kalau kita ini konon-kononnya terdiri daripada kumpulan 'agama' atau 'surau' atau masjid tertentu. Jauh lagi baik kalau kita sama-sama turun padang untuk lakukan sesuatu bagi membantu mereka yang sedang ditimpa malang. Lebih baiklah kita menghulurkan sedekah dan bantuan kewangan atau barang-barang untuk meringankan beban mereka yang berada dalam kesusahan. Yang itu jauh lagi baik daripada seronok menyebar 'fitnah' sana-sini. Nauzubillah min zalik.

PS:

Semalam masa saya tengok berita, mereka meramalkan kawasan seperti Negeri Sembilan ni hanya hujan di bahagian petang untuk hari ini 26 Disember. Tapi nampaknya ramalan mereka langsung tak tepat. Hujan di sini sejak awal pagi tadi sehingga tengah hari masih tak berhenti lagi.

Wassalam.


                                                                    Masjid Banda Acheh