Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, January 11, 2016

Lima Kali Lima - Bahagian 3



Cerita 2
Bahagian 3

Bersambung:



LIMA KALI LIMA



RIZAL tahu apa yang Mak Nun katakan itu memang benar. Bukanlah Mak Nun tu berlagak atau sombong, tetapi dia mahu yang terbaik untuk anak-anak perempuannya. Walaupun Rizal bukanlah hebat mana, tetapi dia tidak takut untuk bersemuka dengan ibu Suraya. Kalau dah nak kan anak dara orang, kenalah bertanya dengan ibu bapanya. Sekalipun Suraya tiada ayah, ibunya masih ada lagi, semestinya dia perlu tahu.

            “Mak Nun ni… orang tua, Rizal. Mak Nun tak nak tengok anak-anak Mak Nun susah… bukan di dunia sahaja tetapi yang penting ialah di akhirat nanti.” Itulah mukadimah Zainun buat Rizal, ketika dia datang berjumpa di warung Mak Nun. Terkedip-kedip mata Rizal mendengar hujah wanita separuh usia itu.

            “Saya berjanji, Mak Nun… saya akan berikan yang terbaik buat Suraya kalau Mak Nun izinkan saya untuk berkawan dengan dia.” Janji Rizal.

            “Mak Nun ni bukan macam emak orang lain, Rizal. Mak Nun tak suka anak dara Mak Nun keluar macam orang-orang sekarang ni. Mak Nun dah janji dengan arwah ayah budak-budak ni. Mak Nun janji akan pilih bakal menantu yang boleh bawak anak Mak Nun ke syurga nanti. Insyaa-Allah. Kamu boleh ke, Rizal? Kamu ni jenis solat ke tidak ni? Kalau solat… kamu baca ayat apa? Tahu baca Kulhuwallah saja ke? Atau kamu boleh baca macam-macam ayat? Sanggup jadi imam tak? Semua tu kamu kena tahu dan boleh buat. Ada macam-macam lagi, Rizal. Kalau kamu dah lengkapkan semua tu… hah kamu datanglah sini, bincang dengan Mak Nun lagi. Lagi satu… kamu kena ingat. Mak Nun ni ada lima orang anak perempuan. Suraya tu nombor tiga… Amna dengan Nabila atas dari dia…”

            ‘Iyalah… aku ni tak hebat mana. Walaupun dah jadi jurutera, banyak benda lain aku tak ada.’ Jiwanya bergelora memikirkan hal ini. Sebelum ini dah berkali-kali Rizal cuba dapatkan nombor telefon bimbit Suraya, malangnya Rizal dapat tahu yang anak-anak dara Mak Nun tak dibenarkan punyai telefon bimbit kecuali yang dah bekerja. Setahu Rizal, hanya Amna dan Nabila sahaja yang dah bekerja. Suraya masih berada di pusat pengajian tinggi. ‘Macam hidup di zaman batu pulak…’ bisik hati Rizal. Pun begitu, dia akui mungkin tindakan Mak Nun baik untuk anak-anaknya. Tidaklah anak-anak perempuan Mak Nun ligat bermain telefon atau mengurat sana-sini. Maklumlah, anak-anak perempuan Mak Nun semuanya cantik-cantik belaka. Kalau ada telefon bimbit, pastilah ramai yang mahu hubungi mereka. Setahu Rizal, walaupun Amna dan Nabila dah bekerja, mereka dah biasa tak bertelefon bimbit dan mereka lebih suka tak bertelefon bimbit seperti orang lain!

            “Memang susah, mak. Mak Nun tu bukannya macam mak-mak lain. Mak Nun ni… ‘queen control’.” Rizal tersenyum. “Tapi cuba mak bayangkan kalau Rizal dapat anak dara Mak Nun tu… mestilah ‘pure’ tak macam anak dara lain kot!” kata Rizal kepada ibunya.

            “Pandailah engkau, Rizal…” Wan Esah mula ketawa sama. “Tapi kan… anak-anak dara Mak Nun tu memang cantik-cantik. Kamu jangan terhegeh-hegeh sangat, Rizal. Nanti meleleh pulak air liur kamu tu. Kamu nak buat macam mana ni?” soal ibunya. "Jangan lupa resepi mak..."

            “Ni lah Rizal tengah fikir-fikir, mak. Mesti ada jalan keluar ni. Sekarang ni pun Rizal dah mulakan. Balik kerja… Rizal mandi cepat-cepat, terus gi masjid. Bolehlah tumpang-tumpang kutib ilmu. Tapi… Rizal rasa ada cara lain kot…”



SUDAH seminggu difikirkan hal ini. Akhirnya Rizal menghubungi teman kampusnya, Ammar. “Kau buat apa sekarang ni, Ammar?” mereka mula berbual-bual. Rizal percaya kemungkinan besar Ammar dapat membantunya. Walaupun Rizal dipandang mulia oleh masyarakat kerana jawatannya sebagai jurutera, namun di mata Mak Nun, Rizal tidak hebat dan kerana itulah Ammar menjadi penting buatnya.

            “Jom, Ammar… kau datanglah tempat aku ni… ada benda yang aku nak tunjuk dan ada benda yang aku nak kau tolong aku.” Pujuk Rizal. Akhirnya Ammar pun bersetuju untuk ke tempat Rizal. Hujung minggu itu, kedua-duanya ke gerai Mak Nun. Rizal dapat tahu yang anak-anak perempuan Mak Nun akan berada di gerai untuk membantu ibu mereka.

            Pada mulanya Ammar tidaklah teruja sangat, apatah lagi dia sememangnya banyak hal dan banyak program. Sejak memenangi ‘title’ itu, Ammar sentiasa kesibukan. Tetapi kerana dulu dia pernah baik dengan Rizal, maka datanglah juga Ammar di tempat itu.

            Namun setelah melihat kelibat Amna di gerai Mak Nun, Ammar jadi teruja. ‘Astghfirullah… aku tak sukalah, Rizal. Pasal apa kau ajak aku ke sini ni?”

            “Alah kau ni… jangan bohong akulah! Kau suka kan? Kau suka kan?”

            “Mana ada…”

            “Hisy! Kalau kau suka… kau tolong aku ni, Ammar…”

            Mulalah Rizal bercerita. Bagi Rizal, Ammar mampu melengkapkan kekurangan yang ada pada diri Rizal dan dengan bantuan Ammar, mampulah Rizal bersama-samanya untuk berdepan dengan Mak Nun.

            “Kau berkenan kan? Hah… aku rasa mesti Mak Nun suka ni. Amna tu tak ada pakwe dan aku rasa kau boleh jadi calon yang baik.” Rizal memberi semangat.

            “Mana kau tahu ni? Kenapa kau yakin sangat ni?” soal Ammar.

            “Aku tahulah!”





SUNGGUH dia yakin, dia tidak menduga komen Mak Nun.

            “Kau kata apa, Rizal? Ammar ni baru lagi menang pertandingan ‘Imam Rebutan’? Maknnya Ammar ni jadi orang alim yang cari glamor ke?”

            “Eh, Mak Nun… sekarang ni mak bapak semuanya rebutkan imam-imam macam Ammar ni… tahu hal dunia tahu juga hal akhirat.” Jelas Rizal.

            “Mak Nun tahu tu. Tapi bagi Mak Nun… Mak Nun nakkan lelaki yang ikhlas dengan agama kerana Allah. Bukan kerana duit, bukan kerana glamor… bukan kerana dunia. Semua ni pinjaman aje, Rizal. Bukan boleh bawa ke kubur pun. Kalau nak berdakwah, biarlah kerana Allah. Bukan kerana ‘title’. Mak Nun tak percaya sangat dengan orang yang gila glamor ni… walaupun alim dan tahu agama.”

            Rizal tersentak dan Ammar pula termalu-malu. Terkejut beruk!

            “Mak Nun… Mak Nun… saya betul-betul respect Mak Nun. Sebab Mak Nun memang bukan macam orang lain!” kata Ammar, cuba berterus-terang.



-          BERSAMBUNG -
           


PERINGATAN:

Tulisan ini adalah hak cipta penulis ini dan tidak boleh di ciplak dengan apa jua cara termasuk semua bentuk digital walaupun sekadar paragraf atau ayat. Tulisan ini juga adalah dalam bentuk ‘raw’ dan belum diedit lagi. Terima kasih.



Kisah Kelmarin

Assalam

Tak sempat nak update blog di hujung minggu sebab kesibukan. Banyak sangat lawatan oleh orang-orang yang dikenali dan dikasihi. Terpaksalah melayan dengan kesungguhan. Alhamdulillah.
Tak sempat nak sambung cerita 'Lima Kali Lima'. Bagi mereka yang follow drama 'Setulus Janji' dah tinggal tiga sahaja episod lagi. Jangan miss tau.

Semoga kita dilindungi Allah swt. Aamiin.