Assalam
Salam Jumaat buat semua yang datang ke blog ini semoga anda hidup dengan penuh kasih sayang yang ikhlas. Judul yang saya letak kat entri ini mungkin anda biasa lihat atau dengar, apa-apa pun saya pilih hari ini untuk bercerita tentangnya. Saya percaya anda semua biasa dengar tentang kisah mereka yang hidup di bumi Gaza, Palestine. Semestinya tidak mudah kerana setiap hari mereka berdepan dengan kepayahan, mungkin juga keperitan. Bukan sekadar terpaksa berusaha keras agar dapat cukup makan, cukup pakai dan ada tempat berlindung, namun yang paling dahsyat ialah bila-bila masa sahaja mereka boleh dizalimi puak zionis lalu berdepan dengan peperangan atau kematian. Hidup setiap hari bagaikan nyawa mereka berada di hujung tanduk!
Bayangkan kalau kita hidup begitu di negara ini. Pasti tak mampu kot. Kebanyakan manusia di negara ini tak mampu pun untuk berdepan dengan kesusahan walaupun sedikit sahaja. Ada gaji bulanan yang tetap, ada rumah yang cukup luas, ada keluarga, ada makan dan minum, ada kenderaan, mungkin ada sedikit kekurangan di sana sini, namun orang kita di sini terasa akan keperitannya seolah-olah dunia tidak adil padanya. Kerana itu mungkin, mereka sanggup lakukan perkara-perkara buruk untuk dapatkan keselesaan hidup. Kita mampu berubah menjadi manusia yang tamak. Maknanya, kita tak boleh diuji. Seolah-olah kita sangat lemah, tak mampu untuk berdepan dengan sebarang kerumitan.
Tidak mereka di bumi Gaza. Semalam, saya melihat sebuah program yang diceritakan oleh seorang doktor pakar wanita Melayu yang pernah ke Gaza untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan. Katanya, dia tidak pernah melihat wajah yang berseri-seri penuh kebahagiaan di tempat lain, tetapi dia melihat itu di wajah orang-orang Gaza, sekalipun mereka sedang berdepan dengan keperitan. Rakyat Gaza sentiasa hidup dengan penuh kesyukuran dan mereka sangat dekat dengan Tuhan, tak pernah lupa untuk berdoa dan bersyukur atas segala anugerah Ilahi walaupun mereka juga diduga setiap masa sepanjang hidup. Allahuakbar!
Semestinya kita sangat berbeza dengan mereka. Lelaki mereka sangat lain daripada lelaki kita. perempuan mereka juga sangat bersemangat kalau dibandingkan dengan perempuan kita. Apa jua yang datang pada mereka, mereka terima seadanya kerana mereka juga tahu segala-gala yang ada ini sekadar satu pinjaman sahaja. Di akhirat nanti barulah mereka dapat sesuatu yang tetap, in syaa Allah. Hidup perlu diteruskan dan pandangan positif terus berbekal di dalam jiwa mereka. Yang penting mereka sentiasa ingat pada Allah ta'ala.
Itulah yang berbeza antara kita dan mereka. Mereka diuji berat setiap masa, setiap saat, setiap hari dan kerana ujian yang berat ini mereka menjadi sangat dekat pada Ilahi. Pada Tuhan sahaja tempat mereka bergantung kerana kepada-Nya juga mereka akan kembali. Sedangkan kita di sini tak diuji seberat itu dan kerana itu kebanyakan kita jadi manusia yang lemah yang tak mampu bertahan bila diberi ujian sekalipun hanya kecil. Kita mudah lupa pada Tuhan kerana kita tak pernah mahu dekat dengan-Nya. Kerana itu juga ramai yang mudah sesat, mudah tergelincir, mudah melakukan kejahatan dan maksiat kerana kita tak pernah rasa bahagia. Mereka yang betul-betul bahagia akan tetap rasa bahagia sekalipun hidup dalam keperitan.
Bayangkanlah berapa ramai ibu tunggal di Gaza. Berapa banyak anak-anak yatim yang hidup serba kekurangan. Namun mereka masih bahagia. Mereka tidak berubah untuk jadi manusia yang lupa daratan.
Cubalah kita renung-renungkan. Selagi kita tidak dekatkan diri dengan Allah ta'ala, tidak kuatkan iman, selagi itulah kita tak akan dapat cahaya kebahagiaan kerana jiwa kita merupakan jiwa yang penuh rasa haloba, tamak pada harta duniawi. Kita sentiasa rasa tak cukup. Sekalipun ada harta setinggi gunung, kita tetap mahukan lagi. Kita terus terlupa bahawa semua ini hanyalah sementara sahaja.
Biarlah jiwa kita jadi seperti mereka di Gaza, mampu untuk bahagia walaupun hidup dalam keperitan. Subhanallah.
Wassalam.
wajah anak-anak Gaza