Assalam.
Ramai yang sedang berbicara tentang hal di negara Mesir. Dulu, kita sibuk di Syria. Sibuk juga di Palestin. Sebelum itu kita sibuk tentang hal yang terjadi di Mesir juga, di Libya, Tunisia, di Iraq, juga di Afghanistan. Kita akan terus sibuk bincangkan macam-macam hal yang terjadi di negara-negara Islam di merata dunia. Saya percaya, segala kejadian seperti ini akan terus berlaku dan mungkin sampai kiamat akan terus terjadi. Selagi ada syaitan, selagi ada zionis, selagi ada yang sakit hati dengan Islam, selagi itulah akan terjadi huru-hara ini. Sebagai orang Islam, apakah kita terlalu takut dengan hal-hal seperti ini? Mungkin kita tak mahu lihat orang Islam hidup dalam kesusahan.
Jom kita lihat di negara kita sendiri. Adakah kita berasa aman dan bagus? Tidakkah kita terasa bahawa orang Islam di negara kita sendiri semakin hari semakin menurun prestasi 'daya kuatnya' dan semakin hari semakin tidak kelihatan 'smart' atau bijak? Semakin hari semakin terhakis 'kepunyaan' kita. Orang lain merungut-rungut mengatakan mereka tidak mempunyai banyak hak, tetapi orang Melayu di negara ini kelihatan sangat 'berpuas hati' dan kita sama-sama cuba menjatuhkan kumpulan lain yang juga berbangsa dan beragama yang sama. Kalau dilihat betul-betul, apakah kita satu hari nanti akan bergelumang dengan masalah seperti di negara-negara Islam yang lain, atau sebenarnya kita sedang sama-sama berpakat-pakat untuk jatuhkan kaum Melayu yang beragama Islam ini dengan melemahkan diri sendiri?
Walaupun orang Melayu mempunyai hak itu dan hak ini, tetapi malangnya orang Melayu sudah banyak hilang hak-haknya. Hinggakan bahasa Melayu yang dijadikan bahasa kebangsaan itu sudah tidak ada tempat lagi di negara ini! Cuba kita perhatikan di peti televisyen, berapa banyakkah orang bukan Melayu yang bercakap dalam Bahasa Melayu bila perlu berbicara?
Bukan sekadar bahasa Melayu, sebutlah apa sahaja, terutama tentang ekonomi, apakah yang orang Melayu ada? Cuba masuk ke bandar dan kota dan lihatlah kepada bangunan-bangunan yang ada, berapa keratkah yang dipunyai orang Melayu? Tidakkah kita sebagai Melayu berasa sedih kerana sekalipun kita sepatutnya bangga dengan apa yang kita ada, tetapi pada hakikatnya hak-hak kita semakin terhakis dan kita masih bimbang melihat negara-negara luar yang sedang berdepan dengan musibah, tanpa sedar kita sedang bina musibah besar untuk berdepan dengan kita suatu hari nanti. Sungguh, kita patut berasa sedih dengan apa yang sedang berlaku di negara-negara luar sana, kita juga sepatutnya perlu bimbang dengan keadaan yang menghampiri kita semua.
Kita masih kelihatan 'happy-happy' dan tak ambil kisah. Kita masih sibuk untuk kafirkan orang Islam yang lain yang konon-konon tidak ikut akidah, sedangkan kita sebagai orang Islam di negara ini semakin hari semakin 'kehilangan'. Kita masih sibuk untuk racunkan fikiran orang Melayu dengan hal-hal yang sepatutnya urusan Allah SWT, bukan urusan kita. Urusan kita ialah untuk membuat kebaikan kepada semua umat Islam yang percaya pada Allah SWT dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.
Kenapa kita tak fikirkan hal-hal yang menjadi kewajipan kita seperti yang tertulis dalam al-Quran? Adakah syaitan sudah merasuk jiwa kita yang hanyut dengan hal-hal lain yang kita sangkakan terlalu penting hinggakan kita tidak sedar bahawa kalau kita biarkan begini, kita mungkin akan berada dalam keadaan yang sama seperti mereka yang kucar-kacir di negara Islam lain, yang berbunuhan sesama sendiri! Nauzubillah.
Semoga Allah SWT memberi kita hidayah dan menyedarkan kita untuk bersangka baik sesama Islam dan sedar juga siapakah musuh kita yang sebenar. Wallahuaklam.
Mungkinkah kita juga akan begini?
