Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, July 31, 2014

Sangat Mudah Untuk Jadi Hipokrit!

Assalam

Saya sedang berehat-rehat dengan ahli keluarga di luar kawasan, pun begitu saya teruja untuk update blog ini. Bukan apa, tetapi rasa geram sangat di dada ini. Geram pada puak 'Zionis' dan mereka yang sekongkol dengan puak ini. Bukan sekadar di Amerika dan sebahagian dunia Barat, tetapi mereka yang berada di dalam negara ini yang mengaku mereka beragama Islam. Pun begitu, saya agak hairan juga bila melihat beberapa orang wartawan/ journalist/ host stesen TV seperti Al Jazeera dan juga BBC di mana mereka ini berketurunan 'kaukasian' atau kulit putih dan bukan beragama Islam, tetapi sangat bersimpati pada umat Palestine yang berada di Gaza. Siap bergaduh-gaduh dan bertekak dengan puak Zionis secara 'on air'. Memang saya tabik mereka!

Kalau mereka bukan Islam tetapi mampu untuk bersimpati pada puak Palestine di Gaza kerana kezaliman Zionis di Israel dan mereka yang sekongkol dengan Zionis, kenapa agaknya ada orang Islam yang butakan mata dan hati dan masih mampu untuk memberi sokongan kepada puak 'Zionis'? Mithalnya, puak-puak 'Arab' yang berada berdekatan dengan Palestine, tak mampu untuk lakukan apa-apa, jauh sekali untuk bersuara, seolah-olah mereka sangat bersetuju dengan apa yang berlaku di Palestine. Nauzubillah min zalik. Bagi saya paling teruk ialah kerajaan Saudi yang konon-konon bertanggungjawab untuk menjaga Mekah dan Madinah, bertanggungjawab untuk menjaga 'Kaabah', tetapi hati perut mereka sangat zalim! Mereka pentingkan material, harta, wang ringgit yang disimpan dalam bank-bank 'yahudi'. Kerana itulah, mereka buat buta hati dan perut untuk tutup mata pada kezaliman di Palestine.

Patutlah arwah ayah saya dan kaum kerabatnya tinggalkan negara Saudi pada awal abad 20, kerana kaum keluarga saya sudah melihat kezaliman dan kejahatan puak kerajaan 'Saudi' yang dipegang oleh Arab keturunan 'Baduin'. Malah, dalam al-Quran sudah diceritakan tentang kaum ini yang akan terus menjadi puak zalim yang sentiasa sekongkol dengan kaum 'Zionis'.

Biarlah kita di negara ini terus tunjukkan sokongan kita pada mereka yang dizalimi di Palestine. Buatlah apa sahaja yang kita mampu, biar sekalipun sekadar doa dan suara sahaja. Jauh lagi baik daripada membutakan mata dan hati. Pun begitu, kita harus berjaga-jaga dengan mereka yang berada di negara ini yang sedang tunjukkan sokongan mereka pada puak yahudi. Ada yang pura-pura bersimpati pada 'Gaza', tetapi sebenarnya merekalah 'hipokrit' yang cuba berlakon di dunia ini.

Kita jangan takut melihat pada kematian, kerana kematian itu adalah pasti. Kita sepatutnya benci pada kezaliman. Biarlah puak Zionis yang takut pada kematian, kerana 'pengecut' adalah mereka yang takut untuk mati seolah-olah mampu untuk hidup buat selama-lamanya. Mereka lupa bahawa hidup di dunia ini adalah sementara, yang kekal di akhirat nanti.

Allah SWT sedang tunjukkan pada kita semua, terutama umat Islam, selagi kita tidak bersatu, selagi itulah kita akan dizalimi. Tak usahlah kita sibuk mengkafirkan orang Islam yang lain hanya kerana mereka tidak sama 'cara' dengan kita. Apa gunanya semangat untuk sekongkol dengan puak zalim yang berpihak pada 'Zionis'? Ada juga yang lebih senang untuk bermusuh dengan puak Islam yang lain. Bukankah itu merupakan satu tindakan bodoh dan zalim pada diri sendiri? Jom kita tengok pada negara Islam yang lain yang sedang cuba 'support' mereka di Palestine. Lihat pada negara Turki, negara Iran... bagi saya negara2 inilah yang menjadi ketakutan buat 'Zionis'. Biarlah kita jadi orang Islam yang buka mata dan hati, bukan orang Islam yang bodoh yang sanggup untuk mempecahbelahkan orang Islam yang ada di dunia ini untuk kepentingan diri sendiri. Jangan jadi hipokrit kerana Allah tetap tahu apa yang ada di hati kita.

Semoga kita menjadi umat Islam yang kuat semangat untuk lindungi umat kita daripada kezaliman puak yang membenci pada Islam. Allahuakbar!


Wednesday, July 30, 2014

Raya Di Sini..

Assalam

Dah pun masuk hari raya ketiga. Dalam meraikan bulan syawal ini, semoga kita terus ingatkan kepada saudara Islam kita yang berada di Gaza. Semoga Allah lindungi mereka, semoga semangat mereka dan iman mereka terus kekal kuat, insyaa-Allah. Allahuakbar!

Saya dan famili, kami menyambut Aidil Fitri secara sederhana sahaja. Malah, tema kami sekeluarga ialah untuk berpakaian Timur Tengah, agar semangat kami untuk terus bersimpati pada mereka di Gaza kekal mantap, insyaa-Allah.

Hari ini, kami akan ke luar daerah untuk bersama-sama ahli keluarga selama tiga hari, sesuatu yang kami lakukan setiap tahun, mungkin dah masuk enam tahun, insyaa-Allah.

Saya berkongsi gambar-gambar hari raya bersama anda semua.

Wassalam.



















Sunday, July 27, 2014

Selamat Hari Raya

Assalam

Selamat Hari Raya buat teman dan rakan, serta mereka yang sayang pada saya. Maaf zahir dan batin. Dalam pada itu, jangan pula kita lupa pada mereka yang sedang berentap di Gaza, semoga Allah swt melindungi mereka. Tidak ada apa-apa yang kita boleh lakukan kecuali membantu apa yang mampu, termasuk doa, agar Allah permudahkan perjuangan mereka.

Semoga kita dipeliharai Allah dunia dan akhirat. Amin.

Wassalam.

Saturday, July 26, 2014

Masih Gilakan Facebook?

Assalam

Masihkah anda gilakan Facebook walaupun kita tahu betapa kuatnya semangat 'Zionist' dalam media sosial yang ini?

Kemungkinan besar, blog mantan perdana menteri kena 'Block' dari link Facebook kerana kelantangan suara Dr. menentang 'Zionist' di dalam blognya. Hah... kalau nak jadi popular dan boleh buat sesuka hati, jomlah kita sokong 'Zionist' lagi! Mesti best!

Di negara China hari ini, mereka menghantar anak-anak  mereka ke kem-kem yang melatih anak-anak mereka untuk bersedia secara mental dan fizikal dan ini dilakukan untuk mengelakkan anak-anak mereka terlalu banyak menghabiskan masa berlegar-legar dalam ruang Internet. Malah, dengan cara itu, anak-anak mereka tidak aktif di media sosial seperti Facebook dan seangkatan dengannya. Kenapa kita juga tak buat macam tu?

Atau mungkinkah kita konon-konon support mereka di Gaza, tetapi sebenarnya kita tak kisah pun untuk sokong Yahudi! Adoii...

Cuba kita fikirkan di hari dan bulan yang baik.

Wassalam.




Friday, July 25, 2014

WAHID - THE ONE AND ONLY

Assalam

Ramadhan menghampiri di penghujungnya untuk tahun ini. Belum tahu lagi sama ada kita akan menemuinya lagi. Mungkin ramai yang sedang menantikan Syawal tiba, namun hatiku ini terasa perit di ulu hati bagaikan tak tergamak untuk biarkan Ramadhan ucapkan 'good bye' nya.

Ya Allah, semoga segala amalan dan ibadahku, Kau terima. Biarlah aku meneruskan umurku sekiranya masih ada, dalam agama Islamku ini. Biarlah aku teruskan hidup ini sekiranya ada lagi dengan cara terbaik seperti yang Kau mahukan. Biarlah aku mati dalam Islam and izinkanku sampai di Syurga-Mu, ya Allah... izinkan aku akhirnya nanti untuk bertemu dengan-Mu, ya Allah, tiada Tuhan melainkan Kamu. You are the only one, Wahid bagiku. Ameen, ya Rabb.

Semoga kita jangan terlalu ghairah dengan menyambut Hari Raya, sungguhpun mungkin hari raya itu sangat bermakna buat kita. Namun, biarlah kita sentiasa beringat dan sepatutnya kita lebih bersedih kerana Ramadhan akan pergi tinggalkan kita. Ramadhanlah bulan yang membuat kita lebih dekat dengan Allah swt, lebih dekat dengan kitab suci al-Quran, dan insyaa-Allah menjadikan kita insan yang jauh lagi baik daripada bulan-bulan yang lain. Apa-apa pun, semoga kita telah dan akan terus berusaha untuk jadikan diri kita manusia yang bertimbang rasa, bertanggung jawab, tidak haloba, tidak kuat berdengki, tidak sakit hati... malah jadilah manusia mulia, suka pada kasih sayang dan yang bangga menjadi ummat Islam.

Wassalam


Thursday, July 24, 2014

Projek Terkini

Assalam

Hari ini agak sibuk sikit. Tadi saya ke Cyberjaya untuk mesyuarat projek terkini. Semoga projek ini akan berjalan dengan lancar, insyaa-Allah. Kalau jadi, ini merupakan sesuatu yang sangat berbeza buat saya, namun sesuatu yang dah lama saya idamkan. Doakan ya.

Sejak kebelakangan ini, setiap hari ada sahaja tetamu yang datang berbuka puasa dengan kami. Malam kelmarin, anak-anak kakak saya dan keluarga mereka berbuka puasa dengan kami, memang havoclah! Sejak kecil, anak-anak kami memang rapat dengan sepupu mereka, jadi apa lagi, kecoh sungguh-sungguh. Malam tadi pula, selepas solat tarawikh, kami sempat mengacau lempuk durian. Masa balik kerja, suami saya beli durian dalam jumlah yang banyak. Akhirnya... merasa juga dan alhamdulillah, berjaya membuat lempuk seperti yang diidamkan,

Hari ini, kami akan buka puasa dengan fish and chips dan juga rice pudding, insyaa-Allah... agak western sikit.

Sebenarnya saya sangat mengantuk tetapi nak juga updatekan blog ini.

Apa-apa pun, teruslah beramal ibadah di bulan Ramadhan yang indah, semoga kita berjaya mengumpul bonus dan ganjaran yang disedikan Allah di bulan Ramadhan.

Wassalam.


Wednesday, July 23, 2014

Nak Masuk Syurga

Assalam

Siapa yang tak nak ke syurga? Kalau tak nak mungkin sebab kita tak tahu tentang syurga dan neraka tu. Kita hanya kenal pada dunia sahaja, wallahuaklam. Tapi kalau kita tahu ada neraka dan ada syurga bila akhirat nanti, pasti kita tak tergilakan hal-hal duniawi semata-matanya. Bayangkanlah... dulu Nabi Adam a.s. berada di syurga, tetapi bila Allah marah kerana Nabi Adam tak ikut arahan, Nabi Adam tercampak ke dunia... maknanya... di syurga itu nikmatnya sangat berbeza. Jadi, kenapa masih ramai yang tergila-gilakan hal dunia hinggakan terlupa tentang syurga di akhirat nanti. Subhanallah.

Kalau kita tahu, mungkin ini merupakan Ramadhan yang terakhir buat kita, pasti kita akan cuba kutip bonus dan ganjaran yang Allah sediakan di sepanjang Ramadhan ini, dengan harapan kalau kita mati, banyaklah bekalan yang kita bawa sekali, tidak hanya 'dosa' semata-mata.

Adakah kita ini jenis manusia yang tak ambil berat tentang halal dan haram? atau mungkin kita terlalu beratkan yang haram dan tak peduli sangat pada yang halal. Bagi kita... tak apa kot buat 'jahat' nanti kita taubatlah... Malangnya kita tak tahu bila kita akan pergi tinggal dunia fana ini, mungkin tak sempat pun untuk bertaubat. Kalau bertaubat pun, kita juga tak tahu sama ada Allah akan terima taubat kita itu, bergantung kepada keikhlasan hati kita. Kalau kita buat-buat menyesal dan buat-buat bertaubat, tapi sebenarnya kita tak kesal pun pada kejahatan yang kita dah lakukan... maknanya Allah tak mungkin juga terima taubat kita. Kalau kita mati, tentulah ke neraka yang akan kita pergi nanti.

Tapi kalau hati kita hanya berkira-kira untuk pergi ke syurga, pasti banyak benda baik yang kita lakukan. Semestinya kita takut nak buat apa-apa yang haram. Nauzubillah.

Semoga kita terus fikirkan hal ini, jangan ambil mudah. Islam itu tak susah, tapi kalau kita ambil terlalu mudah, maka kita akan jadi insan yang sesat di dunia dan akhirat. Wallahuaklam.

Renung-renungkanlah.

Wassalam.


Tuesday, July 22, 2014

Fatamorgana - Bahagia Berbentuk Ilusi

Assalam

Ramai yang sedang berkobar-kobar untuk menyambut Hari Raya, mungkin lebih bersemangat daripada untuk menyambut Ramadhan, mungin juga tak berasa sedih yang Ramadhan akan pergi tinggalkan kita. Mungkin inilah lumrah kehidupan banyak orang di dunia ini, kita lebih suka untuk mencari 'keseronokan' dan kerana itulah kadang-kadang kita jadi manusia yang alpa.

Ada bezanya antara 'seronok' dan 'bahagia' dan saya percaya ramai yang keliru dan merasakan bahawa kalau tak seronok, maka tak mungkin bahagia. Di sinilah letak silapnya kerana kita juga harus mengerti bahawa 'bahagia' itu tidak semestinya mempunyai keseronokan kerana biasanya 'bahagia' itu datangnya dengan kesederhanaan. Islam menggalakkan kesederhanaan dan kalau kita hidup di dunia mencari keseronokan, barangkali kita akan sukar untuk temui kebahagiaan kerana 'seronok' itu lebih dekat dengan 'syaitan' kalau dibandingkan 'bahagia' yang sebenarnya.

'Seronok' biasanya akan membawa kita lupa daratan dan mungkin juga mampu untuk jauhkan kita daripada Tuhan kerana bila kita terlalu mencari keseronokan, pasti juga kita akan jatuh ke alam 'keburukan' kerana 'seronok' itu sekadar hiburan yang sementara dan bahagia tidak semestinya menghiburkan kita. Bahagia datangnya dengan ketenteraman  dan ketenangan di jiwa. Kerana itulah banyak orang yang terperangkap dengan 'bahagia' yang tersalah tafsir. Bahagia yang bergantung pada keseronokan seperti 'gila harta', 'gila wang', 'gila judi', 'gila seks', 'ghairahkan material' dan segala hal yang boleh melekakan dan menyesatkan, mereka akan temui satu kegagalan dalam hidup. 'Bahagia' sekadar merupakan satu fenomena fatamorgana, ilusi yang cuba mempersendakan minda dan akal fikiran kita, akhirnya membuatkan kita tersesat di bumi ini dan kalau terus silap perkiraan, akan membawa kepada kesalan dan kesesatan hingga ke akhirat nanti.

Dalam hari baik dan bulan baik, jom kita muhasabah diri, perbaiki semua yang kurang dan luruskanlah hati dan jiwa untuk mencari 'kebahagiaan' yang asli, bukan sekadar ilusi. Wallahuaklam.

Wassalam


                                                         Fatamorgana di padang pasir

Monday, July 21, 2014

Perempuan

Assalam

Semestinya Yusufia teruja kerana menyambut hari jadinya. Dia selalu berangan-angan konon-konon dia princess, jadi mamanya membeli 'crown' atau mahkota untuk letak di atas kepalanya. Malah, banyak bajunya yang kami beli ada gambar kartun Princess dan mesti ada lip-lap, lambang 'princess' kot. Layan sajalah, kan budak-budak namanya. Bertambah seronok bila dia dapat hadiah. Peliknya Yusufia ni dia suka mainan budak lelaki. Jadi, biasanya kami beli campur-campur, ada mainan budak perempuan ada juga mainan budak lelaki. Asal dia bahagia, okeylah.

Semalam adik saya dari Gombak dan familinya join kami. Begitu juga kakak saya dari Muar dan famili anaknya, mereka juga join sekali.  Maklumlah kami raikan hari jadi Yusufia selepas buka puasa dan selepas solat Maghrib. Semoga Yusufia membesar dengan akhlak yang mulia, teguhkan imannya dan selamat dunia akhirat.

Hari ini, kita sebagai ibu bapa kena sentiasa doakan yang terbaik untuk anak-anak, lelaki dan perempuan, agar mereka tidak sesat di pertengahan jalan. Kita semua kena selalu beringat, godaan syaitan terlalu kuat pada hari ini, tetapi kalau anak perempuan dididik sebaik-baiknya, mereka juga akan jadi anak yang baik. Jangan biarkan anak-anak kita membesar sebagai perempuan yang tidak meletakkan nilai yang tinggi pada dirinya. Jangan biarkan anak-anak perempuan kita dengan mudah menjaja diri mereka di sana dan sini! Pastikan mereka menghargai diri sendiri sebelum orang lain menghargai diri mereka. Subhanallah.

Selamat beramal ibadah di penghujung Ramadhan, semoga hidup kita tidak dizalimi diri sendiri. Wallahuaklam

Wassalam.


                                                                   Princess Yusufia

Sunday, July 20, 2014

Selamat Hari Jadi Yusufia

Assalam

Hari ini ialah hari jadi Sharifah Yusufia... dah empat tahun dah dia. Hari ini babah dan mama dia nak celebratelah di rumah mereka dan kebetulan, famili kakak saya dan juga famili adik saya akan datang ke rumah kami, jadi ramai-ramailah kami akan ke rumah anak saya untuk raikan hari jadi Yusufia. Saya masih ingat lagi semasa Yusufia dilahirkan, betapa kalutnya saya dan betapa excitednya saya. Sekarang ini dia memang rajin ke rumah kami dan banyak pula bualannya. Dia juga sangat rapat dengan sepupu-sepupunya yang lain, terutama dengan Firas.

Semoga Yusufia dirahmati Allah swt dunia dan akhirat, jadilah gadis dan wanita solehah yang tahu menjaga agama, tertib, budi bahasa serta akhlaknya. Itulah doa saya buat cucu pertama saya ini. Amin.

Wassalam.


                                                    Yusufia dan Firas - sentiasa geng

Saturday, July 19, 2014

Amerika Yang Tak Pernah Adil

Assalam

Dunia hari ini sentiasa tidak aman akibat kebongkakkan negara yang merasakan bahawa mereka adalah kuasa besar. Mungkin mereka rasa macam tuhan kot, boleh buat apa sahaja yang mereka suka. Amerika Syarikat sentiasa 'bias' atau tidak adil, mengarah kepada konco-konco mereka. Konco terbesar ialah pihak Yahudi Zionis. Mereka juga 'bias' pada puak negara Barat termasuk Eropah.

Sebagai contoh mudah, bila MH17 ditembak jatuh oleh pihak yang kita tak tahu lagi, Amerika mengarahkan supaya Ukraine dan pihak pemisah (pro Rusia) meletakkan senjata mereka. Ini lebih kerana ramai rakyat Barat yang terlibat dalam tragedi MH17 itu. Bayangkanlah kalau yang terlibat merupakan rakyat Malaysia dan negara Asia yang lain, mungkin Amerika akan tutup mata. Apa tah lagi, pihak Amerika sendiri pernah menjatuhkan kapal terbang awam suatu ketika dahulu, bukan sekali tetapi dah banyak kali. Namun, perkara itu ditutup begitu sahaja tanpa ada rasa kesal!

Hari ini, Amerika terus tutup mata dan telinga pada desakan dunia yang protes agar pihak Yahudi Zionis di Israel berhenti menghentam penduduk Gaza di Palestine. Amerika tidak buat sebarang tekanan apa-apa. Ini adalah kerana mereka merasa sangat besar dan sangat yakin tiada sesiapa jua di dunia ini mampu untuk patahkan kuasa besar mereka itu. Nauzubillah. Semoga Allah swt membalas kekejaman mereka itu. Amin.

Pun begitu, kita sebagai umat Islam tidak perlu takut atau gusar dengan segala apa yang sedang berlaku ini. Putaran alam dan ujian Ilahi untuk pastikan kita tetap beriman pada-Nya. Tanpa ujian yang sebegini, umat Islam akan terus lalai, lali dan leka seolah-olah hidup di dunia hanya perlu pentingkan hal material sahaja. Dengan ujian yang begini, kita akan terus dekatkan diri dengan Allah swt, kita akan meminta tolong pada Allah, kerana kita sedar bahawa kita hanyalah insan kerdil yang sekadar menumpang di dunia yang penuh kezaliman ini.

Selagi kita yakin pada Allah, selagi kita beramal dan beribadah untuk-Nya, kita tak perlu gentar dengan segala musibah yang datang meragut ketenteraman umat Islam di dunia ini. Allahuakbar!

Dalam pada itu, berhentilah kita daripada menjadi manusia hipokrit yang konon-konon taat pada Allah, namun bila hal wang-ringgit, kuasa dan material diperkatakan, kita jadi lemah dan tunduk kepada kuasa luar yang bukan merupakan Allah swt!

Semoga kita kuatkan iman dan bertakwa pada-Nya. Amin.

Wassalam.


Friday, July 18, 2014

Perbuatan Siapa?

Assalam

Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un.

Itu yang dapat kita ucapkan buat satu lagi tragedi yang menimpa negara ini. Penerbangan MH17 telah dilaporkan terhempas akibat letupan tembakan misil surface-to-air yang telah dilancarkan oleh 'siapa' kita masih belum tahu! Apa-apa pun, ini semestinya menyedihkan seluruh negara ini. Belum selesai satu tragedi MAS, sudah muncul satu lagi. Yang pasti, kita semua tertanya-tanya, apakah ini suatu kebetulan, atau mungkinkah ia merupakan satu perancangan atau 'sabotaj' yang diatur sebaik mungkin untuk tujuan tertentu. Wallahuaklam.

Dalam segala teknologi yang hebat hari ini, kami pasti negara tertentu seperti USA juga Rusia, pasti sudah tahu 'kerja' siapa sebenarnya. Mungkin kita semua terus merasakan pastilah kerja pemberontak pro Rusia atau Ukraine sendiri kerana kejadian itu berlaku di kawasan yang sedang bergolak. Tapi... mungkinkah kejadian ini merupakan satu 'pengambilan kesempatan' oleh puak tertentu untuk tujuan tertentu dan dilakukan di kawasan bergolak untuk 'cover line' supaya dunia tidak tahu? Apa-apa pun boleh jadi dan kita di sini janganlah terlalu relaks dan 'take things for granted' kerana biarlah kita berjaga-jaga daripada tidak berjaga langsung dan akhirnya nanti berada dalam satu keadaan yang sangat merugikan. Nauzubillah.

Sama-samalah kita berdoa agar negara ini dilindungi Allah swt.

Sama-sama juga kita berdoa agar Gaza diselamatkan daripada kezaliman puak Zionis yang kini sedang memasuki melalui darat!

Wassalam.


Thursday, July 17, 2014

Anti Zionis?

Assalam

Semalam, kecoh satu Malaysia tentang kisah wanita Melayu yang menghentam kereta 'apek' dengan batang steering lock kerana 'apek' tu terlanggar kereta wanita muda yang bertudung, berkenaan. Okeylah, saya malas nak komen sangat, tapi bagi saya... mungkin it was a bad day for that woman... tapi yang tukang upload video berkenaan pun tidak kurang biadapnya. Masih bersikap 'kurang ajar' juga siap mencarut-carut dalam FB. Mungkin ramai rakyat Malaysia yang tak berakhlak! Yang peliknya insiden seperti apa yang berlaku itu bukanlah sesuatu yang tak pernah terjadi. Biasa sangat-sangat, cuma mungkin terlepas dari kamera untuk dirakamkan! Sungguh malang.

Apa pun... jom kita berbicara tentang perkara yang mungkin jauh lagi penting daripada apa yang sedang dijadikan 'viral' itu. Hari ini, Muslim di negara ini kecoh berbicara untuk boikot produk Yahudi kerana tak mahu terlibat dengan 'dana haram' yang disalurkan untuk menyokong pergerakan Zionis di Israel untuk menghentam rakyat Palestine terutama di Gaza. Ramai yang mula boikot 'McDonalds', 'Nestle' dan macam-macam lagi yang ada kaitan dengan 'Zionis'. Sememangnya baguslah kalau kita sedar dan mahu lakukan sesuatu untuk menghentikan kezaliman yang melampau ini.

Namun kita banyak terlupa bahawa sebenarnya produk 'Zionis' yang ada di dunia terlalu luas dan dalam dan sekalipun mungkin kita boikot 'Starbucks' dan 'MacD' dan semua rangkaian perniagaan yang serupa itu yang dikatakan ada kaitan dengan pergerakan 'Zionis', mungkin tak banyak sangat kesannya. Sama ada kita sedar atau tidak, semasa kita menjalankan aktiviti di depan komputer desk top, lap top, tablet dan handphone mungkin, kita sebenarnya sedang memberi sokongan padu pada kumpulan Zionis. Kalau anda guna Google, Yahoo, Chrome, aktif dengan Facebook, You Tube dan macam-macam lagi fasiliti yang disediakan dalam dunia Internet, semuanya menjadi bahan puak 'Zionis'. Malah, bukan sekadar keuntungan dari pengiklanan dan macam-macam lagi fasiliti online yang disalurkan ke tabung 'zionis', tetapi yang paling sulit dan padah ialah 'pungutan data dan maklumat' juga turut menjadi perkara besar yang kita sepatutnya jadikan issue besar!

Kita semua pakat seronok mengguna kemudahan Internet tanpa sedar bahawa inilah 'senjata' Zionis yang terhebat untuk menentang kita semua. Kita nampak MacDonlads, Nestle, dan Starbucks tapi kita tak nampak Facebook dan Google. Kita menyebarkan cerita, mencari maklumat dan macam-macam melalui Internet dan segala ini menjadi 'bahan' mereka untuk mengatur strategi menghentam kita balik. Jadi macam mana?

Cuba kita semua duduk sebentar dan fikirkan betul-betul. Apakah yang patut orang Islam lakukan untuk menentang 'Zionis'? Terus sibuk di Facebook? Terus support 'Google'?

Ada penerbit besar di negara ini yang beria-ia mencari dana untuk tolong Palestine, tapi mereka juga secara besar-besaran menyokong 'Google' untuk memperluaskan bisnes e-book di negara ini, pada hal di negara ini juga kita mempunyai platform 'e-book' kepunyaan orang Islam.

Jadi macam mana?

Jawabnya ialah keikhlasan kita dengan Allah swt. Kalau kita serius nak tolong orang Islam yang dizalimi Zionis, biarlah kita lakukan dengan sedar dan keikhlasan. Hanya Allah swt yang tahu.

Wassalam.


Wednesday, July 16, 2014

Bila Kita Bertaubat...



Assalam

Dalam peringkat Ramadhan yang kita sedang lalui ini, merupakan peringkat di mana kita sepatutnya banyak minta belas kasihan Allah swt, banyak minta ampun daripada-Nya, banyak bertaubat... kalau kita tak guna tempoh ini dengan sebaiknya, betapa ruginya kita. Wallahuaklam.

Pun begitu, bila kita bertaubat pada Allah swt, bermakna kita tak akan mahu mengulangi kesalahan dan kesilapan yang pernah kita lakukan. Tak bolehlah main cakap sahaja untuk sedapkan hati sendiri, kerana apa sahaja yang tersorok di ulu hati kita, Allah tetap tahu. Kalau kita bertaubat, biarlah dengan niat yang tepat... kita tak mahu sekali-kali melakukan kesalahan dan kesilapan itu lagi! Nauzubillah. semoga Allah swt menerima taubat kita, semoga Allah swt tidak berjarak dengan kita walau sedetik masa pun. Kalau kita terus melakukan kesalahan tanpa rasa kesal, pasti Allah akan terus biarkan kita lalai dan sesat. Nauzubillah.

Gunalah masa yang ada ini untuk memperbaiki akhlak dan iman kita, biarlah kita akan ditempatkan di syurga-Nya bila akhirat nanti. Selagi kita tidak kesal dan tidak bertaubat di atas kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan, selagi itulah kita akan berangan-angan tentang berada di ruang syurga. Wallahuaklam.

Semoga Ramadhan ini membawa keberkatan kepada kita, semoga kita berubah kepada kebaikan atau lebih baik daripada sebelumnya. Amin.

Wassalam.


Tuesday, July 15, 2014

Nuzul Quran

Assalam



"Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Qur'an yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w. hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M. Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq"
Kalau kita selalu menyambut hari jadi, hari ibu, hari bapa dan macam-macam hari lagi, jomlah kita sama-sama menyambut hari di mana Allah turunkan ayat al-Quran yang pertama kepada Baginda Nabi Muhammad s.a.w.
Orang Islam wajib beriman pada kitab suci al-Quran, kerana tanpa percaya padanya, samalah macam tak percaya pada Allah swt. Namun, sekadar percaya begitu-begitu sahaja tanpa mahu mengambil masa untuk mendalami ayat-ayat al-Quran, tiada juga erti yang besar dalam hidup kita. Jadikanlah budaya hidup untuk membaca ayat-ayat al-Quran, memahami ayat-ayatnya dan seterusnya mengamalkan apa yang Allah aturkan dalam kitab suci itu. Tak payahlah kita menunjuk-nunjuk kehebatan kita membacanya kalau kita hanya mampu untuk membaca sahaja tetapi tidak memahami dan tidak pula mempraktikkan apa yang terkandung dalam kitab suci itu. Sekalipun mungkin kita tidak bijak mana, namun kalau kita usahakan, siapa sahaja mampu membaca, memahami dan mempraktikkan semua yang terkandung dalam al-Quran.
Biarlah kalau kita masih merangkak-rangkak untuk membacanya, tetapi kita hidupkan semangat dan niat untuk membaca al-Quran, itu lebih baik daripada terus menunggu untuk jadi orang yang hebat membacanya. Tak payahlah nak bertanding, sekadar mampu untuk membacanya sudah baik, kerana bila kita terus usaha untuk terus membaca, akhirnya nanti pembacaan kita juga akan jadi lebih baik.
Betapa ruginya kita kalau kita tak ambil berat untuk memahami apa yang ada di dalam al-Quran. Segala-gala yang terkandung dalam kitab itu adalah jalan yang terbaik yang patut kita ikuti, termasuk segala mukjizat yang ada di dalamnya. Mukjizat al-Quran mampu mengubah seorang non muslim untuk menjadi muslim, ayat-ayatnya mampu untuk dijadikan ubat segala penyakit, termasuk penyakit berat, dengan izin Allah swt. Malah, ayat-ayat al-Quran mengandungi segala zat positif untuk hidup kita dan akhirat kita. Bacalah.
Saya hanya mahu berkongsi cerita ini yang pernah terjadi baru-baru ini dalam famili kami. Anak saudara suami saya telah koma akibat pecah 'brain stem' di dalam kepala. Mengikut kata pakar perubatan, dia tidak mempunyai harapan untuk hidup. Kami diberi 24 jam, itu sahaja. Namun, ahli keluarga tak mampu menerima keadaan 'terkejut' seperti itu, kerana pesakit masih muda dan mempunyai anak-anak yang masih kecil. Kata seorang doktor wanita Muslim kepada kami ketika itu, "Kamu hanya boleh berdoa sahaja... kerana semua ini adalah kehendak Ilahi." dan itulah yang kami lakukan. Berdoa dan tak putus-putus membaca al-Quran di sebelahnya. Alhamdulillah, umurnya terus panjang. Dia keluar dari koma setelah hampir sebulan tak sedarkan diri. Kini, dia sudah mampu untuk duduk. Sudah banyak yang bergerak, walaupun masih belum bercakap lagi. Malah, ketika pakar membuat CT Scan kepada kepalanya, sudah tidak kelihatan 'brain stem' yang pecah itu. Subhanallah.
Hanya dengan izin-Nya keajaiban seperti itu mampu berlaku, namun kita sebagai hamba-Nya perlu berusaha dan percaya bahawa kalau ajalnya belum tiba, akan ada cara yang diaturkan Allah untuk hamba-Nya. Masya-Allah.
Semoga kita akan terus jadi ummat Islam yang sentiasa berusaha untuk membaca, mencari segala rahsia Allah swt di sebalik ayat-ayat yang terkandung di dalam kitab suci al-Quran. Semoga kita terus berdoa pada Allah kerana Tuhan suka pada hamba-Nya yang rajin berdoa. Semoga teguh iman kita. Amin.

Wassalam.




Monday, July 14, 2014

Buatlah Dengan Ikhlas

Assalam

Mungkin pengajaran buat kita semua. Kalau nak berjaya, tak payahlah harapkan kederat seorang dua sahaja dalam kumpulan. Kita mesti pastikan satu kumpulan sama-sama bekerja keras, sama-sama cemerlang, barulah mampu untuk maju. Samalah dalam sebuah negara, kalau rakyatnya asyik bertelingkah sahaja, memang tak ke mana-manalah... sebab itulah pasukan bola yang gah seperti Brazil mampu tumbang dan tergolek! Mana mungkin seorang dua sahaja yang terpaksa jadi kuat untuk kuatkan pasukannya. Bila dia tak ada, maka musnahlah pasukan. Tengok pula Jerman... satu pasukan mempunyai semangat dan disiplin tinggi, sebab itu pasukan Jerman mampu menjadi jaguh bola dunia.

Di mana-mana pun serupa. Mengapa kerajaan Andalusia yang pernah gilang-gemilang itu akhirnya tumpas juga? Kerana ahlinya jadi tamak dan berebut-rebut. Maka sekalipun pernah cemerlang, akhirnya jatuh tergolek jua.

Begitulah keadaan di Palestine hari ini, walaupun dikelilingi negara-negara Arab yang sama agama, kaya-raya dan mampu untuk buat apa sahaja, tetapi malangnya bila tidak bersatu, tidak mampu untuk fikirkan Palestine sebagai pasukannya, maka inilah yang sedang terjadi. Palestine terus dizalimi!

Apa bezanya dengan keluarga-keluarga di Malaysia atau di mana-mana sahaja yang banyak kelihatan lemah dan kecundang. Semuanya terjadi kerana mungkin ketua keluarga tak mainkan peranan dan ahli keluarga pula tak pernah bersatu. Maka punahlah institusi keluarga, maka rosaklah negara. Cuba kita fikirkan. Atau mungkin kita tak kisah pun, apa nak jadi, jadilah. Yang penting nafsu kita puas. Perasaan tamak kekal dalam jiwa. Busuk hati tetap ada. Dengki kita sematkan sampai bila-bila. Iman kita biarkan goyah, konon-konon ada masa untuk bertaubat pada Allah ta'ala. Sedihnya.

Jom kita fikirkan semua ini di hari baik dan bulan yang baik. Kalau kita bekerja dalam syarikat yang ada bisnes, pastikan kita turut bekerja kuat untuk datangkan keuntungan, bukan sekadar makan gaji buta sahaja. Begitu juga kalau bekerja dengan kerajaan, biarlah apa sahaja yang kita dapat sebagai gaji adalah pendapatan yang halal, kerana titik peluh kita, bukan sekadar fikirkan perut dan tekak kita sahaja. Tak kisahlah di mana kita kerja, pastikan kita beramanah, bekerja secara kumpulan dan tidak tinggalkan ibadah. Buatlah apa-apa pun biarlah dengan ikhlas.

Wassalam.





Sunday, July 13, 2014

Bila Dah Buat Salah... Hidup Dalam Ketakutan.

Assalam

Hari ini dah pun masuk hari ke 15 puasa, alhamdulillah. Semoga Allah swt memberi umur dan kemudahan untuk kita terus jalankan ibadah puasa, amin. Semoga kita terus berdoa untuk Gaza dan rakyat Palestine yang sedang dizalimi puak yahudi.

Semalam, kami sekeluarga berbuka puasa di rumah adik saya di Shah Alam. Semuanya okey, alhamdulillah.

Dalam pada itu, di hari yang baik dan bulan yang baik, mungkin kita juga patut sentiasa bermuhasabah. Bila kita sedar yang kita sudah lakukan kesalahan atau kesilapan, apakah mudah juga kita untuk melupakannya? Kalau senang, maknanya kemungkinan besar kita akan melakukannya lagi, kerana kita tidak ambil berat dengan perbuatan salah itu. Pun begitu, ada juga orang yang sangat mudah memadamkan kesilapan yang dilakukan dalam kotak memorinya. Konon-konon lebih baik begitu untuk terus berganjak ke hadapan.

Ada pula tu, payah nak lupa akan kesalahan yang dilakukan dan kerana itu, hidupnya terus dalam fobia, takut kalau-kalau kerana kesalahan yang sudah dilakukan itu akan mendatangkan sesuatu keburukan yang tidak diduganya. Misalnya, kalau dia melakukan sesuatu yang buruk ke atas orang lain, kemudiannya tahu akan kesalahannya, kini hidupnya bagaikan tertunggu-tunggu apa yang akan berlaku kepada dirinya. Seolah-olah, sesuatu akan menghampirinya atau ahli keluarganya, atau rakan-rakannya dan kesalahannya itu akan terbongkar pada umum terutama ahli keluarganya. Kerana itulah dia terus berada dalam ketakutan.

Pernahkah anda rasa begitu?

Bila berjalan, anda menoleh sana-sini, takut terserempak dengan apa-apa yang akan mengejutkan anda. Atau mungkin, ketika memandu anda terasa bagaikan ada yang sedang mengekori anda? Atau mungkin, bila sedang buat kerja di pejabat, anda takut kalau-kalau 'orang yang anda takut itu' muncul di depan anda! Paling takut, kalau-kalau 'orang yang anda takut itu' tiba-tiba muncul dan beri anda penampar di muka di depan rakan-rakan kerja anda!

Fobia!

Anda terus hidup dalam ketakutan dek kerana kesalahan yang anda pernah lakukan. Allahuakbar.

Sebab itulah anda terus mengintai-intai, cuba melihat pergerakan 'orang yang anda takut itu', konon-konon cuba bersedia.

Wassalam.

Di rumah adik saya semalam

                                    Timun betik istimewa untuk pencuci mulut - di rumah adik saya
                                                  Corner yang menarik di rumah adik saya
                                                           Semasa tunggu untuk iftar




Saturday, July 12, 2014

Terjerat Akibat Kezaliman

Assalam

Hari ini saya dan famili akan berbuka puasa di rumah adik saya di Shah Alam. Kalau ikutkan hati, saya tak mahu berbuka puasa di rumah orang luar, tetapi kerana jemputan datang dari adik saya, kami akan tunaikanlah, insyaa-Allah.

Tentunya kita sebagai ummat Islam sangat terkesan dengan apa yang sedang berlaku di bumi Palestine pada hari ini. Rata-rata kita semestinya sangat sedih dengan apa yang berlaku di bumi Palestine itu. Kalau tak berduit untuk membantu, mungkin kita masih mampu untuk hulurkan doa kita agar mereka di sana tidak terus-terusan sengsara akibat perbuatan makhluk bongkak yang bergelar zionis. Tak usahlah pula kita sekadar bersimpati tetapi tak berdaya untuk berbuat apa-apa, kerana apa yang berlaku di sana dan juga di tempat lain, masih merupakan tanggung jawab kita bersama. Bukan untuk pergi ke sana berperang, tetapi kita berikan sokongan moral dengan memberikan apa sahaja yang kita mampu. Takkanlah kita tak mampu apa-apa pun, kerana kalau kita mampu untuk beli makanan dan pakaian, pasti kita mampu untuk memberi sedikit daripada rezeki kita kepada mereka di sana. Jom, jangan kedekut sangat!

Pun begitu, kita tak usahlah berasa hampa sangat kerana Gaza diserang puak yahudi, kerana sudah disebut dalam al-Quran bahawa puak yahudi ini akan menjadi musuh Islam hingga kiamat. Jadi... tak usahlah kita terkejut dengan tindakan zalim mereka. Malah, kita renung pada diri kita insan yang bergelar Muslim, apakah kita di dunia ini sedang bersatu untuk menyerang musuh? Tak usahkan untuk melindungi diri kita daripada pihak mereka yang zalim, malah kita sesama Muslim masih berlaku zalim. Kita berbunuh, berdengki sesama sendiri, malah kita kafir-mengafir sesama sendiri. Mungkin inilah 'kiffarah' yang perlu kita terima dan ujian untuk pastikan iman kita tetap pada yang Satu. Subhanallah. Yang zalim sedang ketawa melihat kita begitu lemah sekali dan inilah ujian-Nya... selagi ummat Islam tidak bersatu, maka kita akan terus dizalimi mereka yang sedia zalim. Malah, ummat Islam sendiri wajib untuk tidak menjadi puak yang zalim kerana Islam itu tidak pernah zalim.

Janganlah kita sekadar pandai berkata-kata tetapi kita tidak mahu bertindak untuk berubah. Selagi kita tidak amalkan apa yang Allah swt mengarahkan kita, selagi itulah kita akan menzalimi diri kita sendiri dengan tidak bersatu. Wallahuaklam.

Wassalam.




Friday, July 11, 2014

Lempuk Durian di Andalusia

Assalam

Semalam saya sangat sibuk, macam-macam yang hendak saya uruskan. Alhamdulillah, semuanya okey dapat settle.

Sajalah nak bercerita dengan anda sekelian, mungkin ingin kembali ke nostalgia lama ketika saya budak-budak dan remaja. Semasa tinggal di Kuala Kangsar, rumah kami dikelilingi pokok durian dan setiap kali musim durian, berlambaklah buahnya. Kadang-kadang terlalu banyak hinggakan kami tak termakan. Ketika itu, ibu saya akan buat lempuk. Buat juga tempoyak, tetapi lempuk lebih popular. Kami akan kirimkan lempuk buatan ibu saya sampai ke Kuala Lumpur, Singapura dan Indonesia untuk abang-abang dan kakak saya yang semuanya berada jauh. Saya memang suka sangat lempuk buatan ibu saya sebab sangat 'original'. Kadang-kadang jumpa juga lempuk yang orang lain jual, tapi tak pernah jumpa yang asli, mesti ada tambah tepung. Rasanya tak enak seperti lempuk ibu saya.

Sekarang ini sedang musim durian. Harga durian pun agak rendah sebab bila bulan puasa, tak ramai yang teringin nak makan durian. Jadi durian berlambak di pasaran. Kata adik saya, durian di Gombak ada yang jual sebakul sepuluh ringgit sahaja. Adoi, murah giler! Adik saya kata, di Perak durian berlambak-lambak. Saya teringatlah pada lempuk ibu saya. Alangkah indahnya kalau dapat buat lempuk macam tu lagi.

Minggu ini juga, saya sedang mengikuti sata program dokumentari di stesen TV AlHijrah, namanya 'The Truth' dan kisah yang dipaparkan ialah tentang kehebatan 'Andalusia' di Sepanyol suatu ketika dahulu. Tentunya memori kami kembali ke Andalusia yang baru lagi kami pergi. Bila tengok program itu, kami sedar yang ada banyak lagi tempat yang kami tak sempat melawat di Cordoba dan juga Granada. Alangkah cantiknya kalau dapat kembali ke Andalusia sekali lagi, mungkin untuk melihat tapak 'Medina Azzahara', sebuah kompleks yang terbesar dibina di dunia ketika itu. Minggu depan saya akan 'follow' lagi program dokumentari ini, rasa tak boleh misslah.

Kata suami saya, " Mungkin next time kalau kita pergi Spain, kita lepak aje kat Andalusia. Duduk lama sikit, bolehlah kita tengok macam-macam." Suami saya juga teruja. Jadi bila saya bangkitkan tentang lempuk tadi, suami saya kata, "Apa kata kita buat aje lempuk tu, nanti kita bawak pergi Andalusia makan kat sana." Semestinya saya tergelak. Memang suami saya suka makan lempuk. Bayangkan kalau dapat makan lempuk di Andalusia sambil lepak-lepak di kawasan lorong kecil yang warna-warni di Cordoba. Adoi... macam mimpi aje. Tapi... mana tahu, kan? Kadang-kadang mimpi mampu jadi satu realiti. Insyaa-Allah, kalau diizinkan Allah swt, apa sahaja yang kita idamkan, Allah akan beri.

Dulu, masa saya remaja, saya sering mimpi dan berangan-angan untuk pergi ziarah ke tempat-tempat menarik di dunia ini (saya suka baca buku) dan alhamdulillah, Allah makbulkan apa yang saya impikan itu.
Syukur ya Allah pada semua nikmat yang Kau berikan kami.

Wassalam.



                                   Di atas tu ialah mesquita atau Masjid Cordoba di Andalusia.
                                             Di bawah pula ialah lempuk durian yang lebih asli
                                                            Lorong kecil di pekan Cordoba
 
                                               
                                               Cordoba dan lempuk durian yang kurang original

Wednesday, July 09, 2014

Kematian Yang Pasti

Assalam.

Di hari baik dan bulan yang baik, seorang lagi kenalan kami meninggal dunia. Allahyarham Faisal adalah orang kampung saya yang rumah ibu bapanya terletak di depan rumah keluarga kami di Kuala Kangsar. Arwah ayah Faisal pula adalah tok guru yang mengajar kami mengaji Al-Quran. Suatu ketika dahulu, anak-anak arwah Pak Majid adalah rakan-rakan sepermainan kami adik beradik.

Al Fatihah buat rohnya, semoga tergolong dalam mereka yang beriman, amiinn.

Allahyarham Faisal kami panggil 'Acai' dan dia jauh lagi muda daripada saya, tetapi telah dikhabarkan mengidap penyakit kronik sejak beberapa tahun yang lalu. Terakhir saya jumpa Allahyarham Faisal ketika berada di tanah perkuburan Kuala Kangsar ketika abang angkat saya, Yeop meninggal dunia. Dia juga turut hadir sama walaupun dalam keadaan yang uzur.

Adik saya Fikri telah pulang ke Kuala Kangsar mewakili keluarga kami.

Semoga rohnya tenteram di alam barzakh. Amin.

Mungkin sangat baik kalau kita sentiasa ingat kepada kematian. Kalau kita lupa, bermakna kita tak akan ambil kisah tentang kebaikan dan amal jariah yang perlu kita lakukan ketika masih bernyawa. Malah, kita tak ambil kisah tentang ibadah yang perlu kita lakukan, apatah lagi kegiatan dakwah yang juga merupakan kewajipan kita. Tambah pula kalau kita masih muda, kita ingat kita akan lambat mati, namun Allah yang mengaturkan segala-galanya. Walaupun muda, kalau dah sampai ajal, kita akan diambil pergi jua. Semoga kita sentiasa beringat, bukan sekadar mengejar harta dunia sahaja. Wallahuaklam. Kerana akhirnya, kita akan ke sana juga.

Wassalam.






Tuesday, July 08, 2014

Nafsu

Assalam

Di bulan Ramadhan yang mulia ini, biarlah kita sentiasa mengingatkan diri untuk lakukan yang terbaik mungkin, insyaa-Allah. Bagi saya, saya mahu sentiasa memperbaiki segala yang kurang pada diri, walaupun tak mungkin jadi insan yang sempurna, setidak-tidaknya mampu untuk buat yang baik-baik lebih banyak daripada yang tidak baik, insyaa-Allah.

Dalam hal ini, mungkin kita wajib lihat pada perkataan 'nafsu' itu, satu perkataan yang lebih banyak perkara negatif yang berkait dengannya. Kalau kita kuat pada nafsu, tentu kita akan sentiasa kalah dalam iman, kerana lawannya iman ialah nafsu. Manusia jadi lemah bila kuat pada nafsu. Nafsu kaitkan kita dengan sikap buruk seperti tamak dan haloba, dengki, shahwat yang tak terkawal, berbelanja luar kemampuan, cemburu giler, dan tentunya sikap ini disukai syaitan dan iblis kerana melalui 'nafsu' manusia lebih mudah digoda lalu akan lemahlah iman. Melalui nafsu, manusia mampu jadi pembohong dan penipu, mampu jadi perasuah, pembunuh, pencuri, jadi kaki judi, kaki minum, kaki hutang dan macam-macam lagi. Manusia akan lupa daratan kerana nafsu. Manusia juga akan pentingkan diri sendiri.

Bagaimana kita mampu untuk melawan nafsu? Mungkin tidak mudah, tetapi tidak juga payah. Terpulang pada diri kita sama ada mahu melawannya atau mahu mengikutnya. Kalau mahu melawannya, kita wajib berusaha keras untuk memperbaiki diri agar iman kita menjadi kuat. Bila kuat iman, kita boleh kalahkan nafsu dengan mudah. Orang yang berpuasa ikhlas kerana Allah, mampu untuk melawan nafsu. Orang yang berusaha untuk mengabdikan diri pada Allah mampu juga untuk kalahkan nafsu. Kalau fokus kita lebih tertumpu pada Tuhan, pasti kita mampu lawan nafsu kerana kita akan sedar bahawa nafsu itu adalah syaitan yang sedang melemahkan iman. Kalau kita sayang pada iman kita, kita akan tolak nafsu dengan mudah kerana kita juga tidak mahu duduk bersama-sama syaitan. Wallahuaklam.

Kalau kita hidup di dunia ini dengan utamakan 'nafsu' semestinya kita akan kalah di akhirat nanti. Namun kalau kita utamakan iman kita, maka kita hidup di dunia dan akhirat dengan kemenangan. Pastinya kita mahukan kemenangan kerana itulah yang akan membawa kita ke syurga, insyaa-Allah.

Semoga kita sama-sama berusaha untuk kuatkan iman dan buangkan nafsu negatif dalam diri.

Wassalam.

                                                                           sekadar hiasan

Monday, July 07, 2014

Biar Memberi Bukan Meminta

Assalam
Alhamdulillah, dalam kesibukan menjalankan ibadah puasa, masih sempat lagi untuk 'entertain' teman-teman yang datang untuk buka puasa dengan kami pada hujung minggu yang lepas. Subhanallah.

Dalam hari dan bulan yang baik ini, mungkin juga elok kalau kita berkata-kata yang baik juga. Semestinya satu anugerah kalau kita dapat meninggal dunia pada bulan yang mulia ini. Bertambah baiknya setelah kita meninggal dunia, orang ramai dan masyarakat berkata-kata yang baik tentang diri kita. Betapa amannya roh kita di alam barzakh, wallahuaklam. Kerana itu juga, selagi kita ada umur dan selagi kita hidup di dunia ini, kita carilah jalan untuk buat amal ibadah semaksimum mungkin. Banyak-banyaklah bersedekah, berzakat, menghulurkan apa sahaja sekalipun kecil. Bertambah banyak yang kita beri, bertambah banyak barakahnya yang Allah berikan kepada kita. Tangan yang memberi adalah jauh lebih baik daripada tangan yang mengambil. Jadi... jangan berasa bangga bila kita dapat sesuatu daripada orang lain, tetapi banggalah (tanpa beritahu orang lain) sekiranya kita dapat memberi pada orang lain dan seterusnya meringankan beban mereka yang perlukan pertolongan. Masya-Allah.

Jangan jadikan diri sebagai insan yang suka meminta-minta dan mencari jalan untuk mengambil orang lain punya, jauh lagi baik kalau kita yang terasa seperti tak ada, tetapi berjaya juga untuk menghulurkan. Subhanallah.

Semoga kita menjadi insan yang pemurah dan jadilah pemurah kerana Allah ta'ala.

Wassalam.



Saturday, July 05, 2014

Perginya Allahyarham Biduanita Sharifah Aini


Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini meninggal dunia

Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini meninggal dunia awal pagi Sabtu di Pusat Perubatan Pakar Damansara.
KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah meninggal dunia awal pagi Sabtu di Pusat Perubatan Pakar Damansara.

Allahyarham yang berusia 61 tahun menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 1.26 pagi akibat jangkitan pada paru-paru.

Jenazah akan dibawa ke Masjid At Taqwa Taman Tun Dr Ismail pada selepas solat Subuh dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara sebelum solat Zohor.

Allahyarham meninggalkan seorang anak, Aliff Omar.


Mungkin anda semua sudah pun mendengar berita ini. Semoga rohnya di tempatkan di kalangan mereka yang beriman. Apapun, saya teringat ketika saya merupakan pelajar di Universiti Malaya. Saya dan seorang teman, pernah ke rumah Allahyarham untuk bertanya tentang sebuah program amal yang kami jalankan. Ketika itu Allahyarham sedang berada di tahap populariti yang sangat tertinggi. Beliau sangat baik budi dan telah menjemput kami untuk berbual-bual di ruang tamu rumahnya sambil minum jus mangga yang tersedap di dunia.

Al Fatihah buat rohnya.

Wassalam.


Friday, July 04, 2014

Masak dan Makan

Assalam

Alhamdulillah hari ini masuk hari keenam kita berpuasa. Semoga Allah swt terima ibadah kita ini. Semoga kita sama-sama berusaha untuk tingkatkan amalan kita di bulan yang mulia ini, insyaa-Allah.

Alhamdulillah juga tahun ini saya telah menjadi tukang masak di rumah. Biasanya ibu saya yang lebih memasak di rumah kami, tetapi tahun ini untuk bulan Ramadhan, saya pilih untuk memasak pula. Bukannya apa, tetapi mahu ibu saya lebih berehat. Walaupun ibu saya masih tegap lagi, tetapi kadang-kadang mungkin imaginasi untuk memasak makanan yang berbeza-beza agak merumitkannya. Kebetulan, saya kurang sibuk, jadi saya pilih untuk memasak pula, apatah lagi anak-anak mempunyai pelbagai cita rasa yang ibu saya tak mudah untuk melayan. Mujurlah suami saya jenis yang tak cerewet, apa sahaja yang kita siapkan, dia mesti senang, alhamdulillah. Saya tahu apa yang suami saya suka makan, jadi memang tiada masalah, alhamdulillah. Saya juga 'enjoy' siapkan pemanis mulut, ada macam-macam resepi yang saya keluarkan... haha... macam lah terer sangat! Apa-apa pun, memang saya seronok untuk masak. Di rumah saya, ketika buka puasa, memang ramai yang ada. Anak-anak dan menantu-menantu, dan juga cucu-cucu. Hujung minggu pula, pasti akan ada tetamu yang berbuka sekali, insyaa-Allah.

Sejak beberapa tahun yang lalu, saya memang tak suka berbuka di luar. Bagi saya, jauh lagi selesa berbuka di rumah sahaja. Banyak yang boleh dilakukan bila berada di rumah. Saya juga tak suka ke pasar Ramadhan kerana tak mahu membazir. Biasanya makanan yang dibeli di pasar Ramadhan tidak memuaskan rasa di tekak, jadi kalau beli juga, pasti akan ada pembaziran. Apa tah lagi bila melihat pelbagai makanan yang dijual, pasti akan membeli lebih daripada keperluan. Wallahuaklam. Jadi masak di rumah 'is the best'!

Dalam kesibukan memasak, saya juga curi-curi untuk menulis. Ada skrip yang perlu saya uruskan dan saya pun sedang duduk fikirkan tentang novel akan datang yang saya akan mula menulis. Maklumlah, seorang penulis tak akan mudah untuk lupakan tugasnya, alhamdulillah.

Semoga kita teruskan aktiviti baik-baik untuk hari-hari yang mendatang ini. Elakkan diri daripada melakukan kerja-kerja buruk yang akan rosakkan akhlak dan iman. Sebagai orang Islam, biarlah kita jadi orang Islam yang baik budi pekertinya. Buat apa pun, ingat pada Allah swt, jangan jadikan iblis teman baik kita. Nauzubillah.

Wassalam.



                                              Pelbagai jenis pudding untuk berbuka puasa.