Assalam
Esok, in syaa Allah saya tak update blog hingga Isnin minggu hadapan. Saya dan sebahagian dari keluarga akan ke Bandung, Indonesia. Alhamdulillah tahun ini, ini merupakan lawatan ketiga saya dan suami ke Bandung. Syukur kerana Allah izinkan kami ke sana dan dapatlah saya berjumpa Ami Mustafa, bapa saudara saya yang masih ada lagi di sebelah ayah saya. Alhamdulillah. Semestinya, si kenit-kenit anak Irfan sangat excited untuk ke sana. Termasuklah Rustam yang kini berumur 14 tahun. Rustam adalah anak tiri Irfan, anak sulung menantu saya. Sudah hampir tiga tahun Rustam di negara ini dan sudah pandai dia bercakap bahasa Melayu, termasuk loghat Negeri Sembilan.
Ya Allah, segala apa yang Allah berikan kepada kami, hanya kata-kata syukur sahaja yang mampu kami hulurkan. Kami di sini kerana Allah ta'ala, tiada apa-apa lagi yang lebih berkuasa daripada-Nya.
Setiap langkah kita, setiap perbuatan kita, biarlah kita buat semua itu kerana Allah swt. Kita hanya tumpang di dunia ini buat sementara waktu sahaja. Yakinlah bahawa Akhirat itu wujud dan kita semua akan ke sana nanti, jadi pastikan sementara ada hayat kita biarlah kita lakukan kebaikan dan elakkan diri dari semua perbuatan yang menyesatkan.
Biasanya, untuk melakukan dosa sangat menyeronokkan kerana ketika berbuat dosa, syaitan berdampingan dengan kita. Namun perbuatan maksiat dan dosa itu tidak membawa apa-apa keuntungan, malah merugikan dunia akhirat kita. Sekalipun menangis keluar darah pun, kalau kita tersesat, maka akan ada kemudaratannya. Bertaubatlah. Pastikan kita bersih daripada segala maksiat dan perbuatan yang berdosa.
Bukan susah untuk berbuat baik. Bukan juga susah untuk berbuat jahat, tetapi apa untungnya kalau hidup dalam maksiat? Apa untungnya kalau hidup gilakan material, mahukan keseronokan yang memudaratkan diri? Itulah kejahilan dan kebodohan. Jadilah manusia yang guna akal dan fikiran. Jadilah manusia yang beriman pada Tuhan, semoga kita tidak terperangkap dalam kejahilan dan jadi mainan syaitan.
Doakan yang baik-baik untuk kami ketika bermusafir, semoga Allah kurniakan ganjaran buat kita semua dengan menetapkan iman dan menjadi insan yang ada ilmu dan rajin beribadah dan buat amalan. Aamiin.
Wassalam.
Rustam bersama saya dan Azri Khairy