Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, December 14, 2017

Buat Apa Beli Rumah Mahal?

Assalam

Ramai orang rasa tertekan kerana harga rumah sekarang ini sangatlah tinggi. Rumah teres satu tingkat pun mahal, apatah lagi rumah banglo atau rumah mewah... sampai berjuta-juta harganya. Kalau dulu-dulu, bila dah bekerja beberapa tahun, memang dah mampu untuk mula beli rumah. Dalam lingkungan umur 20an, dah mampu beli rumah sekalipun rumah semi-D atau banglo. Tapi sekarang ini, dah masuk 30an pun belum tahu mampu atau tidak kecualilah memegang jawatan 'up' dan bekerja di tempat yang 'up' jugak.

Pun begitu, mungkin kerana tertekan dengan kehendak masyarakat, ramai yang terjerat dengan hutang yang tinggi kerana nak beli rumah! Macam segan kalau masih tinggal di rumah sewa sebab orang akan selalu bertanya, "Rumah yang awak duduk ni rumah sewa ke rumah sendiri?" Hah apa nak jawab? Masalah besarnya, ramai yang hidup berbelanja lebih dari gaji! Kalau gaji sekadar RM3K sebulan, berbelanja mungkin RM4.5K sebulan. Memang parahlah.

Kalau membeli rumah yang harga tak tinggi pun, mungkin menelan belanja lebih seribu sebulan untuk membayar ansurannya. Beli kereta pun tak mahu yang kokak, mesti nak cari yang ada standard. Akhirnya bila terima gaji, awak pun gigit jari. Nak beli minyak, nak makan and nak beli pakaian, awak mulalah meminjam sana-sini. Memanglah cari mati namanya!

Mungkin kalau kita belajar berjimat cermat dan buat tak tahu tentang kehendak masyarakat, kita akan hidup lebih tenteram. Ada duit sikit-sikit, kita kumpul. Tak usah beli rumah dulu tapi mungkin kita beli tanah dulu. Tak payahlah nak cari tanah dalam bandar, jauh sikit pun tak apa. Bila ada duit nanti, kita buatlah rumah atas tanah yang kita beli tu. Buat macam itu jauh lagi menjimatkan. Bila dah tua, kita akan rasa lebih selesa dan seronok. Yang utamanya, kita tak banyak hutang, selebihnya mungkin kita dapat tinggal dalam suasana yang lebih selesa dan sesuai dengan kita dan punyai kawasan yang jauh lebih luas. Udara juga jauh lebih baik daripada tinggal di bandar besar.

Memang tak salah pun kalau kita duduk di rumah sewa. Janji kita tidak terbeban. Janganlah pula menyewa rumah mahal yang kita tak mampu. Itu namanya memang bahlul lah! Cari yang patut-patut. Hidup hari ini memerlukan hati yang kental dan jangan suka ambil peduli dengan apa orang lain akan kata! Kerana kalau kita ambil pot pasal tu, kitalah yang akan kecundang nanti dengan hutang sekeliling pinggang. Akhirnya kita tak boleh tidur malam. Baik tak baik, kita akan selalu berkelahi dengan pasangan dan mungkin juga rumah tangga mampu roboh! Nauzubillah min zalik.

Fikir-fikirkanlah. Hidup mestilah sederhana dan hidup dengan apa yang kita mampu sahaja.

Wassalam.
                                   Kalau ada tanah, bolehlah buat rumah comel macam ni.