Saya tidak membuat sebarang perancangan, tiba-tiba sahaja suami mengajak. Mula-mula tu, rasa malas nak ikut, maklumlah saya tahu tempat itu tempat baru, takut tak ada tempat untuk saya melepak. Tetapi... alahai kesian pulak tengok muka cik abang saya, jadi saya pun bersetuju untuk teman dia. Biasanya, suami saya ke Johor menaiki kapal terbang, tetapi semalam dia terpaksa menghadiri mesyuarat petang dan tak sempat nak book flight. Terpaksalah memandu saja ke Johor. Katanya, "Jomlah teman I ke Nusajaya." Jadi, ke sanalah saya semalam. Mujurlah tak perlu keluar awal-awal pagi, sebab mesyuaratnya jam 2.30 petang.
Jam 10.00 pagi, kami berangkat ke Johor. Kami berhenti makan tengah hari di R&R Machap dan lepas itu terus masuk ke bahagian baru negeri Johor, yang dikatakan berada di bawah penyeliaan Iskandar Region Development. Kami ke Nusajaya (suami saya sedang menguruskan pembangunan sebuah hotel lima bintang) di kawasan itu, bersebelahan dengan Puteri Harbour. Sesampainya kami di kawasan itu, aduhai... tak sangkalah pulak tempat itu ala-ala menarik! Rasanya macam kat 'overseas' pulak. Macam Australia... kebetulan, arkitekturnya banyak ikut desain dari negara itu.
Kami ke Puteri Harbour, sebab suami saya mesyuarat di situ. Dapatlah saya melihat bot-bot dan kapal layar yang berlabuh di pelabuhan itu. Kata suami saya, tuan punya bot dan kapal layar, kebanyakannya orang asing... dari Jepun , Australia, Singapura dan negara-negara lain. Dari Nusajaya... kita boleh lihat Singapura... macam dekat sangat-sangat.
Kami minum-minum di kedai makan yang tersedia dan selepas itu, saya meronda-ronda Puteri Harbour. Tengok model pembangunan tempat itu dan selepas itu, saya melepak dengan novel saya, sementara tunggu cik abang bermesyuarat.
Lewat petang, kami ke Gelang Patah (tak jauh dari situ), memang tempat itu sudah berbeza dari dulu. Selepas tu, kami terus mengahala ke Lebuhraya untuk pulang. Berhenti seketika di Kluang (minum kopi stesen Kluang) dan sampai di rumah lewat jugaklah. Apa pun, saya seronok pergi ke Nusajaya. Anda semua tak nak pergi ke?
PS: Maaflah, saya ambil gambar guna handphone saja.