Buatlah apa yang hati kita suka dan apa yang kita tahu Allah akan suka. Buat baik akan dibalas baik...
Nature
Cinta baru dalam hidupku
Followers
Monday, February 06, 2012
Islam Ada Pada Imanku
Salam pagi Isnin
Tentunya anda masih bercuti dan mungkin mengambil kesempatan untuk berehat-rehat atau berjalan-jalan. Saya memang tidak ke mana-mana, duduk di rumah dan buat kerja.
Semalam merupakan hari kita menyambut Mualidur Rasul, mengingati perjuangan Nabi Muhammad s.a.w., mengingati juga segala sejarah dan peristiwa yang ditinggalkan baginda untuk menyebarkan Islam pada ummat seluruh alam. Dalam hal ini, tiada yang mudah untuk baginda, sekalipun baginda merupakan seorang Rasul yang dipilih Allah s.w.t.
Tentunya Allah s.w.t. mengasingkan para Nabi dan Rasul daripada manusia biasa, melalui segala mukjizat yang diturunkan.
Kenapa tidak Tuhan jadikan Nabi junjungan kita s.a.w. seperti 'superhero' cerita-cerita Hollywood, bagaikan ada kekebalan dan tak boleh dikalahkan? Nabi Muhammad s.a.w. terpaksa melalui pelbagai tohmahan, kezaliman orang sekeliling, keganasan dan pelbagai kerumitan dalam usahanya untuk menyebar agama Islam dan mengajak mereka yang jahil untuk bertuhankan Allah s.w.t. Tentu ada hikmah dan hidayahnya. Kalaulah Nabi Muhammad itu dijadikan begitu (macam superhero), tentu ramai yang akan menyembahnya dan bukan pada Allah s.w.t., kerana di zaman itu, termasuk juga di zaman ini, kejahilan mampu membuat manusia itu keliru.
Sekarang ini, kalau kita dengar ada bomoh atau orang yang pandai ilmu (tak tahulah ilmu apa), kita akan pergi padanya untuk dapatkan khidmatnya, tak kira berapa pun menjadi upahnya. Kita ada Allah s.w.t. yang merupakan Tuhan kita untuk dapatkan petunjuk-Nya, untuk mengadu di atas apa sahaja kesusahan kita, untuk doakan rezeki, untuk mintakan kebaikan di dunia dan akhirat, dan mohon untuk pulihkan dari segala kesakitan. Tentunya kita berusaha untuk dapatkan apa yang kita mahukan di dunia ini, tetapi bukan untuk mensyirikkan iman kita, kerana percaya ada kuasa lain yang juga hebat dan dapat membantu kita di dunia ini.
Namun begitu, ramai yang masih sanggup lakukan apa sahaja untuk menyekutukan Allah, semata-mata kerana tidak mempunyai kesabaran untuk dapatkan apa yang dimahukan. Manusia tidak tahan dengan ujian, tidak sanggup menunggu dan tak mahu melalui sebarang kesusahan dan kerana itu juga banyak manusia di luar sana mahu lakukan apa sahaja untuk ambil alih kerja Tuhan. Mereka yang membuat pelbagai tafsiran dan tunjukkan masa depan. Mereka kata mereka nampak dan mampu melihat macam-macam yang orang lain tak nampak. Mereka tahu siapa 'buat' siapa. Mereka akan gunakan khidmat 'ghaib' untuk tunjukkan kekuatan. Nauzubillah. Dan ramailah yang datang menjadi pelanggan.
Bayangkanlah kalau Allah s.w.t. tidak wafatkan Nabi junjungan kita. Maka kita semua kemungkinan besar akan mentuhankan Muhammad s.a.w. Bayangkanlah kalau Nabi junjungan kita tidak sakit. Ramai yang akan ke kuburnya dan jadikan ia berhala mungkin (wallahua'lam). Kalau Nabi Muhammad s.a.w. kebal, mungkin ummat di zamannya akan masuk agama Islam tanpa berfikir, kerana mereka taksub dengan kekebalannya, bukan kerana yakin dengan kewujudan Allah s.w.t.
Apa yang saya tulis ini sekadar untuk mengingatkan kita bahawa Nabi junjungan kita mempunyai peranan yang hebat dan luar biasa dan akhlaknya yang mulia itulah yang mampu menyebarkan agama Tuhan, Allah s.w.t. Segala mukjizat anugerah Ilahi yang ada padanya mampu menolongnya untuk menyebarkan agama Islam, menjadi kukuh hingga ke hari ini. Pun begitu, janganlah kita lemahkan iman, lalu tanpa sedari, menyekutukan Tuhan. Sama-samalah kita renungkan agar keimanan menjadi kukuh hingga ke akhirat.
Wallahua'lam.
Subscribe to:
Posts (Atom)