Assalam
Mungkin pengajaran buat kita semua. Kalau nak berjaya, tak payahlah harapkan kederat seorang dua sahaja dalam kumpulan. Kita mesti pastikan satu kumpulan sama-sama bekerja keras, sama-sama cemerlang, barulah mampu untuk maju. Samalah dalam sebuah negara, kalau rakyatnya asyik bertelingkah sahaja, memang tak ke mana-manalah... sebab itulah pasukan bola yang gah seperti Brazil mampu tumbang dan tergolek! Mana mungkin seorang dua sahaja yang terpaksa jadi kuat untuk kuatkan pasukannya. Bila dia tak ada, maka musnahlah pasukan. Tengok pula Jerman... satu pasukan mempunyai semangat dan disiplin tinggi, sebab itu pasukan Jerman mampu menjadi jaguh bola dunia.
Di mana-mana pun serupa. Mengapa kerajaan Andalusia yang pernah gilang-gemilang itu akhirnya tumpas juga? Kerana ahlinya jadi tamak dan berebut-rebut. Maka sekalipun pernah cemerlang, akhirnya jatuh tergolek jua.
Begitulah keadaan di Palestine hari ini, walaupun dikelilingi negara-negara Arab yang sama agama, kaya-raya dan mampu untuk buat apa sahaja, tetapi malangnya bila tidak bersatu, tidak mampu untuk fikirkan Palestine sebagai pasukannya, maka inilah yang sedang terjadi. Palestine terus dizalimi!
Apa bezanya dengan keluarga-keluarga di Malaysia atau di mana-mana sahaja yang banyak kelihatan lemah dan kecundang. Semuanya terjadi kerana mungkin ketua keluarga tak mainkan peranan dan ahli keluarga pula tak pernah bersatu. Maka punahlah institusi keluarga, maka rosaklah negara. Cuba kita fikirkan. Atau mungkin kita tak kisah pun, apa nak jadi, jadilah. Yang penting nafsu kita puas. Perasaan tamak kekal dalam jiwa. Busuk hati tetap ada. Dengki kita sematkan sampai bila-bila. Iman kita biarkan goyah, konon-konon ada masa untuk bertaubat pada Allah ta'ala. Sedihnya.
Jom kita fikirkan semua ini di hari baik dan bulan yang baik. Kalau kita bekerja dalam syarikat yang ada bisnes, pastikan kita turut bekerja kuat untuk datangkan keuntungan, bukan sekadar makan gaji buta sahaja. Begitu juga kalau bekerja dengan kerajaan, biarlah apa sahaja yang kita dapat sebagai gaji adalah pendapatan yang halal, kerana titik peluh kita, bukan sekadar fikirkan perut dan tekak kita sahaja. Tak kisahlah di mana kita kerja, pastikan kita beramanah, bekerja secara kumpulan dan tidak tinggalkan ibadah. Buatlah apa-apa pun biarlah dengan ikhlas.
Wassalam.
