Assalam
Masih di bulan Syawal dan masih orang kita sibuk beraya. Kata orang masih beraya sakan. Kalau ke pejabat-pejabat kerajaan atau ke gedung-gedung swasta, masih kesibukan, ramai yang tak habis-habis beraya. Malah, kalau di Negeri Sembilan, ketika hujung Ramadhan lagi masing-masing sibuk dengan 'Mantai' untuk menyambut Syawal tiba hinggakan kerja pun terpaksa ditolak tepi! Subhanallah.
Agaknya, kalau tiba-tiba negara kita dilanda musibah, masihkah kita ralit dengan beraya? Seolah-olah kalau tak beraya, maka dunia akan kiamat!
Tak apalah tu kalau dah seronok sangat nak beraya. Berayalah! Tapi yang mengecewakan, dalam sibuk-sibuk beraya ni, kita akan melihat ada juga anak-anak muda kita yang tersesat dan tak tahu adab. Konon-konon beraya sangat, tapi bila jumpa orang tua daripada mereka, tidak pula tahu untuk bersalaman. Pada hal orang tua yang dimaksudkan itu merupakan ibu saudara mereka sendiri atau ayah saudara! Bukankah itu tujuan beraya? Atau saya yang salah? Maksudnya raya tu hanya sekadar suka-suka sahaja?
Dah tu, ada pula yang janji kata nak datang, dan bila emak saudara dan ayah saudara dah siapkan 'makan-makan', mereka boleh tak jadi datang. Begitu sahaja! Tak pelik ke tu? Mana pergi adab mereka yang muda ni? Tak tahu adab? Kalau dah janji, kenapa tak tepati? Kalau dah rasa macam tu, lain kali jangan janji dan jangan buat rancangan untuk datang. Tak adalah menyusahkan orang! Betul tak?
Mungkin itulah budaya orang muda sekarang. Budaya yang tak reti beradab! Buat sesuka hati sahaja.
Maaflah ya kalau saya macam bunyi marah-marah. Tapi kalau ikutkan hati, nak saja saya tegur dan cakap pada mereka yang berkenaan. JAGALAH ADAB! Tak ada adab serupa macam tak tahu agama! Sebab orang Islam tinggi adabnya. Nauzubillah.
Serupalah kalau kita nak menjemput kaum kerabat yang senior. Jangan main letak jemputan dalam group. Apa salahnya kalau jemput secara personal? Kan cantik. Barulah ada adab!