Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, April 01, 2011

Bila Ada Tetamu


Salam

Biasanya apakah yang anda akan lakukan kalau tahu ada tetamu istimewa hendak datang ke rumah anda? Tentu anda fikirkan apa hidangan yang hendak disediakan, betul tak?

Saya memang seronok menjamu orang walaupun saya ni bukanlah jenis rajin memasak. Hampir tiap-tiap hari kat rumah saya ni, emak saya yang masak untuk kami. Emak saya tu walaupun sudah 75 tahun umurnya, dia masih suka memasak dan alhamdulillah masih ada kekuatan untuk melakukannya. Biasanya saya atau suami, kami akan masak di hujung minggu.

Tetapi bila tetamu akan bertandang, kami akan sama-sama masak, biasanya bergantung kepada menu yang disediakan. Hah, mestilah ada menu... kalau tak, tak bestlah.

Kebetulan, hujung minggu ini tetamu anak saya akan berada di rumah kami untuk makan petang/malam. Kedua-duanya datang dari Jerman dan kata Faiz (anak sulung saya), kawannya ini adalah anak orang kaya. Bukan kaya biasa-biasa tetapi kaya yang luar biasa. Maka peninglah kepala saya. Maklumlah, nak menjamu anak orang kaya, bukannya mudah. Tetapi kata Faiz juga, kawannya ini sangat sempoi walaupun bapanya merupakan pemilik farmasi terkenal di seluruh dunia.

Jadi... penat juga kepala saya memikirkan menu yang terbaik untuk tetamu saya ini. Dah kebetulan nak menjamu, saya juga menjemput anak-anak angkat saya yang merupakan pelajar Yemen di Malaysia. Saya juga menjemput besan saya.

Walaupun saya pening, tapi saya seronok juga. Adalah aktiviti untuk saya sibuk-sibukkan diri. Saya kena fikirkan persiapan meja hidangan. Kerana tetamu saya datang dari Barat, saya suka sediakan sesuatu yang tropikal (hiasannya) dan makanan pula, saya campurkan makanan Melayu dan Barat, supaya tetamu saya selesa. Insya-Allah, kami akan makan di kawasan taman kami.

Dalam hal ini, kadang-kadang saya suka mencuba sesuatu yang baru... jangan tak jadi, sudahlah.

Kali ini, saya akan sediakan banyak menu yang berunsur salad dan buah-buahan, untuk starter dan juga pemanis mulut, sesuai dengan tema kami.

Menantu saya akan menyediakan kebab (Kebab Uzbekistan memang sedap), dan Faiz dan isterinya pula akan menyediakan pemanis mulut juga.

Okeylah, saja nak berkongsi cerita dengan anda semua.

Selamat berhujung minggu!