
Salam.
Semoga semua berada dalam keadaan yang sihat walafiat. Kalau nak tahu (terutama bagi yang masih muda), ayat bertanya khabar tentang keadaan kesihatan sentiasa merupakan ayat utama semasa saya menulis surat masa dulu-dulu. Mungkin memang itulah cara semua orang pada masa itu. Sekarang ini, tak ada yang kisah pun kita sihat ke tidak... hehe
Okeylah, alhamdulillah saya berada dalam keadaan yang baik-baik, semoga anda semua begitu.
Esok saya akan ke kepulauan Indonesia lagi. Ke Sumatera utara dan kali ini destinasinya ialah Banda Acheh. Suatu ketika dahulu, tempat ini telah diserang ombak besar tsunami dan daerah itu kelihangan beratus-ratus ribu penduduknya. Allah SWT sahaja yang tahu apa hikmah kepada musibah itu. Alhamdulillah, kini Acheh sudah bangkit semula dan saya dan suami, kami bercadang untuk menjenguk-jenguk tinggalan sejarah yang ada di sana.
Seperti kita sedia maklum, Acheh merupakan salah satu daerah penting yang membawa masuk agama Islam ke Nusantara. Kisahnya panjang, tetapi kita dimaklumkan bahawa orang-orang dari Timur Tengah, termasuk Iran dan Turki, juga dari India, telah datang berdagang ke Acheh seraya itu membawa agama Islam bersama mereka.
Semalam, saya mendapat kunjungan beberapa orang pelajar Yemen ke rumah saya. Dan ketika kami berbual, kisah-kisah sejarah kami bangkitkan. Kita semua tahu bahawa orang-orang Hadramaut (Yemen) telah datang beramai-ramai ke Indonesia dan kemudian ke Malaysia dan mereka telah berkahwin dengan orang-orang tempatan. Hari ini, banyak orang Yemen yang berjaya dan juga kaya-raya, dan mereka tidak berada di Yemen lagi. Namun, saya dimaklumkan bahawa kini, ramai yang pulang untuk membantu Hadramaut dan Yemen.
Insya-Allah, kalau dipanjangkan umur, murah rezeki dan kuat tubuh badan, saya akan cuba pergi ke semua tempat-tempat menarik di Indonesia, juga Thailand. Tentunya Timur Tengah, malah di mana-mana sahaja yang mampu saya pergi di dunia ini. Semoga Tuhan makbulkan permintaan saya ini.
Saya ke Acheh selama tiga hari sahaja.
Wassalam.