Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, January 08, 2016

Lima Kali Lima - Bahagian 2



Cerita 2
Bahagian 2

Bersambung:



LIMA KALI LIMA



MAT ISA penat mendengar bebelan isterinya Wan Esah. Setiap kali dia keluar, pasti Wan Esah akan berburuk sangka.

            “Hah, awak nak ke mana tu? Nak pergi tengok mak janda tu ke?” peluru yang keluar dari senapang Wan Esah.

            “Laaa… awak ni… tak baiklah Esah. Aku ni dah tua… bukannya aku gatal pun. Aku seronok makan kat situ aje. Sedap! Kalau awak pandai masak macam tu… mesti saya tak pergi ke gerai Si Nun tu. Cuba awak belajar.”

            “Iya ke ni? Kot awak tipu saya mana nak tahu. Asyik-asyik ke situ. Menyampah saya! Tensyen tau!”

            “Awak tak payah tensyen-tensyen. Jom awak ikut saya! Awak cuba makan mi kari dengan nasi lemak dia. Lepas tu… awak balik buat macam tu!”

            “Betul ni… awak nak bawak saya?”

            “Jomlah ikut! Apa terhegeh-hegeh lagi. Biar awak makan… barulah awak percaya cakap saya. Kalau awak nak tahu, bukan saya sorang yang gila makan kat gerai Nun tu… habis sekampung ni!” Mat Isa tersengih-sengih.

            Dengan pantas Wan Esah pun bersedia. Menyampai dan membetulkan tudung di kepala. Lalu terus sahaja mengambil tempat di dalam kereta suaminya Mat Isa. Dadanya berdebar-debar, mahukan kepastian yang suaminya itu tidak membohonginya.

            Sebaik sahaja menghampiri gerai Zainun, Mat Isa meminta agar isterinya keluar dulu dari kereta dan pergi mengambil tempat di gerai itu. “Awak pergi cari tempat, Esah… nanti saya ‘parking’ kereta ni. Ramai orang tu… nanti tak dapat tempat.”

            Wan Esah pun keluar dan terus melulu menuju ke ruang gerai Zainun. Dia tidak memandang pada sesiapa pun, tetapi memberi fokus pada sebuah meja yang mempunyai dua buah kerusi. Tempat itu sesuai untuk dia dan suaminya Mat Isa.

            Sebaik sahaja duduk, barulah dia perasan pada tuan kedai yang sedang memandang padanya. “Hah Nun…” kata Wan Esah, “tunggu kejap ya… aku nak tunggu laki aku tu. Dia pergi ‘parking’ kereta.”

            Zainun melepaskan nafas panjang, kelihatan tenang lalu terus tersenyum. “Esah… kamu tak pernah datang sini. Kenapa hari ni kamu datang?”

            “Aku pun nak jugak merasa makan makanan yang kami jual kat sini, Nun. Kata laki aku sedap sangat.”

            “Alah biasa-biasa aje. Dah tiap-tiap hari aku masak… jadi eloklah sikit dari biasa.” Zainun masih tersenyum memandang pada Wan Esah. Sungguh dia berasa lega. Tadi… hampir dia ingat yang Wan Esah datang untuk menyerangnya. Seketika kemudian, Mat Isa pun tiba dan duduk di sisi isterinya. “Kamu berdua nak makan apa ni?” soalnya lagi.

            “Aku nak makan mi kari kamu, Nun. Bawak dua mangkuk. Bawak jugak sepinggan nasi lemak lauk sotong. Biar Esah rasa mi kari kamu ni… nasi lemak kami boleh kongsi makan.” Dia tersengih lagi. “Maklumlah… kami ni sehati sejiwa.”


           
MEREKA sudah lama berada di rumah. Wan Esah terus termenung.

            “Kamu fikir apa tu, Esah?” soal Mat Isa, ingin tahu apa yang membuatkan isterinya termenung begitu.

            “Saya duk fikirkan nasi lemak dengan mi kari Si Zainun tu. Apa yang buat makanan dia sedap sangat tu! Agaknya air tangan dia kot.” Jawab Wan Esah.

            “Air tangan siapa pun bolehlah… cuba awak ‘try’ buat macam tu.”

            “Ni lah saya duk fikirkan. Dia letak apa kat dalam masakan dia tu?”

            “Kamu rasa tak kuah mi kari dia tu? Taklah lemak sangat, tak pekat, tak ada pulak berlambak serbuk karinya. Rasa pedas sikit-sikit. Warnanya pun menarik. Kamu kenalah letak ayam, letak udang… tahu kering tu…”

            “Iyalah… iyalah… tapi rasa dia tu. Bukannya senang tu.”

            “Awak cuba dulu.”

            Berhari-hari selepas itu, itulah yang dilakukan Wan Esah. Hari ini masak nasi lemak, esok buat mi kari pula. Begitulah seterusnya.

            “Apa tak jadi-jadi ni!” Dia hampir menangis setiap kali menghidangkan nasi lemak atau mi kari untuk mereka makan. “Awak boleh makan mi kari atau nasi lemak Si Nun tiap-tiap hari. Yang saya masak ni… saya sendiri rasa tak sedap!”

            “Belum kenalah tu.” Pujuk Mat Isa lagi. “Awak janganlah ‘give up’ pulak.”

            “Malaslah saya nak cuba lagi! Esok… kita pergi makan kat gerai Nun tu. Tapi awak kena bawak saya!”

            Maka mulalah mereka berulang ke gerai Zainun untuk makan makanan yang disajikan Zainun dan pembantunya. Satu hari, ketika sedang menjamah makanan yang lazat di gerai Zainun, muncul kelima-lima anak dara Zainun. Kebetulan hari itu ialah hari cuti umum, anak-anak Zainun sedang bercuti dan mereka ke gerai untuk membantu ibu mereka.

            “Cik Mat!” tiba-tiba sahaja Wan Esah bersuara. “Saya rasa… mungkin kita kena cuba cara lain pulak… kalau kita nak tahu resepi sedap Si Zainun ni.”

            “Macam mana?” soal Mat Isa, ingin tahu.

            “Nanti kita tanya Rizal.”

            “Rizal? Kenapa? Rizal pandai buat nasi lemak ke? Biasa buat mi kari ke? Tak tau pun aku…”

            “Laaa awak ni… Rizal tau masak apa? Rebus telur bolehlah kot!”



RIZAL tersenyum-senyum memandang ibu dan ayahnya. Suka betul hatinya mendengar apa yang disampaikan ibunya tadi.

            “Mak… Riz dah lama berkenan kan anak Mak Nun tu.”

            “Yang mana satu?”

            “Yang nombor tiga. Suraya. Tapi Riz takut dengan Mak Nun.”

            “Kamu takut apa, Riz? Kan anak mak ni jurutera? Bukannya kamu menorah getah. Takkan Mak Nun tak berkenan kot?”

            “Mak Nun tu… dia bukan macam kita ni, mak. Bukan macam Riz lah…” keluhnya.

            “Aku tak kisah, Riz. Tapi kamu kena berusaha untuk ambil hati Mak Nun tu… biar kamu dapat jadi menantu dia. Kalau kamu kahwin dengan Suraya tu… dapatlah mak tahu resepi mi kari dengan nasi lemak Mak Nun tu!”

            “Hah? Sebabkan resepi mak nak suruh Riz kahwin dengan anak Mak Nun?”





-          BERSAMBUNG -


       
PERINGATAN:

Tulisan ini adalah hak cipta penulis ini dan tidak boleh di ciplak dengan apa jua cara termasuk semua bentuk digital walaupun sekadar paragraf atau ayat. Tulisan ini juga adalah dalam bentuk ‘raw’ dan belum diedit lagi. Terima kasih.