Keindahan Alam - Berehat dan Membaca di sini...

Followers

Monday, March 08, 2010

Bahaya Plagiat



Plagiarisme ialah perbuatan mencedok kata-kata, idea dan lain-lain daripada karya orang lain dan menggunakannya sebagai karyanya sendiri, atau apa yang kita panggil menjiplak. Kalau di negara Barat, kita selalu terdengar akan kes saman-menyaman antara individu-individu dalam hal seperti ini. Baru-baru ini juga kita terdengar akan kisah JK Rowlings yang dikatakan terjepak dalam hal ini dalam penciptaan Harry Potter. Sama ada benar atau tidak, soal ini akan dibicarakan dalam mahkamah, kecuali kes itu diselesaikan di luar mahkamah. Yang penting ialah bukti. Sebagai penulis, ia itu orang yang berkarya, kita harus peka dengan hal yang dikatakan hak intelektual. Jangan kita biarkan hak cipta dan idea kita diambil orang ikut sesuka hati mereka.

Dalam memperkatakan hal ini, sebagai penulis, kita juga harus tahu apa yang kita tandatangani dengan pihak penerbit yang menerbitkan hasil karya kita. Pihak penerbit tidak boleh lakukan sewenang-wenangnya apa yang merupakan hak cipta kita, begitu juga dengan diri kita sebagai penulis. Kalau kita sudah membuat perjanjian atas hak cipta kita dalam sesuatu karya itu, terpaksalah kita akur dan mengikut perjanjian yang kita tandatangani. Kita harus faham bahawa pihak penerbit yang menerbitkan karya kita itu terpaksa membelanjakan sejumlah kos untuk membolehkan karya kita itu diterbitkan dan dijual di pasaran. Kita juga, sebagai penulis, tidak boleh lakukan sewenang-wenang di atas karya kita itu sekalipun kita tahu itu adalah hak ciptaan kita.

Apa yang penting, dalam dunia penulisan, kita harus faham akan semua hal yang berkaitan dengan hak cipta, hak penerbitan (berkaitan judul buku, nama penulis, pembayaran royalti dan sebagainya) dan kita juga harus berlaku profesional. Jangan cepat melatah, jangan terpengaruh dengan orang lain dan jangan suka bergosip atau sebarkan gosip yang mungkin nanti akan makan diri sendiri. Inilah dunia penulisan, atau apa kita kata dunia karyawan. Apabila kita mahu berkarya, itu tidak bermakna kita buat apa sahaja yang kita suka. Kita juga ada tanggungjawab sosial dan etika.

Baru-baru ini, ada pihak penerbit yang menarik balik buku terbitan mereka dari pasaran kerana judul buku itu sama dengan judul buku yang diterbitkan oleh pihak KarnaDya. Walaupun bagi pihak kami, sekadar menganggapkan itu merupakan satu kebetulan, namun di atas perasaan tanggungjawab, pihak berkenaan lebih selesa menarik balik buku mereka itu. Inilah yang dikatakan 'kefahaman' yang terjalin dalam dunia buku. Kemungkinan besar,buku dalam kategori yang sama dan mempunyai judul yang sama tentu sekali akan mengelirukan pembaca dan pembeli.

Dalam keseronokan menulis, adalah penting, kita tidak mencedok mana-mana idea yang bukan merupakan ciptaan kita. Mungkin kita boleh kata itu merupakan satu kebetulan, tetapi kalau sudah dengan nyatanya, butir-butir perkataan dalam ayat sama sahaja, mungkin juga dari paragraf ke paragraf, masih sama... hai, macam mana nak kata itu bukan perbuatan plagiat?

Sama-samalah kita hormati kawan-kawan kita dalam dunia penulisan. Selain itu, sama-samalah kita menghormati penulis-penulis lain, juga penerbit yang menerbit karya kita.