Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, January 31, 2011

Aku, Kamu dan DIA



Salam

Pagi ini saya ingin bualkan tentang sesuatu yang ada kaitan dengan kita, terutama kalau anda merupakan umat Islam.

Ada seorang teman yang berkata kepada saya, jadi seorang Muslim yang baik, bukan sekadar bersolat, berpuasa, buat haji, bayar zakat... tetapi lebih dari itu. Yang penting ialah perhubungan antara kita dan Tuhan, antara kita dan manusia yang lain. Kita ada tanggungjawab pada Tuhan dan kita juga ada peranan yang wajib dengan insan lain. Tak guna kalau kita pakai serban haji, tapi dalam hal dunia, kita berebut dan menolak orang lain untuk mengambil apa yang kita rasa hak kita. Tak guna kalau ada 'title haji' kalau hati perut kita tak suci, tak pentingkan budi pekerti. Tak guna bayar zakat kalau dengan teman atau jiran kita berbusuk hati! Wallahua'lam.

Islam ialah apa yang ada di hati, bukan lakonan yang kita ingin tonjolkan supaya orang luar nampak kita macam baik. Mungkin orang tak tahu apa yang ada di hati, tetapi kita tahu Tuhan tahu apa yang tersirat di hati kita itu. Inilah yang paling susah hendak kita tafsirkan. Orang boleh kata apa sahaja, suruh kita lakukan itu dan ini, tetapi apa yang sebenarnya kita buat dan lakukan atas nama Islam, itulah yang paling penting.

Aku perlu buat baik kepada kamu. Kamu dan aku pula, perlu taat kepad DIA yang satu. Itulah yang aku tahu.

Subhanallah, walhamdulillah, wallaillahailallah, wallahuakbar!

Sunday, January 30, 2011

Kantoi!




Salam

Ya sungguh, banyak manusia di dunia ini taksub dengan material dan kuasa. Oleh kerana itu juga, ramai yang sanggup buat apa sahaja, hatta taat kepada telunjuk Yahudi sekalipun mereka adalah Muslim. Lihatlah kepada Hosni Mubarak, Presiden Mesir yang tidak mahu tunduk kepada kemahuan rakyat yang sudah bosan dengan pemerintahannya! Tiga puluh tahun, beb!

Beginilah manusia kalau sudah jadi tamak dan haloba, padahal dia tahu satu hari nanti dia akan pergi jua sekalipun duit dan harta sudah tak mampu dikira. Dahsyat!

Pihak Yahudi sedang kelam-kabut kerana Hosni Mubarak mahu diusir dan tentunya presiden itu masih disitu kerana Yahudi masih mahukan dia di situ. Semua orang bersetuju yang Hosni Mubarak patut berambus, tetapi dia masih degil. Dikhabarkan sudah banyak 'private jet' yang tinggalkan Cairo untuk ke UAE, membawa orang-orang kaya Mesir dan keluarga mereka. Tentunya takut untuk berada lebih lama di Mesir. Mungkin juga takut kalau Hosni Mubarak digulingkan rakyat.

Apa yang kita lihat, sekalipun suatu hari dahulu Hosni Mubarak mendapat 'backup' dari negara-negara Barat yang lain, akhirnya dia kantoi juga. Bila dihalau nanti, tentu negara-negara ini tidak akan menolongnya lagi.

Kenapa agaknya manusia tidak pernah belajar dari sejarah?

Okeylah... itu apa yang kita lihat di negara orang. Ada yang sanggup tinggalkan negara kerana harta. Tak tahulah pula rakyat Malaysia macam mana. Berapa ramai agaknya dah bersedia pada bila-bila masa untuk 'blah' tinggalkan negara apabila keadaan tidak elok atau huru-hara. Adakah jiwa dan raga kita bersama tanah air kita, atau adakah Malaysia hanya baik dan indah buat kita bila kita dapat mengaut segala keuntungan sahaja. Dalam keadaan yang tak baik... kita kantoikan negara sendiri!

Wallahua'lam.

Saturday, January 29, 2011

Anti Amerika Syarikat!



Salam

Di Tunisia, Mesir dan kini di Yemen juga, rakyatnya sedang tunjuk perasaan. Di Tunisia, Presidennya dah pun lari. Di Mesir sedang tunggang-langgang. Presidennya tak mahu turun walaupun katanya kerajaan sudah digubalkan. Yang pasti, Hosni Mubarak tak sanggup hendak letak jawatan. Yang peliknya, Hosni Mubarak, juga Zien albidien ben Ali, mungkin juga Saleh di Yemen, mereka mendapat sokongan USA. Itu bermakna, kerajaan US yang melaungkan demokrasi, sebenarnya sentiasa menyokong kezaliman, kerana melalui kezaliman ketua-ketua negara, US mendapat menafaatnya. Betapa malangnya insan di dunia ini kerana terpaksa berkiblat ke arah Amerika dan juga yahudi! Nauzubillah.

Anak-anak muda di negara-negara yang sedang bergolak memang benci pada Amerika Syarikat kerana Amerikalah, mereka terpaksa hidup merana. Rakyat diperah, rasuah bermaharajelela, kemiskinan berluasa, tidak ada kebebasan untuk bersuara, tetapi yang di atas hidup macam Maharaja. Malah, isteri-isteri mereka juga besar kepala!

Mesir, suatu ketika dahulu merupakan sebuah negara Arab yang maju, kini ia menjadi antara negara yang miskin. Semua adalah kerana kezaliman kerajaannya yang pentingkan diri dan disokong oleh US!

Okeylah... saya tengok ALjazeera (TV itu tak macam TV kita di Malaysia, sentiasa berat sebelah)dan dari situlah saya lihat betapa rakyat di negara-negara itu bergerak dan beramai-ramai protes, melalui saluran Internet dan juga telefon bimbit! Blog, Facebook, Twitter... malah activists Blog yang berjaya mengumpulkan rakyat yang sudah tidak tahan lagi. Betapa hebatnya dunia alam maya hinggakan kerajaan Mesir terpaksa tutup Internet dan Telco. Namun, semangat benci yang ada pada rakyat tak dapat hendak dimatikan lagi!


Renung-renungkanlah.

Friday, January 28, 2011

Queen Control




Salam

Berkaitan dengan kisah-kisah yang saya paparkan semalam, mungkin menarik juga kalau saya sembang-sembang kisah wanita-wanita yang sememangnya jenis 'queen control'. Dalam perkahwinan kita katakan ada perkongsian antara si lelaki dan si perempuan. Apa-apa perkara pun, perlulah ada pakatan dan perbincangan. Biasanya, lelakilah yang lebih dominan kerana mereka adalah imam dalam keluarga Islam. Dalam pada itu, memang biasa sekiranya wanita yang lebih berperanan dalam hal rumah tangga. Masalah di dapur, masalah anak-anak, masalah berbelanjaan... itu menjadi hal keutamaan wanita. Dalam hal lain-lain, biasanya wanita kurang masuk campur.

Tetapi, memang ada wanita yang suka buat 'keputusan' dalam semua hal termasuk yang bukan halnya. Ada juga wanita yang suka 'control' pergerakan suaminya. 'Control' juga gaji suaminya. 'Control' kawan-kawan, hobi dan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan suaminya. Kalau sang lelaki merupakan seorang yang lemah, tentulah mudah sang isteri yang 'queen control' untuk mainkan peranannya.

Apatah lagi kalau suaminya berkedudukan tinggi dalam masyarakat. Itu yang orang selalu kata 'terlebih sudu dari kuah'. Suami macam okey aje, orang semua suka, tapi kerana isterinya yang terlebih-lebih, orang pun jadi meluat. Akhirnya suami akan jadi mangsa kebencian orang ramai. Ialah... kalau isteri pun dia tak mampu kawal, macam mana orang nak harapkan dia, betul tak?

Adalah kisah-kisah dalam kem tentera, di mana suami yang berpangkat 'sarjan' kadang-kadang ada isteri yang berkelakuan macam dia berpangkat 'leftenan'. Kalau suaminya 'Major', dia sudah jadi 'Kolonel'! Ini sekadar lawak cerita orang-orang di kem tentera (saya ada ramai kawan yang pernah tinggal di kem-kem tentera).

Hendak buat macam mana, kan? Memang ada kaum wanita yang jenis macam itu. Mereka suka tonjolkan diri. Kalau orang bertanya pada suaminya, dia yang tolong jawab! Hehe.

Apa pun, sebagai wanita, kita jagalah perilaku kita jangan sampai orang beri kita title 'Queen Control'. Tak best, beb!

Thursday, January 27, 2011

Wahai Leila...



Gambar Leila Trabelsi, isteri bekas Presiden Tunisia


Salam

Semalam, ada sebuah surat khabar Malaysia arus perdana 'menghighlightkan' tentang Leila Trabelsi, isteri kepada bekas Presiden negara Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali yang berkuasa di Tunisia selama 23 tahun, dikatakan telah lari bersama keluarga, pada 14 Januari, 2011 ke negara Saudi. Leila, seorang isteri yang sentiasa berada di belakang suaminya, akhirnya akibat cara hidup yang keterlaluan, telah menumpaskan kekuasaan suaminya itu!

Gaya hidup Leila, serta ahli keluarga bekas presiden itu, telah menghidupkan suasana tidak tenteram di Tunisia. Keadaan kemiskinan menjadi-jadi, korupsi bermaharajalela, dan rakyat terus-menerus hidup tertekan, sedangkan presiden dan kerabatnya hidup dengan segala kemewahan hasil rakyat dan negara!

Kisah Leila mengingatkan saya kepada isteri bekas presiden Filipina, iaitu Marcos. Imelda Marcos hidup dengan segala kemewahan sedangkan rakyat sengsara. Akhirnya, rakyat memberontak, lalu Marcos dan ahli keluarga terpaksa tinggalkan Filipina. Saya masih ingat akan istana Marcos yang menyimpan segala kemewahan keluarga termasuk beribu pasang kasut Imelda Marcos.

Saya juga teringat kepada Raja Iran suatu ketika dahulu. Shah Pahlevi dan isterinya Farah Diba, yang hidup dengan kemewahan tanpa pedulikan rakyat jelata. Akhirnya mereka diusir keluar. Akhirnya juga kedua-dua mereka serta anak-anak tiada tempat untuk berlindung!

Semalam, ketika mahu tidur, saya teringatkan Leila Trabelsi. Saya cuba bayangkan dirinya, yang hidup dengan kemewahan setinggi gunung, tiba-tiba suatu hari, terpaksa lari, mungkin cuba memujuk teman-teman untuk tumpangkan mereka. Akhirnya, segala harta tiada ertinya lagi, kerana Tuhan telah mengambil kebahagiaan hidup.

PS: Kini di Mesir, rakyatnya mula menunjuk perasaan dan mahu Presiden Hosni Mubarak, yang telah berkuasa selama 30 tahun, diusir dari segala kekuasaan kerana rakyat jelak dengan kemiskinan dan korupsi! Khabar angin mengatakan bahawa isteri dan anak-anak presiden Mesir sudah lari ke London!

Di Yemen juga sedang ada tunjuk perasaan protes presidennya yang tamak dan mengamal korupsi!

Wallahua'lam.

Wednesday, January 26, 2011

Wang Hantaran!




Salam semua

Semalam, saya memang tak update blog. Saya telah ke Segamat... UiTM,kampus Segamat, di atas jemputan para pelajar Fakulti Perakaunan untuk program 'Asimilasi Budaya Ilmu'. 'Thumbs up' buat pelajar-pelajar UiTM kampus itu, kerana mereka memberi kerjasama yang sangat baik! Pelajar-pelajarnya sangat 'alert', berinteraksi, friendly... I enjoyed being with you all! Thank you.

Dah lama saya tidak ke Segamat. 'Rupa-rupa' nya bandar itu dah besar pun (no more cowboy town). Semasa pulang, kami singgah di bandar Bahau dan makan nasi ayam Tok Wan. Wah, memang sedap.

Okeylah... pagi ini saya ada mood untuk membangkitkan isu 'wang hantaran' yang diamalkan oleh orang Melayu hari ini. Entahlah... saya rasa isu 'hantaran' yang selalunya diletakkan dalam jumlah yang tinggi, sesungguhnya membebankan anak muda kita. Kerana itu juga, ramai yang tangguh-tangguh untuk kahwin. Bila perkahwinan sengaja ditangguhkan kerana tak sanggup nak tanggung beban kewangan, maka tinggilah 'maksiat' di negara ini.

Adoi, siapa yang nak tanggung?

Mungkin sebab itu, banyak sungguh kes pembuangan bayi. Tiap-tiap hari ada. Itu yang kita tahu, yang kita tak tahu, macam mana? Sedihlah.

Saya tak faham kenapa kita terlalu pentingkan sangat hal-hal 'Wedding' ni, sedangkan yang penting ialah pernikahan. Nikah itu baik dan mudah sebenarnya. Bila kita kahwin, insya-Allah rezeki kita juga jadi murah. Ramai yang mampu berumah tangga, tapi tak mampu nak uruskan 'perbelanjaan perkahwinan' Kalau kita beratkan pada 'majlis perkahwinan' dan memaksa orang muda untuk berhutang, maka tentunya perkahwinan mereka nanti akan menjadi sesuatu yang tidak membahagiakan.

Boleh bahagia ke kalau tiap-tiap hari terpaksa fikirkan tentang mana nak cari duit sebab nak bayar hutang?

Kalau anda merupakan ibu bapa, fikir-fikirkanlah tentang hal ini. Kalau anda pula merupakan anak, pujuk-pujuklah ibu bapa agar permudahkan 'kerja kahwin' yang anda lalui. Insya-Allah, Tuhan akan berkati perkahwinan kita nanti.

Renung-renungkanlah!

Saya sokong kalau anda semua tidak kisahkan 'wang hantaran' yang membebankan!

Monday, January 24, 2011

Pegang Kunci Syurga



Salam

Saya nak tergelak juga apabila seorang teman beritahu pada saya, "Kenapa ada orang suka rasa macam dia yang pegang kunci syurga?"

"Aik, kenapa?"

"Tak adalah... saya letih bila tengok orang atau baca tentang orang yang suka kutuk orang lain tak tentu pasal, seolah-olah dia aje yang baik dan layak masuk syurga. Orang lain semua tak betul, semua buat dosa, buat salah. Dia aje yang faham agama, orang lain semuanya amal agama songsang! Dia aje yang tahu al-Quran, tahu hadiths, orang lain semua bodoh!"

"Adoi... kenapa marah-marah ni?"

"Saya jadi geram dengan orang-orang macam ni. Kalau nak tegur pun, tak usahlah guna cara yang kasar dan kesat. Kalau ada orang nak dengar cakap dia pun jadi tak jadi dan jadi benci. Macam mana nak sampaikan dakwah kepada orang lain? Janganlah rasa macam diri dia terlalu baik sangat dan tahu serba-serbi. Mana ada manusia macam kita ni yang sempurna? Kita pun buat salah dan ada dosa, jadi kenapa mesti kutuk orang macam dia baik sangat? Cukup-cukuplah."

"Manusia ni kan macam-macam. Memang ramai yang bijak pandai, jadi mestilah banyak juga ragamnya." Itulah kata saya.

"Tak apa kalau pandai, tapi janganlah bongkak sangat. Kan Tuhan tak suka orang yang sombong? Kalau rasa hebat sekalipun, tak payahlah hentam orang lain macam orang lain tu jahil sangat."

Mungkin memang biasalah macam tu, kan? Kalau seseorang itu terasa yang dirinya tinggi ilmu agama, mungkin juga dia terasa seolah-olah dia ada hak untuk menghukum orang, masuk syurga atau neraka! Tak tahulah saya.

Teman saya tu cakap lagi, "Lain kali kalau orang-orang macam ni eksyen sangat, aku nak tanya jugak, 'Kau pegang kunci syurga ke?'"

Okeylah... pagi ini saya ke airport hantar Nabil (anak bongsu saya). Dia ke Kota Kinabalu (Dia sedang cuti). Inilah kali pertama dia pergi jauh tanpa saya dan suami. Biasanya dia ikut kami, sejak bayi lagi. Rasa sedihlah pulak... tapi nak bagi dia merasa berjalan seorang diri. Dia ke sana selama empat hari.

Saturday, January 22, 2011

Are You Happy?




Salam

Pagi ini saya sempat membaca sebuah artikel yang bercerita tentang tahap 'kebahagiaan' yang dicapai oleh penduduk di seluruh dunia. Menarik, kan? Tentu kita nak tahu apa yang boleh membuatkan manusia rasa bahagia. Perkiraan indeks 'Kebahagiaan' ini datangnya dari pandangan orang Barat. Tetapi bagi saya, tak apa kita lihat cara mereka menghitung kebahagiaan. Yang penting, orang Barat juga tidak melihat 'wang' sebagai sesuatu yang terlalu penting dalam hidup bagi mencapai kebahagiaan.

'Happy' tu macam mana?

Selain daripada kewangan yang cukup untuk menyara sebuah kehidupan (makan minum, rumah, pakaian dan lain-lain), ini adalah perkiraan kebahagiaan:

"It's being healthy, free from pain, being able to take care of yourself. It's having good times with friends and family.
Furthermore, happiness means being able to speak what's on your mind without fear, to worship the God of your choosing, and to feel safe and secure in your own home.
Happiness means having opportunity--to get an education, to be an entrepreneur. What's more satisfying than having a big idea and turning it into a thriving business, knowing all the way that the harder you work, the more reward you can expect?"

Okey, anda macam mana? Rasa bahagia tak? Cukup tak semuanya?

Mengikut perkiraan mereka juga, rakyat yang paling bahagia di dunia ini adalah mereka yang tinggal di Norway, Denmark, Finland, Australia dan New Zealand.

Renung-renungkanlah... apa yang kita anggap sebagai perkara-perkara yang boleh membuat kita rasa bahagia di dunia dan akhirat!

Friday, January 21, 2011

Seksi Atau Seksa?


Gambar di atas sekadar hiasan, tak ada kena-mengena dengan perbincangan entri ini.


Salam

Seksi merupakan perkataan yang selalu diguna orang. Mungkin untuk melakarkan suatu keadaan berkaitan dengan pakaian, kelakuan dan macam-macam lagi. Lain orang mentafsirnya secara yang berbeza-beza, tetapi biasanya perkataan itu akan dikaitkan dengan kaum Hawa, jarang-jarang kaum Adam.

Seksi juga merupakan perkataan kegemaran surat-surat khabar yang suka mengeksploitasi kaum Hawa. Huh, tentu ada yang marah ni, tetapi memang betul, kan? Kadang-kadang tu saya pun agak hairan juga kenapa kita suka buat macam ni, sedangkan kita tahu 'gambar-gambar perempuan yang berada dalam keadaan seksi' adalah perempuan yang beragama Islam. Bukan setakat berpakaian seksi tetapi berposisi yang seksi juga. Kadang-kadang, kita jadi malu nak pandang. Dalam hati tertanya-tanya juga, anak siapalah agaknya ni? Atau isteri siapalah agaknya ni?

Satu hal lah kalau orang yang berkenaan sanggup untuk berpakaian agak tak senonoh dan kemudian disuruh duduk dalam posisi yang juga tak senonoh, lepas tu ditayangkan dalam majalah atau surat khabar, dan dibuatkan cerita untuk orang-orang berkenaan. Tentunya tujuan begitu untuk melariskan majalah atau surat khabar. Tapi... yang buat tu tak segan ke? Yang bergambar, yang ambil gambar, yang buat cerita, yang menjualnya... adoi!

Tidakkah mereka rasa terseksa kerana terpaksa buat semua tu? Atau memang mereka suka buat benda tu? berlagak seksi untuk menarik perhatian orang?

Saya pun bukanlah baik sangat, tapi rasanya tak sukalah kalau orang mengguna kita dalam keadaan yang tak elok untuk melariskan jualan mereka. Rasa macam murah sangat! Takkanlah sebab nak glamor kita merendahkan mertabat dan maruah diri. Takkanlah kita tak ada harga diri? atau mungkin itulah sebenarnya harga diri kita? Seronok kalau orang lain dapat menatap keadaan kita yang terbuka di sana dan di sini.

Maafkanlah... kalau apa yang saya katakan ini terlalu menyakitkan. Saya sekadar mengingatkan diri.

Wallahua'lam.

Thursday, January 20, 2011

Trend Baru


Salam

Semasa saya di Aceh, inilah yang saya perhatikan. Orang Indonesia gila sungguh dengan Internet. Di mana-mana saja, ada WiFi... kat kedai kopi biasa-biasa, kat lobi, kat koridor... dan ramai sungguh yang membawa alat elektronik yang canggih-canggih. Malah, baru-baru ini saya dengar berita bahawa 'Blackberry' sudah terjual sebanyak tiga juta di Indonesia. Banyak tu.

Orang sekarang juga sudah mula menggila dengan alat-alat seperti iPad dan yang seangkatan dengannya. Yang pasti, tak lama lagi akan ada alat-alat canggih begini yang dikeluarkan oleh negara China. Dia orang ni kan cekap 'copycat'? Kalau China yang buat, tentu murah dan siapa-siapa pun mampu membelinya. Orang kampung pun boleh bawak masuk kebun. Sekarang ni pun harga getah dah naik tinggi melambung! Sambil tunggu getah mengalir turun, bolehlah relaks-relaks baca info kat alat-alat canggih ni. Janji ada line Internet... hehe.

Okeylah, trend dah berubah. Kalau kita masih belum ikut trend, lama-kelamaan kita pasti akan terikut juga. Sajalah nak cerita, kerana trend begini, dah banyak kedai buku, kedai CD dan macam-macam lagi yang sejenis dengannya terpaksa tutup dan bertukar perniagaan di negara seperti Amerika Syarikat. Kedai buku canggih seperti 'Borders' terpaksa bungkus tikar sebab tak ramai yang nak beli buku secara fizikal lagi!

Itu tidak bermaksud bahawa kita sebagai penulis dah jadi tak laku. Cuma caranya dah jadi berbeza.

Okeylah... saya nak relaks dan terus dengan penulisan saya.

Wassalam.

Wednesday, January 19, 2011

Jatuh Cinta



Salam

Ya, jatuh cinta dengan apa? Barang atau tempat, atau mungkin dengan orang. Orang mana ni?

Semua orang teringin untuk jatuh cinta, itu pun kalau belum lagi. Setiap kali kita bertemu dengan 'cinta', mungkin kita mengharapkan agar ia merupakan sesuatu yang real. Kita mengharapkan juga agar 'cinta' itu akan membawa kita untuk bersatu akhirnya. Tidak mungkin kita sekadar mahu 'cinta' yang sementara saja. Betul, kan?

Ah, ada orang suka buat-buat jatuh cinta. Tetapi sebenarnya sekadar mainan sahaja.

Kalau anda seorang perempuan, pernahkah anda berjumpa dengan sang lelaki yang perasan 'macho'? Perasan yang semua perempuan gilakan dia? Mamat macam ini tentu jenis suka bermain dengan kata-kata. "You cantiklah...", "Awak buat saya tak tidur malam...", "Iyalah... saya tak buat apa-apa pun, teringatkan awak aje ni...", "You are the best... tak mungkin I boleh lupakan you..."

Kita pun (yang perempuan) turut perasan, konon-konon sedang dilamun cinta. Orang yang jatuh cinta akan kelihatan di wajahnya. Tapi... kalau jatuh cinta dengan 'bayang-bayang', sakitnya akan datang kemudian.

Apa pun, di zaman sekarang, bukan sekadar lelaki pandai mainkan hati perempuan, tetapi perempuan ada yang lagi dahsyat daripada lelaki! Di zaman facebook, blackberry, iPad dan macam-macam lagi, bertambahlah rumit jadinya hati.

Berjaga-jagalah. Maruah kita hanya satu itu aje, jangan biarkan ia terjejas. Kalau rasa dah jatuh cinta, pastikan 'cinta' itu 'cinta' yang benar dan tulen, bukan plastik yang mudah didapati di mana-mana kedai bunga!

Wallahua'lam.

Tuesday, January 18, 2011

Bayangkanlah...





Gambar bot yang tersangkut, Saya bersama Azimah dan rumah bantuan Turki buat penduduk yang kehilangan rumah

Salam

Bukan lagu Padi, kumpulan muzik Indonesia yang pernah popularkan lagu 'Bayangkanlah', tetapi itulah yang berada di fikiran saya, berkali-kali cuba membayangkan situasi semasa bencana tsunami melanda Banda Aceh!

Saya bertanya kepada Irwan, pemadu kami semasa di Banda Aceh. Katanya umurnya masih panjang kerana ketika kejadian, dia sepatutnya pergi mengambil seorang pelanggan dan keluarganya (di tempat berlakunya tsunami), tetapi apabila mendengar kekecohan (Konon-konon air sedang naik), dia berpatah balik ke arah rumahnya (jauh dari tempat kejadian), tanpa sedar tentang bencana tsunami. Katanya lagi, mereka tidak pernah mengalami serangan tsunami. Sangkanya air naik seperti banjir dan dia berfikir-fikir untuk mengambil batang pisang dijadikan rakit!

"Kalau saya tidak pulang ke rumah ketika itu, pastinya saya sudah tiada di bumi ini lagi."

Yang pasti... Tuhan yang menentukan umur kita. Begitu juga keadaannya semasa saya melawat tinggalan sebuah bot nelayan yang tersangkut di kawasan perumahan. Bot itu telah menyelamat 49 nyawa daripada ditelan tsunami. Begitulah, kalau umur kita masih ada, maka tidaklah kita mati sekalipun tsunami yang datang.

Saya juga bertemu dengan Azimah, seorang wanita yang menjaga kawasan makam orang-orang Turki, termasuk Salehuddin yang menggelarkan Aceh sebagai Samudera-Pasai. Azimah bercerita yang dia telah terapong-apong dan akhirnya tersangkut di bumbung rumah orang dan terselamat, walaupun rumahnya sendiri habis dihancurkan tsunami. Malah, banyak pusara-pusara lama masih terselamat. Paling menakjubkan, banyak masjid yang selamat daripada serangan tsunami.

Apa pun, memang bukan mudah untuk membayangkan segala-galanya. Apa yang kita nampak tentunya tidak sama dengan apa yang mereka lalui. Pun begitu, itulah satu pengalaman yang meninggalkan pelbagai pengajaran buat umat manusia di alam ini. Wallahua'lam.

Monday, January 17, 2011

Di Sebalik Bencana Aceh





Gambar di atas, pantai di Aceh, Rumah Aceh dan Masjid Baitul Rahman.

Salam

Ya, saya dah pun balik dari Aceh. Apa maksud Aceh? Saya bertanya kepada Irwan, pemandu kami semasa di Banda Aceh. Katanya, A= Arab, C= Cina, E= Eropah dan H= Hindi. Hehe... iya ke tidak, saya tak tahu. Apa pun, banyak perkara yang saya anggap misteri di kawasan yang pernah bergelar Samudera Pasai ini. Banyak sejarah yang menjadi cerita dan banyak tinggalan buat kita lihat dan renung-renungkan. Suatu ketika dahulu, Aceh menjadi tempat di mana ulamak dan juga pedagang Islam datang dari Barat, membawa sama agama Islam untuk disebarkan di kawasan Nusantra. Mungkin dari sanalah kebanyakan orang-orang Melayu di Malaysia menjadi orang-orang Islam, wallahua'lam.

Saya sempat menjenguk tempat-tempat bersejarah di mana para ulamak dan raja-raja Aceh disemadikan. Selain itu, banyak tinggalan orang Portugis dan Belanda di tempat itu termasuk perkuburan mereka. Saya menziarah masjid dan makam-makan orang-orang Arab, orang-orang Turki dan juga Parsi. Masjid lama Baitul Rahman menjadi fokus utama Banda Aceh. Kami juga mengunjugi muzium yang banyak memaparkan kisah-kisah silam terutama tentang kerajaan Aceh dan perjuangan pejuang-pejuang Islam menentang Belanda.

Tentunya kami juga melawat tempat-tempat tinggalan bencana tsunami di kawasan itu. Kami melihat kawasan yang bersemadinya lebih 170 ribu mayat mangsa tsunami, tempat-tempat yang musnah serta penceritaan kisah yang dialami penduduk Aceh. Kami tidak lepas melawat rumah-rumah sumbangan pelbagai kerajaan dan NGO luar, buat rakyat Aceh, termasuk rumah-rumah sumbangan negara Kanada, Turki, Timur Tengah, Korea, jalan raya sumbangan Amerika Syarikat, jambatan-jambatan sumbangan pelbagai negara, masjid-masjid dan macam-macam lagi. Tentunya, orang Aceh mendapat banyak bantuan dari kerajaan dan NGO Turki kerana ikatan Turki dan Aceh sangat kuat hingga ke hari ini.

Apa pun, banyak yang saya belajar ketika di sana. Setiap musibah dan kecelakaan yang Tuhan berikan ada hikmahnya. Kini, orang-orang Aceh sedang berada dalam keadaan yang jauh lebih selesa kalau dibandingkan sebelum berlakunya bencana tsunami pada Disember 2004. Rakyatnya menjadi bertambah kuat, dari segi kekuatan agama, emosi, fizikal dan ekonomi. Kini Aceh menjadi tempat kedatangan orang luar.

Thursday, January 13, 2011

Ke Banda Acheh



Salam.

Semoga semua berada dalam keadaan yang sihat walafiat. Kalau nak tahu (terutama bagi yang masih muda), ayat bertanya khabar tentang keadaan kesihatan sentiasa merupakan ayat utama semasa saya menulis surat masa dulu-dulu. Mungkin memang itulah cara semua orang pada masa itu. Sekarang ini, tak ada yang kisah pun kita sihat ke tidak... hehe

Okeylah, alhamdulillah saya berada dalam keadaan yang baik-baik, semoga anda semua begitu.

Esok saya akan ke kepulauan Indonesia lagi. Ke Sumatera utara dan kali ini destinasinya ialah Banda Acheh. Suatu ketika dahulu, tempat ini telah diserang ombak besar tsunami dan daerah itu kelihangan beratus-ratus ribu penduduknya. Allah SWT sahaja yang tahu apa hikmah kepada musibah itu. Alhamdulillah, kini Acheh sudah bangkit semula dan saya dan suami, kami bercadang untuk menjenguk-jenguk tinggalan sejarah yang ada di sana.

Seperti kita sedia maklum, Acheh merupakan salah satu daerah penting yang membawa masuk agama Islam ke Nusantara. Kisahnya panjang, tetapi kita dimaklumkan bahawa orang-orang dari Timur Tengah, termasuk Iran dan Turki, juga dari India, telah datang berdagang ke Acheh seraya itu membawa agama Islam bersama mereka.

Semalam, saya mendapat kunjungan beberapa orang pelajar Yemen ke rumah saya. Dan ketika kami berbual, kisah-kisah sejarah kami bangkitkan. Kita semua tahu bahawa orang-orang Hadramaut (Yemen) telah datang beramai-ramai ke Indonesia dan kemudian ke Malaysia dan mereka telah berkahwin dengan orang-orang tempatan. Hari ini, banyak orang Yemen yang berjaya dan juga kaya-raya, dan mereka tidak berada di Yemen lagi. Namun, saya dimaklumkan bahawa kini, ramai yang pulang untuk membantu Hadramaut dan Yemen.

Insya-Allah, kalau dipanjangkan umur, murah rezeki dan kuat tubuh badan, saya akan cuba pergi ke semua tempat-tempat menarik di Indonesia, juga Thailand. Tentunya Timur Tengah, malah di mana-mana sahaja yang mampu saya pergi di dunia ini. Semoga Tuhan makbulkan permintaan saya ini.

Saya ke Acheh selama tiga hari sahaja.

Wassalam.

Wednesday, January 12, 2011

Manchester City Itu Di Mana?



Gambar di atas sekadar hiasan


Salam

Saya dapat juga beberapa komen tentang isu yang saya bangkitkan semalam. Mereka bersetuju dengan apa yang berlaku di IPTA sekarang ini. Rata-rata tenaga pengajar sudah tak ambil 'pot' tentang pelajar. Sebabnya ialah mereka tak ada masa. Ada yang bercerita juga bahawa banyak kerja-kerja yang sepatutnya pensyarah buat, dihulurkan kepada kakitangan sokongan. Pensyarah sibuk nak pastikan tercapai KPI yang ditetapkan. KPI ialah 'Key Performance Indicators'... untuk melihat tahap kecemerlangan kakitangan. Ada juga beberapa orang pensyarah yang saya kenali akui hal ini. Malah, ada seorang ini, baru sahaja balik dari UK dengan Ph.Dnya dan kini dia mengaku yang dia tidak ada masa untuk sibukkan hal pelajar. Dia takut dirinya tercicir dari arus kenaikan pangkat!

Saya harap Pak Menteri yang bertanggungjawab akan ambil perhatian tentang hal ini. Kalau pensyarah takut tercicir, saya bimbang pelajar kita akhirnya yang tercicir. Mungkin pelajar akan keluar dengan ijazah mereka, tetapi 'kualiti pembelajaran' yang diterima akan menjadi isu besar.

Kebetulan, saya bersembang-sembang juga dengan beberapa orang teman dan ada teman saya bangkitkan sekali lagi tentang penulisan laporan di surat khabar. Ini memang ada kaitan dengan 'para graduan' yang sedang menjalankan tugas. Ada satu artikel tentang sukan, melaporkan tentang satu pasukan bola di UK iaitu team 'Manchester City'. Malangnya si tukang lapor telah mencatatkan laporan bahawa Manchester City itu terletak di London. Adoi. Si tukang lapor tak tahu di mana Manchester City. Dia juga tidak tahu bahawa 'London' ialah sebuah kota atau ibu negara kepada negara Great Britain, United Kingdom atau England dan London itu bukan sebuah negara. Manchester City pula selain merupakan sebuah pasukan bola, juga merupakan sebuah kota yang terletak di Greater Manchester, atau apa yang kita katakan di utara barat England. Memang sah si tukang lapor keliru dan tidak tahu. Malangnya juga mungkin pensyarah-pensyarahnya dulu tak pernah beritahu si tukang lapor untuk buat 'research' sebelum menulis laporan.

Adoi... apa nak jadi dengan bakal-bakal pelajar yang akan keluar dari universiti, saya pun tak tahu. Yang pasti pelajar sendiri kena ambil berat tentang masa depan mereka. Jangan bergantung kepada pensyarah mereka ketika menuntut ilmu di unniversiti.

Wallahua'lam.

Tuesday, January 11, 2011

Pelajar Universiti Hari Ini



Gambar di atas sekadar hiasan

Salam

Kalau ikutkan hati, kadang-kadang saya memang tak suka ikut suami bila dia akan berjumpa dengan geng MCKK nya. Tapi, sekali-sekala saya ikut juga, terutama kalau menghadiri majlis perkahwinan. Kita memang beri sokongan. Saya memang kenal baik dengan teman-teman MCKK nya, sebab dulu saya memang tinggal di Kuala Kangsar dan kenal mereka sejak di sekolah lagi. Bayangkanlah... sampai sekarang masih kenal.

Baru-baru ini semasa saya menghadiri satu majlis perkahwinan anak teman suami (geng MCKK), sempatlah saya mendengar perbualan salah seorang member suami saya, kebetulan seorang profesor di sebuah IPTA di Lemabh Klang. Apa yang dikatakan kepada kami memang agak membingungkan. Mungkin elok kalau saya kata merunsingkanlah. Mana tidaknya, kata profesor ini, sekarang ini tenaga pengajar di universiti-universiti sibuk membuat research dan membuat penulisan artikel hinggakan mereka tidak ambil berat tentang pelajar. Mengajar bukan merupakan sesuatu yang membanggakan, tetapi menulis artikel atau buku yang boleh menaikkan nama mereka dan seterusnya untuk meningkatkan perjalanan kerjaya mereka.

Sedih saya mendengarnya. Saya pernah bekerja di universiti dan kini, saya tahu tentang amalan mereka yang sepatutnya mengajar di universiti-universiti. Tapi nak salahkan siapa? Bukankah sistem yang ada sekarang ini memaksa tenaga pengajar universiti bersikap demikian? Adoi. Apa nak jadi sekarang ini?

Memang bukan tugas kita untuk ambil kisah hal-hal seperti ini. Tapi kalau kita sebagai ibu bapa dan juga sebagai rakyat yang membayar cukai, apa hal-hal seperti ini kita buat-buat bodoh saja ke? Sedangkan 'profesor' tadi juga bimbang dengan hal-hal ini.

Nampaknya, kakitangan akademik sibuk menulis artikel-artikel untuk jurnal, mungkin sibuk juga membuat research, tetapi... apa hal pula dengar mengajar? Bolehkah kita jamin kualiti pelajar-pelajar universiti kalau universiti tak ambil kisah tentang mereka lagi?

Mungkin ada yang baca dan nak komen. Boleh hantar e-mel kepada saya.

Monday, January 10, 2011

Fakta Mesti Betul Maa



Salam

Malam Sabtu yang lepas, kami menghadiri majlis perkahwinan anak kawan suami saya. Tak payahlah saya sebutkan nama kawasan perumahannya, tetapi memang kawasan mewah... penuh dengan hutan tropika. Malah, rumahnya pun besar macam mahligai. Maklumlah taukeh besar. Tapi, saya 'salute' mereka suami isteri, kerana menganjurkan majlis tanpa perlu membeza-bezakan tetamu yang datang. Tidak kira siapa pun, semua tetamu boleh duduk di mana-mana saja dan semua tetamu diberi cenderahati yang sama! Tak kiralah TanSri ke, datuk ke, anak Raja ke, malah anak Sultan pun ada...

Petang semalam pula, saya pergi ke airport untuk berjumpa dengan sepupu saya dari Jakarta. Ketika itu, Suzy dan familinya sedang dalam perjalanan untuk pulang ke Indonesia. Maklumlah, rumah saya tak jauh dari airport, kadang-kadang memang praktikal berjumpa di airport sahaja. Saya juga berjumpa dengan 'Misyal', anak saudara saya. Siapa yang dah baca 'Selamat Malam Kekasih' akan mengenali 'Misyal'.

Pagi ini saya nak bercerita tentang penulisan. Sejak beberapa hari yang lepas, ada perkara-perkara tertentu yang saya lihat di surat khabar. Kalau ikutkan hati, saya memang malas nak beli surat khabar, sebab tak ada cerita lain, asyik-asyik mengumpat sana sini! Huh! Tapi, ibu saya memang suka surat khabar. Jadi saya kenalah beli... tak kira surat khabar yang mana satu. Mana yang saya sempat beli, itulah yang dia baca.

Saya perhatikan, terlalu kerap sangat kesalahan dilakukan dalam penulisan artikel atau laporan, seolah-olah si 'penulis' tidak menyemak fakta dan tak ambil kisah. Si editor juga tidak ambil berat tentang tidak ketepatan fakta.

Misalnya, ada satu laporan tentang sebuah filem yang datangnya dari negara Parsi atau Iran. Si penulis menulis tentang bahasa dalam filem dengan mengatakan bahawa filem negara Iran itu berbahasa 'Arab'. Adoi! Tidakkah penulis itu tahu bahawa Iran itu bukannya Arab? Orang Iran tidak berbahasa Arab. Bahasa Parsi sangat berbeza daripada bahasa Arab. Begitu juga Turki. Orang Turki bukan orang Arab dan orang Turki tidak berbahasa Arab. Fakta-fakta begini sangatlah penting dan penulis 'surat khabar', tidak bolehlah tidak ambil kisah tentang hal-hal seperti ini!

Sekali lagi pula, saya membaca sebuah laporan tentang satu kisah 'cuba bunuh'. Isteri kedua cuba bunuh isteri pertama. Dalam laporan itu, nama anak 'isteri pertama' di eja dengan kesilapan yang ketara dalam laporan yang sama. Di atas, namanya dieja cara lain, dan beberapa ayat kemudian, orang yang sama dieja pula dengan ejaan yang berbeza. Begitu juga umurnya. Di atas, disebut sebagai 19 tahun dan di bawah, sebagai 17 tahun. Adoi!

Habis tu, macam mana kita nak percaya dengan laporan yang disampaikan di surat khabar? Tukang tulisnya tidak ambil berat hal-hal fakta yang ditulis.

Malah, semalam pun semasa menonton di TV, sekali lagi saya terkilan dengan tukang penyampainya, kerana dia tidak tahu apa yang dikatakan 'Muzik Indie' Adoi... bilalah kita nak belajar untuk ambil berat tentang fakta-fakta yang diperkatakan?

Maaflah, kalau apa yang saya tulis ini menyinggung siapa sahaja yang membacanya. Bukan niat saya untuk mengata, tetapi hendak mengajak penulis di negara ini supaya ambil berat tentang semua hal yang hendak dibincangkan. Fakta mesti betul maa.

Friday, January 07, 2011

Cerita Hantu


Salam

Novel pertama saya, SESUCI CINTA akan berada di pasaran tak lama lagi. Ramai yang bertanya, jadi nanti bolehlah cari di Jalan Tuanku Abdul Rahman... tapi bukan sekarang ya. Sedang dalam proses untuk dicetak.

Dalam novel itu, pembaca akan bertemu dengan Behzad, lelaki Amerika berketurunan Parsi. Suatu ketika dulu, Behzad seorang Muslim, tidak mengenali agamanya dan setelah jatuh cinta dengan Nuraina, Behzad telah berusaha untuk berubah. Keluarga Behzad adalah dari kumpulan orang-orang Parsi yang tinggalkan Iran di zaman Shah Iran ketika Revolusi Islam.

Sebenarnya, memang ramai orang Parsi yang tidak kisahkan agamanya dan tinggal di luar negara Iran. Semasa saya di Iran dulu, saya telah bertemu dengan seorang wanita Parsi, yang pernah tinggal di Amerika Syarikat. Tetapi akhirnya dia kembali kerana baginya, tiada tempat lain yang lagi hebat dari negaranya. Setelah mengenali agama Islam semula, wanita itu sudah bersedia untuk tinggal di Isfahan, Iran.

Okeylah... saya nak bercerita pulak pasal 'Cerita Hantu'. Hehe, ramai yang takut gila bila ada cerita hantu, tapi yang peliknya ramai pulak yang suka tengok 'cerita hantu'! Saya tak tahu kenapa banyak orang suka dengan 'hantu'. Suka hantu ke? Mestilah suka kot, kalau apa-apa hal pasal hantu ni jadi perbualan hangat.

Setakat ini, alhamdulillah saya taklah takut dengan hantu. Hehe... mungkin sebab latar belakang saya yang dah biasa kot. Bukan biasa dengan hantu, tapi biasa dengan keadaan gelap, kubur dan macam-macam lagi yang ada kaitan dengan hantu! Mungkin sebab itu juga saya tak adalah amal apa-apa pantang larang bila dapat cucu. Masa saya dapat anak pun saya tak kisah semua tu. Alhamdulillah, anak-anak saya pun hampir semua tak takut dengan hantu. Kalau ada orang cerita pasal tempat-tempat yang 'keras', anak-anak saya akan sibuk nak pergi tengok. Tak kisahlah siang atau malam.

Kadang-kadang, saya tengok jugak filem 'kisah hantu'. Tapi saya susah nak takut. Terkejut tu adalah. Bila tidur, saya susahlah nak rasa takut... okey aje. Alhamdulillah.

Dekat tempat saya ni, macam-macam cerita hantu yang ada. Tetapi setakat ni saya belum jumpa lagi. Bunyi-bunyi tu adalah...

Kalau saya dengar apa-apa yang pelik di malam hari, kadang-kadang saya buka pintu bilik saya yang keluar ke balkoni dan terus tengok di luar, tapi tak nampak apa-apa pun! Hanya mungkin bunyi burung hantu! hehe

Kata anak-anak saya, "Hantu tu takut dengan umi..." Hehe... bukanlah saya ni berani sangat, tapi insya-Allah, saya tak berasa takut dengan hantu. Saya lagi takut dengan manusia yang jahat...

Saja aje nak cerita mengarut pagi ni.

Esok, saya nak pergi 'wedding' anak kawan suami saya. Mestilah grand agaknya, sebab kawan suami saya ni orang kaya-raya. Huhu... tak tahu nak pakai baju emas yang mana... hehe, saja gurau aje!

Thursday, January 06, 2011

Kekayaan Seorang Shah





Gambar Alireza Pahlavi, keluarga di raja Shah Pahlavi dan Leila Pahlavi



Salam

Pagi ini saya nak bercerita tentang sesuatu yang ada kaitan dengan kisah entri semalam. Kisah 'material'. Banyak orang mengharapkan untuk jadi kaya raya kerana mereka berfikir tak mungkin seseorang itu akan merana hidup di dunia dengan segala kemewahan yang ada.

Saya nak bercerita sesuatu yang saya kenali sejak kanak-kanak lagi. Semasa saya kanak-kanak, kecoh di pekan tempat tinggal saya kerana ada seorang raja dan permaisurinya yang akan datang ke pekan kami. Kuala Kangsar ialah bandar di raja dan Sultan negeri Perak ketika itu memang tinggal di Kuala Kangsar. Jadi, kami yang bersekolah telah beratur di tepi jalan untuk menyambut raja dan permaisuri negara Iran yang ketika itu digelar Shah dan Shahbanu Iran. Ketika itu, kami diberitahu bahawa raja Iran (Muhammad Reza Pahlavi) ini merupakan antara orang yang terkaya di dunia.

Namun pada tahun 1979, Raja Iran telah melarikan diri dari negaranya kerana ada revolusi rakyat dan seterusnya Iran bertukar kerajaan kepada sebuah kerajaan Islam.

Beberapa tahun yang lepas, saya dan suami ke negara Iran. Suami saya sudah lebih tiga kali ke sana kerana urusan kerjanya. Semasa saya ke Tehran (ibu negara Iran), saya sempat melawat dua buah istana Shah yang sememangnya penuh dengan kemewahan (istana-istana itu sekadar dijadikan tempat lawatan sahaja).

Shah Iran telah meninggal dunia pada tahun 1980 akibat kanser. Dia meninggal dunia di Kaherah (dalam keadaan dibuang negara)dan dikebumikan di situ. Pada tahun 2001, anak bongsunya Leila Pahlavi telah bunuh diri dengan memakan ubat berlebihan. Dan pada 4 Januari 2011 (dua hari lepas) pula, seorang lagi anaknya (anak lelaki dan anak yang ketiga)juga membunuh diri di Boston, Amerika Syarikat dengan menembak dirinya. Alireza Pahlavi mempunyai ijazah Ph.D dari Universiti Harvard dan semasa hayatnya tinggal dalam kemewahan. Sekarang ini, hanya tinggal Reza Pahlavi (anak sulung) dan Farah Pahlavi.

Apa yang saya ceritakan ini ialah tentang 'material' yang tak mungkin mampu memberi kita kebahagiaan. Juga... kita perlu ingat bahawa setiap kekayaan itu, kadang-kadang datang dengan masalah-masalah lain yang mungkin kita tak pernah jangkakan. Apa pun, Allah SWT Maha Adil. Sebagai manusia, tidak semuanya kita ada. Kalau kita gilakan harta, mungkin Allah akan berikan, namun ada benda penting yang Allah ketepikan buat kita. Setiap kita yang hidup (tak kira kaya atau miskin) ada tanggungjawab. Apatah lagi seorang raja.

Apa yang penting dalam kehidupan ialah kebahagiaan dan ketenangan hati dan jiwa.

Shah Pahlavi tidak pernah ambil berat tentang agama Islam walaupun dia seorang Muslim. Malah, ketika beliau menjadi raja, Amerika Syarikat adalah teman baiknya dan Israel juga telah diberi kebebasan untuk menjadi kawannya. Tetapi ketika dia disingkirkan dari Iran, teman-temannya ini tidak mahu melindunginya lagi!

Kisah ini sekadar untuk kita renung-renungkan. Shah Iran mempunyai harta yang mungkin setinggi gunung, termasuk kereta-kereta mewah dan emas dan batu permata... tetapi, apakah semua ini mampu menjadikan kita manusia yang dimuliakan?

Wallahua'lam.

Wednesday, January 05, 2011

Pernah Tak Terfikir?


Salam

Okeylah pagi ni saja nak bersembang tentang benda yang berkaitan dengan 'material'. Bukannya apa, pada jam 5.30 pagi saya dah ke lapangan terbang kerana hantar cik abang saya pergi ke Trengganu. Semalam ke Jay Bee. Mujurlah rumah tak jauh dari airport. Sebab tu kot kami pindah ke sini. Sangat praktikal.

Masa hantar tu, macam-macam yang saya fikirkan tentang kehidupan hari ini. Semuanya mahal belaka. Tak ada yang murah lagi. Masa saya budak-budak dulu, rasanya taklah teruk sangat. Lagipun saya tinggal di kampung. Biasanya kami makan sayur free. Tanam sendiri dan ada kebun sayur tak jauh dari rumah kami. Ayam pun biasanya makan ayam sendiri. Kalau nak beli, ikan dengan daging. Buah-buah tempatan pun ada di keliling rumah.

Sekarang ni, hidup kita di kelilingi material. Tak ada ongkos semuanya jadi sukar. Termasuklah kasih sayang. Ada duit, orang sayang, tak ada duit, terbang melayang!

Inilah yang saya nak tanya ni, terutama bagi mereka yang masih single. Pernah tak terfikir apa akan jadi kalau anda bertemu dan memilih untuk berkahwin dengan orang yang kurang duitnya? Sanggup tak? Atau anda rasa terbeban kalau bercinta dengan mereka yang koceknya ringan?

Sanggupkah anda menunggu, bertatih-tatih untuk melangkah ke depan? Sabar tak? Cukup tak sayang anda tu hinggakan anda tak kisah kalau dia berduit atau tidak?

Hari ini, rata-rata manusia akan menjadi kawan kita bila mereka rasakan yang kita akan membawa untung kepada mereka. Dah payah nak jumpa kawan sejati, yang sayangkan kita kerana hati budi. Dah tak ada orang nak taat pada ikatan persahabatan semata-mata. Sebaik sahaja dia menganggap yang kita tak berduit, maka 'Bye-bye lah...' yang diucapkannya.

Entahlah... kadang-kadang saya rasa risau teramat sangat kerana hidup kita dikelilingi hal-hal material. Orang menghantar e-mel kepada kita kerana mahukan sesuatu dari kita. Jarang yang hantar kerana sayang kepada kita semata-mata. Adoi...

Tapi, alhamdulillah saya masih mempunyai teman-teman dan pembaca-pembaca yang sayang pada saya... sentiasa hantar e-mel kerana seronok nak bersembang.

Beginilah hidup kita, wang menjadi isu pertama. Tidakkah nanti kita akan berasa letih dan bosan?

Agaknya lebih seronok jadi kaum asli yang tinggal di dalam hutan, yang tak ambil kisah sangat pasal 'wang' ni. Ada okey, tak ada tak apa. Masih ada lagi kasih sayang.

Tuesday, January 04, 2011

Post 778


Salam

Ini adalah post saya yang ke 778. Dah banyak juga, kan? Tak sangka juga yang saya akan terus menulis di blog ini. Saya tahu yang orang lain, lebih banyak aktif dengan facebook... tapi entahlah, saya pula tak suka. Saya lebih suka dengan blog. Ialah... orang tak semua serupa, kan?

Agaknya apa isu yang terhangat sekarang ini? Mestilah harga barang yang terus naik, kan? Sungguh menakutkan. Saya rasa, tak ada benda yang kita boleh anggap murah dah. Harga barang-barang memang tak seimbang dengan pendapatan orang Malaysia. Saya bukan bercakap tentang orang yang banyak duit. Itu tak jadi masalah, tetapi saya bercakap tentang orang kebanyakan. Rakyat jelata yang pendapatannya biasa-biasa sahaja. Tak kiralah bekerja sendiri atau makan gaji.

Baru-baru ini adalah saya dengar cerita tentang orang yang terlalu banyak hutangnya. Katanya, "Aku berhutang bukan sebab suka-suka, tapi memang setiap bulan gaji aku tak cukup nak tampung segala-galanya. Rumah sewa, api air, makan minum, duit minyak (dia naik motor aje), bayar motor dan macam-macam lagi. Ni aku baru je kahwin. Umur dah banyak, takkan tak kahwin-kahwin? Aku nak juga kahwin macam orang lain."

Isterinya duduk di rumah. Sekarang ini dia sedang usahakan agar isterinya dapat cari duit bekerja dari rumah. Katanya ini dia belum ada anak, kalau dah ada nanti tak tahulah macam mana pula. Setakat ini dia payah nak bantu ibu di kampung kerana dirinya sendiri pun tak terurus.

Malam semalam saya tengok berita, minyak masak dah mula disorokkan. Kata menteri berkaitan, bekalan memang cukup. Habis tu kenapa minyak tak ada? Dah sah dah minyak akan naik harga. Tak percaya, tunggulah. Masing-masing sorokkan sebab nak cari untung atas angin. Yang merana adalah rakyat jelata.

Ada orang akan kata, tak usah makan minyak banyak-banyak. Serupalah dengan gula. Nanti esok-esok, nasi pun jangan makan banyak-banyak. Tepung pun jangan. Kita minumlah air kosong banyak-banyak sebab itu baik untuk kesihatan! Adoi.

Yang miskin minum air kosong, yang kaya boleh terus berjoli beli emas, beli harta, beli semuanya...

Wallahua'lam.

Monday, January 03, 2011

Sayang Nabil

Salam, Semua

Bagi mereka yang masih bersekolah, selamat kembali ke sekolah. Kepada semua guru-guru sekolah, selamat kembali megajar. Semoga sukses selalu.

Walaupun saya bekerja dari rumah, namun terasa juga kesibukan mereka yang kembali ke sekolah. Bas sibuk berlalu lalang dan ibu bapa sibuk menghantar anak ke sekolah. Saya pun sibuk nak pastikan suami saya bersiap awal. Setiap hari Isnin, dia ada mesyuarat penting di syarikatnya. Suami saya perlu sampai awal. Takut tersangkut dek jam orang yang nak ke sekolah! Kalau tidak, lewat sikit pun tak apa.

Okeylah... dah lama saya tak ada anak-anak yang bersekolah. Semua dah habis bersekolah. Teringat masa dulu-dulu, masa anak masuk sekolah. Tapi dalam ramai-ramai anak saya (hehe empat aje), yang kecil (tapi besar saiznya) lah yang banyak dramanya. Maklumlah anak bongsu kot. Setiap pagi, saya terpaksalah berlakon Hindustan. Berlari dan bekejar-kejar di kawasan sekolah (masa tu tinggal di Bangi) sebab Nabil tak nak masuk kelas. Adoi. Kadang-kadang saya terpaksa tunggu berjam-jam. Anak-anak saya sebelum ini, semuanya tak ada masalah. Semua suka masuk sekolah.

Apa pun, saya tak komplenlah. Sekarang ini di rumah saya hanya tinggal Nabil yang masih remaja. Dialah kawan saya. Dia juga tak suka melepak tak tentu pasal. Malah, dia rajin melayan saya bila saya minta tolong. Pagi-pagi, sebelum ke kampus, dia akan datang kepada saya dan cium pipi saya. Memang best!

Sayang Nabil.

Sunday, January 02, 2011

Jangan Takut Kahwin


Gambar sekadar pinjam untuk dijadikan hiasan

Salam semua

Semalam saya sibuk ke Rawang, sebab menghadiri majlis perkahwinan anak sepupu. Alhamdulillah,semua berjalan dengan lancar. Yang seronoknya, dapat berjumpa dengan kaum kerabat yang datang dari dekat dan dari jauh. Hari ini, saya juga akan menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan jiran kami.

Seronok tengok orang kahwin. Mula dengan alam yang baru. Orang kahwin di zaman ini, tak serupa macam orang kahwin di zaman dulu. Dulu pun taklah dulu mana. Tapi dulu, majlis perkahwinan jauh lagi sederhana daripada sekarang, walaupun semuanya mahal-mahal belaka sekarang ini. Tapi, tak apalah... nak buat macam mana lagi, kan? Memang dah macam tu kot. Orang nak beranak pun dah takut, sebab harga dan 'cost' untuk membesarkan anak-anak sangatlah tinggi. Harga susu (kalau tak menyusu badan), harga lampin pakai buang, harga pakaian, harga barang-barang lain seperti kereta sorong, alat mandi, kerusi kereta dan macam-macam lagi. Ini belum pergi sekolah lagi. Adoi! Patutlah ada orang takut nak kahwin, sebab takut tak mampu!

Apa pun, jangalah takut... insya-Allah, rezeki kita ada kalau kita usahakan. Kita berbelanja ikut kemampuan kita, jangan ikut orang!

Okeylah... teruslah berkahwin dan teruslah beranak.

Saturday, January 01, 2011

Kuntum Merah Jambu



Salam semua

Saja saya update blog pada hari ini. Nak mula di tahun baru, 1 Januari 2011 atau 1.1.11. Kawlah!
Okeylah nak bagi tahu ni... saya juga mempunyai satu lagi blog baru. Kuntum Merah Jambu. Boleh tengok kat profile saya. Blog ini saya khaskan untuk novel baru saya yang sedang saya tulis... semoga anda semua rajin-rajinlah masuk dan berkenalan dengan Dania Hayat, kisah anak gadis yang tinggal di Puchong, Selangor.

Wassalam.