Keindahan Alam - Berehat dan Membaca di sini...

Followers

Thursday, October 29, 2009

Dekatkanlah aku...


Ramai yang takut kalau hidup tak berduit. Takut kalau bangun dari tidur, itu yang diingatkan dulu. Malah, nak tidur malam pun, itu yang menjadikan ketakutan hinggakan susah nak terlena. Kepala otak asyik mengira, tak cukup-cukup.

Banyak juga risau kalau hidup tak berteman. Umur dah banyak, tapi masih tak ada sesiapa yang boleh menemani diri yang sudah lama terasa kosong. Mungkin ada yang pernah kahwin, kini sudah tinggal sendirian, dan keadaan itu merimaskan.

Ada juga bimbang dengan hal kerja di pejabat. Bangun pagi-pagi lagi, itulah yang mencemaskannya. Ada masalah di pejabat. Nak tidur malam pun terkebil-kebil teringatkan kerja yang belum selesai.

Ada pula tu, ada masalah dengan kenalan atau mungkin kawan. Asyik tak ngam sahaja. Membebankan. Rasa cemburu, sakit hati dan macam-macam lagi. Mungkin juga fitnah, buruk sangka dan dendam.

Tetapi berapa ramai agaknya di antara kita yang semasa hendak tidur dan apabila terjaga sahaja teringatkan Tuhannya? Nak tidur, bukan sekadar membaca ayat-ayat suci berwirid dan berzikir sahaja, tetapi berdoa-doa, menghayati dan memikirkan tentang kewujudan-Nya? Bila bangun pula, Dialah yang datang dulu kepada hati, jiwa dan akal kita. Bila berjalan, memandu kereta, kita mengelamun tentang-Nya. Fikirkan Dia, ingatkan Dia, merindui-Nya, mungkin menangis kerana Dia.

Ya Tuhanku... biarlah aku dekat dengan-Mu sentiasa, setiap saat, setiap nafasku, Engkau ada. Allahuakbar,Subhanallah, Alhamdulillah...