Assalam
Kata Allahyarham Pak Hamka, "Dunia adalah tempat bertanam untuk Akhirat."
Sudahkah kita buat cukup tanaman untuk dibekalkan pada akhirat nanti? Sudahkah kita buat segala persediaan, bukan sekadar seronok-seronok dan kumpul harta dan duit untuk dunia sahaja, tetapi untuk dijadikan perisai bagi memastikan kita tidak dicampak ke neraka jahanam? Semoga kita sama-sama bersedia untuk kumpulkan kebaikan dan amal ibadah, agar Allah tempatkan kita di syurga firdausi, insyaa-Allah.
"Berpesan-pesan dengan kebenaran.
Berpesan-pesan dengan kesabaran.
Berpesan-pesan dengan kasih sayang."
Itulah prinsip orang Padang untuk mencari kebahagiaan dalam kehidupan. Kejujuran itu adalah tiang iman dan keharmonian dalam sebuah kehidupan. Kalau tidak amal untuk bercakap benar, tak kiralah apa jua keadaannya, kita akan terperangkap dalam mainan syaitan. Nauzubillah min zalik.
Begitu juga dengan kesabaran. Hidup sudah tentu mempunyai ujian dan cabaran. Kalau tiada kesabaran, pasti akan kecundang dan gagal dalam kehidupan. berlaku jujur dan sabar sentiasa bersaing. Tanpa satu, pasti tak ke mana-mana.
Kasih sayang pula adalah inti makanan sedap. Itulah yang membuat kita rasa aman dan bahagia. Tanpa kasih dan tanpa sayang, kita berhati robot. Dalam pada itu, jangan tersilap berkasih dan sayang, kerana syaitan juga akan menjelma merosakkan iman.
Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, amal-amalkan perbuatan baik. Bersikap jujur dengan berkata yang benar, kawal kesabaran agar mudah mengatasi masalah, jangan kedekut untuk meluahkan kasih sayang di tempat yang betul, agar semua ini membawa kebaikan dunia dan akhirat.
Wassalam.
