Nampak macam normal
Salam
Semoga anda semua sihat sejahtera dan sedang dalam mood yang baik untuk mulakan tugas, insya-Allah.
Pagi ini saya ingin berbual tentang penyakit atau sakit. Yang pasti, kita sentiasa berdoa agar jangan ditimpa penyakit yang rumit, kalau sekalipun sakit, biarlah kita mampu mencari ubatnya. Betul tak? Tapi, pernah tak kita fikir tentang penyakit yang ada pada diri yang tak kelihatan seperti sakit? Haha... bukan penyakit buatan orang macam kena santau atau kena rasuk, tapi sakit yang datangnya daripada diri kita sendiri!
Tahu tak sakit macam mana yang saya nak cerita ni? Antaranya ialah penyakit tak sedar diri. Tak sedar bukan kerana koma atau pengsan, tetapi tak sedar kerana sengaja tak mahu sedarkan diri! Hehe, sakit apa ni?
Penyakit yang saya maksudkan ialah sakit dalam jiwa atau 'kepala otak' yang tak betul. Bukan tak betul sebab gila, tapi tak betul sebab 'hampir macam gila' kerana mempunyai tabiat luar biasa atau tabiat 'pelik'. Semua tabiat ini datangnya kerana kita melatih diri supaya jadi begitu, bukan sakit keturunan atau penyakit yang menyakitkan dari segi fizikal.
Penyakit yang saya ingin perkatakan ialah pelbagai jenis sakit yang 'menjelekkan'. Penyakit yang dilatih pada diri, misalnya amalan 'suka berhutang'. Ada orang memang itulah kerjanya, segala benda mahu ada dan 'branded' pulak tu. Sekalipun tak 'berwang', masih juga mahukannya dan jalan terbaik ialah berhutang. Beli handphone berhutang, beli TV berhutang, beli pakaian berjenama pun berhutang, hinggakan lehernya bagaikan tercekik kerana terlalu banyak hutang. Cukup bulan, sekalipun gaji agak lumayan, tetap tak cukup, akhirnya berhutang untuk bayar hutang!
Ada pulak tu, perangainya jadi 'sadis', tengok orang sedih, dia jadi seronok. Sebab itulah kadang-kadang kita dengar cerita kanak-kanak kecil yang didera orang dewasa. Kita berasa hairan kenapa ada orang boleh mendera, tetapi sebetulnya memang ada orang punyai penyakit pelik, seronok melihat orang menangis dan terpekik-pekik kerana disakitkan atau dicederakan.
Malah, ada orang pula amalkan kerja-kerja gila seperti mencari 'pelacur' sedangkan sudah ada isteri, hanya kerana baginya perbuatan itu 'menyeronokkan diri'. Sama juga dengan orang yang tak tunaikan tanggungjawab untuk beri anak bini makan sedangkan dirinya mampu, tapi sengaja tak nak tunaikan kerana dirinya berasa ada kuasa untuk buat itu semua!
Jangan lupa, banyak yang sakit macam ni kelihatan macam normal je, kerana banyak juga yang hebat berlakon.
Hahaha... saya pun dah nak jadi macam gila ni, sebab fikirkan betapa ramainya orang berpenyakit di luar sana. Sick people that should seek help. Memang betul tu, kalau anda mengenali mereka yang punyai penyakit aneh macam ni, sila suruh orang-orang ini dapatkan bantuan. Kalau tidak, mereka akan mati begitu saja, macam katak yang dilenyek atas jalan raya bila hari hujan!
Wassalam.