Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, July 31, 2015

Panik!

Assalam

Ya... mungkin ramai yang panik. Macam-macam boleh panikkan diri kita, apatah lagi bila ada sesuatu yang berat sedang terjadi. Lebih menjadi rumit bila negara sedang kucar-kacir. Mungkin inilah balasan Allah swt buat hambanya yang kurang bijak dan kurang ambil peduli tentang apa yang terjadi di sekeliling kita. Masing-masing nak cepat kaya hinggakan tak peduli sama ada masa depan dan anak cucu kita akan terjejas.

Biasanya juga kita akan panik bila kita tahu yang kita dah buat salah dan silap. Orang kata, kita akan jadi berserabut. Ada ketika kita melihatkan perasaan kesal kita kerana telah melakukan kesilapan. Namun ada juga yang tak mahu mengaku akan kesilapan yang dah dibuat. Konon-konon orang lain yang salah, sedangkan yang mengaturkan kesalahan itu dirinya juga! Nauzubillah min zalik.

Manusia ini dijadikan Allah swt dengan akal dan fikiran, tetapi ada ketika kerana nafsu, akal dan fikiran jadi lemah. Hanya dunia yang dirasakan akan membahagiakan diri sedangkan akhirat serta alam barzakh tidak menjadi penting buatnya. Nauzubillah.

Tak kiralah perkara kecil atau besar, kalau kita tahu itu merupakan kesalahan dan memudaratkan, janganlah kita berdalih-dalih dan cuba berkutbah, menegakkan benang yang basah. Tak mungkin kot!
Belajarlah untuk berasa malu terutama pada Tuhan yang maha satu. Malu juga pada kaum kerabat, pada ibu dan ayah, pada sahabat dan kenalan, jangan biarkan orang gelakkan kita. Malu juga pada anak-anak, kalau mereka tahu perangai ibu dan ayah, betapa malunya, mungkin tak tahu mana nak sorok muka.

Jadilah manusia yang peka dan sedar diri. Jangan biarkan diri terperangkap dek nafsu yang membuak-buak kerana akhirnya nanti, kita juga yang akan terperangkap! Nauzubillah.

Belajarlah untuk buat baik kerana bahagia tidak semestinya punyai wang dan harta setinggi gunung!

Tak usah panik bila rahsia kita terbongkar. Sepatutnya kita sedar dan tahu akan kesilapan yang mahu kita lakukan. Jangan biarkan diri menipu diri sendiri dengan mengandaikan apa yang mahu dilakukan itu seolah-olah merupakan satu kebaikan!

Kenapa panik? Takut orang tahu akan perbuatan jelek kita ke?

Wassalam.



Thursday, July 30, 2015

Alhamdulillah... Syukur

Assalam

Di pagi ini, saya ingin ucapkan alhamdulillah dan syukur di atas segala nikmah yang Allah berikan kepada saya, termasuk segala ujian kecil dan besar, kerana dengan ujian itulah saya mampu menjadi insan seperti apa yang ada ini, walaupun tetap dengan kekurangan dan kelemahan, insyaa-Allah masih teguh iman dan sedang berusaha untuk teruskan perjalanan di jalan yang lurus selagi ada umur yang Allah swt berikan. Semoga Allah swt berikan yang terbaik, aamiin.

Semestinya bukan mudah untuk mengawal nafsu, kerana kalau kita melampau lemah, maka kita akan memilih untuk jadi manusia haloba, yang tamak dan mahu segalanya. Mungkin kita akan jadi seperti Fira'un yang menjadi antara subjek utama dalam kitab al Quran bagi menggambarkan sifat kejahatan manusia, yang melampau kuat Iblis di dalam dirinya. Nauzubillah min zalik.

Dalam mengejar kecemerlangan di dunia ini, janganlah sampai tersesat perjalanan. Janganlah kita menjadi manusia yang tak mampu mengawal nafsu kerana syaitan sangat suka pada manusia yang lemah iman kerana kuat nafsu. Mahu apa pun biarlah berpada-pada jangan sampai lupa daratan kerana akhirnya nanti musnahlah hidup hancurlah akhirat. Nauzubillah min zalik.

Semalam, kami meraikan hari ulang tahun perkahwinan saya dan suami secara sederhana sahaja. Seronok berkumpul anak beranak. Semoga Allah merahmati hidup dan akhirat kami. Semoga Allah melindungi kami sekeluarga dunia akhirat. Aamiin.

Hari ini, saya akan kesibukan lagi kerana akan ke airport untuk bertemu dengan anak saudara yang akan pulang ke Jakarta. Insyaa-Allah September nanti, mereka akan datang lagi.

Apa-apa pun, syukur di atas segala yang dihadiahkan Allah swt kepada kami.

Wassalam.

                                                                   Alhamdulillah
                                                                 Si tembam-tembam!

Wednesday, July 29, 2015

Dia Pergi Jua

Assalam

Semalam... banyak yang berlaku di negara ini dan saya sangat sedih. Dalam dunia politik saya terkilan dan dalam dunia realiti kehidupan, saya berasa sedih.

Kebetulan saya telah dimaklumkan pada siang hari bahawa abang angkat saya yang saya melawat sebelum Ramadhan telah pulang ke rahmatulah di bulan Ramadhan, tetapi saya tidak dimaklumkan. Sedih betul rasanya kerana saya baru tahu tentang hal ini semalam. Al Fatihah buat roh Abang Isa semoga Allah swt merahmati rohnya, aamiin.

Semoga Allah swt ampunkan segala dosa arwah Abang Isa dan semoga Allah swt selamatkan negara ini daripada jatuh dan hancur dek kebodohan dan kedunguan manusia jahil yang tak ada fikiran dan tak pentingkan negara dan rakyat. Aamiin.

Wassalam



Tuesday, July 28, 2015

Mana Awak Pergi Ni?

Assalam

Hahaha... tak pergi mana-mana yang jauh pun. Sekitar di Lembah Klang sahaja. Tapi sibuk sakan. Sibuk orang datang rumah untuk berhari raya dan pada Sabtu yang lepas, kami juga sibuk pergi beraya sana dan sini. Alhamdulillah. Punyalah sibuk sampai tak sempat nak buka laptop!

Semalam juga, saya diberitahu yang anak buah saya tiba dari Jakarta. Waaaahhh bertambah sibuk. Alhamdulillah dia dan suami datang ke KL untuk berhari raya, untuk pastikan silaturahim kami tak putus.

Dalam kesibukan, salah seorang jiran pula ditimpa musibah. Rumah yang ditinggalkan selama sepuluh hari kerana ada majlis perkahwinan anak mereka di utara, telah kebakaran. Kes masih disiasat, takut ada yang sengaja mahu sabotaj.

Begitulah putaran hidup kita, ada kala ketika kita sibuk beria-ia, ada pula yang dalam kesedihan. Semoga Allah berikan hidayah buat mereka yang ditimpa musibah, insyaa-Allah.

Dalam pada itu, semalam ketika sedang berehat-rehat, cik abang tanya saya... jom kita jalan-jalan nak?

Esok ialah hari ulang tahun perkahwinan kami. Doakan yang baik-baik buat kami, ya?

Semoga Allah rahmati kita dunia dan akhirat. Wassalam.

                                                             Di rumah adik saya

                                                              Dengan Nabeehah

Friday, July 24, 2015

Pilih Betul-Betul

Assalam

Saya tersenyum membaca sebuah ungkapan seorang professor dunia Barat yang mengatakan bahawa kebanyakan kita memang suka minum kopi, tapi bila dihidang dalam pelbagai jenis cawan, rata-rata akan memilih cawan yang cantik dan mahal dan cawan murah akan diketepikan, padahal semua cawan menghidangkan kopi yang sama. Begitulah kita manusia, kan? Kita selalu tertipu dengan apa yang ada di luar sana. Kerap kali kita tercebak dengan pilihan yang salah kerana mata kita dikaburi dengan luarannya.

Jadi... bila kita memilih, pastikan kita pilih betul-betul kerana bila kita buat salah pilihan, mungkin nasib tidak akan menyebelahi kita lagi. Nauzubillah min zalik. Kata seorang pujangga orang putih, "Life is between B and D. B is for birth and D is for Death. In between B and D is C. C is the Choice that a person has to make." Kalau kita buat pilihan yang tak tepat, takkan kita nak salahkan nasib, kan?

Sungguh Allah swt yang menentukan nasib kita, tetapi kita yang membuat pilihannya kerana Allah swt memberi kita akal untuk berfikir. Jadi... fikirlah baik-baik dan jangan tersalah pilih bila kita mahu memilih. Kadang-kadang, kerana terlalu memilih, kita sekadar dapat yang serpih, yang baik-baik sudah diambil orang lain!

Dalam begitu, jangan pula kita menyombong diri kerana merasakan bahawa diri punyai lebih daripada orang lain, mungkin pasangan kita sendiri, kerana hebat mana sekalipun, semuanya adalah pinjaman belaka. Pun begitu, jangan pula kita jadi manusia yang suka ambil kesempatan lalu menjadi penyebab untuk menyesatkan orang lain dalam membuat pilihan. Apa-apa pun, tanyalah pada diri sendiri, "Aku nak apa dalam hidup ini? Nak hidup di dunia tanpa pedulikan akhirat?"

Itulah pilihan yang kita kena selalu buat, jangan sampai kerugian dunia dan akhirat. Salah pilih, kita terlepas kebahagiaan. Kadang-kadang bila kita salah pilih, kita akan menjeratkan diri lalu terjerumus dalam kancah maksiat! Betapa ruginya kita. Nauzubillah min zalik. Namun kalau kita mahukan kebahagiaan, pilihlah untuk bahagia dunia akhirat.

Semoga Allah swt melindungi kita dunia akhirat, aamin ya Rabbal alamin.

Wassalam.



Thursday, July 23, 2015

Cinta Yang Tak Boleh Dibeli

Assalam

Masih sibuk beraya ke? Nampaknya dah jadi budaya kita kan? Bila Syawal sahaja, selagi tak habis Syawal kita akan terus berhari raya. Tak apalah, nak buat macam mana pun. Malah kami pun tak putus-putus didatangi tetamu terutamanya kaum kerabat. Alhamdulillah, setidak-tidaknya silaturahim kita berkekalan. Aamiin.

Begitulah keadaannya, cinta yang tak boleh kita beli. Walaupun mungkin ada duit setinggi gunung, tetapi bukan semua cinta kita mampu beli. Memang tak dinafikan, ada orang sangat mudah mencurahkan cintanya asal sahaja ada keberuntungannya atau ada hasilnya. Asal sahaja dapat sesuatu, maka hatinya pun diberikan. Kalau semurah itu cinta kita, pasti tidak kekal dan pasti akan rosak jua satu hari nanti.

Kasih sayang semestinya datang dari hati yang suci murni. Walaupun mungkin tak dapat apa-apa hasil daripadanya, namun rasa kasih itu tetap ada. Cinta murni membentukkan pengorbanan. Barulah kita anggap ini sebagai cinta. Bukan hanya antara manusia yang berpasangan, malah antara ibu bapa dan anak-anak, ada yang menjual beli kasih sayang mereka. Bila anak berduit, ayah ibu sayang lebih kalau dibandingkan dengan anak-anak yang kurang mampu. Begitu juga adik-beradik, yang rajin menghulur mungkin akan lebih disayangi. Mudah benar kita membeli kasih sayang. Betapa butanya hati kita ini.

Apatah lagi antara lelaki dan perempuan. Kalau si perempuan mudah tersua-sua hanya kerana wang-ringgit yang dihulurkan, maka kita sebenarnya sedang dibohonginya. Tetapi memang ramai yang buta mata dan buta hati, tak melihat tabiat buruk yang melekat pada insan di dunia. Mereka jadi kabur dan mudah percaya hanya dengan kata-kata dusta! Nauzubillah min zalik.

Percayalah... kalau cinta kita perolehi melalui wang-ringgit, maka katalah pada hati, bahawa sebenarnya diri sangat bodoh dan mudah terpedaya. Tak usah harapkan cinta yang dibeli untuk berlaku jujur dan setia. Cinta yang dibeli akan berakhir dengan khianat, sudah pasti.

Sejujur-jujurnya, pandanglah pada keikhlasan di hati, bukan sekadar kata-kata kosong yang pandai mencairkan hati. Tak usah terpedaya dengan cerita dongeng kerana semua yang bersukat dengan material akan hancur jua di akhirnya.

Wassalam.



Wednesday, July 22, 2015

Malu Teramat Sangat

Assalam

Walaupun saya bukan jenis beraya sakan, namun saya tetap menerima tetamu yang datang ke rumah untuk berhari raya. Inilah masanya kaum kerabat datang berkunjungan dan teman-teman juga begitu. Syukur alhamdulillah. Sejak raya pertama kami sibuk, hingga malam tadi pun masih sibuk. Ada sahaja yang datang. Hanya pada hari raya kedua kami pulang ke Johor.

Pun begitu, perlu diingat-ingatkan supaya kita semua tak akan lupa. Hidup dalam dunia ini perlu berasa malu selalu. Kalau tak malu, memang parahlah. Memang ada keadaan memerlukan kita untuk tidak berasa malu. Terutama bila kita perlu berjumpa orang untuk bincang tentang kerja atau bisnes. Kalau malu, memang susahlah. Malu yang saya maksudkan di sini ialah malu kepada Tuhan.

Banyak orang tak ambil berat dan tak ambil kisah kerana merasakan tak ada yang melihat, hinggakan sanggup buat maksiat. Sangkanya kerana tak ada yang tahu dan tak ada yang nampak, buatlah apa sahaja, memang diri tak akan rasa malu. Tetapi kalau tahu ada yang tahu dan ada yang melihat, kalau boleh diri tak akan buat maksiat! Nauzubillah min zalik. Beginilah kebanyakan manusia, sebab itulah ada yang sanggup ambil rasuah, sanggup berkesedudukan tanpa nikah yang sah, sanggup berjudi dan minum arak, sanggup buat apa sahaja yang dilarang Allah swt kerana sangkanya tak ada yang melihat.

Janganlah tertipu dengan usia yang muda, kerana syarat mati tidak harus tua! Kalau dah sampai masa dan sampai ajal, usia yang muda pun boleh mati!

Jangan lupa bahawa sekalipun tiada yang tahu dan tiada yang nampak, namun Allah swt sentiasa melihat segala kelakuan buruk dan amalan yang tak patut yang kita manusia lakukan kerana menyangka bahawa tiada manusia lain yang tahu!

Jangan takut sangat dengan manusia lain, tapi takutlah dengan TUHAN. Kalau takut Tuhan, pasti kita tak buat maksiat, tak kiralah kecil atau besar. Kalau kita takut pada Tuhan, kita tak jadi manusia materialistik yang kemarukkan harta orang. Kalau kita takutkan Tuhan, kita tak sanggup pergi ke hotel bajet atau hotel mahal untuk 'berzina'! Kalau kita takut pada Tuhan, kita tak akan mendera kanak-kanak atau isteri. Kalau kita tahu Tuhan melihat, pasti kita akan buat segala yang baik sekalipun kita tahu orang lain tak tahu! Subhanallah.

Belajarlah untuk sentiasa berasa malu pada Tuhan agar kita elakkan diri daripada melakukan maksiat dan amalan yang tak baik, insyaa-Allah. Belajarlah untuk berasa malu agar maruah kita sentiasa terjaga. Aamiin.

Wassalam


Yusufia bersiap untuk ke sekolah, rupa-rupanya sekolah belum buka lagi, jadi terus datang ke rumah lola dan relaks-relaks pagi tadi.

Tuesday, July 21, 2015

Minal Aidin Wal Faizin

Assalam

Taqabbalallahu minna wa minkum. Semoga Allah terima amalan kita semua. Semoga kita meraikan Syawal berpada-pada dan jangan terlebih gembira. 'Minal Aidin wal Faizin' merupakan ungkapan yang diamalkan oleh rakyat Indonesia ketika meraikan Eidul Fitri. Membawa maksud, "Semoga kita semua tergolong orang yang kembali (ke fitrah) dan berhasil (dalam latihan menahan diri)". Eidul Fitri adalah perayaan 'Fitrah' insan, namun sebagai manusia beriman, janganlah kita berlebih-lebihan. Sekalipun bermaaf-maafan, biarlah ikhlas dari hati, bukan berkata sambil lewa sekadar buat suka-suka sahaja.

Insan yang baik adalah insan yang mengamalkan fitrah yang baik-baik, berbudi pekerti yang tinggi, amalkan ilmu yang ada erti, tidak bersangkaburuk pada insan yang lain, tidak pandang rendah pada yang kurang dan tidak pula ambil kesempatan di atas kebaikan atau kelebihan orang lain.

Semoga kita kukuhkan silaturahim sesama insan, terutama yang ada kaitan darah daging dengan kita. Jangan lupa untuk mendoakan orang tua kita, tak kira sama ada mereka masih hidup atau sedang berada di alam barzakh.

Wassalam.

                                                           Dengan Sharifah Nabeehah
                                             Dengan Firas, Taufiq, Yusufia dan Laila Hana

                                                                  Sepupu-sepupu.
                                        Rustam, Nabil, Laila, Aiman, Irfan, Faiz dan Lutfi
                                                        Aiman, Afifah dan saya

Thursday, July 16, 2015

Selamat Tinggal, Insyaa-Allah Jumpa Lagi

Assalam

Hari terakhir Ramadhan... betapa sedihnya rasa di hati ini. Semoga Allah swt izinkan umur yang panjang agar dapat bertemu Ramadhan lagi, insyaa-Allah. Bukan mudah untuk ucapkan selamat tinggal. Selama sebulan, fokus hanya pada-Nya kerana inilah bulan yang Allah pilih untuk berikan rahmat buat hamba-Nya yang mahukan rahmat itu. Semoga Allah terima segala amal ibadah yang kita lakukan, insyaa-Allah.

Mungkin ada yang ghairah untuk menyambut hari raya, tetapi janganlah beraya sakan sangat. Sentiasalah beringat-ingat, buat apa yang perlu sahaja dan pastikan jangan amal perkara bida'ah kerana taksub untuk berhibur dan keseronkan. Jangan membazir dan jangan pula kita menyebar fitnah ketika berjumpa dengan sanak-saudara dan rakan-rakan. Kita tahu ini adalah zaman di mana fitnah mudah disebarkan. Jangan pula ralit dengan gadget hinggakan terlupa pada insan yang berada di sekeliling kita. Buatlah perkara yang baik-baik semoga kita terus ikut jalan yang lurus. Aamiin.

Adios Ramadhan... I am going to miss you, till we meet again...

Wassalam.


Wednesday, July 15, 2015

Rindukan Dia

Assalam

Pasti ada ketika kita berasa rindukan seseorang atau sesuatu. Zaman rindu-merindu ini akan sentiasa datang dan pergi tapi saya ingatkan sesuatu yang selalu terjadi bila nak sambut Syawal tiba. Kami akan dapat kad ucapan raya berlambak-lambak hinggakan kadang-kadang tak sempat nak balas. Yang seronoknya, bila datang mood rajin, kita akan hias dan gantung kad-kad raya tu! Sekarang ni, semua tu dah tak ada lagi. Pastinya kita yang pernah melalui zaman itu akan merinduinya.

Sekarang ini orang hanya hantar mesej sahaja. Memang tak 'deep' lah kerana semua ini sangat mudah dan sangat murah. Tak ada lagi personal touch. Dulu-dulu, masa zaman bercinta, pakwe saya hantar kad raya yang sangat personal, dengan kata-kata indah yang tak jumpa dah pada hari ini!

Beginilah bila zaman berubah dan teknoloji semakin canggih, semakin kita juga hilang 'sentimental values'.

Wassalam.



Tuesday, July 14, 2015

Selamat Menyambut Syawal.

Assalam

Sekarang ini saya sibuk mengemas rumah di siang hari. Mujurlah ada yang membantu, alhamdulillah. Saya masih sibuk ke Lenggeng.

Namun saya juga ingin ambil kesempatan ini untuk ucapkan Selamat Hari Raya buat mereka yang saya sayang, semoga Allah swt rahmati hidup dan akhirat kita aamiin. Dalam pada itu, pastikan juga Ramadhan yang masih ada ini diberi keutamaan. Jangan seronok nak beraya sakan. Bagi yang akan berjalan jauh, pastikan anda berjaga-jaga di jalan raya.

Insyaa-Allah, kami sekeluarga akan berhari raya di Nilai sahaja. Tahun ini, tak rancang untuk pergi bercuti kerana projek di Lenggeng perlukan tumpuan kami.





Wassalam.

Monday, July 13, 2015

Kalau Nak Berkasih Sayang

Assalam

Kata Allahyarham Pak Hamka, "Dunia adalah tempat bertanam untuk Akhirat."

Sudahkah kita buat cukup tanaman untuk dibekalkan pada akhirat nanti? Sudahkah kita buat segala persediaan, bukan sekadar seronok-seronok dan kumpul harta dan duit untuk dunia sahaja, tetapi untuk dijadikan perisai bagi memastikan kita tidak dicampak ke neraka jahanam? Semoga kita sama-sama bersedia untuk kumpulkan kebaikan dan amal ibadah, agar Allah tempatkan kita di syurga firdausi, insyaa-Allah.

"Berpesan-pesan dengan kebenaran.
Berpesan-pesan dengan kesabaran.
Berpesan-pesan dengan kasih sayang."

Itulah prinsip orang Padang untuk mencari kebahagiaan dalam kehidupan. Kejujuran itu adalah tiang iman dan keharmonian dalam sebuah kehidupan. Kalau tidak amal untuk bercakap benar, tak kiralah apa jua keadaannya, kita akan terperangkap dalam mainan syaitan. Nauzubillah min zalik.

Begitu juga dengan kesabaran. Hidup sudah tentu mempunyai ujian dan cabaran. Kalau tiada kesabaran, pasti akan kecundang dan gagal dalam kehidupan. berlaku jujur dan sabar sentiasa bersaing. Tanpa satu, pasti tak ke mana-mana.

Kasih sayang pula adalah inti makanan sedap. Itulah yang membuat kita rasa aman dan bahagia. Tanpa kasih dan tanpa sayang, kita berhati robot. Dalam pada itu, jangan tersilap berkasih dan sayang, kerana syaitan juga akan menjelma merosakkan iman.

Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, amal-amalkan perbuatan baik. Bersikap jujur dengan berkata yang benar, kawal kesabaran agar mudah mengatasi masalah, jangan kedekut untuk meluahkan kasih sayang di tempat yang betul, agar semua ini membawa kebaikan dunia dan akhirat.

Wassalam.


Sunday, July 12, 2015

Fikir Duit Saja

Assalam

Semoga Ramadhan membawa rahmat serta kebahagiaan buat kita semua, aamiin.

Dalam pada itu, mungkin elok juga kita bualkan tentang sesuatu yang mungkin selalu berlegar-legar di kepala kebanyakan kita. Tentang Duit! Mungkin juga ramai yang asyik fikirkan hal itu hinggakan macam tak sah kalau nak buat sesuatu tetapi tak mendatangkan hasil dari segi kewangan. Saya teringat pada kata 'bos' saya dulu, ketika saya masih bekerja. Katanya, terlalu ramai yang fikirkan tentang duit, hinggakan nak bersin pun nak tahu ada untung atau tidak! Huhu... bunyi macam kelakar tapi inilah realiti kehidupan hari ini. Tak ada lagi budi bahasa, tak ada lagi budi baik, tak ada lagi keikhlasan dalam kebanyakan benda yang manusia mahu lakukan. Segala-galanya perlu berbayar!

Tak kisahlah kita berada di mana dan pada bila masa, semuanya akan mengambil kira tentang hal duit ini. Malah, ramai yang akan mengambil peluang dan kesempatan. Kadang-kadang kita macam tak percaya, dari luar kita lihat seseorang itu macam okey sahaja, tetapi sebenarnya otak dan hatinya hanya fikirkan duit atau keuntungan! Hinggakan ada yang sanggup untuk lakukan apa sahaja asalkan boleh dapat duit!

Hari ini, rasuah dah jadi budaya kehidupan ramai orang. Semua ini terjadi kerana duit juga! Baru-baru ini saya bersembang dengan 'Dadi', seorang pekerja berketurunan Indonesia yang tinggal tak jauh dari kawasan tempat tinggla kami. Dia bercerita pada saya yang kadang-kadang dia terpaksa habiskan sebanyak RM500 hingga RM700 sebulan untuk membayar pada 'polis' yang berkeliaran di kawasan perumahan tempat tinggal saya. Ada sekali tu, Dadi bercerita, "Kak... dia mintak seribu pada saya. Saya kata saya tak ada duit sebanyak itu. Jenuh saya mengelak. Akhirnya dia paksa saya buka wallet saya dan kebas sebanyak RM400 kerana sebanyak itu yang ada dalam dompet saya tu!" Astaghfirullah... saya terkejut juga mendengarnya. Saya tanya pada Dadi, "Kenapa dia mintak banyak macam tu?"

"Saya tak ada lesen motor, kak. Jadi dia takutkan saya... nak bawak pergi balai."

Adoii... sebenarnya saya sangat malu mendengarnya. Tergamak sungguh mereka meminta dan mengambil sebanyak itu daripada seseorang yang sedang buat kerja mengguna kudrat tangan dan kakinya dan mencari makan kerana nak lari daripada kemiskinan. Namun, mereka tergamak memberi makan anak dan isteri duit haram seperti itu!

Malah, baru-baru ini dalam beberapa hal yang sedang diuruskan, kami mendapat masalah daripada segelintir orang akibat 'kemarukan duit'. Saya menjadi sangat hairan kerana masing-masing hanya pentingkan keuntungan hinggakan akhirnya mereka kerugian kerana terlepas peluang untuk mendapat faedah yang lebih besar untuk masa depan mereka!

Okeylah... semoga kita fikirkan hal-hal seperti ini, janganlah segala-galanya kita hanya fikirkan tentang duit. Takut sekiranya kita yang akan rugi kerana tindakan kita mungkin akan makan diri kita sendiri!

Wassalam.



Friday, July 10, 2015

Bayangan Menjadi Kenyataan

Assalam

Saya tak ada mood untuk update blog, mungkin sebab keletihan. Iyalah... bulan Ramadhan dan terlalu banyak aktiviti personal untuk kami. Tetapi alhamdulillah, Allah berikan kudrat dan semangat untuk teruskan segala apa yang kami impikan. Syukur ya Allah.

Walaupun sibuk di siang hari dan juga di malam hari, tetapi segala apa yang kami lalui merupakan satu nikmat anugerah Allah swt. Kadang-kadang, mungkin kita pernah angankan atau impikan untuk merasai sesuatu dan sesuatu itu pernah berlegar-legar dalam perasaan dan minda kita. Walaupun mungkin kita tak menjadikan ia sebagai matlamat hidup kita, namun dengan kuasa Allah, apa yang kita pernah bayangkan itu menjadi kenyataan. Pernah tak terjadi begitu buat anda?

Sambutan Syawal kali ini tak akan jadi meriah buat kami kerana tahun ini merupakan tahun pertama kami menyambut Syawal tanpa ibu saya. Bertahun-tahun lamanya ibu saya tinggal dengan kami dan sudah menjadi rutin dan budaya keluarga kami untuk berkumpul di rumah saya, tetapi tahun ini mungkin akan terasa perbezaannya. Yang pasti, kami akan berasa sunyi. Pun begitu, saya bersyukur kerana Allah izinkan kami untuk berada di bumi ini, maka sempat lagi memanjatkan doa buat orang tua kami yang sudah tiada lagi.

Sebetulnya, Ramadhan merupakan bulan yang mulia, semoga kita gunakan masa dan peluang yang ada untuk dekatkan diri dengan Tuhan kita yang maha agong, lagi penyayang dan mengasihi. Semoga kita dirahmati-Nya dunia dan akhirat, aamiin ya Rabbal alamin.

Wassalam.

                                                  Inikah yang dibayangkan?

Wednesday, July 08, 2015

Nostalgia Bulan Ramadhan

Assalam

Kita sedang melalui tempoh penting bulan Ramadhan. Semoga kita semua gunakan masa dengan sebaik-baiknya agar Allah merahmati dan memberkati hidup dan akhirat kita. Aamiin. Janganlah ralit dengan persiapan hari raya hinggakan penghujung Ramadhan disisihkan. Betapa ruginya kita.

Dalam pada itu, sebagai manusia, pasti banyak kenanangan yang kita tinggalkan ketika Ramadhan semasa usia masih muda. Mungkin anda yang masih muda, tak banyak kenangan yang menjadi nostalgia, tetapi bagi orang yang matang seperti saya, semestinya banyak kenangan manis yang ditinggalkan. Antaranya ialah usaha untuk hantar-hantar makanan kepada jiran tetangga. Rutin itu sekarang ini kurang diamalkan orang. Dah tak jadi budaya lagi. Salah satu perkara yang menjadi nostalgia ketika saya kanak-kanak hingga remaja, semasa tempoh mahu berbuka puasa. Stesen radio ketika itu akan menyiarkan lagu-lagu Arab dari Mesir untuk menandakan bahawa puasa pada hari itu sedang berada di penghujungnya. Sangat nostalgik! Budaya itu juga sudah tiada lagi sekarang ini. Kalau di rumah kami, arwah ayah saya memang banyak sekali membaca al-Quran, apatah lagi dia menghafalnya. Memang seronok sangat-sangat.

Pun begitu, tahun lepas ketika saat seperti sekarang ini, arwah ibu saya sedang mula sakit-sakit. Malah, masuk sahaja bulan Ramdhan, saya sangat teringatkan arwah ibu saya. Semoga Allah rahmati roh ibu dan ayah saya, semoga mereka tenang di alam barzakh. Aamiin.

Al Fatihah.


Wassalam,

Tuesday, July 07, 2015

Antara Bangi Dan Nilai

Assalam

Anak sulung saya merungut-rungut, katanya dia tak selesa sangat-sangat apabila isterinya ajak pergi shopping di kawasan Bangi Central (kawasan shopping yang baru) di Bandar Baru Bangi hujung minggu yang lepas. Katanya lagi, "Menyampah betul tengok orang berpusu-pusu mencari pakaian macamkan dah tak ada tempat lain atau mungkin dah nak habis dah barang-barang yang dijual kat situ! Merenyut-renyut orang!" Memang anak saya yang seorang itu, jenis tak suka dengan keadaan yang sebegitu. Dulu-dulu pun saya ingat ketika kami di UK, dia tak suka bila saya ajak dia untuk mencari barang! Malas nak shopping.

Apa pun, suatu ketika dahulu Bandar Baru Bangi memang merupakan 'port' tempat tinggal kami. Tapi sekarang ini, kami dah tinggalkan tempat itu lalu berhijrah ke Nilai. Anak sulung saya juga tinggal di Bandar Baru Bangi dan baru awal tahun ini turut berpindah ke Nilai. Kami tak sanggup dengan kawasan yang sesak dua puluh empat jam! Padahal suatu ketika dulu, Bangi adalah tempat 'Jin Bertendang'! Hahaha... masa dah berubah. Kini, semua orang berebut-rebut nak beli rumah dan harta di Bangi dan mahu tinggal di Bangi.

Entahlah... walaupun Bangi merupakan satu kawasan yang penuh nostalgia buat kami, tapi saya tidak lagi tertarik dengan kawasan itu. Apatah lagi hari ini... nak masuk susah, nak keluar pun susah!

Saya jangkakan Nilai juga akan turut berubah. Malah sekarang ini sudah mula berubah apatah lagi dengan dua lapangan terbang besar tak jauh dari tempat kami. Bila petang sahaja dah mula sesak. Tetapi alhamdulillah, rumah kami terletak di kawasan yang masih sunyi. Masih dengar burung berkicauan setiap pagi, malah setiap hari. Masih segar dan tenang di kawasan ini dan kami suka kerana kawasan kami mempunyai banyak jalan keluar dan masuk, jadi payah nak sesak. Depan rumah saya, ada tasik... jadi tidaklah sibuk.

Saya juga suka dengan kawasan tempat tinggal kami sekarang ini kerana masih ada banyak lagi perkampungan orang-orang Melayu yang tak jauh dari kawasan ini. Jadi... mood kampung sangat segar dan dekat dengan jiwa saya. Malah, ramai juga kenalan kami mula berpindah kawasan dari Bangi ke Nilai.

Semoga kawasan ini tak berubah jadi macam kawasan lain yang sesak dua puluh empat jam. Saya tak suka bila angin dan udara yang masuk ke dada saya dah mula berubah rasa. Kalau boleh biarlah kita menghidu udara segar setiap hari, bukan udara yang polluted!

Wassalam.

                                                   Tempat tinggal kami
                                                     Bangi Central


Monday, July 06, 2015

Biar Sama Dan Serupa

Assalam

Nabi Muhammad SAW meraikan hak sekufu sebagaimana sabda baginda dalam sebuah hadis bermaksud:
 “Pilihlah bagi permata-permata kamu (anak-anak perempuan kamu) dan kahwinkanlah dengan yang sekufu dan kahwinkanlah mereka kepadanya.”
 (Riwayat Hakim: 2/163. Beliau mensahihkannya)

Mungkin ada yang tak faham apa erti sekufu. Kalau bahasa biasa, mungkin kita boleh katakan sebagai 'setaraf'. Walaupun tidak haram kalau kita memilih untuk berkahwin dengan orang yang 'tak sekufu', tetapi dalam Islam, sangat digalakkan agar anak-anak perempuan berkahwin dengan calon yang setaraf dengannya. Kalau latar belakangnya mempunyai ilmu agama yang tinggi, ada kedudukan dan ada pelajaran, eloklah dia mencari calon suami yang datang dari latar belakang yang sama, agar bila berkahwin, tidak menimbulkan banyak hal-hal yang tak seimbang.

Kalau dalam novel atau drama, hal-hal begini dijadikan cerita sensasi, namun dalam dunia realiti, perkara ini menjadi sangat penting. Malah 'sekufu' dalam hal keturunan juga kadang-kadang jadi hal yang penting buat sesetengah orang dalam masyarakat tertentu. Mereka selesa kalau calon menantu merupakan dari golongan atau keturunan yang serupa dengan mereka.

Dalam hal agama, perkara ini sangat penting. Kalau seorang wanita mempunyai ilmu agama yang tinggi, memang tidak elok dikahwinkan dengan lelaki 'fasik', kerana bimbang sekiranya segala amalan agama wanita itu tidak dapat diteruskan kerana mempunyai suami yang tidak menghala ke jalan yang lurus. Malah, seorang lelaki yang mungkin punyai amalan agama dan praktis yang bagus juga tidak digalakkan untuk bernikah dengan perempuan yang cetek ilmu agamanya kerana bimbang lelaki tadi akan terdorong untuk berubah menjadi 'fasik'! Nauzubillah min zalik.

Dalam kehidupan realiti, sebaik-baiknya kita pastikan calon pasangan kita tidak banyak berbeza daripada diri kita, kerana untuk mendapatakan rukun dan ketenteraman dan elak daripada banyak masalah, eloklah pasangan merupakan 'sekufu' dari segi pelbagai aspek termasuk ilmu agama, pendidikan, latar sosio ekonomi keluarga dan hal-hal lain yang menjadi penting dalam kedamaian kehidupan. Jangan pandang remeh dan jangan terikut-ikut dengan cerita drama atau novel. Kebanyakan teori penulis adalah rekaan dan imaginasi semata-mata, bukan merupakan realiti yang sebenar. Wallahuaklam.

Mudah kata, jangan terperangkap dengan keinginan dan bayangan dan jangan terbelit dengan sesuatu yang merupakan 'false' kerana kalau main hentam sahaja, kita akan terjerat dan akan menderita kerana terpaksa berdepan dengan masalah yang tak akan putus-putus. Wallahuaklam.

Wassalam.


                                                  Bila tak sama

Sunday, July 05, 2015

Dapat Durian Free!

Assalam

Tak ada mood nak tulis apa-apa! Sebenarnya saya keletihan. Ke hulu dan ke hilir, banyak sangat kerjanya hinggakan tak ada masa langsung nak buka komputer. Saya memang tak suka tengok blog melalui handphone. Adoii...

Petang ni kami kesibukan kerana anak-anak saudara dah datang untuk buka puasa bersama kami semua. Apa lagi, kecohlah. Yang paling kecoh ialah si kecil-kecil. Mujurlah untuk buka puasa hari ini anak-anak dah volunteer untuk sediakan juadah. Masing-masing nak tunjuk talent. Dapatlah ibu mereka rehat sikit.

Tadi saya dan suami kami berada di Lenggeng. Dah jam dua baru dapat pulang ke rumah di Nilai. Mujurlah jalan raya di kawasan Lenggeng tak kalut sangat, walaupun sepanjang jalan di kawasan Mantin sesak dengan orang yang menjual durian. Musim durian maa... Malah, dua hari lepas ada orang di Lenggeng beri kami durian free sebanyak empat biji. Hari ini pula ada orang beri nangka madu sebiji besar! Alhamdulillah... kata suami saya, "Murah rezeki maa."

Okeylah... kejap lagi nak turun dan nak tengok chef-chef memasak di dapur!

Wassalam

                                                    Takkan tak tahu kot buah apa ni

Friday, July 03, 2015

Barang 'Rejected'

Assalam

Mungkin ramai yang ralit dan leka membeli barang-barang untuk sambutan hari raya. Ada tu sibuk nak hias rumah masing-masing. Langsir nak tukar, sofa nak tukar baru, mungkin permaidani pun nak beli baru dan macam-macam lagi. Ada tu sibuk beli baju baru, bukan hanya untuk diri sendiri dan pasangan tetapi untuk anak-anak. Biasanya anak-anaklah didahulukan kerana budak-budak yang seronok menyambut hari raya.

Tapi kalau kita jenis tak mampu, apa salahnya kalau kita guna pakaian orang lain yang masih elok dan kelihatan baru. Kadang-kadang ada orang masih elok pakaiannya tetapi dah tak diguna lagi dan kerana itu, mereka mahu berikan kepada orang lain yang memerlukan. Kalau kita merupakan yang memerlukan, apa salahnya guna sahaja pakaian yang boleh di 'recycle'. Tak salah, malah sangat jimat. Pakaian 'recycle' bukan sama dengan pakaian 'rejected', kerana biasanya bila dah reject, pasti kita tak mahu guna lagi. Mungkin kerana dah buruk atau dah tak elok lagi. Kadang-kadang sahaja barang-barang 'rejected' masih digunapakai, biasanya barangan yang di reject oleh kilang, bukan oleh pembeli setelah digunakan. kalau barangan yang di 'reject' kilang, maknanya barang itu masih baru dan elok, hanya mungkin kualitinya kurang sedikit.

Tapi ini adalah cerita lain yang hendak saya sampaikan sekadar menjadi 'pengajaran' untuk kita. A mengeluh kerana terasa dirinya seperti barang 'rejected' yang susah untuk digunapakai. Katanya, mula-mula dulu dia berkahwin dengan B, tetapi setelah sekian lama, mereka bercerai. "B ceraikan saya. Tiba-tiba dia dah ada orang lain dan tak mahukan saya lagi. Saya rasa rejected." Kemudiannya, setelah beberapa tahun berlalu, A cuba cari pengganti, tetapi malangnya buatnya kerana susah nak cari yang bujang. Akhirnya A berkahwin pula dengan C secara senyap-senyap. C merupakan suami orang. Tak sampai beberapa bulan, C ceraikan A kerana C tak mahu porak-perandakan perkahwinan dan keluarga dengan isteri pertama. Terkontang-kantinglah A dan kali ini dia betul-betul rasa 'rejected'!

"Apalah nasib saya ni... dua kali kahwin, dua-dua kali saya diceraikan! Kalau saya yang minta cerai, mungkin tak lah sakit sangat. Tapi... saya yang diceraikan. Rasa macam tak laku benar diri saya ni! Macam barang rejected!"

Okeylah... siapalah kita, kan? Sekadar manusia yang pandai merancang sahaja, yang menentukan tetap Allah swt. Dalam pada itu, kita jangan lupa kerana Allah swt berikan kita akal dan kebolehan untuk memilih dan buat keputusan. Kalau kita yang ambil keputusan untuk membuat sesuatu yang mempunyai niat 'negatif', pasti ia akan berkahir dengan sesuatu yang negatif juga. Allah swt maha adil dan kaya. tak usahlah kita salahkan nasib atau salahkan Tuhan, tetapi salahkan diri sendiri kerana terlupa untuk bermuhasabah dan berfikir dengan waras. Insyaa-Allah, setiap niat baik akan dibalas dengan baik juga.

Semoga di bulan Ramadhan ini kita terus minta ampun pada Allah swt dan minta ditunjukkan ke jalan yang benar lagi lurus agar kita nanti dijemput untuk ke Jannah-Nya.

Wassalam



Thursday, July 02, 2015

Makan Oh Makan

Assalam

Dalam apa jua keadaan, kita perlukan kesihatan yang baik. Insyaa-Allah kalau kita jaga apa yang kita makan,  buat yang baik-baik untuk tubuh badan, Allah berikan kesihatan yang baik juga. Pun begitu, kita wajib ingat bahawa sebagai manusia, akhirnya nanti kita akan mati jua sekalipun pernah punyai kesihatan yang baik. Itu adalah lumrah kehidupan, ada tanda noktah di hujung umur.

Semestinya kita mahu yang terbaik, jadi makanlah yang baik-baik. Namun jangan pula terbelit dengan pelbagai teori yang mengatakan bahawa makan ini tak baik, minum ini tak baik kerana kadang-kadang kita tersilap dengar atau terima maklumat. Misalnya, banyak orang Melayu takut nak minum kelapa muda kerana katanya tak elok untuk tulanglah, sejuklah dan macam-macam. Begitu juga dengan santan, konon-kononnya banyak kolestrol. Tetapi ada kajian baru mengatakan bahawa santan dapat mengelak manusia daripada nyanyuk! Begitu juga kelapa muda, ia adalah anti oxidant juga bahan baik untuk membuang pelbagai benda yang tak elok dalam badan. Subhanallah.

Mungkin elok kalau kita makan secara sederhana, makan semuanya tapi tak berlebihan. Misalnya makanan yang manis, kurangkanlah tapi jangan terus tak makan, kerana kalau badan tak punyai gula, kita akan menjadi lemah.

Di bulan Ramadhan yang mulia ini, walaupun di siang hari kita tak makan, ramai yang makan berlambak-lambak sebaik sahaja buka puasa. Itulah yang tak eloknya. Bukan tak boleh makan, makanlah... cuma jangan melampau banyak makan macam orang kebuluran.

Teori saya sangat mudah... ikut nasihat Nabi junjungan kita, berhenti makan sebelum kenyang, jadi tentulah kita tak terlebih makan. Wallahuaklam. Semestinya memang elok kita amalkan makan buah-buahan dahulu, supaya ia akan tolong keluarkan segala yang tak baik yang kita makan selepas itu. Insyaa-Allah.

Wassalam


Wednesday, July 01, 2015

Tangan Yang Menarik Kita

Assalam

"Sepasang tangan yang menarik kita tatkala terjatuh lebih kita percayai daripada seribu tangan yang menyambut kita tatkala tiba di puncak kejayaan." Satu ungkapan yang kita wajib ambil secara serius.

Jangan terpedaya dengan kegemilangan yang 'artificial' yang hanya wujud bila kita ada kedudukan atau kepentingan. Manusia akan hurung kita macam semut apabila kita ada position, ada wang dan ada keupayaan. Tapi bila kita jatuh, memang tak banyak yang mahu rapat dengan kita. Dalam keadaan ini, mana yang ikhlas mahu menolong, sebenarnya itulah kawan setia kita, insyaa-Allah.

Kalau kita bercinta pun, itu yang perlu kita fikirkan. Mahukah dia bersamaku ketika aku tak berdaya dan uzur? Jangan lupa, kalau bercinta mungkin kita akan kahwin dan berkahwin lama dengannya. Satu ketika nanti, kita akan uzur, dia juga begitu. Ketika itu, adakah kita akan sama-sama tolong-menolong dan bantu-membantu?

Begitu juga dengan kawan dan kenalan, pilihlah dan janganlah tertipu dengan wajah 'kepura-puraan' yang ditunjukkan pada kita. Ada orang rapat dan baik dengan kita kerana ada 'udang di sebalik batu'. Bila tak menguntungkannya, dia akan angkat kaki dan pergi! Apatah lagi kalau kita sedang dalam kesusahan. Payah nak jumpa orang yang mahu terus rapat dan setia degan kita ketika kita jatuh!

Jangan juga lupa, memang ramai suka ambil 'kesempatan' bila rapat dengan kita. Kalau boleh kikis, mereka akan cuba buat begitu, tapi bila kita tak berdaya, mereka akan lari dulu dan buat tak tahu.

Alhamdulillah, Allah berikan saya teman-teman yang saya anggap sebagai kawan dunia akhirat. Mereka ada ketika saya gembira dan ketawa, mereka juga ada ketika saya bersedih. Nikmat daripada Allah swt.

Dalam pada itu, ingin saya ingat-ingatkan diri saya dan juga anda yang membaca entri ini, cubalah fahami maksud ayat-ayat yang kita baca dalam solat. Biar kita faham apa yang kita katakan pada Allah swt. Jangan baca ayat tanpa tahu apa maksudnya. Bukan susah pun. Solat kita akan menjadi lebih sempurna kalau kita tahu apa yang kita baca. Allahuakbar!

Wassalam.