Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, October 14, 2013

Kira Dosa Kita Dulu

Assalam

Selamat menyambut Hari Raya Eidul Adha, semoga kita sama-sama dapat mengelakkan diri daripada melakukan dosa kecil atau besar. Cuba juga menghayati semangat korban' dalam Islam. Setakat manakah kita sanggup berkorban di atas nama agama kita yang mulia ini?

Pun begitu, kadang-kadang kita sibuk mengira dosa orang lain sedangkan kita terlupa bahawa diri kita juga tak lari daripada melakukan dosa.

Tadi, semasa pulang ke rumah dari luar, tiba-tiba ketika beratur untuk masuk ke simpang menghala  ke kawasan rumah saya, ada sebuah kereta kecil yang datang laju dari belakang, lalu terus sahaja memotong kami tanpa rasa malu, walaupun dia sengaja buat begitu tanpa sebarang alasan. Mungkin dia tidak nampak akan kesalahan yang telah dilakukan, yang dia nampak hanyalah kemudahan yang datang kepadanya., atau mungkin menafaat buat diri pemandu kereta kecil itu. Namun sekiranya berlaku perlanggaran, tentu dia akan menyalahkan orang lain, kan?

Begitulah kita manusia, mudah sekali mengira kesalahan orang atau dosa orang tetapi terlupa untuk melihat kesalahan sendiri, apatah lagi dosa yang dilakukan sendiri.

Biasalah kan... manusia memang begitu. Dengan mudah sahaja mengira dan melihat segala yang dirasakan salah dan silap orang, tetapi akan buat-buat bodoh di atas kesalahan sendiri. Macamlah contoh di atas tadi, pemandu kereta kecil itu tanpa segan silu membuat kesalahan, namun akan menyalahkan orang lain bila ada sesuatu yang buruk berlaku.

Sebaiknya, sebelum kita menuding jari, mungkin jauh lagi indah dan baik kalau kita mencermin diri kita sendiri. Mungkin kerana kebodohan dan kesalahan yang kita lakukan, maka perkara yang buruk itu terjadi pada kita. Janganlah mudah menuduh orang lain melakukan dosa sedangkan kita jauh lagi banyak dosanya kerana perbuatan kita yang menyakitkan hati orang lain. Nauzubillah.

Semoga kita sebagai umat Islam akan terus membuka minda untuk mencerminkan diri kita sendiri sebelum menyukat kesalahan orang lain.

Wassalam.

Insan Kerdil Inilah Manusia



INSAN KERDIL

Manusia...
Sehebat mana sekalipun
Akan kecundang juga
Tidak hari ini, mungkin esok pula
Selagi kita dipanggil manusia
Itulah ciri-cirinya

Manusia banyak kelemahan
Banyak pula kekurangan
Tapi manusia juga ada kekuatan
Ada keimanan
Kalau itu yang dimahukan
Jangan biarkan diri ditelan
Kelemahan dan kekurangan

Manusia merupakan insan kerdil
Bergantung kuat pada Ilahi
Hebat mana dia
Tetap kerdil sifatnya
Akan ada dosa-dosa
Yang mungkin tak terkira

Hanya Allah jua
Yang maha penyayang
Maha pengampun
Maha mengasihani

Simpatilah kepada manusia yang kerdil ini
Ya Allah
Agar kecundangnya bangkit semula
Agar jiwa yang rapuh, kental kembali
Agar kesilapan tidak diulangi
Agar dia menjadi insan yang disayangi

Insan kerdil inilah manusia...


PS: Selamat menyambut Hari Raya Korban dan selamat menghayati pengorbanan kita sebagai insan kerdil di dunia fana ini. Semoga Allah SWT melindungi kita dunia dan akhirat.

Wassalam.