Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Saturday, December 31, 2011

Encik Suami

                      Filem Hindi

Salam

Hehe... sebenarnya saya memang tak familiar dengan bahasa orang sekarang. Banyak yang suka guna bahasa 'Encik suami, Encik Hubby, Encik Husband' dan macam-macam lagi gelaran untuk rujuk kepada pasangan mereka, termasuklah Encik Tunang... huhu... jadi saya pun kenalah belajar, kan? Antara saya dan suami, saya lagi up-to-date kalau dibanding dengan 'Encik Suami' saya... dia lagi tak tahu apa-apa pasal hal-hal macam ni. Hehe... saya pulak, kenalah ambil tahu, maklumlah kita kan penulis?

Okeylah... saja je saya nak bercerita pada hujung minggu macam ni. Encik Suami ni memang rajin orangnya. Kalau dibandingkan dengan saya, dia jauh lagi rajin. Dia memang jenis suka duk kat rumah bila free, bukan kaki pancing, bukan kaki bola, bukan juga kaki golf atau tennis. Dia tak suka semua tu. Dia suka bertukang, betulkan sana-sini, uruskan garden kami bila diperlukan (biasanya saya yang urus hal garden ni) dan sekarang ni dia rajin main dengan cucu2 bila balik ke rumah dari tempat kerja. Cucu-cucu kami, terutama sekali Firas, memang ngam betul dengan dia, maklumlah setiap malam habib lah yang rajin layan dia (cucu yang lain balik rumah dia orang).

Pada hari jadi saya, Encik Suami masak macam-macam untuk menjamu saya dan anak-anak, siap ada udang goreng butter, ada ikan siakap stim lagi... memang kelaslah, beb! Lepas tu, ada pulak surprise birthday cake... huhu... malunya! Apa pun, dia memang kelas, sebab buat saya rasa macam orang muda.

Semalam, saya memang kurang sihat... sakit tekak, jadi pagi tadi, lepas subuh saya tidur semula sebab saya makan ubat dan ubat tu buat saya pening. Bila bangun, Encik Suami dah balik dari jogging dan dia terus tanya saya, "You nak breakfast ' ke? Kelas gitu... saya pun apa lagi, terus bangun dan bersiap. Bila turun... haha... dah terhidang breakfast saya. Kami pun makanlah...

Pagi ni memang saya merepek sikit, agaknya ubat tu masih berjalan lagi dah buat saya pusing-pusing. Tengah hari ni, saya akan ke Taman Melawati, nak hadirkan diri untuk majlis perkahwinan anak teman Encik Suami. Esok pun kami nak ke majlis perkahwinan anak kawan Encik Suami yang tinggal di Bandar Bestari atau nama lamanya, Batang Berjuntai.

Okeylah... see you all again and Happy New Year (kena cakap mat salih sikit...hehe).

Wassalam.

Friday, December 30, 2011

Mimpi Yang Menjadi Realiti


          Susan Boyle yang sudah berubah wajah
     Susan Boyle semasa mula-mula naik pentas


Salam semua

Mesti ramai yang seronok sebab hujung minggu ni cuti panjang. Masuk kerja hari Selasa nanti, dah pun tahun baru. Welcome 2012. Tapi, apa bezanya dengan 2011? Sama saja, masa masih berjalan dan apa yang kita persoalkan ialah tentang waktu. Waktu berjalan dan masa yang berlalu tak akan datang lagi. Begitu juga dengan umur kita. Selagi Tuhan izinkan kita hidup, syukur alhamdulillah, itu bermakna banyak hikmah yang tersirat dan kita sebagai manusia, eloklah gunakan masa ini dengan sebaik mungkin. Fikir-fikirkanlah, jangan asyik redah.

Tak kiralah anda tua atau muda, kerana kita sebenarnya tak tahu bila kita akan mati. Ada orang mati muda dan ada pula yang Tuhan izinkan hidup untuk lebih seratus tahun. Semuanya adalah di atas kehendak-Nya. Jadi, kalau anda muda, jangan pandang rendah pada yang tua, kerana satu hari nanti anda juga akan jadi tua, atau mungkin anda mati muda dan tidak merasa hidup sebagai orang tua. Sebagai insan, kita patut bersyukur di atas peluang untuk berada di bumi ini. Lihat ke arah depan, namun tak usah lupa saat-saat yang berlalu kerana saat-saat itu banyak meninggalkan kesan buat kita semua, wallahua'lam.

Jangan fikir bahawa peluang yang Tuhan berikan hanyalah untuk orang muda dan orang tua tak akan merasa. Kerana seperti yang saya katakan tadi, semuanya adalah di atas kehendak-Nya, kita tak tahu bila kita akan merasa apa yang kita mahukan di dunia ini.

Saya selalu melihat pada diri saya ini, kerana saya menulis secara profesional apabila umur saya sudah meningkat. Namun alhamdulillah, zat yang Tuhan izinkan ini tidak membuat saya terasa 'inferior', walaupun saya sedar ramai di luar sana yang ada ketika kurang senang dengan kehadiran orang-orang seperti saya. Bagi saya, siapalah kita untuk mempersoalkan semua ini?

Saya selalu melayari pelbagai laman web bila boring menulis dan ketika itulah saya mencari sesuatu yang mungkin boleh membuat saya tersenyum sendiri. Pernah tidak anda kenal dengan seorang penyanyi yang bernama 'Susan Boyle'? Beliau telah menyertai program realiti TV Britain yang bernama 'Britain's Got Talent'. Wanita yang berasal dari pekan kecil di Scotland, sudah pun berusia hampir 48 tahun ketika memasuki pertandingan itu. Malah, rupa (dia berbadan gempal) dan gayanya memang tidak ada. Bila mula-mula menaiki pentas, para hadiri berasa lucu melihatnya, apatah lagi dia sudah pun berusia. Masing-masing ketawa bila dia menjawab soalan-soalan para juri. Tetapi sebaik sahaja dia membuka mulutnya untuk menyanyi, para hadirin mula ternganga. Masing-masing terkejut dan tak percaya bahawa wanita hodoh lagi lucu itu mampu membuat mereka semua terpesona.

Mulai saat itu, Susan Boyle menjadi amat popular. Daripada tidak dikenali, dia menjadi glamor, bukan hanya di Britain, tetapi di Amerika Syarikat juga. Begitulah nasib manusia, kita tidak tahu bila seseorang itu akan merasakan apa yang menjadi impiannya. 'I Dreamed a Dream', itulah lagu yang membawa Susan Boyle untuk menjadi sukses.

Saya membawa cerita ini sekadar untuk berkongsi dengan anda semua, agar kita semua merenungkannya. Masa akan tetap berlalu, namun tidak menjadi salah untuk kita pasang angan-angan dan impian. Selagi kita berusaha, peluang itu akan ada, insya-Allah.

Thursday, December 29, 2011

Maafkan Aku, Sayang







Salam

Sudah hampir hujung tahun, tak berapa hari sahaja lagi. Mungkin anda sedang fikirkan apakah yang akan menjadi perancangan anda untuk tahun hadapan ini. Masing-masing mungkin sedang fikirkan apa-apa pembaharuan yang ingin dilakukan untuk tahun baru nanti. Tapi masalahnya, tahun yang ada ini, sudahkah kita lakukan apa yang kita pernah berjanji nak buat dulu? Huhu... mungkin ada yang tak buat apa-apa pun, macam biasa aje.... hehe.

Kalau dulu-dulu, saya adalah jugak terfikir tentang hal macam ni. Nak buat apa untuk tahun baru, itulah yang ada azam baru, tapi azam lama tak tahulah dah menjadi ke tidak. Apa pun, saya dah belajar untuk tak kisahkan hal 'azam tahun baru', kerana bagi saya, kalau saya rancang nak buat apa pun, saya buat aje, tak kira waktunya. Mungkin tengah tahun, mungkin awal tahun dan mungkin juga akhir tahun. Kalau rasa macam tak terbuat, saya tak kisah juga. Jangan buat!

Sebab itulah dah lama saya tak 'create' apa-apa azam baru untuk tahun baru. Saya biarkan sahaja. Saya buat apa sahaja yang saya nak buat, tak pernah kira waktu... huhu.

Okeylah, nak cerita tentang satu ni. Tentang bila kita rasa kita dah buat kesalahan atau kesilapan. Macam mana nak kita uruskan ni? Memang pening kepala, kan? Tapi bagi saya, tak kisahlah, kan? Kita ni manusia, mana ada manusia yang serba sempurna, memang semua insan di dunia akan sentiasa melakukan kesalahan dan kesilapan. Kadang-kadang kecil dan kadang-kadang mungkin besar. Cuma, kita kena belajar untuk tahu yang kita sudah pun lakukan kesilapan itu. Dari situ, barulah kita boleh belajar untuk perbetulkan kesilapan dan kesalahan yang telah kita lakukan. Kadang-kadang, kita tak sedar pun yang kita dah lakukan kesilapan tu dan kadang-kadang juga kerana ego tinggi yang ada pada diri kita, kita turut terlupa bahawa siapa-siapa sahaja boleh lakukan kesalahan dan kesilapan, termasuklah diri kita.

Kalau orang lain yang melakukan kesalahan atau kesilapan, kita pula boleh main peranan untuk maafkannya. Siapalah kita, kan? Kalau Allah swt membuka pintu taubat untuk semua hambanya, siapalah kita untuk mengatakan kita tak mahu maafkan orang lain di atas khilafan yang telah dilakukan. Kita juga, kadang-kadang mungkin mampu untuk merendahkan diri dan berkata maaf kepada siapa sahaja yang kita rasa kita dah lakukan kesalahan padanya.

Perkataan maaf atau 'sorry' itu sebenarnya sangat indah, kerana perkataan itu mampu mengukuhkan silaturahim kita sesama insan.

Wallahua'lam.

Wednesday, December 28, 2011

Facebook Lah, Bukan Muka Buku

                  Penyanyi Cinta Muka Buku


Salam

Walaupun hari ini hari bekerja, tetapi ramai yang bercuti agaknya, termasuklah cik abang saya. Maklumlah cukup tahun dan masih banyak lagi cuti tahunan. Tapi dia cuti dua hari sahaja , semalam dan hari ini, lepas itu sibuk balik. Di tasik kecil di depan rumah saya ni, ramai yang berjogging, maknanya ramai yang bercuti... hehe. Saya memang dah lama benar tak berjogging, sebab di rumah dah sibuk sangat, mengalahkan orang yang berjogging!

Pagi ini tak ada apa sangat yang saya nak bercerita cumanya seronok pulak saya membaca tentang Mark Zuckerberg, salah satu manusia yang memulakan era 'Facebook'. Sekarang ini beliau berada di Vietnam, salah satu negara yang tidak mengizinkan 'Facebook' masuk ke sana dan mungkin kerana itulah Mark Zuckerberg dan rakan-rakannya berada di sana. Selain dari bercuti, beliau mahu mencari jalan supaya kerajaan Vietnam membenarkan 'Facebook' di buka di sana. Huhu... macam tu lah orang, kan? Kalau hendakkan sesuatu, ke lubang cacing pun dia akan sampai.

Apa pun, bila bercerita pasal Facebook ni, ramai benar bertanya dengan saya, "Tak ada Facebook ke?" Huhu... terasa macam ketinggalan zaman lah pulak... hehe. Tak apalah, biarlah apa sekalipun orang nak kata pada saya, tapi saya senang tiada ber 'Facebook' ni. Kalau ada, mungkin pening jugak kepala. Ada seorang member saya bercerita, dia dan gengnya, masing-masing menjadi ahli Facebook dan mereka sangat gembira untuk berkongsi cerita di ruang itu. Tetapi malangnya, di ruang yang sama itu juga di jadikan medan perang mereka! Bila ada aje apa-apa yang tak kena, masing-masing berkirimlah post2 yang menyakitkan hati. Siap keluarlah ayat-ayat 'perli' dan mulalah mereka berkelahi. Dulu-dulu masa tak ada Facebook, tak adalah pulak jadi macam ni! Aduhai...

By the way, Facebook ialah Facebook, tak boleh dijadikan 'Muka Buku', sebab ia adalah nama 'branding', jadi... kiranya lagu 'Cinta Muka Buku' tu tak kenalah ya. Iyalah, kalau tak, jenuh pulak nama-nama brand yang lain kita Melayukan... huhu dah jadi tunggang-langgang!

Okeylah... hari ini hari jadi saya... tapi saya tak ke mana-mana, sekadar bersyukur di atas nikmat yang dianugerah Ilahi buat saya. Alhamdulillah di atas usia yang diberikan, rezeki yang diizinkan, kasih-sayang yang ada ini dan semoga Allah SWT selamatkan saya dan anda semua, dunia dan akhirat, Amin.

Wassalam

Tuesday, December 27, 2011

Rambut Sama Hitam



Salam

Tak tahulah saya, tetapi saya mengandaikan masih ramai yang duk depan TV tonton drama Kau Laksana Bulan tu (malam tadi ulang tayangnya), sebab habis sahaja tayangannya, ramai yang masuk blog saya duk cari pasal Kau Laksana Bulan ni... huhu, siap ada sorang ni, dia hantar emel kat saya, bertanya sama ada saya boleh tak tayang sekali lagi cerita ni, sebab emak dia miss.... huhu... alahai adik oi, TV2 bukan saya punya... hehe. Apa-apa lah!

Pagi ni nak bercerita tentang hal lain pulak yang mungkin berkaitan dengan manusia. Insan yang saya maksudkan mungkin merupakan adik beradik kita sendiri atau mungkin juga kawan-kawan kita. Kadang-kadang, dalam kehidupan kita, kita akan bertemu dengan pelbagai karakter, ada yang begini dan ada yang begitu. Kalau adik-beradik kita sendiri, memanglah macam air yang kalau dicincang pun tak akan putus, kita tak boleh buat apa-apa lagi walau apa sekalipun perangai dan tabiat mereka. Kalau baik, dia adik-beradik kita, kalau tak baik pun dia tetap adik-beradik kita.

Kalau kawan ni dah berkawan dengan kita dalam tempoh yang lama, mungkin kita pun dah kenal sangat perangai dia. Ada kala dia macam tu, ada ketika dia macam ni. Ada kawan memang jenis suka cari kita bila dia ada masalah, tapi bila dia tengah bahagia, tak usah haraplah! Hehe. Adik-beradik pun ada juga yang macam tu. Bila dia kesempitan, dia akan cari kita, tapi bila dia senang, kita jumpa dia dalam mimpi. Huhu...

Ada kenalan saya ni bercerita, "Kak Aina, saya sedihlah... Cik Mek ni cerita macam-macam kat FB dia. Dulu dia pun cakap jugak kat saya macam tu, konon-konon nak ajak saya bila dia kahwin, tahu-tahu tup-tup dia kahwin dan tayang gambar dia kat FB... saya tak ada pun dia jemput. Sampai hati dia..."

Hehe... biarkanlah... itulah kata saya. Kita nak buat macam mana lagi, kan? Kadang-kadang orang berkawan ikut suka-suka hati. Cari kawan bila susah hati, lupa kawan bila dah happy. Harap-harap bila apa-apa terjadi nanti, pandai-pandailah dia pulihkan hati sendiri... huhu... siap berpantun lagi!

Itulah dia, kan... kita orang Malaysia ni, rambut sama-sama hitam (kecuali yang dah warnakan), tapi hati tetap lain-lain, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Wllahua'lam.

Monday, December 26, 2011

Bila Novel Dijadikan Filem...

            Bukan Filem Melayu


Salam

Pagi ni tergerak hati untuk bercerita tentang hal satu ini, sebab saya percaya akan banyak novel-novel lama dan baru yang akan jadi rebutan pengarah dan penerbit filem untuk dijadikan filem mereka. Kalau tak percaya, tunggulah dan lihatlah. Malah, sudah ada ura-ura tentang hal ini. Malah, sekarang ini pun memang dah banyak novel dijadikan drama.

Saya tak nak bincangkan hal bayaran, sebab saya percaya setiap penerbit filem atau drama, lain caranya bila mahu jadikan filem atau drama dari novel-novel. Hal ini sangat subjektif dan mungkin tak berapa sesuai untuk dibincangkan di blog saya ini.

Apa yang hendak saya kisahkan ialah tentang 'research' dan usaha pihak penerbit untuk pastikan novel dan filem tidak terlalu jauh 'jalan ceritanya'. Biarlah bila kita keluar wayang, kita rasa puas hati, walaupun tak seratus peratus macam buku, biarlah tak terasa macam bukan buku yang pernah kita baca itu. Kalau tidak, eloklah penerbit dan pengarah filem buat aje cerita lain yang bukan datangnya dari karya seorang penulis novel. Huhu...

Sekarang ini, saya memang tak masuk panggung wayang, sebab kalau masuk, saya mesti tidur. Tapi saya rajin juga tengok TV. Saya suka tengok filem di TV dan banyak filem 'mat salih' yang diadaptasikan dari novel. Kalau kita dah baca buku, memang kita kenal dengan 'filem' nya. Tak lari sangat, malah kadang-kadang terasa macam masuk buku cerita yang pernah kita baca itu.

Semalam, kebetulan saya menonton sebuah 'filem' Melayu yang diadaptasikan dari novel. Saya tahu novel itu pernah jadi gempaq dan memang ramai followers nya, jadi saya pun teringinlah nak tonton 'filem' nya. Kebetulan, memang dah sampai masa untuk disiarkan dalam TV, jadi saya pun tontonlah dengan anak saya.

Saya tak nafikan 'cinematography' sangat menarik. Tapi... saya terkilan kerana pihak penerbit terlalu nak save budget, asyik lokasi yang sama aje yang dijadikan latar cerita. Bukan sekadar tempat, tetapi bangunannya. Saya memang teliti tentang hal ini, sebab saya suka pada dekor nya, tapi saya nampak akan bangunan yang sama walaupun konon-konon di tempat yang lain. Malah, resort dijadikan rumah ibu heroin, resort yang sama juga dijadikan tempat kerja 'hero'. Aduhai... Walaupun tempat tu cantik, tapi agak membosankan bila tempat yang sama dijadikan untuk banyak lokasi scene nya.

Lagi malang bila saya melihat pakaian yang dipakai heroin berbeza warna, pada hal dalam satu scene yang sama. Heroin bergaduh dengan suaminya, lepas tu terus marah dan bawa kereta laju2, dan accident. Kamera 'shoot' gambar dia terlentuk depan stereng kereta, tapi baju dia tak sama macam baju dia pakai masa kelahi dengan husband dan masa dia lari keluar rumah! Aduhai...

Saya sakit hati bila tengok 'failure' yang macam ni. Sebagai penulis, saya akan buat research dan teliti tentang hal-hal ini, jadi saya rasa sangat terkilan bila orang buat filem main tibai aje. Pada hal mereka buat untung berjuta-juta dari filem yang diadaptasikan dari novel itu. Kenapa pengarah kita tak teliti ya? Kalau buat drama, tak apalah lagi... inikan filem? Takkan benda macam tu pun tak nampak? Agaknya mereka anggap penonton semua bingung kot, tak cerdik, jadi tak akan nampak benda2 macam tu.

Ada banyak perkara yang tak memuaskan hati, tapi tak apalah. Pada keseluruhannya, saya tak rasa apa-apa yang 'touching' dalam movie itu. Malah, ada benda saya rasa tak perlu cerita pun, sebab macam tak ada kaitan apa-apa. Buat buang beras aje!

Okeylah, mungkin kita akan belajar daripada kesilapan seperti ini. Semoga bila ada yang buat filem nanti, biarlah berhati-hati, supaya filem kita nampak 'real'.

Wassalam.

Sunday, December 25, 2011

Selamat Menyambut Hari Natal

                      Gambar Krismas di England

Salam semua

Buat semua pembaca beragama Kristian saya, terutama mereka yang berasal dari Sabah dan Sarawak, saya ucapkan selamat menyambut hari Natal, semoga anda bergembiralah hendaknya.

Kebetulan, sepanjang malam tadi, kawasan saya ini ditiup angin tak henti-henti, hujan renyai-renyai juga turun tak henti-henti, membuatkan saya teringat ketika saya di Engaland... huhu, Engaland lagi maa... banyak sejuk. Cumanya di sana, lagilah sejuk, siap pakai stokin, pakai baju yang tebal, walaupun dah guna selimut tebal. Kat rumah saya di sini, tak adalah macam tu, tapi memang rasa macam kat dalam air-cond yang tak boleh ditutup... huhu, banyak best. Berkali-kali saya bangun malam tadi, untuk menikmati cuaca yang agak luar biasa ni... hehe.

Okeylah... hari ini saya akan ke Felda Jelai sekali lagi, untuk menghadiri majlis perkahwinan anak sepupu saya yang tinggal di sana. Bye-bye and Wassalam.

Friday, December 23, 2011

Awesome, Dude!

       This is awesome, dude!


Salam

Hari ini cuaca sangatlah dingin di kawasan rumah saya, terasa macam kat England lah pulak! Huhu... jadi pagi ini, kita nak belajar 'speaking English'... hehe.

Mungkin kita selalu sangat dengar expression atau pengungkapan 'AWESOME' yang menjadi satu kegemaran atau fenomena expression buat para remaja untuk mengatakan sesuatu yang 'cool', hebat, best, sweet, super, superb, amazing, menarik dan macam-macam lagi yang membayangkan 'kehebatannya'. Mula-mula dulu, bila saya dengar orang menggunakan perkataan 'awesome' untuk 'express' rasa hebat, saya jadi pelik. Hah, nak tahu sebab apa?

Sebabnya, dulu-dulu, 'awesome' digunakan untuk ungkapan 'dahsyat yang menakutkan'! atau 'menggerunkan'. Bila kita guna 'awesome', kita menggambarkan satu keadaan yang menakutkan kita. Ada perasaan 'terror' yang berkait dengannya. Misalnya ombak tsunami yang kita anggap 'awesome', iaitu menakutkan. Kita juga gambarkan satu keadaan cuaca buruk sebagai 'awesome' yang menakutkan kita (keadaan terror) untuk berada di luar rumah. Jadi, bila remaja guna 'awesome' untuk menggambarkan sesuatu yang 'cool' lagi 'hebat', memanglah saya jadi pelik.

Hari ini, rata-rata orang muda, akan menggunakan 'awesome' untuk membayangkan apa sahaja yang dianggap menarik, tanpa tahu asal-usul maksud perkataan 'awesome'. Perkataan Inggeris ini asalnya memang dari England sejak zaman Shakespeare lagi, namun perkataan 'awesome' telah diubah maknanya secara sedar ataupun tidak dalam bahasa Inggeris Amerika dan sebenarnya 'awesome' yang digunakan hari ini oleh orang-orang muda ialah satu 'slanga', bukan bahasa yang sebenarnya. 'Awesome' yang ini mula digunapakai di Amerika pada tahun 1990-an dan mungkin merebak ke kawasan kita selepas itu.

Kadang-kadang, memang kita berasa pelik, kerana perkataan yang menakutkan boleh terubah dan menjadi sesuatu yang 'gempaq'. Cool, beb, cool!

Jadi... gambar yang saya letakkan kat atas ini mungkin boleh dikatakan 'Awesome' , sebab menggambarkan keadaan yang menakutkan tetapi sangat 'cool'. Huh... terror tak saya?

Saja suka-suka aje.

Thursday, December 22, 2011

JANDA BERHIAS

              Ini bukan janda berhias


Salam semua

Pagi ini saya nak bawa berbincang tentang tajuk satu ini, iaitu 'JANDA BERHIAS'. Hah mesti ada yang tersenyum-senyum, mungkin dah lama dengar pasal 'istilah ni' tapi tak berapa tahu tentangnya. Betul, kan? Kalau anda dah baca novel saya 'Sharum Kasih', mungkin anda tahu maknanya kerana dalam novel itu dah saya jelaskan, bila Rasya Aleeya (heroin) memegang gelaran itu.

Ramai yang beranggapan bahawa 'janda berhias' merupakan keadaan di mana perempuan yang masih muda yang diceraikan suami atau kematian suami, tetapi masih berada dalam keadaan yang 'menarik'. Ini disebabkan perkataan 'berhias' itu. Kita akan fikirkan tentang wanita yang bergelar 'janda' tetapi cantik dan menarik. Kalau itulah yang berada di minda kita, bermakna kita salah anggap. Sebenarnya, keadaan 'janda berhias' ini ada disebut dalam Al Quran (ayat 49, surah Al-Ahzab), di mana Allah SWT telah menyatakan bahawa sekiranya seorang mukmin itu bernikah tetapi tidak mencampuri perempuan yang dinikahi itu (tidak bersama dengannya), maka perempuan itu boleh dilepaskan tanpa melalui proses iddah.

Di Malaysia, keadaan ini perlu mendapatkan pengesahan Jabatan Agama dan dengan bukti (sokongan tertentu dan saksi), maka seorang wanita itu akan mendapat status 'janda berhias' bermakna dia adalah bebas dan sekiranya mahu menikah, tak perlu ada tempoh iddah. Tak ada kaitan langsung dengan 'cantik' atau 'menarik'.

Saya sekadar membangkitkan hal ini kerana sedar ramai 'orang muda' yang keliru atau tak faham dengan istilah 'janda berhias' yang kadang-kadang timbul dalam masyarakat kita.

Jangan pula kita salah tafsir, seronok nak guna terma 'janda berhias' hanya kerana kita suka dengan seorang wanita yang bergelar 'janda' tetapi masih cantik, muda dan bergaya.

Memang tak salah kalau nak berkahwin dengan janda (tak kira muda ke tua), dan tak salah juga nak berkahwin dengan 'janda' yang cantik lagi menarik, tetapi tak perlulah kita memberi istilah 'janda berhias' kepadanya kalau dia bukan merupakan 'janda berhias' yang sebenar.

Wallahua'lam.

Wednesday, December 21, 2011

Kiamat Akan Tiba

                        Bumi, bulan dan matahari


Salam

Berduyun-duyun yang menyinggah di blog saya kerana judul entri yang bertajuk 'Tangkap Basah'. Agaknya ramai yang search tajuk itu... untuk apa saya tak tahulah. Okeylah, pagi ini saya nak bawa anda ke tajuk lain pula iaitu 'Kiamat' atau akhir zaman yang dijanjikan Tuhan di dalam Al-Quran. Bukan tujuan saya untuk takut-takutkan anda semua, tetapi sekadar untuk mengingatkan diri saya dan anda juga. Semoga apa sahaja yang kita kejar di dunia ini, kita tetap ingat bahawa bila tiba masanya nanti, kita akan bertemu dengan Akhirat.

Kalau kita duduk dan fikir-fikirkan, dan melihat sekeliling kita, mungkin rata-rata kita boleh katakan yang ramai benar tidak ambil kisah tentang kiamat. Kalau kisah, tentu ramai yang takut. Kalau takut, tentu ramai yang tak nak buat jahat, tak nak lakukan apa-apa yang akan buat Tuhan marah. Kita semua akan lakukan yang terbaik di dunia ini agar ia akan membawa kita ke syurga bila akhirat nanti. Kita tak mahu lupakan Allah swt walau sesaat pun. Bila kita tak lupa pada Tuhan, tentu payah kita nak buat benda-benda yang tak baik. Kita tak akan lupa untuk solat, tidak lakukan rasuah, tidak mengumpat dan mencaci, tidak menipu dan mencuri, tidak lakukan zina, tidak lupa untuk puasa di bulan Ramadhan dan semua kebaikan akan kita buat kerana Tuhan kita. Kita tidak berlaku zalim pada kanak-kanak dan orang tua. Kita akan tunaikan zakat dan menolong mereka yang memerlukan. Kita tidak fikirkan diri kita sahaja, tetapi kita pentingkan anak isteri, ibu bapa, kaum kerabat kita, jiran-jiran dan kawan-kawan.

Kita tak tahu bila kiamat akan tiba. Wallahua'lam , tetapi yang pasti ia akan tiba. Akhirat itu memang benar, cuma kita manusia yang sering leka dengan hal-hal dunia sampai tak mahu pun fikirkan tentang hari kiamat. Mungkin kita takut, jadi paling mudah, kita lupakan sahaja.

Kalau kita mengaku kita Islam, selain daripada mengaku bahawa Allah itu yang Maha Satu, wujudnya para Rasul dan Nabi Muhammad s.a.w. itu Rasul yang terakhir, percaya adanya malaikat-malaikat, Al-Quran itu kitab-Nya, kita juga wajib percaya pada hari Kiamat dan Qada' dan Qadar. Itulah iman kita, tanpa iman, kita mampu untuk tersesat dan hilang di jalan.

Sebagai manusia, kita tak pernah sempurna, tak mampu untuk lakukan segala-galanya seperti apa yang dilakukan Nabi Muhammad s.a.w., namun kita boleh lakukan yang terbaik dan kita perlu tahu bahawa Allah sentiasa membuka pintu taubat-Nya. Setiap kesalahan dan silap yang kita lakukan, pohon ampun pada-Nya. Carilah keredaan, lakukanlah dengan ikhlas. Hiduplah di dunia ini dengan kesedaran bahawa kita hanya menumpang. Tidak ada yang kekal hanya cinta kita pada Allah SWT itulah yang abadi.

Semoga kita sama-sama ingat untuk lakukan kebaikan dan jauhkan diri daripada kejahatan, semoga kita dilindungi di dunia ini dan akhirat nanti.

Saya bukan 'ustazah', bukan juga bijak dalam hal agama. Saya tahu sebagai manusia kerdil di alam ini, sudah banyak dosa yang saya lakukan dan kerana itulah saya mengingatkan diri sendiri untuk cuba lakukan apa yang saya mampu lakukan. Saya ingin mencari keredhaan Tuhan. Insya-Allah, semoga Allah SWT sentiasa buka hati kita untuk menjadi insan yang beriman. Amin ya robilalamin.

Bersedialah kita, bukan sekadar untuk kiamat, tetapi juga untuk alam barzakh. Kematian akan tiba untuk kita semua, hanya Tuhan yang tahu.

Tuesday, December 20, 2011

Tangkap Basah

    Dua orang budak dalam sawah padi - gambar cilok


Salam

Fenomena tangkap basah ini merupakan sesuatu yang sudah menjadi sinonim dengan orang Melayu. Tangkap kerana berkhaiwat antara dua orang insan yang bukan mahram, merupakan sesuatu yang seronok dibaca bila ada kes seperti itu dipaparkan dalam surat khabar. Betul tak? Kalau ternampak apa-apa kes 'tangkap basah' dalam surat khabar, masing-masing akan sibuk nak tahu... siapa? Huhu. Kalau orang yang kena tangkap itu dikenali umum, bertambahlah seronok nak baca. Biasanya nama mereka tidak dipaparkan, hanya bayangannya sahaja digambarkan, maka si tukang baca akan berteka-teki.

Dalam dunia Internet hari ini, perkara seperti ini akan tersebar luas dan dengan lajunya akan melayang-layang, satu dunia pun boleh tahu. Huhu... yang membaca bukan main seronok lagi, yang kena pula, mungkin akan terasa malu dan tersipu-sipu. Kalau banyak duit, bolehlah keluar dan menyorokkan diri, kalau tak ada, tak apa... tahan aje muka. Bukan lama mana pun, nanti akhirnya akan senyap bila ada kes baru yang timbul.

Begitulah kita sebagai orang Melayu, hal-hal seperti ini boleh tutup kisah-kisah lain yang mungkin lagi penting. Malah, kisah-kisah 'tangkap basah' kita seronok kecoh, tetapi kisah maksiat yang terjadi hari-hari, kita buat-buat tutup mata sahaja. Orang di pejabat agama lagi seronok 'menangkap basah' orang daripada keluar mendakwahkan orang. Rata-rata orang kita, memang dah tahu apa itu 'boleh' dan apa pula yang 'tak boleh' bila kita bergelar 'orang Islam', tetapi ramai yang tak kisah, tak ambil peduli dan tak menghayati.

Oleh kerana itulah, elok kalau kita beri tumpuan untuk mendidik, mengingatkan dan mengajak orang ramai belajar dan menghayati nilai-nilai murni yang ada dalam agama kita.

Bila kes-kes 'tangkap basah' dipaparkan dalam surat khabar, kita pun jadi hairan jugalah, kan? Kenapa yang biasa kena tangkap merupakan orang biasa-biasa atau mereka yang dikenali kerana menjawat title 'selebriti'? Kenapa kita tak dengar pun kisah anak-anak orang berada, anak-anak orang-orang ternama, anak-anak menteri, malah mereka yang bukan anak-anak, tetapi ibu dan bapa kepada anak-anak berkenaan... yang kena 'tangkap basah'? Mungkin kerana tempat tinggal mereka 'posh' dan terkawal, jadi orang jabatan agama tak boleh masuk, atau mungkin, kalau tahu pun, orang-orang ini akan buat tak tahu sahaja. Buat buang masa je!

Jadinya, kes-kes 'tangkap basah' ni mesti dipaparkan mungkin untuk mengingatkan yang lain, sekalipun yang kena sekadar ikan-ikan bilis biasa-biasa, atau mereka yang bernama 'selebriti' kerana boleh melariskan surat khabar dan menjadi sensasi. Itu bermakna, kita tidak 'tangkap basah' kerana Tuhan dan untuk menjaga kemurnian agama kita, betul tak? Kalau betul-betul kita nak jaga kesucian agama, tentulah kita melakukannya mengikut apa yang dijelaskan dalam al-Quran. Setiap tuduhan, mestilah ada buktinya dan mestilah ada empat orang saksi yang 'sahih' (bukan kaki dusta). Tetapi nampaknya dalam hal ini, kita lagi seronok mensensasikan kisah-kisah begitu, tanpa kira kita akan mengaibkan orang atau tidak.

Malah, memang banyak orang turut suka membawa kisah 'tangkap basah' dalam penceritaan mereka, kerana dikatakan ini merupakan sesuatu yang sangat normal tetapi 'hot' dan sensasi dalam masyarakat Melayu. Ia ada kaitan dengan habit dan budaya kita. Betul ke ni?

Wallahua'lam.

Monday, December 19, 2011

Drama Kau Laksana Bulan


Salam

Bagi mereka yang suka dengan drama Kau Laksana Bulan, adaptasi dari novel saya yang berjudul Kau Laksana Bulan, kini sedang diulangtayang di TV2 pada jam 12.30 malam hari ini.

Perangai Macam Monyet!

                 Sekadar Hiasan


Salam

Hehe, pagi-pagi lagi dah judulkan entri dengan sesuatu yang 'mencabarkan', tapi memang inilah yang terjadi dengan homestay kawan saya.

Saya memang selalu pergi ke hotel sebabnya suami saya selalu out station dan kalau dia pergi ke tempat lain memang saya rajin teman. Alhamdulillah, selama ini bila saya tidur di hotel, saya akan layan tempat tu macam rumah saya juga. Saya pastikan semuanya teratur dan bersih dan tentunya tak rosakkan apa-apa, walaupun biliknya dibayar dan bukan harta saya. Setiap kali keluar bilik, saya akan kemaskan walaupun tak adalah pulak kemas beria-ia, sebab akan ada si tukang kemas yang menukar cadar dan segala-galanya. Tetapi saya tak naklah orang lain fikir yang saya ni macam 'monyet' kalau saya biarkan bilik itu tunggang-langgang keadaannya walaupun saya tahu si tukang kemas tak kenal dengan saya.

Malangnya, ini pula pengalaman teman saya yang membuat homestay (macam rumah tumpanganlah ni). Pada mulanya dia seronok sebab tetamu-tetamu yang datang merupakan keluarga. Bila mereka keluar, rumah berada dalam keadaan yang elok. Kadang-kadang, ada juga tetamu yang rajin, siap menyapu dan buang sampah ke luar. Tempat tidur juga teratur dan bilik air taklah tunggang-langgang.

Untuk dijadikan cerita, teman saya terkena dua kali. Sekali tu dengan rombongan budak-budak lelaki yang datang nak tengok 'grand prix motor' kat track FI. Mereka sampai dari luar dan tiba di waktu melebihi tengah malam. Riuh rendah, dah tu sampai ke pagi duk buat bising. Sudahlah ramainya bukan main, sedangkan homestay itu disediakan untuk maksimum 10 orang. Bila mereka keluar, memang rumah tu bersepah giler! Dengan bau rokok, pintu tak tutup, bakul sampah dalam bilik di keluarkan untuk guna letak barang apa-apa entah, siap lantai kat depan berminyak-minyak sebab ada 'mamat' yang baiki motosikalnya. Siap makan mi segera dan disepahkan rata-rata, pinggan mangkuk diletak rata-rata. Bilik air pun kotor (macam tak pernah guna bilik air), katil diubahkan tempat. Ada juga mi segera yang diletakkan dalam gelas!

Macam nak gugur jantung teman saya sebab meradang yang teramat sangat. Lepas tu kena lagi sekali. Pada asalnya awek yang buat booking tu kata, dia nak guna homestay untuk hantar temannya ke airport. Ada yang nak keluar negara (memang biasalah homestay ini digunakan untuk mereka hantar orang lain ke airport). Tetapi bila tiba, tak nampak pulak mereka tu nak hantar siapa-siapa ke airport. Malangnya rombongan mereka tiba bila hari dah malam, siap ada lelaki dan perempuan (tak tahu status mereka). Malam tu, bukan main bising lagi walaupun sudah diberitahu tak boleh buat bising lepas jam 12 malam.

Bila mereka keluar, siap ada lampu yang pecah. Air cond tak tutup pun. Betul-betul macam kera yang terlepas dari hutan (pada hal mereka datang dari area KL je). Yang sedihnya, mereka Melayu tetapi ada tin-tin arak (memang sah arak) dan paling sedih ada pula 'kondom' yang bersepah-sepah kat rumah tu. Sudahlah toiletnya kotor dan rumah tunggang-langgang. Rupa-rupanya mereka buat parti kat homestay tu! Tak tahulah mereka ini anak siapa, tetapi memang ramai dan buruk pulak perangainya. Terpaksalah kawan saya buat rules and regulations buat tetamu yang nak sewa homestaynya.

Saya tak tahu mengapa ada anak-anak muda yang tidak menggunakan akal fikiran dan tidak bertimbang rasa. Kalau sekalipun nak buat maksiat, tak payahlah libatkan harta orang lain. Entah anak siapalah mereka-mereka itu, sanggup berpura-pura seolah-olah mereka itu 'biasa-biasa' sahaja. Masing-masing datang dengan kereta, itu bermakna mereka ada duit dan mungkin juga ada pelajarannya.

Kalau kita ada anak-anak muda, perhatikan anak-anak kita dan jangan biarkan mereka jadi seperti 'monyet-monyet' yang terlepas dari hutan.

Wallahua'lam.

Sunday, December 18, 2011

Bulan Disember

                  Sekadar Hiasan


Salam sayang kepada semua yang saya sayang

Sudah lebih dari pertengahan bulan, namun setiap kali bulan Disember hadir, bagaikan ada sesuatu yang menarik pada setiap saat dan detik di bulan ini. Buat suatu ketika dahulu, semasa saya dan anak-anak berada di England, bulan Disember tentunya merupakan bulan yang penuh dengan cuti dan cuaca yang dingin. 'Mat salih' di sana meraikan perayaan krismas seawal-awal bulan Disember dan bila tiba di pertengahan, mood cuti bagaikan sudah meresap dalam diri semua yang ada di sana. Lampu-lampu bergelipan di sana dan sini, walaupun bila keluar malam terpaksa berbungkus dalam baju yang tebal. Program di peti telivisyen pula, tak henti-henti dengan pelbagai filem-filem lama dan baru yang 'meletup-letup', termasuklah cerita-cerita hantu. Huh! Biasanya juga di sana, pada bulan Disember walaupun cuaca dingin, tetapi salji belum turun hinggalah masuk bulan Januari.

Bagi saya, bulan Disember memang ada makna sebab saya dilahirkan pada bulan ini. Anak saya Irfan pun dilahirkan pada bulan Disember dan sekarang ini, kebetulan salah seorang menantu pun dilahirkan pada bulan Disember. Hari ini, di Malaysia pun begitu juga keadaannya, bila masuk sahaja bulan Disember, masing-masing sudah berada dalam mood bercuti. Mereka yang masih banyak cuti, akan sibuk bercuti dan mereka yang tak bercuti, di pejabat pun dah macam cuti! Huhu... begitulah keadaannya.

Blog saya ini, banyak yang masuk untuk mengintai-intai entri saya yang bercerita tentang tempat-tempat menarik di Malaysia dan di luar sana. Ramai yang sibuk nak tengok ada apa di Thailand atau Indonesia.

Kalau kisah orang kahwin pula, memang dah tak larat nak bercerita. Setiap hujung minggu, memang sibuk dengan majlis perkahwinan. Anak perempuan saya pun berkahwin pada bulan Disember (dua tahun yang lepas) walaupun bulan Disember merupakan bulan yang selalu basah!

Apa-apa pun, mood bulan Disember ialah mood relax dan bercuti. Asal sahaja kita tahu kewajipan kita dan tunaikan amanah kita, tak kisahlah nak relax atau apa. Malah, kadang-kadang nak menulis pun jadi payah... otak asyik sibuk aje...

Itulah bulan Disember...

Wallahua'lam.

Thursday, December 15, 2011

Mana Isi Ketamnya?

        Nasi Goreng Isi Ketam - gambar cilok


Salam semua

Tak tahulah kenapa, sejak kebelakangan ini banyak juga bloggers yang dulunya aktif dan sekarang tidak lagi. Ada tu, paling aktif atau aktif giler dengan followers nya yang berbelas-belas ribu, tahu-tahu dah tak minat nak berblogging lagi. Dah lama tak nak update blog dan blognya pun dah mula bersawang... huhu

Kenapa agaknya ya? Kadang-kadang saya tertanya-tanya juga. Tension kot, terutama bagi mereka yang ada 'shout box' dan tempat komen. Dalam dunia ni memang ramai yang suka komen bila ada peluang. Mereka yang beri komen untuk seronok kita membacanya memanglah seronok pun. Tapi, memang ada juga mereka yang suka 'komplen' dan semuanya tak kena. Malah, apa sahaja yang dikatakan orang, semuanya tak kena belaka... huhu, yang tu lah yang sakit jiwa. Agaknya, ada yang malas berblogging dek kerana komen-komen yang memudaratkan jiwa kot. Tak tahulah...

Macamlah juga dengan sesetengah orang yang masuk kedai makan. Semuanya tak kena. Kalau makanan sedap, dicari pula sebab yang lain, mungkin sampai bunga kat atas meja pun boleh dijadikan isu besar. "Eh, kenapa lah awak letak bunga layu kat atas meja ni? Boleh tolong angkat tak? Lemah jiwa saya..." Begitulah sungut seorang 'cik kak' yang kaki komplen. Alahai... bunga tu tak kacau pun, janji makanan sedap. Kalau makanan tak sedap... hah, lagilah haru dibuatnya. "Eh, apa hal ni... masinlah makanan ni! Cuba awak rasa! Awak nak suruh saya mati cepat ke?"

Begitulah kita manusia, kan? Suka cari kesalahan, hampir semuanya tak kena. Itu bagi mereka yang memang begitu. Ada juga jenis tak kisah. Sedap pun makan, tak sedap pun tibai aje... janji makan. Hehe... yang ni memang jenis mudah giler, memang tak cerewet maa...

Dulu-dulu, masa saya bekerja, ada seorang teman kami tu memang jenis cerewet giler, hinggakan kami semua tak suka duduk semeja dengannya bila sampai di restoran. Tak sanggup nak dengar komplen dia. Kadang-kadang jadi pening kepala dibuatnya. Orang macam saya ni, lagilah tak tahan, sebab saya ni jenis manusia yang tak ambil kisah sangat. Kalau sedap saya makan, kalau tak saya diam aje. Saya tolak tepi... nak buat macam mana lagi.

Pernah sekali saya makan dengan seorang kawan dan dia merungut tentang makanan yang dibawa pelayan. "Mana isi ketamnya, saya tak nampak pun?" Pelayan tu terkebil-kebil, saya pun tak tentu arah lagi. Lepas tu, bila pelayan pergi, kawan saya masih merungut dan dia bercadang nak panggil pelayan tu supaya makanannya diganti dengan 'nasi goreng yang betul-betul ada isi ketam!". Saya jadi panik lalu terus berkata padanya, "Eh, you percaya ke yang dia akan tukar dengan nasi goreng yang baru? Mungkin ketam tu tak nampak sebab isi ketam memang lembut. Kalau tukar nanti, lain pulak jadinya."

Kali ini, dia pula panik lalu berkata, "Nak jadi apa pulak?"

Saya jawab, "I pernah dengar, kalau customer komplen, kadang-kadang tukang masak tu dia ludah aje kat dalam pinggan sebab marah. You mana nak nampak kalau dia buat macam tu? Yang you nampak... isi ketam aje."

Terus kawan saya tak jadi nak minta tukar makanannya. Dia terus makan dan dia kata, "A'ah, sedaplah. Ada isi ketam kat dalam ni..."

Okeylah... saya pun tak ada modal sangat pagi ni, tapi sayang pulak kalau tak update blog ni. Takut lama-lama nanti terus malas dan terkubur pula blog ni.

Wassalam.

Tuesday, December 13, 2011

Kena Make Over...

 Salam

Ya, memang selama tiga hari saya tak update blog ini. Very busy maa...
Kalau ada yang rindu nak baca entri baru saya, saya lagilah rindu nak update. Hari Jumaat malam, saya dan jiran-jiran kami meraikan hari jadi kawan-kawan yang hari jadinya jatuh pada bulan Disember. Termasuklah diri saya ni walaupun hari jadi saya masih lambat lagi (hujung bulan). Hujung tahun, ramai kawan-kawan yang akan berada di luar kawasan, jadi kami raikan awal sikit. Kebetulan, menantu saya nak practise skill dia untuk make up orang, jadi saya kenalah 'Make Over'. Harap-harap anda semua masih kenal dengan saya... hehe. Memang biasa, bila saya dan kawan-kawan (yang merupakan jiran juga) celebrate apa-apa sahaja, kami selalu ada tema gila-gila, dan pada malam itu tema kami berwarna coklat dan banyak pulak yang mengenakan turban, ala-ala 'I Dream of Genie'... ada satu TV program masa zaman Tuk Lut dulu... hehe.

Okeylah... Hari Sabtu pulak, saya sibuk pergi majlis kahwin anak jiran lama dan anak kawan suami saya. Dah memang musim orang kahwin, kan. Hari Ahad awal pagi saya dah pun turun Ke Jay Bee. Ada function di Nusajaya (tempat projek suami saya), kebetulan PM datang ke sana untuk rasmikan macam-macam benda, terpaksalah kami pun hadir sama. Malam tu saya tidur di Jay Bee dan kebetulan juga, suami saya calling-calling member-member lama dia (kawan sekolah dari sekolah rendah lagi), ada tiga orang kawan-kawan perempuan dan tiga lagi lelaki (berlapanlah kami). Jadi kami pun lepak-lepak kat Banafe Village. Macam-macam ceritalah yang saya dengar termasuk kisah-kisah 'love story' yang melucukan.

Salah seorang daripada kawan lama suami saya (cikgu sekolah) memang suka baca novel-novel saya dan dia beritahu saya yang awal tahun depan, dia dan suami akan ke Sepanyol kerana dah lama teringin nak menjejaki tempat yang saya lakarkan dalam novel pertama saya 'Sesuci Cinta'. Huhu... terharunya. Tetapi memang dah ramai pembaca saya yang ke Sepanyol kerana terpesona dengan lanskap yang saya gambarkan dalam 'Sesuci Cinta' itu, empat orang adalah pembaca saya dari Singapura.

Pulang dari Jay Bee semalam, singgah pula di Alor Gajah dan Masjid Tanah kerana da beberapa urusan kami. Petang barulah tiba di rumah. Sampai sahaja di rumah, adik saya dan keluarganya dah ada dan ajak pula saya dan keluarga (anak dan cucu2 sekali) pergi lepak-lepak makan 'seafood' kat Bagan Lalang. Memang saya penat, tetapi tak apalah kot... bukan hari-hari macam tu pun. Alhamdulillah.

Okeylah... setakat itu sahaja cerita saya, walaupun banyak juga emel yang datang pada saya yang mengisahkan 'kontroversi' yang terjadi dan minta komen saya... huhu... biar saya diam dirilah. Lebih baik begitu. Tengoklah macam mana esok lusa pula. Memang banyak yang ingin saya katakan, tetapi buat masa ni... saya tak mahu kata apa-apa.

Wassalam.


              Aina Emir - make over

       Saya dan neighbours- birthday ladies (Sury and Mook)

         Saya dan Mook (My Chinese neighbour)

Friday, December 09, 2011

Masihkah Kau Ingat?


                    Allahyarham Zubir Ali


Salam

Pada pagi Jumaat ini saya ingin bertanya pada anda semua, sama ada anda masih ingat lagi pada seorang penggiat seni yang bernama Zubir Ali? Kalau tidak silap saya Allahyarham Zubir Ali telah kembali ke rahmatullah pada tahun 2009. Dia merupakan salah seorang penyanyi kumpulan Harmoni yang pernah mendendangkan lagu-lagu puisi. Antara lagu-lagu yang sangat popular ketika itu (rasanya tahun 80-an) ialah Penantian, Doa, Harga Diri, Tuhanku, Balada seorang gadis kecil dan Siapa yang tak pernah menangis. Paling saya suka ialah Penantian dan Doa.

Secara personal, saya memang mengenali Allahyarham Zubir Ali kerana pada suatu ketika dahulu dia pernah bekerja di UKM sebagai pegawai yang menjaga kesenian dan budaya. Memang dia sangat kreatif orangnya dan juga baik hati. Ketika itu saya berkhidmat sebagai pegawai latihan dan usia saya pun jauh beza dari Zubir Ali. Masa tu saya muda sangat-sangat (hehe) dan pada suatu ketika tu, saya telah uruskan agar Zubir Ali dihantar ke Jepun untuk satu program latihan. Dia sangatlah suka dan berterima kasih pada saya. Masa nak pergi tu, dia datang berjumpa saya dan bertanya, "I pi Jepun ni, you nak apa? Nanti I bagi kat you," beria-ia dia bertanya.

Saya tahu dia ikhlas mahu hadiahkan sesuatu kepada saya, jadi saya pun kata sajalah, "Apa ek? scarf kot." Saya gelak, kerana tak serius pun. Bila dia balik dari Jepun, dia memang hadiahkan saya sehelai selendang sutera berwarna biru laut ada bunga-bunga kuning. Sampai hari ini masih lagi saya simpan selendang itu.

Okeylah... saja saya bercerita mungkin sebab rindukan lagu-lagu puisi yang sudah payah nak dengar hari ini. Kalau saya buka Youtube, itulah yang saya lakukan, dengar lagu-lagu Ketuhanan... memang kawlah! Apa pun, Al Fatihah buat roh Zubir Ali, semoga aman di alam barzakh.



Lirik Lagu Doa (Zubir Ali)

Tuhanku dalam termangu
Kusebut namaMu
Biar susah sungguh
Mengingatkan kau penuh seluruh

Tuhanku cahayaMu
Panas suci
Bagai kerdip lilin
Di kelam sunyi

Tuhanku aku hilang bentuk
Kembara di negeri asing
Tuhanku pintumu ku ketuk
Aku tak bisa berpaling


WASSALAM.

Thursday, December 08, 2011

Malas Nak Update Blog


Salam

Pada mulanya saya rasa malas nak update blog pada hari ini, tapi bila buka aje blog ni, rasa macam tak sah pulak kalau tak update... mujurlah blog, kan? dan bukan Facebook. Kalau gila kat Facebook, memang parahlah... hehe, mungkin tak lama lagi kita semua pun jadi bosan dengan FB ni... ialah macam-macam cerita, kan?

Jom kita sembang pasal benda lain. Buat masa ni, saya memang sibuk menulis. Memang tension bila tiap-tiap hari ada yang datang menjenguk nak cari buku saya yang terbaru. Huh, tak siap-siap lagi. Sebenarnya, bila nak menulis ni, kadang-kadang kena juga cari mood yang elok. Bila sehari dua tak menulis, nak masuk balik akan makan masa. Bukan senang nak dapatkan 'mood' itu semula. Kalau dulu, saya memang tak susah nak menulis sebab masa terluang saya sangat banyak, tapi sekarang ni... payah sikit. Sibuk memanjang. Itulah kadang-kadang terasa macam nak pergi mana-mana, hilang buat seketika... huhu nak pergi ke bulan ke? Kalaulah boleh, kan?

Memang betul, hidup kita memang macam ni, kan? Ada ketika, kita tak dapat nak buat apa yang kita rancang. Ada-ada sahaja masalah yang timbul yang boleh merosakkan perancangan kita atau melambat-lambatkan kehendak kita. Apa pun, terpaksalah kita bersabar. Bersabar ni banyak rahmatnya, hanya Tuhan yang tahu.

Okeylah... saya tak boleh lama-lama di sini kerana masih banyak benda yang saya nak buat. Insya-Allah, akan saya cuba siapkan manuskrip saya ini secepat mungkin.

Wassalam.

Wednesday, December 07, 2011

Siapa Ajek Hassan?

       Ini ke dia Ajek Hassan? - cilok dari blog orang lain


Salam

Wow... bukannya nak promote mamat ni, sebab saya pun tak kenal dia, tapi beb, saya suka dengar suara dia. Suara jantan dia boleh mengusik jiwa... hehe, tiba-tiba jiwang karat pulak.

Huhu... kebetulan aje ni, saya tengah search kat YouTube, terjumpa mamat ni menyanyi secara akustik (main gitar) mendendangkan lagu yang menjadi latar cerita Ombak Rindu. Wow... lagi sedap daripada nyanyian penyanyi asal. Saya pun tengok lagi, rupa-rupanya memang banyak betul yang dah dia nyanyikan, semuanya secara akustik dan semuanya sedap-sedap belaka. Lagu Siti Nurhaliza pun dia nyanyi, lagu P.Ramlee/Ahmad Jais yang berjudul 'Azizah' pun dia nayanyi... adoi sedap giler, beb. Siap lagu2 Indon kegemaran saya pun dia nyanyi. Lagu2 mat salih pun ada... semuanya menghiburkan hati. Kalau tak percaya, pergi cari kat YouTube!

Saya tak tahu mamat ni siapa, tapi adalah terbaca yang mamat ni ada kat luar negara, exactly saya tak tahu di mana. Yang pasti, insya-Allah mamat ni akan jadi famous. Tak percaya, tunggulah....

PS: kalau ada yang berangan-angan tu, biaq saya nak habaq, depa kata Ajek ni dah kahwin pun... huhu...

Saya search dan kalau tak silap, mamat ni berada di Perth, Australia.

Antara Novel dan Filem

                       Sekadar Hiasan


Salam semua

Sejak kebelakangan ini, sudah ada trend di mana 'film production house' berminat untuk adaptasikan novel dijadikan filem, atau setidak-tidaknya pun dijadikan drama bersiri. Kalau dulu-dulu, mereka tak minat pun, tak tahulah mengapa. Tetapi sejak ada novel-novel yang jadi popular, mungkin orang filem turut rasakan bahawa kalau dijadikan filem dari novel-novel ini, tentulah akan ada yang menonton. Rata-rata, trend ini memberansangkan, tetapi bukan semua novel yang diadaptasikan untuk dijadikan filem atau drama itu berjaya. Ada jugak yang 'bungkus', mungkin tak ada rezeki kot.

Tak kisahlah sama ada filem atau drama yang ditayangkan itu meletup atau tidak. Hari ini saya nak bersembang tentang perasaan penulis yang menghasilkan karya-karya untuk dijadikan novel, dan setelah berjaya, karya yang sama dijadikan filem atau drama pula. Nak tahu juga perasaan 'tuan punya' karya, sama ada mereka berpuas hati, bangga atau apa?

Ada juga penulis novel yang menulis sendiri skrip yang dijadikan filem atau novel itu. Mungkin yang ini, tak payahlah kita tanya sangat, sebab mereka sendiri yang tulis skrip. Tapi... ada juga skrip yang dipinda oleh pengarah filemnya, kerana nak sesuaikan dengan badjet atau filem dan drama yang dimaksudkan. Maklumlah, kita di sini bukanlah macam di negara Barat sana. Kalau tengok cara mereka (di Barat) buat filem yang diadaptasikan dari novel, kadang-kadang kita rasa memang sama teramat sangat. Kalau ada perubahan, memang kita tak perasan pun.

Ada penulis yang rasa terkilan bila novel mereka diangkat untuk dijadikan filem atau drama, kerana banyak sangat plotnya yang lari. Tentulah penulis novel faham bahawa bila novel dijadikan filem atau drama TV, tak semuanya sesuai dimasukkan dan kerana masa, banyak juga yang terpaksa ditepis. Namun, ada perkara-perkara penting yang sepatutnya tak boleh dipinda, bila dipinda, maka rosaklah cerita.

Saya tahu bahawa ada seorang penulis tu, dia terkilan kerana karakter dalam filem, tak sama dengan karakter dalam novelnya. Kalau karakter sampingan, tak apalah. Tapi kalau karakter utama, tentulah menjejaskan 'mood' cerita asal. Orang yang tak baca novel, mungkin tak perasan pun kalau terus sahaja tengok filem. Tetapi mereka yang baca novel, akan terasa perubahan seperti itu. Sebagai contoh, dalam novel, karakter 'A' dikatakan mempunyai latar sekolah agama dan universiti agama yang terkemuka di dunia. Dalam novel, karakter 'A' bertudung litup, sesuai dengan latar ilmu dan pelajarannya. Namun dalam filem, karakter 'A' diubah penampilannya, dia memakai sekadar selendang yang menampakkan jambul rambutnya. Keadaan itu telah merosakkan mood cerita, kerana dikatakan filem itu tidak mantap.

Begitu juga dengan sebuah filem lagi yang diadaptasikan dari sebuah novel. Ada karakter yang digambarkan 'jahat' dalam novel, tidak ditonjolkan begitu dalam filem. Malah, watak utama dalam novel membayangkan kelakuan dan perangai yang 'jahat', tetapi dalam filem, moodnya diubah. Tentulah penulis rasa terkilan dengan perubahan-perubahan ketara seperti ini, sekalipun filem itu meletup!

Penulis mengambil masa yang lama untuk menulis dan karya mereka tentulah merupakan sesuatu yang sangat dekat di hati. Bila karya tersebut diangkat jadikan filem atau drama TV, tentulah penulis mahu rasakan 'effort' mereka itu dan mahukan 'mood' yang sama, kalau tiada, tentulah perasaan terkilan yang menjelma.

Setakat ini sahaja komen saya. Semoga apa yang saya katakan ini, tidak menyinggung siapa-siapa, sekadar berkongsi rasa sahaja.

Wallahua'lam.

Tuesday, December 06, 2011

Pakai Topeng Musang

                          Sekadar Hiasan


Salam

Di hujung minggu yang lepas, saya mendapat satu panggilan daripada seorang adik angkat (lelaki), walaupun kami selalu berhubungan hanya sekali-sekala sahaja kami dapat berbual panjang lebar. Kali ini, panggilannya bersebab. Dia hendak bercerita pada saya tentang seseorang yang mungkin saya dapat membantu. Katanya, Puan S perlukan orang lain untuk memberi semangat kepadanya. Saya pun pasanglah telinga.

Puan S adalah seorang guru sekolah dan mempunyai bekas suami seorang pensyarah (ada PhD dan saya namakan Dr.D) dan mereka mempunyai beberapa orang anak. Kisah sedihnya bermula bila bekas suami berhubungan dengan seorang wanita (Cik X). Bila Puan S sedar yang suami ada awek, dia menghubungi Cik X dan berkata sekiranya Cik X benar-benar mahu berkahwin dengan suaminya, dia akan masuk meminang. Bagi Puan S, dia tidak mahu suaminya melakukan maksiat. Bila  Dr.D tahu tentang hal itu, dia menjadi marah lalu dia mengamuk! Tahu-tahu perhubungan Puan S dan Dr.D sudah menjadi kucar-kacir. Bermulalah satu keadaan yang menyakitkan buat Puan S dan anak-anaknya. Dr.D mula menyebar fitnah dengan mengatakan bahawa isterinya sedang mengamal ajaran sesat dan mungkin kepala otaknya juga sudah jadi tak betul. Dalam keadaan begitu, Dr.D mengambil kesempatan lalu memukul isterinya dan jiran-jiran, walaupun sedar akan perbuatan Dr.D, masing-masing takut nak masuk campur.

Di sekolahnya sendiri, Puan S telah dipulaukan kerana mereka percaya kepada cerita yang disebarkan suaminya. Akhirnya, Puan S telah diceraikan dan Puan S dan anak-anak telah dihalau keluar dari rumah di mana gaji Puan S dipotong setiap bulan untuk membayarnya!

Puan S terpaksalah mencari rumah lain untuk disewa. Keretanya juga telah diambil oleh bekas suami dan dia terkapai-kapai untuk menyara anak-anak yang semuanya masih bersekolah dan belajar. Malang bagi Puan S, urusannya untuk tukarkan sekolah dua orang daripada anak-anaknya (yang masih bersekolah rendah) disukarkan oleh pihak berkaitan, kerana bekas suaminya masuk campur lalu sengaja menyusahkan. Anak-anaknya itu duduk di rumah dan tidak bersekolah.

Saya difahamkan bahawa anak-anak Puan S terpaksa menerima rawatan psikiatri kerana mereka mengalami tekanan. Puan S sendiri terpaksa ke sana dan ke mari (tanpa kenderaan) untuk mendapatkan bantuan bagi menyelesaikan pelbagai masalahnya dan anak-anak, termasuklah wang-ringgit yang tidak mencukupi untuk menampung keluarganya. Macam-macam lagi yang diceritakan teman saya tentang kesusahan Puan S yang suatu ketika dahulu telah membantu suami untuk menyiapkan ijazah kedoktorannya (Puan S mahir dalam bahasa).

Mungkin begitulah manusia, bila sudah senang, mereka akan lupakan segala-galanya yang pernah menjadi sebahagian dari hidupnya.

Apa pun bagi saya, ini adalah sebuah kisah yang benar-benar terjadi dan sangat menyentuh emosi. Sukar untuk saya faham hati perut manusia yang mempunyai pelajaran tinggi namun tiada hati budi. Ke manakah perginya akal fikiran mereka dan di mana pula disorokkan rasa kasih sayang, lalu yang ditinggalkan sekadar kezaliman yang menyeronokkannya? Di mana pula letaknya iman lelaki yang sepatutnya menjadi ketua dan imam famili?

Teman saya telah ditugaskan untuk membantu Puan S dan tentulah teman saya telah lakukan siasatan, bukan sekadar hentam keromo buat cerita. Semoga kisah ini akan menyedarkan kita semua, jangan terlalu percaya kepada mereka yang bertopengkan ilmu dan pangkat yang ada. Kadang-kadang mereka ini adalah serigala yang bertopengkan musang di dalam hutan.

Wallahua'lam.

Monday, December 05, 2011

Dialah Satu-Satu Nya



Cintaku pada mu
Tak pernah layu walau sedetik
Tak pernah pudar sesaat pun

Kasihku buatmu
Sesegar bunga yang berputik
Yang dingin dibalut embun

Kau datang dalam hidupku
Tepat pada waktu
Aku bernafas dalam bayanganmu

Aku tetap di sini
Berkasih dan berkongsi
Segala rasa di jiwa dan hati

Kalau aku yakin dan percaya
Kamu juga sama saja
Serasi jiwa dan raga

Namun nun jauh di lubuk hati
Aku renggangkan perasaan ini
Tak rela biarkan begini

Sekalipun cintaku berguni-guni
Kau sekadar insan di bumi
Satu hari nanti akan berubah hati

Aku juga manusia biasa
Ada hati dan ada rasa
Ada hidup dan matinya

Karna itu ya sayangku
Biar aku bercinta dengan Tuhanku
Tuhanku yang Maha Satu

Sekalipun kau tiada di sisi
Dia akan tetap menemani
Karna wujud-Nya abadi

Kalau kasih dan cinta soalnya
Tiada tandingan di mana-mana
Dia tetap satu-satu-Nya

Sunday, December 04, 2011

Tidak Akan Tahu

  Gambar sekadar hiasan - cilok dari Yahoo


Salam

Kelmarin, iaitu pada hari Jumaat, pekan Kajang telah berdepan dengan banjir kilat. Banyak kereta orang ramai yang tenggelam atau dimasuk air, selain dari premis-premis kedai yang dimasuk air. Kejadian seperti ini pernah berlaku dulu, malah berkali-kali. Semasa saya masih bekerja di UKM, ramai juga kawan-kawan saya yang menjadi mangsa banjir kilat pekan Kajang. Saya hanya mampu menghulurkan simpati buat semua yang menjadi mangsa kali ini.

Sebenarnya, kita tak akan tahu apa yang akan terjadi di masa depan. Malah, apa yang akan terjadi sekejap lagi atau besok pagi pun kita tak akan tahu, apatah lagi keseluruhan masa depan kita. Hanya Tuhan yang Maha Mengetahui.

Berkaitan dengan hal ini, saya ada sebuah cerita yang ingin saya kongsi dengan pembaca blog ini. Ia adalah kisah seorang kawan lama. Kami sama-sama pergi ke sekolah sejak sekolah rendah lagi. Sebaik sahaja tamat tingkatan tiga, kawan saya tidak sambung belajar, tetapi telah dikahwinkan dengan seorang lelaki (kalau tak silap saya, seorang ahli tentera). Bila dah berkahwin, kalau terserempak di bandar, kawan saya itu tak tegur kami. Maklumlah, dia sudah berumah tangga, kami pula sedang berlegar-legar dengan memakai pakaian sekolah. Saya berputus hubungan dengannya, tetapi sekali-sekala dengar juga ceritanya yang ditiup angin lalu. Tahu-tahu kawan saya itu dah pun mempunyai lima orang anak.

Mungkin banyak masalah yang dilaluinya, akhirnya kawan saya berpisah dengan suaminya. Sejak itu, dia mula menjadi pelakon dan pertama kali saya berjumpa dengannya selepas lama berpisah ialah di depan skrin TV. Saya melihat dia berlakon dan tentulah saya kenal kawan saya itu. Saya hanya tersenyum kerana kebetulan cerita yang dilakonkannya merupakan satu cerita komedi dan dia memegang watak utama.

Kebetulan, saya dan rakan-rakan sekolah lama, kami sedang anjurkan satu perjumpaan kerana dah lama berpisah. Saya usahakan untuk menghubungi kawan saya itu. Melalui adik saya, saya telah berjaya untuk menjejaknya dan dapatlah kami berjumpa semula. Kawan saya pun berceritalah segala macam kisah hidupnya. Katanya, dia sudah pun berumah tangga dua kali lagi. Sekali dengan seorang lelaki yang jauh lebih tua daripadanya dan sekali dengan seorang lelaki yang muda darinya. Kedua-duanya turut gagal. Semasa kami berjumpa, dia hidup solo dan salah seorang anak lelakinya tinggal bersamanya di kawasan KL. Anak-anak yang lain sudah pun berumah tangga.

Selalu juga kami berjumpa dan keluar bersama-sama. Tup-tup dia hilang lagi. Saya tak tahu ke mana perginya. Malah, semua kawan-kawan tak dapat menghubunginya. Berlakon pun tidak lagi. Selepas bertahun-tahun lamanya, dia muncul lagi di skrin TV. Malah muncul juga di layar perak. Saya tergelak lagi melihat lakonannya di dalam sebuah filem hantu komedi. Baru-baru ini, dia menghubungi saya lagi. Kami berbual dan ketawa melalui corong telefon dan berjanji untuk berjumpa dalam sedikit masa lagi.

Apa yang ingin saya katakan ialah, kita sebagai manusia, memang tak akan tahu apa yang sedang menunggu kita di depan sana. Walaupun kita semua mahukan jalan yang lurus lagi jelas, namun kadang-kadang kita terpaksa menyimpang. Saya teringat pada saat bertemu kawan saya semasa dia baru berkahwin, dia berjalan-jalan dan buat tak tahu pada kami. Dan ketika itu, saya tidak terfikir pun kawan saya itu satu hari nanti akan jadi seorang pelakon filem yang akan dikenali umum. Bayangkanlah... kami pergi sekolah dan dia pula menaiki bot untuk seberang ke Sayong bersama-sama suaminya!

Sekadar sebuah coretan untuk menghiburkan hati anda sekelian.

Wassalam.

Saturday, December 03, 2011

Bila Berkawan Dengan Anak Orang Kaya...



Salam Pagi Sabtu...

Saya teringat masa dulu-dulu, kawan-kawan saya ada macam-macam. Ada anak orang kaya dan bernama dan ada anak orang biasa. Ada juga anak orang yang tak kaya langsung. Tapi masa tu, kami semua okey, tak pernah kisah pun. Masa sekolah, ada juga kawan-kawan saya yang pakai kereta sendiri. Masa tu, tak ada siapa kisah ada lesen ke tidak. Saya... huhu, naik bas turun bas. Kadang-kadang naik basikal. Masa dulu-dulu, memang bergayalah kalau ada basikal pun! Bila ada perayaan, saya dan kawan-kawan, kami meronda dengan basikal. Kadang-kadang siap pakai cermin mata hitam lagi. Memang seronok sakan. Kawan-kawan saya juga pelbagai bangsa.

Bila dah besar sikit, saya rajin naik bas dan pergi rumah kawan-kawan yang duduk di kawasan pedalaman. kadang-kadang, bas hantar separuh jalan sahaja, yang separuh lagi saya kenalah berjalan kaki. Tetapi kerana kawan, saya sanggup semuanya. Tak pernah kisah atau marah. Ada ketika, saya makan apa sahaja termasuklah lauk ikan keli (di rumah saya memang tak ada siapa-siapa yang makan ikan keli)... hehe, saya tetap bahagia.

Di universiti pun sama, saya berkawan dengan semua orang, tak kira senang atau susah. Kebanyakan kawan baik saya, masih rapat sehingga ke hari ini.

Apa yang saya perhatikan hari ini, trendnya agak berbeza. Kalau berkawan dengan anak-anak orang yang berada, kebanyakan remaja akan turut berlagak macam berada juga. Kalau kawan-kawan ada kereta, mereka pun terikut-ikut nak ada yang sama. Anak orang-orang kaya biasanya pilih tempat makan, tak suka makan kat gerai-gerai yang murah. suka lepak kat tempat yang ada nama, dan bagi mereka yang tak ada, akan terikut-ikut juga, berlagak macam ada. Seolah-olah tak cool kalau tak boleh ikut sama. Itulah yang parahkan ibu bapa, kerana mereka akan minta itu dan ini, dan mereka yang kaki menipu pula, akan memperdayakan ibu bapa mereka dengan macam-macam cara. Asyik-asyik minta duit, konon-konon untuk keperluan sekolah atau kolej atau universiti. Tentulah membebankan ibu bapa mereka.

Ramai juga remaja sekarang yang suka berlagak macam mereka itu merupakan anak-anak orang berada. Kalau pilih handphone, mesti nak ada brandnya. iPhone lah, blackberry lah... tak cool kalau tak ada semua tu. Sekarang ni pula dah musim pakai tablet. Kalau ada iPad, lagi cool atau Samsung Galaxy... pada hal diguna untuk main game aje, bukannya ada apa-apa yang mustahak pun!

Yang paling teruk, kerana remaja sekolah pun mula berlagak sama. Paling malang bila ada ibu bapa turut melayan. Kalau untuk kebaikan, tak apalah, tetapi kalau sekadar untuk main game dan buka facebook, kan namanya buat 'buang beraih' aje! Membazir.

Bagi saya, tak apa kalau kita nak guna gadget2 yang canggih ni, tetapi biarlah digunakan secara baik dan untuk kebaikan anak-anak itu, bukan sekadar untuk menunjuk2 sahaja.

Kalau kita tahu yang anak-anak kita mempunyai teman-teman yang merupakan anak-anak orang berada, kita haruslah berwaspada. Jangan biarkan anak-anak kita memerahkan apa sahaja daripada ibu bapanya hinggakan ibu bapa terpaksa berhutang pula.

Saya sekadar mengingatkan sahaja kerana memang itulah trend hari ini. Segala-galanya kerana 'brand'. Pakaian, tempat makan, gadget2, termasuklah kenderaan dan tempat belajar. Semuanya kena 'COOL'.

Wallahua'lam.

Friday, December 02, 2011

Suami Dia Suka Isteri Orang

                   Sekadar Hiasan

Salam

Judul yang agak sensasi buat entri kali ini. Bukan tujuan saya untuk mengaibkan sesiapa, sekadar untuk mengingatkan kita semua. Kadang-kadang, dalam perjalanan hidup yang pelbagai warna, manusia sering terlupa dan lalai, mungkin terlalu asyik dengan soal dunia hinggakan tolak tepi alam selepas mati nanti, Nauzubillah. Kita doakan agar kita dijauhkan Tuhan dari perasaan yang 'terlupa diri'.

Semalam, saya berada di luar hampir sepanjang hari kerana ada urusan yang terpaksa saya lakukan. Dalam perjalanan pulang, saya bertemu seorang rakan baik yang dah lama saya tak jumpa. Kami pun berbual-bual lah. Seperti biasa, kami bertanya khabar dan bertukar cerita. Salah satu cerita kawan saya itu ialah tentang seorang kenalan lama, yang kini sudah pun berusia, tetapi orangnya masih kencang. Walaupun dah banyak umur, 'member' kita tu masih dengan kereta sports nya dan kebetulan pula, dia berstatus, berwang mungkin (pangkatnya besar), dan berupa pula. Pasti lah sahamnya tinggi, maklumlah dia seorang lelaki.

Suatu ketika dahulu, member lelaki kami ini, pernah buat hal. Ketika itu, dia sudah pun beristeri dan mempunyai empat orang anak-anak yang sedang membesar. Isterinya cantik dan bijak pula. Tup-tup member kami ini dikhabarkan bercinta dengan isteri orang (Minah itu pula terkenal orangnya) dan seterusnya member kami tinggalkan isterinya serta anak-anak dan berkahwin pula dengan minah berkenaan. 'Havoc' lah keadaan. Memang kecoh sangat-sangat. Minah yang terkenal itu pula pukul canang dan berkata di sana-sini bahawa bekas isteri member lelaki kami itu tak tahu mengambil hati suaminya, kerana itu suaminya itu berubah hati.

Kami semua pakat melihat sahajalah. Saya kesianlah kepada bekas isterinya itu sebab pelbagai teori dan tohmahan tersebar luas bercerita tentang rumah tangga mereka yang runtuh. Konon-kononnya, bekas isterinya itu suka sangat mengawal suami dan berlagak sombong pula, sebab itulah suaminya tak tahan!

Ketika itu lagi, sudah ada khabar angin kencang yang mengatakan bahawa 'member lelaki' kami memang suka mengurat isteri orang. Pantang dia tengok wanita (isteri-isteri orang) yang cantik atau menarik, dia akan cuba pikat dan ramai (isteri2 orang) yang mengaku dah terkena dengan perbuatannya itu.

Kami tak ambil kisah dan teruskan kehidupan seperti biasa. Sementara itu, kami melihatlah bagaimana susahnya bekas isteri teman kami membesarkan anak-anaknya, maklumlah kerana keruntuhan rumah tangga, anak-anak bagaikan sentiasa 'protes' dan tentunya bekas isterinya makan hati. Sumi pula dengan senang hati hidup dalam dunia 'glamor', terpaksa bekas isteri dan anak-anak perhati dari jauh. Memang sedih dan kesian.

Pun begitu, baru-baru ini, member lelaki kami itu mengulangi perangai lamanya. Kali ini, dia memperisterikan pula seorang wanita (juga isteri orang) yang cantik menarik bak aktres Bollywood. Akhirnya, wanita 'terkenal' (isteri kedua) itu ditinggalkan juga untuk beril laluan kepada si cantik menarik ini pula, yang mungkin sekitar 15-18 tahun berbeza umur dengannya.

Saya percaya bekas isteri pertama member lelaki kami itu puas ketawa terbahak-bahak agaknya, kali ini berpuas hati kerana teori isteri kedua bekas suami, hanya sekadar satu ilusi sahaja. Sebetulnya, bekas suami mereka itu memang jenis yang begitu, sangat suka kepada isteri orang!

Saya bercerita sekadar untuk mengingatkan kita semua (termasuk diri saya), bahawa apa-apa sahaja boleh berlaku dalam hidup kita sekalipun mungkin kita berasa sangat hebat tentang diri kita. Nasib kita semua adalah di tangan Tuhan dan kerana itu, cintailah Allah SWT kerana cintanya kita dengan Dia adalah cinta abadi, insya-Allah.