Assalam
Baru-baru ini, adalah saya bersembang-sembang dengan seorang teman yang masih muda dan bekerja. Dia bercerita pada saya yang kawan-kawan bujangnya (perempuan) mereka tak kisah pun kalau ada boyfriend yang merupakan suami orang. Kata mereka, "Lagi senang kot jadi second wife daripada dapat laki yang tak ada duit." Mungkin itulah teori mereka yang sedang mencari jalan mudah. Memang mudahlah kot kalau nak ngorat suami orang! Lagi mudah daripada nak ngorat orang bujang, apatah lagi kalau orang bujang yang berduit! Wallahuaklam.
Beberapa hari yang lepas, saya juga melihat satu statement di instagram seseorang yang berkata, "Bahagia tak bermakna mesti banyak duit, tapi kalau tak berduit, tak mungkin akan bahagia. Jadi... duit tetap penting dalam hidup untuk mencari bahagia."
Mungkin betul kot kalau tak berduit, kita payahlah nak hidup. Tak mungkin akan senang kalau setakat kais pagi makan pagi...
Memang betul tu... tak ada duit boleh jadi kita akan mati! Mati kebuluran macam orang-orang Afrika yang kelaparan dan tak ada makanan. Hari ini, memang ada orang di Malaysia yang mungkin sedang kelaparan dan kebuluran kerana tak ada duit langsung untuk beli makanan!
Siapa boleh nafikan yang kita mampu hidup hanya dengan telan air liur sahaja? Sekejap mungkin bolehlah kot, tapi lama-lama kita akan mati jua.
Apa yang saya nak tekankan di sini, walaupun kita perlukan duit untuk hidup, janganlah kita anggap bahawa bahagia itu akan datang kalau kita ada duit yang banyak. Janganlah kita hidup dengan minda yang materialistik dan berfikiran yang kebahagiaan itu akan ada pada kita bila kita hidup mewah! Tak semestinya. Allah itu maha adil, tak semua kita dapat dalam dunia ini. Mungkin duit kita setinggi gunung dan dipenuhi segala kemewahan, tapi tak semestinya kita tidur lena dan jiwa tenang. Tak semua orang kaya itu happy, malah ramai yang tak happy pun.
Apa gunanya harta bertimbun kalau hati kita celaru dan tak tenteram?
Mungkin gaji kita jauh lagi besar dari teman-teman sebaya, tetapi tak semestinya kita sentiasa akan rasa senang dan tenang. Mungkin esok-esok kita akan diuji dengan satu ujian yang berat. Mungkin Allah berikan kita satu keadaan kesihatan yang meruncing hinggakan duit kita tak mampu menolong. Mungkin Allah beri kita dugaan yang lain pula yang membuat kita menderita.
Mungkin juga duit kita tak banyak mana, namun kerana barakah-Nya, jiwa kita sentiasa tenang. Mungkin duit tak banyak tetapi kita juga tak ada hutang, tak tertekan dengan rebutan untuk jadi manusia gemilang.
Kadang-kadang bila pendapatan lumayan, kita pun mula masuk gelanggang lumba siapa ada banyak harta dan siapa guna barang-barang branded! Bila keadaan berubah jadi begitu, tahu-tahu kita dikelilingi hutang yang tinggi menimbun. Bila terjadi sesuatu, kita pun mampu jatuh merudum! Nauzubillah min zalik.
Saya biasa melihat bagaimana ibu bapa yang punyai banyak harta benda, berasa sengsara kemudiannya apabila melihat anak-anak mereka kecundang untuk menjadi manusia yang baik. Mungkin anak-anak dibesar dengan dikelilingi kemewahan hinggakan mereka jadi manusia lupa daratan. Salah siapa agaknya?
Bersyukurlah dengan apa sahaja yang kita ada walaupun mungkin sedikit sahaja yang kita ada. Kualiti itu lebih baik daripada kuantiti. Biar sedikit tapi punyai nilai tinggi. Syukur itu besar untuk jiwa kita. Sabar itu juga sesuatu yang mulia dalam hidup kita yang mampu mengatasi segala macam kekurangan. Doalah untuk dapatkan kesederhaan dalam hidup, doalah untuk mendapatkan keredhaan, rahmat dan apa-apa jua yang terbaik untuk kita, kerana itu Allah yang lebih tahu. Semestinya itu lagi baik daripada jadi manusia yang tamak haloba yang mahu segala-galanya dalam hidup ini kerana terpedaya dengan 'material'. Ingatlah bahawa dunia ini sekadar sementara sahaja, yang kekal ialah akhirat nanti. Subhanallah.
Selamat menyambut Ramadhan yang mulia, semoga kita dilindugi Allah swt dunia dan akhirat.
Wassalam.
Sekadar hiasan untuk entri
Wajah comel kemiskinan