Assalam
Ada orang komen, katanya, "Taklah best sangat Najwa tu... sebab dia tak berhijab." Huhu... saya pun bersetuju kalau kata yang Najwa Shihab akan kelihatan lagi hebat kalau dia juga berhijab. Tapi kita boleh doakan untuk wanita muda itu. Apa-apa pun, tak payahlah kita berburuk sangka padanya kerana dia tidak berhijab kerana seperti yang kita sedia maklum, ramai yang dulunya tak berhijab, mereka pilih untuk berhijab pula dan mungkin satu hari nanti Najwa Shihab jadi jauh lagi baik dari segi agamanya daripada kita semua. Tentunya kita juga tidak tahu apa yang ada di dalam hati wanita muda itu, hanya Allah yang tahu. Mungkin tidak salah juga kalau saya katakan di sini, kadang-kadang orang yang berhijab itu ada yang jauh lagi buruk akhlaknya. Pakai tudung tapi masih sanggup buat maksiat. Mungkin kalau kenal orang yang begitu kita akan jadi lebih gerun.
Okeylah... mungkin tak payahlah kalau kita sengaja nak menghukum orang kerana apa yang kita lihat dengan mata kita.
Semalam, saya berkesempatan untuk mendengar satu ceramah agama yang dibicarakan oleh seorang pakar ilmuan dan pendakwah yang datangnya dari negara luar. Apa yang menarik tentang kata-katanya ialah tentang 'ILMU'. Katanya, kalau sekadar buat ibadat tapi diri tak punyai ilmu, aqidah kita belum pasti mampu jadi mantap. Ilmu itu sangat penting kerana orang yang tak punyai ilmu sering didatangi iblis dan syaitan. Iblis dan syaitan sangat suka dengan manusia yang kurang ilmu agamanya. Kalau kita buat ibadat sekadar ikut-ikutan sahaja tetapi tak buat dengan hati ihklas kerana tak punyai ilmu yang cukup untuk memahami agama kita, tak menghairankan kalau kita sering kecundang. Akhlak kita tak mampu dimantapkan kerana kita tak faham bahawa kalau kita menghargai agama kita juga menghargai akhlak yang baik. Nabi junjungan kita Muhammad S.A.W. merupakan insan agong yang berakhlak tinggi dan mulia dan dari situlah baginda berjaya untuk mendidik manusia menjadi mereka yang punyai ilmu.
Tanpa ilmu, manusia mudah tersesat sekalipun rajin buat ibadah. Ilmu ada kaitan dengan kefahaman dan penghayatan, tanpa ilmu dada kita kosong. Buat ibadah pun mungkin jadi serong. Wallahuaklam.
Sekarang ini banyak kemudahan yang mampu menolong kita untuk menuntut ilmu dalam segala bidang termasuk agama. Malangnya, manusia terlalu ralit dan khayal dengan Internet yang 'kosong' dan kemudahan lain tanpa menimba faedah daripadanya. Manusia hari ini mudah tersesat aqidahnya kerana mereka biarkan iblis dan syaitan merasuk fikiran dan jiwa. Nauzubillah min zalik.
Tuntut dan carilah ilmu. Ilmu bukan untuk orang yang bijak dan pandai sahaja tetapi untuk semua. Kalau bijak dan pandai tapi kurang ilmu dalam memahami 'ISLAM', diri akan tersesat jua kerana iblis mudah masuk dan merasuk. Tapi, kalau memang diri tak pandai mana tetapi terus biarkan dengan kejahilan, maka kita akan hidup dalam kerugian kerana kemungkinan besar, segala ibadah yang kita lakukan tak mampu membawa kita ke mana-mana, kerana diri tak punyai keikhlasan untuk menerima agama Allah ini. Subhanallah.
Jadilah manusia yang rajin mencari ILMU dunia dan akhirat.
Wassalam.
