Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, March 25, 2013

Biar Sempoi Tak Apa



Assalamualaikum...

Saya guna bahasa orang sekarang, biar sempoi tak apa. Maknanya, biar hidup sedang-sedang, atau bersederhana. Kalau bahasa Inggeris, kita kata 'Simple'... tu yang jadi sempoi tu.

Kata orang, kalau makan, biar kita makan semua, tapi berpada-pada. Serba sikit. Jangan suka pantangkan diri, kerana rata-rata, makanan mempunyai khasiatnya. Misalnya, badan kita perlukan karbohaidrat, perlukan protein, pelbagai vitamin dan macam-macam lagi untuk berfungsi dengan baik. Jadi, sekalipun kita nak jaga supaya berat badan tak naik, jangan pantangkan diri hinggakan banyak benda kita tak mahu makan. Ada makanan kita memang elok kurang-kurangkan, tapi tak payahlah sampai tak makan!

Begitu juga hal-hal lain dalam kehidupan. Biar kita buat serba sederhana, sekalipun mungkin duit kita berlambak-lambak. Eloknya, kita lihat di sekeliling kita. Kalau jiran-jiran kita begini, janganlah pula dengan sengaja kita jadikan diri kita begitu, kerana mahu pastikan bahawa kita mempunyai kelebihan daripada mereka semua. Perbuatan itu sebenarnya memang tak baik, kerana Tuhan tidak menyukai mereka yang suka berlebih-lebih dan menunjuk-nunjuk. Biarlah apa sahaja yang kita lakukan, bersederhana sahaja.

Tentang pakaian, tentang semuanya yang ada kaitan dengan kehidupan kita.

Malah, kalau kita mahu beramal sekalipun, janganlah kita menunjuk-nunjuk. Tak perlulah kita bagi tahu semua orang yang kita ini bersolat. Setiap kali solat, kita pun 'announce'. Begitu juga kalau kita jenis rajin ke surau atau masjid, tak payahlah kita pukul canang. Sekarang ini, di alam serba moden, banyak orang mampu cari ilmu sekalipun tak ke surau atau masjid. Kita juga perlu ingat, orang perempuan sebenarnya tidak perlu ke surau atau ke masjid, duduk di rumah dan jadi isteri yang solehah atau ibu yang baik, mungkin jauh lagi baik daripada sesetengah orang yang berkhemah di masjid. Wallahua'lam.

Saya sekadar menulis artikel ini untuk mengingatkan diri saya sendiri, agar lakukan apa sahaja dengan cara yang sederhana. Kalau kita ikut nafsu, semua yang ada di dunia ini kita mahukan. Tetapi kalau kita ingat pada Tuhan, in sya Allah, kita akan cuba cari jalan yang diredhai Allah SWT. Mungkin apa yang kita rasa baik itu, sebenarnya tidaklah baik untuk kita, hanya Allah yang maha mengetahui.

Apa pun, jom kita hidup sempoi, tak apa begitu, janji hati kita tenang dan jiwa kita senang. Wallahua'lam.

Wassalam.