Sebelum saya ke judul entri, saya ingin ucapkan selamat bekerja dan menjalankan tugas kepada semua, agar kita jadi manusia yang amanah di dunia untuk kebaikan di akhirat nanti. Aamiin.
Saya ingin menarik perhatian anda semua kepada kitab suci al-Quran, surah ke 7, Al-A'Raf, dari ayat 11 hingga ayat 30, di mana Allah swt telah berfirman bagaimana Adam dijadikan Allah di syurga, kemudian mendatangkan Hawa pula sebagai temannya dan Allah berpesan agar mereka tidak mempercayai kepada Iblis, namun bisikan Iblis mampu memperdayakan Adam dan Hawa hinggakan mereka tercampak keluar dari syurga turun ke bumi nyata. Iblis terus berjanji untuk merasuk manusia, ayat 16, surah Al-A'Raf yang membawa maksud, :'(Iblis) menjawab, "Kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan selalu menghalangi mereka dari jalan-Mu yang lurus."
Janji Iblis selalu ditepati dan kerana itulah terlalu banyak manusia di dunia ini tertipu. Memang ramai yang mengaku untuk melakukan perkara baik-baik, namun rasukan Iblis dan bisikan Iblis mampu untuk menundukkan manusia daripada melakukan kebaikan, berubah untuk buat perkara yang tak baik, termasuklah menipu, takbur, sombong dan iri hati. Macam-macam lagi sifat manusia yang sangat jelek.
Saya bercakap melalui pengalaman. Saya juga mempunyai banyak kelemahan, namun sebaik mungkin saya elak diri daripada menipu orang lain. Memang saya pantang kalau ditipu apatah lagi jenis yang suka ambil kesempatan. Bila kita baik, dia pun cari peluang untuk berlaku tak jujur. Saya tak akan lupa dunia akhirat terutama bila saya meletakkan kepercayaan kepada insan berkenaan tetapi dia menipu saya. Tak kisahlah siapa pun, bagi saya kejujuran dan keikhlasan itu sangat mustahak dalam apa jua perhubungan dan ikatan. Kita mahu mempercayai orang yang kita anggap baik dengan kita. Apatah lagi dengan orang yang buat bisnes dengan kita, namun rata-rata kita akan berdepan dengan penipuan. Memang kita tak boleh percaya sangat dengan sesiapa pun!
Tidaklah bererti yang kita jangan percaya terus pada sesiapa pun, namun kita wajib berjaga-jaga kerana kita ingatlah pada ayat al-Quran yang saya sentuh seperti di atas. Iblis sentiasa ada untuk merasuk manusia untuk tidak mengikuti jalan yang lurus. Bermakna, sangat mudah untuk kita jadi manusia yang tersesat dan melakukan kejahatan seperti tidak jujur dan menipu! nauzubillah min zalik.
Kalau kita mahu tempat yang terbaik di sisi Allah swt, pastikan kita boleh dipercayai dalam apa jua hal di dunia ini. Jangan biarkan diri kita dilabel sebagai 'tak amanah' atau 'tak jujur', atau pengkhianat atau... 'Dia tu memang tak boleh percaya sangat!'
Wassalam.
Ruang-ruang rehat yang menarik.

