Assalam
Hari ini hari Selasa, mungkin elok kalau kita cuba ingatkan diri kita untuk buat yang baik-baik. Allah swt sangat sayangkan hamba-Nya yang suka buat benda baik-baik terutamanya untuk orang lain. Kalau kita tidak pentingkan diri sendiri (ada limitnyalah) tetapi kita cuba buat perkara baik untuk orang lain, terutama ahli keluarga kita, ibu bapa kita, pasangan kita, adik-beradik kita, jiran kita, kawan-kawan kita dan orang lain yang mungkin kita tidak kenal pun, semuanya Allah ambil kira. Apa yang kita ada, kita kongsi bersama orang lain terutama ahli keluarga. Rezeki kita tidak kita bolot seorang diri, tetapi kita infakkan kepada yang lain terutama mereka yang sangat memerlukannya. Bukan hanya wang ringgit dan harta benda, tetapi budi pekerti kita juga diambil kira selain daripada amalan. Lebih banyak kita ingat pada orang lain, lebih sayang Allah pada kita, insyaa-Allah.
Dalam pada itu, jangan pula kita beranggapan bahawa apa sahaja orang punya, kita mempunyai hak di atasnya, konon-konon kita nak tumpang sama, nak kongsi apa yang orang ada. Adoii... takkan jahil benar kita ini, kan? Takkanlah kita tak tahu bahawa kita boleh ambil bila orang yang memberi, itu pun kalau kita layak untuk mengambilnya. Jangan pula kerana kita tamak atau haloba, kita jadi manusia yang pentingkan diri sendiri lalu kita rasa kita juga mempunyai hak untuk merampas apa yang orang ada dengan apa jua caranya. Itulah yang dinamakan berdosa, wallahuaklam. Dalam hal memberi dan mengambil, kita juga perlu berjaga-jaga, jangan sampai kita keliru tak tahu tempat yang tepat, maka kita jadi manusia yang tersasar dari landasan yang betul.
Rata-rata kita manusia merupakan insan lemah, kadang-kadang tak tahu untuk letakkan prioritinya. Kita main ikut sedap aje, konon-konon buat atas nama Tuhan, tetapi kita dah tersasul, buat benda yang bertentangan dengan apa yang Allah suka. Jadi... berjaga-jagalah.
Apa sahaja yang kita buat di dunia ini, buatlah kerana Allah, bukan kerana alasan lain, jauh sekali kerana nafsu, kerana perasaan dengki dan sakit hati, tamak dalam diri, atau kerana syaitan yang berbisik di telinga kita. Nauzubillah...
*Bagi penggemar drama Selamat Malam Kekasih, jom tengok episod kelima jam 2.30 petang ini di TV AlHijrah.
Wassalam.