

Ramai yang takut kalau tidak kelihatan cantik. Malah, bukan perempuan sahaja yang fobia tetapi lelaki juga. Kalau boleh, semuanya hendak kelihatan 'perfect'. Wajah yang cantik, hidung tajam mancung, mata seksi macam mata kucing, bibir gebu dan dagu runcing. Aduhai...
Kalau ada duit banyak dan tak kisah boleh ke tidak, itulah jadinya kepada muka. Akan dibuat pengubahsuaian. Bukan rumah sahaja yang boleh diubah suai, tetapi wajah juga. Kulit muka pun boleh dicucuk botox... paling kurang sebulan sekali agar muka kelihatan tegang, licin dan tampak muda!
Begitulah keadaan hari ini, segala-galanya moden dan berteknologi tinggi. Namun, hebat mana sekalipun kita, takkan mampu melawan ciptaan Tuhan. Ada ketika, kerana diubah sana sini, akhirnya wajah yang berupa sudah hilang dan jadi pelik, mungkin juga menakutkan. Walaupun pada mata kasar kita, mungkin hidung mancung itu cantik, tetapi bukan semua muka kena. Ada kala, hidung sedang-sedang itu cantik juga, mungkin lebih kena dengan mulut dan mata kita. Begitu juga mata. Ada orang kata mata bulat cantik, ada pula kata mata macam kucing cantik... tapi bagi mata saya... mata sepet pun tak kurang cantik!
Sebenarnya apa yang kita takut sangat pada rupa? Kalau kita jaga dengan baik anugerah Tuhan kepada kita, insya-Allah kita tak perlu takut apa-apa. Kecantikan sebenarnya datang dari dalam diri. Kalau kita baik hati, ikhlas, jujur, sentiasa ingat pada Tuhan, insya-Allah muka kita akan berseri-seri. Tak payah cucuk apa-apa pada muka, sekadar menjaga kulit kita dengan baik, semuanya akan kekal menarik.
Buatlah apa pun, akhirnya kita akan mati juga. Tak payah takut sangat kalau kulit kita mula ada 'line', atau rambut beruban... atau gugur, itu semuanya perkara biasa. Yang penting kita jaga kesihatan. Apa yang ada pada diri kita, kita jagalah dengan baik.Amanah Tuhan buat kita. Tak payah kita beria-ia mengubahsuaikannya.
Bila bangun pagi, lihatlah pada muka kita di cermin. Kalau anda kata ketika itu wajah anda kelihatan cantik berseri-seri, maka cantiklah ia. Bagi saya, waktu pagi begitulah 'the best'... saya selalu suka tengok muka sendiri apabila bangun pagi!