Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, April 01, 2010

Dunia Matang yang Okey Juga



Apa yang saya nak ceritakan ini bukanlah sesuatu yang baru, tetapi sentiasa terjadi. Ini adalah kisah penulisan buku. Atau tentang penulis dan bukunya. Sekalipun buku kita masuk carta nombor satu (tak kiralah carta apa), tak semestinya semua orang suka buku kita itu. Pembaca ada citarasa mereka sendiri. Tetapi biasanya, kalau kita dah ada followers setia dan mereka pula memang jenis yang faham dengan cara penulisan kita, mereka akan tetap setia dan mesti membaca buku-buku kita itu. Kebanyakan followers kita akan cuba menghayati apa-apa sahaja yang kita tulis dan biasanya mereka tak akan komen yang bukan-bukan.

Selama jadi penulis, saya dah tak kisah lagi dengan apa orang akan kata tentang novel atau buku saya. Bukan senang nak puaskan hati semua pembaca, tetapi kalau majoriti pembaca kita kata okey atau beri 'thumbs up', alhamdulillah... saya bersyukur dan terima dengan baik. Inilah yang dapat membakar semangat saya untuk terus menulis.

Rata-rata, boleh saya katakan bahawa kumpulan pembaca saya adalah mereka yang lebih matang. Bukan matang umur tetapi matang fikiran. Ramai pembaca saya yang berumur muda tetapi dapat menghayati penulisan saya dengan baik dan tentu sekali mereka yang lebih matang usianya tak ada masalah untuk membaca penulisan saya.

Saya cuba cari dan bawa kelainan dan tak semesti kelainan itu dapat memuaskan hati semua pembaca. Pun begitu, saya akan terus mencari kelaianan dan perbezaan dalam persembahan novel-novel yang akan datang kerana saya tak mahu pembaca bertemu dengan sesuatu yang terlalu klise. Asyik-asyik jalan cerita yang sama.

Bagi saya, perwatakan karakter-karakter, latar belakang cerita, termasuklah profesyen watak memainkan peranan penting dalam mencari kelainan. Saya ingin pembaca saya bertemu dengan sesuatu yang jarang-jarang mereka tahu. Kadang-kadang saya selitkan juga sesuatu yang mereka sangat tahu. Yang penting saya cuba yang terbaik, namun yang terbaik itu tak semestinya yang terbaik untuk pembaca saya.

Ada pembaca berkata kepada saya yang dia tak berapa suka novel 'A' atau 'B', tetapi ada pembaca lain memberitahu saya yang dia sudah baca novel 'A' atau 'B' itu berkali-kali kerana terlalu sukakannya. Saya terima sahaja seadanya. Mengikut rekod saya, ada seorang pembaca lelaki mengaku kepada saya yang dia sudah membaca salah satu novel saya sebanyak 37 kali! Mungkin kerana watak dalam novel itu ada persamaan dengan dirinya.

Bagi saya... saya happy sahaja asal Tuhan berikan saya nikmat untuk menulis ini. Kalau anda terhibur dan banyak menerima ilmu dari novel-novel saya, alhmadulillah... segala-galanya datang daripada Allah swt. Setiap yang kurang itu, ia datang daripada saya, manusia yang kerdil ini.



Semalam, saya sempat lepak-lepak dengan teman-teman yang juga merupakan jiran-jiran saya. Mereka bertandang dan minum-minum di rumah saya. Dah lama kami tak lepak sama-sama. Hidup sebagai wanita matang, memang seronok. Kami jarang-jarang besarkan perkara yang remeh-remeh dan kami sentiasa sokong di antara satu dengan yang lain. Alhamdulillah. Dunia kematangan tetap menghiburkan kami.